Kajiselidik: BN, Pakatan 'bersaing rapat' menjelang 5 Mei

Hafiz Yatim dan Koh Jun Lin 
http://www.malaysiakini.com/browse/a/my/Hafiz%20Yatim%20dan%20Koh%20Jun%20Lin 
8:22PM Apr 25 2013
Tinggal seminggu lagi menjelang hari pengundian, kajiselidik persepsi terbaru 
oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcede) 
menunjukkan BN dan Pakatan Rakyat bersaing rapat dan masing-masing dianggarkan 
mendapat 40 peratus sokongan rakyat.

Pengarah Umcedel, Prof Datuk Mohd Redzuan Othman (kanan) berkata perbezaan 
antara BN dan Pakatan dalam kajiselidik yang dijalankan antara 4 April - hari 
Parlimen dibubarkan - sehingga Sabtu lalu, hanyalah 5 peratus.

Bagaimanapun, Redzuan tidak mahu mendedahkan siapakah yang mendahului atau 
peratusan sebenar yang diperolehi dalam kajian Umcedel yang sebenar.

Menurutnya, peratusan pengundi yang belum membuat keputusan telah berkurangan 
daripada 21 peratus pada bulan Mac kepada 9 peratus pada bulan ini.

Katanya, pengundi Cina, yang sebelum ini merupakan majoriti dalam kumpulan 21 
peratus itu, kebanyakannya telah memutuskan siapa yang hendak diundi.

Redzuan percaya pengundi yang belum membuat keputusan akan menurun kepada sifar 
peratus pada hari pengundian nanti.

Katanya, mereka akan didorong oleh beberapa hari terakhir kempen, sepertimana 
yang dilihat berlaku dalam pilihan raya umum 2008, di mana empat hari akhir 
kempen yang aktif oleh pembangkang telah mengakibatkan berlakunya tsunami 
politik pada 8 Mac.

Kajiselidik selama 18 hari itu merangkumi 1,407 responden di Semenanjung 
Malaysia sahaja. Mereka merupakan pengundi pelbagai peringkat umur dan tidak 
membabitkan pengundi di Sabah dan Sarawak.

Kajian ini telah dilakukan melalui temubual dengan responden, yang setiap satu 
memakan satu selama 30 hingga 45 minit.

Redzuan berkata terdapat banyak faktor yang boleh mempengaruhi
pola pengundian pada 5 Mei. Hujan lebat pada waktu petang bermakna ramai yang 
tidak menghadiri sesi ceramah tetapi sebaliknya mendengar radio atau menonton 
televisyen.

'Pengundi lebih tertarik pada manifesto Pakatan'

Redzuan dan pasukan penyelidiknya juga mendapati pengundi lebih tertarik dengan 
apa yang ditawarkan oleh Pakatan, berbanding daripada BN.

Empat puluh dua peratus responden berkata mereka lebih suka manifesto Pakatan, 
manakala 36 peratus memilih BN dan 22 peratus belum membuat keputusan.

Kajiselidik itu juga menunjukkan sokongan yang hampir sama daripada masyarakat 
Melayu kepada BN (38 peratus) dan Pakatan (37 peratus). Bagaimanapun, lebih 
ramai kaum Cina memilih Pakatan (61 peratus) berbanding dengan BN (25 peratus).

Masyarakat India yang menyokong BN adalah 53 peratus) berbanding 21 peratus 
yang menyokong Pakatan.

Bagaimanapun, Redzuan menjelaskan bahawa sokongan kepada manifesto itu tidak 
semestinya diterjemahkan kepada undi.

Redzuan berkata kajiselidik tersebut mendapati tuduhan Pakatan bahawa BN 
mengambil idea daripada manifestonya memberi kesan kepada persepsi rakyat.
Katanya, idea seperti mengurangkan harga petrol, menghapuskan pinjaman Tabung 
Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan mengurangkan harga kereta sangat menarik 
kepadsa rakyat.

Kajiselidik itu juga mendapati bahawa meletakkan poster atau bendera mempunyai 
kesan minimum dalam mempengaruhi pengundi, dengan 66 peratus responden berkata 
tidak ada kesan ke atas mereka, manakala 29 peratus berkata bendera dan poster 
mempunyai kesan.

Kajian ini juga menunjukkan bahawa  /Jelajah Merdeka Rakyat/ PKR menarik 19 
peratus berbanding dengan kempen  /Janji Ditepati /BN (16 peratus), diikuti  
/Jelajah Negara Kebajikan /PAS (10 peratus) dan  /Ubah DAP /(4 peratus).

Daripada 1,407 responden, kata Redzuan, 49 peratus mengatakan mereka tidak 
menghadiri mana-mana ceramah.

Menurutnya lagi, kempen Janji Ditepati tidak berkesan kerana sebahagian 
responden, seperti para guru, mengadu bahawa mereka dipaksa menghadiri ceramah 
dan apa yang dicakapkan dalam kempen tersebut oleh BN itu tidak diikuti.

Redzuan menegaskan bahawa tempoh lapan hari lagi berkempen mulai esok, akan 
menentukan siapakah yang akan membentuk kerajaan baru.
 *[Baca berita penuh]* http://www.malaysiakini.com/news/228041 

PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang 
diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan 
tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko 
akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

<<"">>

Kirim email ke