Bahasa 

    Usaha terakhir raih undi bermula
    --------------------------------


April 28, 2013
Kegigihan beliau dilihat sebagai faktor utama BN untuk meraih sokongan akar 
umbi sebelum hari pengundian 5 Mei ini dan memenangi hati pengundi atas pagar. 
- Gambar oleh Choo Choy May
KUALA LUMPUR, 28 April — Pilihan raya paling sengit negara kini memasuki 
peringkat pertengahan kempen selepas menempuh minggu kurang menyenangkan bagi 
pengundi yang tidak biasa berdepan keganasan bom api, selain kenyataan PAS yang 
mengulangi pendirian parti itu untuk melaksanakan hukum hudud jika pembangkang 
berkuasa.
Ketika usaha terakhir bagi meraih undi bermula, Datuk Seri Najib Razak meminta 
rakyat membuat penilaian bijak antara transformasi yang dilakukan kerajaan dan 
janji yang gagal dilaksana kerajaan negeri pakatan pembangkang di Kelantan, 
Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.
“Transformasi tidak merujuk kepada angka besar saja, saya tidak mahu orang kata 
dia tidak mendapat faedah daripada transformasi kerajaan, sebab itu daripada 
awal lagi, ditetapkan transformasi mesti membawa kesan dan kebaikan kepada 
rakyat biasa supaya rakyat dapat merasai bahawa bila bercakap tentang 
transformasi, kita sebenarnya menjana kekayaaan negara untuk kebaikan rakyat,” 
katanya dalam ucapan di hadapan kira-kira 6,000 hadirin di dewan komuniti 
Kampung Semeba di Kuching semalam.
Najib, yang memimpin BN pada pilihan raya umum buat pertama kalinya sebagai 
Perdana Menteri, terus berada di barisan depan jentera parti dalam usaha 
mendapatkan mandat lebih daripada rakyat bagi meneruskan transformasi ekonomi 
dan sosial yang dimulakan ketika beliau mengambil alih tampuk pemerintahan 
empat tahun lepas.
Kegigihan beliau dilihat sebagai faktor utama BN untuk meraih sokongan akar 
umbi sebelum hari pengundian 5 Mei ini dan memenangi hati pengundi atas pagar.
“Beliau merupakan wajah perubahan itu sendiri bagi BN selepas tsunami politik 
pada 2008. Sejak empat tahun lepas, beliau melakukan perubahan sebenar dan 
mengumumkan konsep 1Malaysia, yang sememangnya amat baik kepada semua rakyat 
Malaysia tanpa mengira siapa mereka,” kata seorang ahli politik veteran.
Suara Najib kedengaran agak serak berikutan jadual yang ketat ketika beliau 
sibuk ke seluruh pelusuk negara dari kawasan bandar hingga ke pedalaman di 
Sabah dan Sarawak, di mana beliau mengumumkan aku janji bagi menangani masalah 
yang dihadapi penduduk setempat, sebagai tambahan kepada manifesto BN.
Terdahulu, bercakap di Saratok, Najib berkata kerajaan pusat yang lemah hanya 
akan menjejas kelicinan transformasi kebangsaan dan meminta rakyat tidak 
terpedaya dengan slogan ‘Ubah’ pembangkang.
Merujuk janji yang gagal dilaksana di empat negeri yang ditadbir pakatan 
pembangkang, Najib menyifatkan slogan itu sebagai sekadar gimik dan berkata: 
“Jadi, saya ingin mengingatkan rakyat supaya jangan sesekali tertarik dengan 
ungkapan ubah sebab tidak ada apa-apa yang mereka lakukan sebelum ini selepas 
diberi amanah menjadi kerajaan di negeri berkenaan,” Setiausaha Agung PAS Datuk 
Mustafa Ali berkata parti itu komited untuk meneruskan pelaksanaan hudud 
meskipun hasrat itu tidak dipersetujui sekutunya, DAP.
Mustafa memaklumkan media di ibu pejabat parti itu bahawa PAS akan terus 
memperjuangkan agenda hudud.
PKR semalam berkata parti itu memecat 34 anggota yang bertanding sebagai calon 
Bebas, antaranya Ketua Cabang Tanjung Malim Mejar (B) Kamal Badri Tak M 
Zainudin yang bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Behrang menentang 
calon PAS Datuk Abdul Hadi Abdul Khatan, Dr Rusnah Kassimj dari BN dan seorang 
lagi calon Bebas S.Ramnaidu.
Naib Presiden PKR Tian Chua berkata mereka yang dipecat adalah pemimpin 
peringkat cabang selepas mereka gagal menarik diri daripada bertanding dan 
memohon maaf kepada parti sehingga petang Khamis lepas.
Sementara itu, seorang pegawai Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) membuat laporan 
polis setelah diugut seorang lelaki ketika beliau membuat rondaan dan 
pemantauan di Kubang Semang, Pulau Pinang.
Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam) ACP Ramli Mohamed 
Yoosuf berkata kejadian berlaku semalam dan kini disiasat mengikut Seksyen 506 
Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
Beliau berkata polis menerima 248 laporan berhubung pilihan raya setakat ini 
dan menahan 48 individu dengan Pulau Pinang mencatat jumlah tangkapan tertinggi 
iaitu 16 orang.
Perjalanan menjelang pilihan raya turut dicemari beberapa insiden khianat 
termasuk letupan pada satu majlis ceramah BN di Nibong Tebal yang menyaksikan 
tiga lelaki ditahan. – Bernama

<<"">>

<<"">>

Kirim email ke