Rencana 

    Kearah Malaysia terunggul — Abdul Khalid Ibrahim
    --------------------------------------------------


May 03, 2013
3 Mei — Rakyat Malaysia seharusnya menikmati yang terbaik untuk semua.
Pemimpin kita seharusnya mencerminkan kewibawaan sebenar rakyat Malaysia, layak 
mendukung harapan dan aspirasi kita, dan mampu merealisasikan potensi sebenar 
kita.
Hakikat ini disedari jutaan rakyat Malaysia yang berusaha tanpa mengenal penat 
lelah demi kehidupan yang lebih baik untuk diri dan keluarga. Masanya telah 
tiba untuk kita membuang segala ketakutan dan keraguan yang selama ini menjadi 
penghalang dan mengejar masa depan yang lebih cerah.

Kita tidak perlu lagi dibebankan dengan pemimpin yang hanya tahu ‘mengambil’, 
kerana rakyat sepatutnya berhak kepada pemimpin yang lebih mahir ‘memberi’.
Kita tidak mahukan habuan dari pemimpin kita; sebaliknya kita hanya perlukan 
pemimpin yang mampu menguruskan negara dengan bijak dan mewujudkan peluang yang 
adil untuk semua.
Yang kita dahagakan adalah kesamarataan di mana kemewahan boleh dicapai oleh 
sesiapa yang rajin berusaha di mana kejayaan diperolehi hasil daripada usaha 
kita, bukan hubungan kita dengan mana-mana pihak.
Kita perlukan pemimpin yang sanggup berkhidmat dengan rendah diri, bukan 
pemimpin angkuh yang menganggap rakyat wajib syukur atas ‘sumbangan yang 
diberikan’.
Jika khazanah negara digunakan untuk mengisi poket pihak berkepentingan dan 
bukan dilaburkan untuk masa depan kita bersama, maka sudah tiba masanya untuk 
harapan baru.
Rakyat Malaysia berhak mendapat pentadbiran yang telus yang akan membolehkan 
kita semua melihat dengan jelas bagaimana kekayaan negara diuruskan.
Rakyat Malaysia berhak hidup tanpa pemisahan antara kaum atas sebab-sebab 
politik. Terlalu lama kita sudah dibebankan dengan pemimpin yang mengapi-apikan 
sentimen perkauman demi memenuhi kepentingan peribadi.
Rakyat Malaysia berhak mendapat pemimpin yang menyemai dan mengukuhkan semangat 
muhibah yang sememangnya sedia wujud dalam kalangan rakyat Malaysia.
Rakyat Malaysia juga berhak merasai demokrasi sebenar – iaitu keupayaan untuk 
menentukan nasib mereka sendiri secara bebas dan adil.
Kuasa yang dibiarkan berleluasa terlalu lama selalu melahirkan pemimpin 
sembrono yang bertindak sesuka hati tanpa melaksanakan tanggungjawab kepada 
rakyat yang sepatutnya.
Kita mesti sentiasa beringat bahawa kita bukan sekadar ingin menukar kerajaan. 
Kita juga bukan sekadar ingin menggantikan individu atau parti tertentu sahaja. 
Kita bertekad menggantikan keseluruhan budaya politik feudalisme dan rasuah 
yang berleluasa. Oleh itu kita tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana musuh 
dalam selimut yang mengaku kononnya sekutu kita tetapi masih mengamalkan budaya 
dan politik yang lama.
Sebarang kegagalan untuk menggantikan budaya lama ini akan bermaksud usaha 
pembaharuan kita tidak bermakna dan lompong. Harapan perubahan yang dijanjikan 
kepada rakyat Malaysia bukan calang-calang tanggungjawab malah merupakan amanah 
besar.
Walau apapun keputusan pada 5 Mei ini, banyak lagi cabaran dan dugaan yang 
perlu kita hadapi. Walaubagaimanapun, Insya’Allah, ia akan menjadi langkah 
pertama ke arah membina Malaysia yang unggul seperti yang kita idamkan sejak 
sekian lama.
Malaysia yang kita impikan ini memang sudah berada dalam genggaman kita. Kita 
hanya perlu bangunkan semangat yang sedia ada dalam diri kita, dan mara 
seiringan dengan penuh keberanian untuk merealisasikan Malaysia yang terunggul.
 /* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili 
pandangan The Malaysian Insider./

<<"">>

Kirim email ke