*Anwar: Himpunan 8 Mei untuk bantah 'penipuan'*

7:11PM Mei 6 2013
Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru kepada penyokongnya untuk hadir 
ke Stadium Kelana Jaya Rabu ini bagi menyatakan bantahan ke atas penipuan yang 
didakwa dilakukan dalam raya 5 Mei.

"Saya akan menjemput rakyat buat pertama kali selepas pilihan raya umum pada 
Rabu ini di Stadium Kelana Jaya pada jam 8.30 malam. Saya menyeru semua rakyat 
Malaysia untuk bersama dan nyatakan penolakan kita terhadap penipuan dalam 
pilihan raya yang dilakukan SPR dan Datuk Seri Najib Razak.

"Gerakan untuk perubahan tidak boleh dihalang. Permintaan rakyat untuk memiliki 
pilihan raya yang bersih dan adil bagi memastikan kerajaan yang kita pilih 
bertanggungjawab, telus dan tiada rasuah akan terus bergema kuat di sebalik 
keputusan Pilihan Raya Umum ke-13," katanya dalam satu kenyataan.
Anwar berkata, beliau juga akan bekerjasama dengan Gabungan Pilihan Raya Bersih 
dan Adil (BERSIH) bagi memastikan sebuah SPR yang baru dan bebas ditubuhkan 
bagi menangani penipuan dalam pilihan raya.

Katanya, beliau juga akan berusaha bagi mendapatkan sokongan rakyat untuk 
mempersoalkan kesahan kerajaan yang dibentuk oleh BN.

"Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertanggungjawab kerana bersubahat dalam 
penipuan pilihan raya yang paling buruk dalam sejarah kita. Perjuangan untuk 
pilihan raya yang bersih dan adil kekal sebagai satu perjuangan yang penting 
bagi mana-mana rakyat Malaysia.

"Saya akan memberi sepenuh masa dan tenaga saya bersama BERSIH dan rakyat 
Malaysia untuk memastikan bSPR yang baru dan bebas ditubuhkan secepat mungkin 
untuk membetulkan penipuan pilihan raya.

"Kita tidak boleh membenarkan diri kita menerima keputusan pilihan raya melalui 
penipuan dan menipu. Hati saya akan bersama dengan setiap rakyat Malaysia yang 
tidak menerima keputusan ini. Saya akan berusaha ke arah konsensus kebangsaan 
untuk mempersoalkan kesahihan kerajaan BN yang dicapai melalui penipuan pilihan 
raya itu," katanya lagi.

PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang 
diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan 
tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko 
akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

<<"">>

<<"">>

Kirim email ke