Mitos Rehlah Ibnu Bathutah Tentang Ibnu Taimiyah.
Oleh
Hasrizal Abdul Jamil
Universiti Mu'tah, Jordan
7 Julai 1999

Firman Allah SWT:

�Wahai orang-orang yang beriman, apabila datang seorang fasiq kepada kamu membawa berita, periksalah ia terlebih dahulu. Agar nanti jangan kamu menghukum sesuatu kaum dalam keadaan jahil (terhadap apa yang benar), lantas kamu kemudiannya menyesal atas apa yang telah kamu lakukan� (Surah Al-Hujurat 49 : 6)

Firman-Nya lagi:

�Dan janganlah kamu berpendirian di dalam sesuatu perkara yang kamu tidak ada pengetahuan mengenainya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati itu akan dipersoalkan (di akhirat).� (Surah Al-Isra' 18 : 34)

Kenyataan bahawa begitu ramai ulamak yang ditohmah oleh umat Islam sendiri, adalah sesuatu yang pedih untuk diterima tetapi terpaksa diakui bersama. Bermula daripada tuduhan-tuduhan melampau terhadap ulamak seawal Imam At-Thabari serta Imam Al-Hakim An-Naisaburi dan seterusnya Ibnu Taimiyah dsb, semuanya itu sentiasa menjadi wacana perbalahan yang selalunya berakhir dengan kerugian terhadap umat Islam itu sendiri. Sikap menelan semua fakta dan bahan penulisan tanpa meneliti secara adil latar belakangnya, adalah satu perilaku yang bercanggah dengan amanah ilmu dan mengakar umbikan permasalahan seperti yang tersebut di atas.

Kebanyakan pihak yang menuduh sesat Ibnu Taimiyah, banyak mengambil hujah daripada riwayat-riwayat yang terkandung di dalam buku Pengembaraan (Rehlah) Ibnu Bathutah. Misalnya Kiyai Sirajuddin Abbas di dalam bukunya �Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah� yang masyhur di tanah air. Musuh-musuh Ibnu Taimiyah mendakwa bahawa beliau termasuk di dalam golongan Ahli Tamsil (yang menyamakan Allah SWT dengan makhluk) serta Ahli Tajsim (yang menjisimkan Allah SWT).

Dakwaan ini datangnya daripada permusuhan mereka terhadap Ibnu Taimiyah itu sendiri dan yang keduanya berdasarkan keterangan Rehlah Ibnu Bathutah; sebuah kitab yang penuh dengan pembohongan dan mitos yang tertolak oleh disiplin ilmu yang sahih.

Di sini saya akan membawakan catatan yang dibuat oleh Al-Allamah Bahjatul Baithar tentang penipuan kisah Hadith An-Nuzul (hadith yang menerangkan tentang turunnya Allah dari langit bumi ke dunia) sebagaimana yang dihikayatkan oleh Ibnu Bathutah.

001

Ibnu Bathutah di dalam riwayat pengembaraannya ke Damsyik menceritakan betapa satu ketika beliau melihat Ibnu Taimiyah mengajar di atas mimbar Masjid Umawi di Damsyik. Lalu beliau ditanya tentang �Hadith An-Nuzul� itu tadi, lantas Ibnu Taimiyah menjawab, �Tuhan turun sebagaimana turunnya aku ini..!�. Rujuk Rehlah Ibnu Bathutah (juzuk 1 ms. 57)

Berikut adalah beberapa noktah penting tentang riwayat Ibnu Bathutah berkenaan:

Ibnu Bathutah hakikatnya tidak pernah mendengar dari Ibnu Taimiyah atau berkumpul bersamanya. Ini berdasarkan fakta bahawa beliau telah sampai ke Damsyik pada hari Khamis 19 Ramadhan 726H, sedangkan Ibnu Taimiyah telah pun dikurung di dalam penjara Kota Damsyik di awal bulan Syaaban tahun berkenaan. Beliau terus dipenjara di dalam kota itu sehinggalah pulang ke rahmatullah pada malam 22 Dzulkaedah tahun 728H.

002

Jika begitu perihalnya, maka bilakah masanya Ibnu Bathutah melihat Ibnu Taimiyah mengajar di atas mimbar Masjid Umawi sebagaimana yang didakwa di dalam riwayatnya itu tadi?!

003

Rehlah Ibnu Bathutah sedia dimaklumi oleh mereka yang mengkajinya sebagai sebuah buku yang penuh dengan riwayat dan hikayat yang ganjil.

Banyak fakta di dalamnya tidak mampu diterima oleh akal dan naqal bahkan hanya mengaibkan mereka yang meriwayatkannya. Misalnya di dalam juzuk 1 ms. 54, Ibnu Bathutah menyatakan bahawa di tengah-tengah Masjid Umawi terletaknya makam Nabi Zakaria AS. sedangkan makam berkenaan adalah makam Nabi Yahya AS.

004

Ibnu Bathutah juga menyatakan bahawa beliau telah meriwayatkan daripada Sufian Ats-Tsauri tentang kelebihan Damsyik kononnya mendirikan solat di Masjid Umawi itu sama pahalanya dengan mendirikan 30 ribu solat di tempat lain!

Hal ini tidak pernah muncul di dalam periwayatan sesiapa, apatah lagi oleh Sufian Ats-Tsauri. Tidak mungkin bersolat di Masjid Umawi lebih utama dari mendirikan solat di Masjid Nabawi dan Masjidil Aqsa.

005

Ibnu Taimiyah tidak pernah mengajar atau berkhutbah di atas mimbar Masjid Umawi sebagaimana yang didakwa oleh Ibnu Bathutah. Bahkan apa yang jelas Ibnu Taimiyah apabila mengajar, hanya duduk di atas kerusi dan dikelilingi oleh hadirin, sebagaimana yang diterangkan oleh Al-Hafidz Adz-Dzahabi.

Al-Hafidz Ibnu Hajar menjelaskan di dalam Ad-Durarul Kaminah (juzuk 1 ms. 154) tentang tindakan sesetengah ulamak di zaman Ibnu Taimiyah menghebohkan masalah riwayat turunnya beliau dari tangga mimbar itu berpunca daripada penulisan Ibnu Taimiyah yang menentang fahaman Wahdatul Wujud, yang mana mereka itu telah menyelitkan sekali kisah kononnya Ibnu Taimiyah telah turun dari mimbar sebanyak dua anak tangga lalu berkata �.. Tuhan turun sebagaimana turunnya aku ini..� Lantas dengan mitos itu, Ibnu Taimiyah dikaitkan dengan fahaman tajsim.

006

Dari kalam Ibnu Bathutah juga, kononnya Ibnu Taimiyah telah dipenjarakan beberapa tahun dengan perintah Al-Malik An-Nasir, lalu menulis semasa di dalam tahanan itu sebuah kitab tafsir yang dinamakan �Al-Bahrul Muhith�. Kemudian bonda Ibnu Taimiyah telah mengadu dan membantah tindakan Al-Malik An-Nasir lalu diperintahkan agar Ibnu Taimiyah dibebaskan. Akan tetapi kemudiannya Ibnu Taimiyah telah dipenjarakan sekali lagi. Ibnu Bathutah mendakwa bahawa beliau berada di Damsyik dan pada waktu itulah beliau menyaksikan perihal Ibnu Taimiyah dan kisah Hadith An-Nuzul berkenaan.

Ibnu Bathutah juga meriwayatkan kononnya Al-Faqih Al-Maliki menceritakan bahawa Ibnu Taimiyah telah dipukul dengan tangan dan kasut sehingga terjatuh serbannya lantas tersingkap bahawa di atas kepalanya, Ibnu Taimiyah memakai kain kasa sutera!

Apa yang jelas, Al-Malik An-Nasir adalah orang yang bertanggungjawab mengeluarkan Ibnu Taimiyah dari tahanan di Iskandariah, Mesir. Beliau juga merupakan orang yang menyambut ketibaan Ibnu Taimiyah dengan disertai oleh para hadirin yang ramai termasuk para ulamak dan qadhi. Antara yang hadir menyambut Ibnu Taimiyah adalah Ibnu Makhluf Al-Maliki yang memusuhi beliau. Ibnu Makhluf pernah meminta Ibnu Taimiyah supaya mengeluarkan fatwa membunuh beberapa orang qadhi tetapi tidak mendapat persetujuan Ibnu Taimiyah.

Manakala bonda Ibnu Taimiyah pula telah meninggal dunia pada hari Rabu 20 Syawal tahun 716H, selepas Ibnu Taimiyah pulang ke Damsyik. Beliau tidak pernah mengadu kepada mana-mana pemerintah berkenaan anaknya Ibnu Taimiyah sebagaimana yang dihikayatkan oleh Ibnu Bathutah.

Memang tidak dinafikan bahawa Ibnu Taimiyah telah dipenjarakan di akhir hayatnya itu atas perintah Al-Malik An-Nasir. Ini berikutan daripada penguasaan para ulamak yang memusuhi Ibnu Taimiyah, terhadap Al-Malik An-Nasir. Mereka mendakwa bahawa Ibnu Taimiyah telah mengeluarkan fatwa mengharamkan ziarah ke makam Rasulullah SAW, sebagai usaha untuk memfitnahnya. Lantas Al-Malik An-Nasir telah memerintahkan supaya Ibnu Taimiyah dipenjara. Peristiwa ini berlaku pada hari Isnin 6 Syaaban 726H.

007

Kisah Al-Faqih Al-Maliki tentang pemakaian sutera oleh Ibnu Taimiyah itu juga merupakan mitos Ibnu Bathutah. Ibnu Al-Athir mahupun Ibnu Kathir atau Ibnu Hajar Al-Asqalani, tidak pernah meriwayatkan kisah sedemikian rupa, yang mustahil ditinggalkan ketika proses mengadili perawi (ilmu al-jarh wat ta�dil) dibuat. Semestinya Ibnu Taimiyah kehilangan kredibilitinya jika benar beliau memakai sutera sebagaimana yang didakwa oleh Ibnu Bathutah!

Adapun tohmahan-tohmahan lain yang dilemparkan oleh sekalian pihak terhadap Ibnu Taimiyah tanpa mendatangkan sebarang bukti, tidaklah ia mempunyai sebarang nilai di sisi keilmuan Islam.

Golongan seperti ini sentiasa menjadikan tohmahan dan fitnah sebagai alat untuk menentang musuhnya. Bahkan Baginda SAW sendiri tidak terlepas dari dituduh sebagai ahli sihir dan penyair jahat. Begitu juga fitnah musuh terhadap para sahabat seperti Uthman Al-Affan RA, Abu Hurairah RA, Muawiyah bin Abi Sufian RA dsb. Mereka yang banyak menyumbang kepada umat, mereka jugalah yang banyak diserang tohmahan musuh termasuk daripada kalangan umat Islam yang memperhambakan diri kepada hawa nafsu dan kejahilan.

Kesimpulan

Kita tidak mendakwa sesiapa dengan dakwaan ismah (kemaksuman) selain daripada mereka yang mendapat peruntukan khusus oleh Allah SWT dari kalangan Nabi dan Rasul AS.

Di sana terdapat pelbagai pro dan kontra berhubung dengan pendirian dan seruan Ibnu Taimiyah, baik di zaman beliau mahu pun pada masa-masa yang mendatang selepas itu.

Maka kita nyatakan bahawa, bagi Ibnu Taimiyah apa yang betul, dan ke atasnyalah segala kesilapan yang pernah berlaku. Sesungguhnya ALlah lebih mengetahui apa yang layak untuk sekalian hambaNya. Akan tetapi, memburuk-burukan nama beliau atau mana-mana ulamak yang telah menghabiskan hidupnya untuk mempertahankan Islam, ia bukanlah sesuatu yang sihat untuk diketengahkan ke gelanggang perbualan masyarakat.

Tidak dinafikan, ada di antara fatwanya yang berbeza dengan pendapat majoriti dan masyhur, tetapi ia tidaklah menjadi satu kesalahan kerana kedudukannya sebagai mujtahid. Bahkan setiap hujahnya, adalah berserta dengan dalil yang terbuka untuk dibincangkan oleh mereka yang tidak bersetuju, tetapi bukannya dengan melemparkan tohmahan melulu yang bercanggah dengan kemuliaan etika umat ini.

Selain hujah-hujah di atas, ada pula segelintir yang menganggapnya Ibnu Taimiyah sesat semata-mata dengan alasan bahawa beliau itu seorang banduan yang mati dalam tahanan, adalah hujah dangkal yang memalukan pendukungnya. Sebelum Ibnu Taimiyah, Imam Abu Hanifah juga pernah dipenjara. Apakah itu menjatuhkan martabat beliau? Tidak sama sekali! Bahkan yang berlaku adalah sebaliknya.


dan mengikut input sahabat kita Saudara 5150... dalam terjemahan asal Rehlah Ibnu Batutah berhubung dengan Ibnu Taimiah... ada footnote @ komentar berikut.. yang juga mempertikaikan kisah tersebut. Saya sertakan petikan tersebut :

* Didalam Nota Bab di belakang bab Syam kitab Rihlah Ibn Battutah ini, telah dinyatakan begini -

"Ibn Tamiyyah, 'ulama' mazhab Hanbali yang terkenal, dipenjarakan pada bulan Julai 1326M dan meninggal dunia pada bulan September 1328M, padahal Ibn Battutah memasuki kota Damsyik pada bulan Ogos 1326M iaitu selepas Ibn Tamiyyah dipenjarakan. Oleh itu, agak sukar untuk memahami bagaimana Ibn Battutah sempat melihat Ibn Tamiyyah berkhutbah di atas mimbar."

__________________________________________________
Do You Yahoo!?
Tired of spam? Yahoo! Mail has the best spam protection around
http://mail.yahoo.com

--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise.

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest".




Yahoo! Groups Links

Kirim email ke