Utusan Malaysia, 5 Januari 2005

Global Peace Malaysia lancar Tabung Anak Yatim Aceh

KUALA LUMPUR 5 Jan. - Global Peace Malaysia (GPM) hari ini melancarkan Tabung Anak Yatim Aceh sebagai menyahut seruan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) membantu menyelamatkan 35,000 anak yatim mangsa bencana gempa bumi dan tsunami pada 26 Disember lalu.

GPM yang merupakan pertubuhan pertama mewujudkan tabung berkenaan bergabung dengan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) bagi mengumpulkan dana khusus untuk kanak-kanak di Aceh.

Pengerusinya, Ahmad Azam Abdul Rahman berkata, GPM berusaha mengutip dana bagi membiayai keperluan setahun untuk setiap anak yatim di Aceh yang berumur 16 tahun ke bawah sebanyak RM1,500.

``Kenyataan Perdana Menteri selaku Pengerusi OIC agar anggota pertubuhan itu berperanan menyelamatkan anak-anak yatim piatu di Aceh amat dialu-alukan.

``Ia perlu mendapat sokongan daripada semua pihak kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) serta orang ramai,'' katanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar hari ini Malaysia akan meminta negara anggota OIC mengeluarkan dana membantu Indonesia menguruskan anak-anak yatim mangsa bencana tsunami di Aceh yang kini mula menjadi sasaran aktiviti memperdagangkan mereka.

Ahmad Azam berkata, misi bantuan kemanusiaan GPM yang sedang berada di Banda Aceh sudah memaklumkan kepada pihaknya mengenai keadaan puluhan ribu anak yatim mangsa gempa bumi dan tsunami.

``Orang ramai dirayu supaya membantu anak-anak yatim yang kini sedang dikenal pasti oleh misi bantuan kemanusiaan GPM yang sedang berada di Banda Aceh.

``GPM sedang bekerjasama dengan Pertubuhan Islam Aceh bagi menjayakan projek anak angkat ini,'' katanya.

Untuk tujuan itu, beliau berkata, sumbangan boleh dimasukkan dalam akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) atas nama Tabung Keamanan Sejagat ABIM - 14023010029224 atau menghubungi talian 03-61880300 (Nordiran Idris).

Sumbangan juga, katanya, boleh dihantar terus ke pejabat pertubuhan berkenaan di Anjung Rahmat, Batu 6, Jalan Gombak di sini.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Salahuddin Ayub berkata, OIC hendaklah memberikan perhatian kepada aspek perubatan, makanan bersih dan pendidikan untuk membangunkan semula generasi baru Aceh.

``Pemuda Pas melihat masa depan kanak-kanak tersebut mungkin akan terjejas dengan teruk daripada segi aspek kesihatan jika bantuan perubatan dan psikologi selain makanan dan minuman bersih tidak disalurkan dengan segera,'' katanya .

Katanya, sekolah-sekolah sementara hendaklah diwujudkan segera untuk membolehkan kanak-kanak tersebut menjalani pembelajaran seperti biasa.

``Perkara yang paling serius dan perlu diutamakan ialah masalah keselamatan kanak-kanak kerana kegiatan menculik, menjual dan melacurkan kanak-kanak telah mula dilakukan oleh sindiket tertentu,'' katanya.



--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise.

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest".




Yahoo! Groups Links

Kirim email ke