Tuhan Terlepas Satu Hari?
Oleh
Hafiz Firdaus Abdullah (www.al-firdaus.com)
"All aircraft this is
Medan Control. We just had an
earthquake. All systems
seems to be normal and Medan
airport is still
open." Demikianlah kata-kata pengawal
lalulintas udara pada
lebih kurang pukul lapan
setengah pagi pada 26
Disember 2004. Pada ketika itu
penulis sedang berada pada
ketinggian 36,000 kaki di
ruang udara kawalan Medan
Control dalam penerbangan
daripada Kuala
Lumpur ke Istanbul.
Mengganggap ia hanyalah
gempa bumi yang kecil, perkara
tersebut terlepas daripada
ingatan penulis sehingga
esok hari ketika menontot
BBC World News di bilik
hotel di Istanbul. Jelas
bahawa anggapan penulis
adalah salah. Gempa bumi
tersebut yang sebenarnya
berpusat di dasar lautan
di sebelah Barat kepulauan
Sumatra sebenarnya telah melahirkan ombak
besar
"Tsunami" yang
menghempas tebing hampir semua negara
di sekeliling Lautan India. Malah
ombak besar ini juga
mencecah sehingga ke
tebing negara Somalia di pantai
Timur benua Afrika.
Jumlah kehilangan nyawa
amatlah besar sehingga
mencapai lebih 100,000.
Dalam suasana memikirkan
kedahsyatan malapetaka
tersebut, tiba-tiba talifon
bimbit penulis berbunyi,
menandakan ada sebuah SMS. Ia
berbunyi:
Al-Qur'an, surah Mayram,
ayat 88-91: "Demi
sesungguhnya, kamu telah
melakukan satu perkara yang
besar salahnya! Langit
nyaris-nyaris pecah disebabkan
yang demikian dan bumi
pula nyaris-nyaris terbelah
(Tsunami 26 Disember),
serta gunung-ganang pun
nyaris-nyaris runtuh ranap
kerana mereka mendakwa
mengatakan: (Allah)
Ar-Rahman mempunyai anak (Hari
Natal 25 Disember)."
Sila sebarkan kepada orang ramai.
Penulis tersentak
seketika. Dalam suasana manusia
seluruh dunia sedang
bertungkus lumus menyelamatkan
mangsa ombak besar, ada
umat Islam yang sibuk mencari
ayat sebagai
"dalil" bagi peristiwa tersebut. Dalam
suasana manusia seluruh
dunia bergegas mensedekahkan
harta membantu mangsa, ada
umat Islam yang bergegas
mencari ayat sebagai dalil
untuk menjustifikasikan
peristiwa tersebut.
Penulis menjawab balik SMS
tersebut:
Tuhan menunggu lebih 1400
tahun untuk melaksanakan
ayat-Nya. Namun apabila
dilaksanakan, Tuhan terlepas
satu hari! Sila sebarkan
kepada orang ramai agar kita
sama-sama ketawa.
Sebenarnya SMS di atas
bukanlah perkara yang
terpencil. Ramai umat
Islam yang memiliki sifat angkuh
di dalam diri mereka di
mana dengan keangkuhan
tersebut mereka berkata
"padan muka" kepada mana-mana
kaum yang ditimpa musibah,
sekalipun kaum tersebut
seagama dengan mereka.
Sebelum ini apabila berlaku
banjir besar di Bangladesh, penulis
pernah mendengar
di antara umat Islam ada
yang berkata: "Itulah azab
Allah yang melanda. Orang
Bangla tu banyak yang tak
betul Islam mereka!"
Apabila berlaku gempa bumi di
bandar Bam di Iran yang
mengorbankan puluhan ribu
nyawa, ada di antara umat
Islam yang berkata: "Azab
Allah turun kerana mereka
itu orang Syi`ah yang
sesat!"
Semua ini adalah penyakit
umat Islam yang perlu
diubati segera.
Mencari-cari ayat bagi
menjustifikasikan sesuatu
musibah dan/atau menuduh
sesuatu musibah adalah
azab Allah kerana keburukan
sesuatu kaum merupakan
satu kesalahan yang amat besar.
Ini kerana:
1. Mereka menyalahgunakan
ayat-ayat Allah dengan
memaksa tafsirannya.
Mereka tidak menjadikan al-Qur'an
sebagai pemimpin,
sebaliknya merekalah yang memimpin
al-Qur'an agar secocok
dengan apa yang mereka
kehendaki.
2. Mereka menuduh
sekian-sekian kaum dengan sesuatu
keburukan tanpa sebarang
bukti yang kukuh di
sebaliknya. Asalkan
sesuatu kaum ditimpa musibah,
mereka menuduh kaum
tersebut sebagai telah melakukan
keburukan.
3. Mereka telah
memperkatakan sesuatu terhadap Allah
tanpa ilmu. Apabila mereka
berkata "Itulah azab
Allah", seolah-olah
mereka mewakili Allah dalam
menerangkan apa dan kenapa
sesuatu musibah itu
berlaku. Memang, semua
yang berlaku adalah dengan
kehendak Allah. Akan
tetapi kehendak Allah dipenuhi
dengan pelbagai sebab dan
hikmah di sebaliknya, jauh
berbeza dengan kehendak
manusia.
Untuk lebih mendalami poin
ketiga di atas, perlu
diketahui bahawa apabila
sesuatu musibah melanda
sesuatu kaum, ia memiliki
beberapa kemungkinan di
sebaliknya. Di antara
kemungkinan tersebut adalah:
1. Allah mengasihi kaum
tersebut dan ingin memberi
mereka satu peringatan
agar kembali kepada kebenaran.
2. Allah mengasihi kaum
tersebut dan musibah itu
sebenarnya sesuatu yang
baik bagi mereka dari pelbagai
sudut lain yang hanya
diketahui oleh Allah. Ini kerana
manusia hanya mampu
menilai sesuatu perkara secara
zahir. Apa yang manusia
pandang sebagai buruk mungkin
sebenarnya baik di sisi
Allah dan apa yang manusia
pandang sebagai baik
mungkin sebenarnya buruk di sisi
Allah.
3. Allah mengasihi kaum
tersebut dan ingin memberi
mereka kehidupan akhirat
yang mereka idam-idamkan.
Musibah yang menimpa
merupakan syahid kecil sebagai
ganti kepada syahid besar
yang diidam-idamkan oleh
para mujahidin.
4. Allah menjatuhkan
musibah kepada kaum tersebut
sebagai penghapus kepada
kesalahan yang mereka
lakukan. Kadar musibah
adalah selari dengan kadar dosa
mereka. Namun selepas itu
di Alam Barzakh dan
seterusnya, kaum tersebut
terbebas daripada apa-apa
azab.
5. Allah menjatuhkan
musibah kepada kaum tersebut
sebagai azab yang membalas
kesalahan yang mereka
lakukan. Oleh kerana kadar
kesalahan yang mereka
lakukan adalah besar, maka
azab tersebut berlanjutan
sehingga ke Alam Barzakh
dan seterusnya.
6. Allah ingin menguatkan
kaum tersebut, lalu
diberikan musibah sebagai
sesuatu yang dapat membina
jatidiri mereka.
7. Allah ingin menguji
kaum yang terselamat daripada
musibah, sama ada mereka
mensyukuri keselamatan yang
mereka peroleh atau
bersifat angkuh terhadapnya.
Sesiapa yang mensyukurinya
maka dia lulus ujian,
sesiapa yang bersikap
angkuh maka dia gagal ujian.
Apabila sesuau musibah
menimpa sesuatu kaum yang lain,
kita tidak dapat pastikan sama
ada ia disebabkan oleh
kemungkinan 1, 2, 3, 4, 5
atau 6 kerana semua itu
adalah hak Allah Subhanahu
wa Ta`ala. Kita juga tidak
boleh berkata bahawa
kemungkinan tersebut terhad
kepada 7 yang tersenarai
di atas sahaja. Apa yang
pasti ialah kemungkinan yang
ke-7 jatuh kepada kita
yang terselamat daripada
musibah, sama ada kita
mensyukurinya atau
bersikap angkuh terhadapnya.
Mensyukuri yang
dimaksudkan ialah bersyukur kepada
Allah Subhanahu wa Ta`ala
bahawa dia terselamat
daripada musibah tersebut.
Kesyukuran ini dilanjutkan
kepada membantu kaum yang
ditimpa musibah dengan apa
jua cara yang boleh
seperti bantuan kewangan, bantuan
harta benda, bantuan
kepakaran dan sebagainya.
Keangkuhan yang
dimaksudkan ialah bersifat angkuh
kononnya dia dipenuhi
dengan kebaikan sehingga
menganggap Allah telah
mengecualikan dia daripada
ditimpa musibah.
Keangkuhan ini dilanjutkan kepada
menuduh bahawa kaum yang
ditimpa musibah tersebut
memang layak menerimanya
kerana salah laku yang mereka
perbuat. Bahkan ini
mungkin dilanjutkan kepada
mengemukakan ayat-ayat
tertentu yang dipaksa
tafsirannya agar menepati
sebaik mungkin suasana
musibah yang menimpa.
Melalui penulisan yang
ringkas ini penulis ingin
mengajak diri penulis
sendiri dan para pembaca
sekalian agar menganalisa
diri kita sendiri. Marilah
kita berfikir, adakah kita
tergolong di kalangan
orang-orang yang bersyukur
kepada Allah kerana
terselamat daripada
musibah? Sudahkah kita
menterjemahkan kesyukuran
tersebut kepada menghulurkan
bantuan kepada mangsa yang
ditimpa musibah?
Marilah kita membanding
diri kita dengan umat-umat
daripada agama selain
Islam. Dalam suasana kita
berkata: "Itulah kaum
yang diturunkan azab Allah",
umat-umat agama lain
berkata: "Itulah kaum yang
sangat-sangat memerlukan
pertolongan". Dalam suasana
kita berkata: "Apakah
kesalahan yang dilakukan oleh
kaum tersebut sehingga
ditimpa musibah?", umat-umat
agama lain berkata:
"Apakah yang dapat kita lakukan
untuk membantu
mereka?" Dalam suasana kita sibuk
mencari ayat untuk
menjustifikasikan musibah yang
menimpa satu kaum,
umat-umat agama lain sibuk mencari
peralatan Search and
Rescue untuk dibawa bersama dalam
misi penyelamat.
Sungguh, sangat berbeza
sikap umat Islam berbanding
umat-umat agama lain.
Marilah dari saat ini kita
berubah sikap. Berubah bukan
sahaja ke tahap yang
menyamai umat-umat lain
tetapi melebihi mereka.
Bukankah berlumba-lumba
membuat kebaikan sesuatu yang
dituntut oleh Islam:
Dan bagi tiap-tiap umat
ada arah (kiblat) yang
masing-masing menujunya;
oleh itu berlumba-lumbalah
kamu mengerjakan kebaikan;
kerana di mana sahaja kamu
berada maka Allah tetap
akan membawa kamu semua
(berhimpun pada hari
kiamat untuk menerima balasan);
sesungguhnya Allah Maha
Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[al-Baqarah 2:148]
Dan kalau Allah
menghendaki nescaya Dia menjadikan
kamu satu umat (yang
bersatu dalam agama yang satu),
tetapi Dia hendak menguji
kamu (dalam menjalankan) apa
yang telah disampaikan
kepada kamu. Oleh itu
berlumba-lumbalah kamu
membuat kebaikan. Kepada Allah
jualah tempat kembali kamu
semuanya, maka Dia akan
memberitahu kamu apa yang
kamu berselisihan padanya.
[al-Maidah 5:48]
Disclaimer Note.
This
e-mail and any files transmitted with it is confidential and
intended
solely for the use of the individual or entity to whom it
is addressed.
If you are not the intended recipient, or the person
responsible
for delivering the e-mail, be advised that you have
received
this e-mail and any files transmitted with it in error and
that
any use, dissemination, forwarding, printing or copying of this
e-mail
and any files transmitted with it is strictly prohibited.
If
you have received this e-mail and any files transmitted with it in
error,
please advise the sender immediately by reply e-mail and delete
this
message. Thank you for your co-operation.