Mangsa Tsunami dijadikan keluarga angkat - Dr Harlina Tuesday, January 04 @ 14:02:37 MYT Oleh Roy Rasul KUALA LUMPUR, 4 Jan (Hrkh) - Dalam usaha untuk meringankan beban keluarga mangsa Tsunami, Wanita Jamaah Islah Malaysia (JIM) mengorak langkah dengan kempen keluarga angkat bagi setiap ahlinya. Ketua Wanita JIM, Dr Harlina Haliza Siraj berkata, setiap satu ahli wanita Jim akan mengambil satu keluarga yang menjadi mangsa dalam tragedi Tsunami tempohari sebagai keluarga angkat. Ini katanya, mereka yang diuji oleh Allah SWT dalam bencana Tsunami khasnya di Kedah dan Pulau Pinang memerlukan bantuan dalam tempoh sekurang-kurang lima tahun akan datang. Oleh sebab itu katanya, dalam meneruskan bantuan secara berpanjangan, Wanita Jim menjadikan mereka yang menjadi mangsa Tsunami pada 26 Disember lalu sebagai keluarga angkat. "Sebenarnya Wanita Jim berpandangan bahawa perancangan jangka panjang untuk mereka adalah perlu lagi pun pada adatnya, bantuan yang mencurah-curah sekarang ini mungkin hanya bertahan dalam masa empat hingga lima minggu ini sahaja," katanya. Katanya, disebabkan itu mereka perlu dibantu secara berpanjangan dan pendekatan yang diambil Wanita Jim, tidak akan hentikan bantuan dalam tempoh terdekat. "Sekarang ini mereka perlukan keperluan asas dan semangat untuk teruskan kehidupan contohnya seperti para nelayan yang kehilangan peralatan ke laut, malah kami akan berusaha membantu mereka secara berkesan umpamanya dalam pendidikan dan pekerjaan," katanya. Dalam pada itu, beliau berkata, Wanita Jim yang turun ke padang sejak hari kejadian menyumbang sebanyak 400 set kelengkapan solat iaitu telekung, sejadah, kain pelikat serta wang tunai. "Alhamdulillah objektif kami untuk membantu mereka di aspek 'material' dan 'spritual' dapat dilaksanakan dan sumbangan ikhlas Wanita Jim yang kami rasa cukup halus adalah sebagai salah satu mesej dakwah," katanya. Tambahan pula katanya, sumbangan yang disampaikan sendiri kepada mangsa terutamanya di Tanjung Bungah, Pulau Pinang dan Kuala Muda, Kedah paling bermakna kerana sentuhan hati mangsa dapat sama dirasai. "Apabila kita sendiri berjumpa mereka dan menyampaikan sumbangan kepuasan lebih dirasai daripada kita menyerahkan bantuan yang dikumpul kepada orang lain," katanya lagi. - mks. -------------------------------------------------------------------------- All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise. If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest". Yahoo! Groups Links
|
