Subject: Teladan Al-Quran Dari Kisah Nabi Nuh Alayhi As-Salaam 

        Tsunami: Teladan Al-Quran Dari Kisah Nabi Nuh Alayhi As-Salaam 
          
        Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh. 
          
        Pastinya bencana Tsunami mengingatkan kita kepada peristiwa taufan 
        dan banjir besar di zaman Nabi Allah Nuh Alayhi as-Salaam. Dengan 
        jumlah kematian yang begitu besar (mencecah lebih 120,000 orang), 
        mungkin ia menyamai jumlah mereka yang ditenggelamkan oleh banjir di 
        zaman Nuh Alayhi as-Salam. Ia adalah banjir yang meliputi 
        keseluruhan muka bumi dan pengetahuan tentang pernahnya berlaku 
        banjir besar itu, diiktiraf oleh semua tamadun manusia. 
          
        Sewajarnyalah kisah di zaman Nabi Nuh Alayhi as-Salaam itu dijadikan 
        iktibar. Ini adalah kerana, Allah SWT mengekalkan ingatan umat 
        manusia kepada peristiwa di zaman Nabi Nuh itu supaya ia terus 
        menjadi peringatan, amaran dan pengajaran bagi sekalian umat 
        manusia, mukmin dan kafir. Firman Allah SWT di dalam surah al- 
        Haaqqah ayat 11-12: 
          
        "Sesungguhnya ketika air banjir itu melampau-lampau limpahannya, 
        Kami telah damparkan kamu dengan selamat di dalam bahtera (Nabi Nuh) 
        itu. Agar dengan itu Kami jadikan peristiwa tersebut sebagai teladan 
        bagi kamu. Dan untuk didengar serta diambil ingat oleh telinga orang- 
        orang yang mahu menerima pengajaran" 
          
        Apabila saya meneliti beberapa potongan ayat al-Quran tentang 
        bencana di zaman Nabi Nuh Alayhi as-Salaam, saya mendapat kefahaman 
        bahawa ia tidak jauh berbeza dengan bencana Tsunami 26 Disember 
        lepas. Cuma mungkin berbeza dari segi skala kerana Tsunami yang 
        Allah SWT datangkan kepada kita hanya menelan manusia yang menghuni 
        daratan perairan Lautan Hindi, tidak segenap pelusuk bumi. 
        Renungilah ayat-ayat di dalam surah Hud ayat 40 - 41 berikut: 
          
        "Dan apabila datang hukum Kami untuk membinasakan mereka dan air 
        memancut-mancut dari muka bumi (faara at-tannur), Kami berfirman 
        kepada Nabi Nuh: Bawalah dalam bahtera itu dua dari tiap-tiap 
        sejenis haiwan (jantan dan betina) dan bawalah ahlimu kecuali orang 
        yang telah ditetapkan hukuman azab atasnya (disebabkan 
        kekufurannya), juga bawalah orang-orang beriman dan tidak ada orang- 
        orang yang beriman yang turut bersama-samanya, melainkan sedikit 
        sahaja. 
          
        Dan (ketika itu) berkatalah Nabi Nuh (kepada pengikut-pengikutnya 
        yang beriman): Naiklah kamu ke bahtera itu sambil berkata: Dengan 
        nama Allah bergerak lajunya dan berhentinya. Sesungguhnya Tuhanku 
        adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. " 
          
           Kemunculan banjir besar di zaman Nuh itu bermula dengan limpahan 
        air dari apa yang diistilahkan oleh al-Quran sebagai at-Tannur. At- 
        Tannur ini pada makna asalnya adalah ketuhar atau oven yang 
        digunakan untuk membakar roti. Ia dinamakan sedemikian rupa kerana 
        di dalam ketuhar tersebut api marak membakar menyala-nyala di 
        dalamnya. 
          
          
        Alangkah ganjilnya apabila kita cuba berfikir, bagaimana air keluar 
        melimpah dari ketuhar yang di dalamnya api menyala-nyala! 
          
          
          
          
        Sheikh Solah Abdul Fattah al-Khalidi di dalam kitabnya Al-Qasas Al- 
        Qurani: 'Ard Waqaa'ie' wa Tahlil Ahdaath [Darul Qalam 1419H / 1998M] 
        menyatakan bahawa hikmah Allah SWT di dalam hal ini amatlah besar. 
        Sesuatu yang diketahui umum, air berfungsi memadamkan api. Akan 
        tetapi jika api itu menyala-nyala di tengah air, bagaimanakah ia 
        boleh dipadamkan? Bagaimanakah api dan air boleh 'mesra' di dalam 
        ketuhar yang membakar itu? 
          
        Sesungguhnya fenomena seperti ini menggambarkan betapa miskinnya 
        qudrat manusia untuk memadamkan api yang menyala-nyala itu 
        sebagaimana mereka juga tidak mampu mengekang air yang melimpah- 
        limpah dari punca api tersebut. [mukasurat 191] 
          
        Saya melihat fenomena banjir dan ombak besar di zaman Nabi Nuh 
        Alayhi as-Salaam dan hubungkaitnya dengan 'ketuhar' itu dari satu 
        sudut lain yang mungkin boleh difikirkan bersama. Kita sama-sama 
        mengetahui bahawa ombak Tsunami ini dicetuskan oleh gempa bumi yang 
        berlaku di dasar Lautan Hindi berhampiran Sumatera. Gempa bumi ini 
        berkait rapat dengan Lingkaran Api Pasifik. Batu batan dan api yang 
        membara di perut bumi ini menjadikan kawasan terbabit tidak stabil 
        sehingga mencetuskan gelinciran benua dan jenis-jenis gempa bumi 
        yang lain. Dalam erti kata yang lain, seolah-oleh ombak besar 
        Tsunami ini datang dari ketuhar Lingkaran Api Pasifik yang saya 
        sebutkan sebentar tadi. 
          
        Bahkan ombak besar yang melanda bencana di zaman Nabi Allah Nuh 
        Alayhi as-Salaam itu juga lebih hebat dari Tsunami tempoh hari. Ia 
        digambarkan seperti gunung oleh Surah Hud ayat 42 - 43: 
          
          
        "Dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang 
        seperti gunung-ganang dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, 
        yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: Wahai 
        anakku, naiklah bersama-sama kami dan janganlah engkau tinggal 
        dengan orang-orang yang kafir. 
          
          
        Anaknya menjawab: Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang 
        dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelamkan oleh air. Nabi Nuh 
        berkata: Hari ini tidak ada sesuatupun yang akan dapat melindungi 
        dari azab Allah, kecuali orang yang dikasihani olehNya dan dengan 
        serta-merta ombak itu pun memisahkan antara keduanya, lalu 
        menjadilah dia (anak yang derhaka itu) dari orang-orang yang 
        ditenggelamkan oleh taufan. " 
          
        Namun bagi kita hari ini, bagaimanakah sepatutnya kita mengambil 
        pengiktibaran daripada bencana Tsunami tempoh hari? Apakah hanya 
        dengan berfikir tentang usaha mengadakan sistem amaran awal semata- 
        mata? 
          
        Kita bernasib baik kerana Tsunami itu tidak menelan semua sekali 
        bahkan Malaysia mengalami keajaiban apabila angka kematiannya begitu 
        kecil berbanding dengan negara jiran Acheh. Allah masih mengizinkan 
        kita untuk bermuhasabah dan tidak membinasakan kita semua dengan 
        suatu bencana yang tidak hanya menimpa golongan yang zalim semata- 
        mata. Firman Allah SWT: 
          
        "Dan takutlah kamu kepada bencana yang tidak hanya menimpa golongan 
        yang zalim semata-mata dari kalangan kamu secara khusus" (Al-Anfaal: 
        25) 
          
        Tsunami tidak menelan Pesta Pulau Pinang di Sungai Nibong. Tsunami 
        tidak mengundang rebah Flat Pekeliling di Kuala Lumpur walaupun 
        gegarannya cukup kuat untuk mendesak penghuninya lari bertempiaran. 
        Tsunami ini belum seperti 'Tsunami di zaman Nuh Alayhi as-Salaam'. 
          
        Photograph courtesy of the Pacific Tsunami Museum in Hilo, Hawai`i 
          
        Pertamanya, terimalah hakikat bahawa bencana ini bukan 'kejadian 
        alam tanpa sebab'. Ia adalah amaran Allah. Ia adalah peringatan yang 
        maha menakutkan. Tsunami menelan Acheh yang menyaksikan penindasan 
        pemerintah yang membunuh jutaan penduduk yang mahukan Acheh berdiri 
        bebas merdeka. Bukit bukau di Acheh menjadi gunung kubur manusia 
        yang dibunuh kejam. Tsunami menelan Selatan Thailand yang baru 
        sahaja bermandi darah Muslim Tak Bai, Masjid Kerisik dan sebagainya. 
        Thailand itu juga menyajikan industri seks sebagai tarikan pelancong 
        ke Phuket dan lain-lain. Tsunami membaham warga Pulau Pinang yang 
        saban malam berpesta mungkar di Sungai Nibong. Tsunami juga memamah 
        Pulau Pinang yang menjadi sarang pengedaran dadah, sarang pelacuran, 
        sarang segala jenis kemungkaran dan sarang sampah! 
          
        Tsunami juga menelan Sri Langka dan India yang menjadi pentas 
        tradisi menyembelih umat Islam. Tsunami juga menelan Maldives yang 
        menjadi destinasi pelancongan pengunjung warga Barat sehinggakan 
        nilai Islamnya langsung tenggelam tidak kelihatan. Sesungguhnya 
        Tsunami menelan tanah air dan anak watan yang begitu peri lakunya. 
        Amat pedih untuk menyebut hakikat ini, namun kita perlu akur. 
        Janganlah terlalu saintifik sehingga tidak sudi memikirkan hakikat 
        ini. Tiada kerosakan yang berlaku di muka bumi ini kecuali dengan 
        asbab. Firman Allah SWT di dalam surah Ar-Rum ayat 41: 
          
        "Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di 
        laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; 
        (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka 
        sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah 
        lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)" 
          
        Seterusnya, ingatlah kembali kepada apa yang telah saya sebutkan di 
        awal tadi, bahawa Allah SWT mengekalkan kisah ini di dalam ingatan 
        sekalian manusia, agar kita semua mengambil peringatan. 
          
        Qatadah telah menyebut sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam al- 
        Bukhari [Sahih al-Bukhari nombor 4869], "Allah SWT telah mengekalkan 
        kapal Nuh supaya ia sampai kepada pengetahuan generasi awal umat 
        ini". 
          
        Sebagai penutup, renungilah wasiat Nabi Nuh Alayhi as-Salaam kepada 
        anak-anaknya yang beriman sebelum Baginda wafat pulang kepada Allah. 
          
        Imam Ahmad dan al-Bayhaqi telah meriwayatkan daripada Abdullah 
        bin 'Amr bin al-'Aas Radhiyallahu 'anhuma, beliau berkata: 
          
        Suatu ketika kami sedang bersama-sama dengan Rasulullah SAW. 
        Kemudian datang seorang lelaki dari pedalaman yang memakai jubah 
        besar berwarna hijau (Seehan) dan dihiasi dengan sutera. Lalu 
        Rasulullah SAW berkata: 
          
        "Sesungguhnya sahabat kamu ini telah meninggalkan setiap pahlawan 
        berkuda anak pahlawan berkuda serta mengangkat setiap pengembala 
        anak pengembala! (Pakaian yang melambangkan keangkuhan pemakainya)" 
        Lalu Baginda SAW memegang jubah lelaki tersebut dan berkata 
        kepadanya "Aku melihat engkau memakai pakaian orang yang tidak 
        berakal!" Kemudian Rasulullah SAW berkata lagi "Sesungguhnya Nabi 
        Allah Nuh Alayhi as-Salaam ketika nazak menghadapi kematian, beliau 
        berkata kepada anaknya: 
          
        "Sesungguhnya aku mahu meninggalkan wasiat kepada kamu. Aku 
        perintahkan kepada kamu dua perkara dan aku tegah kamu daripada dua 
        perkara. Aku perintahkan kamu dengan Laa Ilaaha IllaLlaah. 
        Sesungguhnya jika tujuh petala langit dan bumi diletakkan di suatu 
        timbangan dan Laa Ilaaha IllaLlaah diletakkan di suatu timbangan 
        yang lain, nescaya Laa Ilaaha IllaLlaah itu lebih berat. Seandainya 
        tujuh petala langit dan bumi itu suatu rangkaian yang samar dan 
        rapuh, ia terjalin kukuh dan kemas dengan Laa Ilaaha IllaLlaah. 
          
        Aku juga memerintahkan kamu dengan Tasbih dan Takbir. Sesungguhnya 
        dengan demikian terhasil kesejahteraan setiap sesuatu dan dengannya 
        jua makhluk dikurniakan rezeki. 
          
        Aku tegah kamu dari Syirik dan Kibr (takabbur)" 
          
        Sahabat bertanya, Ya Rasulallah, sesungguhnya Syirik itu telah kami 
        arif mengenainya. Namun, apakah yang dimaksudkan dengan Kibr? Adakah 
        menjadi Kibr jika seseorang itu memakai sepasang kasut yang baik 
        dengan talinya yang baik? 
          
        Rasulullah SAW menjawab, "Tidak" 
          
        Kata Sahabat berkenaan, atau apakah dengan seseorang itu mempunyai 
        perhiasan dan beliau memakainya (lalu dianggap Kibr)? 
          
        Rasulullah SAW menjawab, "Tidak" 
          
        Kata Sahabat berkenaan lagi, atau apakah seseorang itu mempunyai 
        haiwan tunggangan dan beliau menunggangnya (lalu dianggap Kibr)? 
          
        Rasulullah SAW menjawab, "Tidak" 
          
        Kata Sahabat tersebut, atau adakah jika sesiapa di kalangan kami 
        mempunyai ramai teman dan beliau duduk bersama mereka (lalu dianggap 
        Kibr)? 
          
        Rasulullah SAW menjawab, "Tidak" 
          
        Lalu Sahabat tersebut bertanya, kalaulah begitu ya Rasulallah, maka 
        apakah sebenarnya Kibr itu? 
          
        Nabi SAW menjawab, "Al-Kibr itu ialah meremeh-temehkan kebenaran 
        (safah al-haq) dan menindas manusia (ghamth an-Naas)!" 
          
        [Dikeluarkan oleh Ahmad di dalam al-Musnad 2: 169, 170, 225. Dan 
        oleh al-Bayhaqi di dalam al-Asmaa' wa as-Sifaat: 79] 
          
        Inilah pesanan Nabi Allah Nuh Alayhi as-Salaam kepada anaknya 
        sebelum wafat. Dan kita ini semua adalah cucu cicitnya Baginda. 
        Terimalah nasihat ini sebagai peringatan. 
          
        Sesungguhnya Tauhid dan Kalimah Tauhid adalah sebesar-besar perkara 
        di dalam hidup ini. Menjadikan ia sebagai fokus diri, dan seterusnya 
        disempurnakan pula dengan Takbir membesarkan Allah dan Tasbih 
        mensucikanNya pada lisan dan perbuatan. Syirik yang muncul dengan 
        pelbagai versi di dalam kehidupan kita hari ini bersama perbuatan 
        angkuh, bongkak, takabbur atau Kibr itu pula hendaklah dijauhi. 
        Sesungguhnya Syirik dan takabbur itu telah menjadi syiar dan cara 
        hidup ramai manusia pada hari ini. 
          
          
        MAYAT-mayat mangsa kejadian gempa bumi dan ombak besar tsunami masih 
        bergelimpangan serta terapung-apung pada permukaan air yang 
        bercampur-baur dengan sampah sarap di Banda Aceh, Indonesia 
        semalam. - Gambar Reuters Manusia angkuh dengan Allah, orang ramai 
        bongkak dengan hukum hakamNya, malah masih berani berpesta di Sungai 
        Nibong walaupun bencana Tsunami hanya beberapa kilometer jaraknya. 
        Selepas teguran dibuat oleh Mufti dan orang ramai, TV3 masih tidak 
        segan silu meneruskan silsilah Konsert Sure Heboh yang hanya 
        mengukuhkan lagi hedonisma sebagai rukun kehidupan masyarakat 
        sekarang. Tidakkah sikap begini bermaksud memperlekehkan kebenaran? 
        Bukankah sikap ini yang terpilih menjadi amaran Nabi Allah Nuh yang 
        menyaksikan umatnya ditenggelamkan 'Tsunami'? 
          
        Apabila masyarakat kita diperingatkan oleh alim Ulama dengan 
        kebenaran, ramai yang gembira mempersendakan kebenaran tersebut. 
        Ramai yang memperlekehkan ayat-ayat Allah tanpa segan silu. Bahkan 
        dengan sifat jelek seperti itu, tidak hairan jika ramai pula yang 
        zalim, menindas sesama manusia sama ada dengan kuasa, akta, mahu pun 
        sikap dan tanduk di peringkat individu. 
          
          
        Apakah kita mahu menunggu sehingga bumi Malaysia tersenak hidung 
        dengan gelimpangan mayat seperti di Acheh, baru mahu tersentak dari 
        kelekaan semua dan selama ini? Tepuk dada tanyalah iman... 
          
            " Apakah penduduk negeri itu merasakan aman dari bala Allah pada 
        waktu malam ketika mereka sedang tidur. Apakah penduduk negeri itu 
        merasa aman dari bala Allah pada waktu pagi sedang mereka bermain 
        atau bekerja. Apakah mereka merasa aman dari azab Allah(jadi mereka 
        boleh hidup berseronok hingga melanggar hukum Allah). Tidaklah yang 
        merasa aman dari azab Allah melainkan orang yang rugi." (Al-A'raaf 
        98-99) 



------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> 
Has someone you know been affected by illness or disease?
Network for Good is THE place to support health awareness efforts!
http://us.click.yahoo.com/UwRTUD/UOnJAA/i1hLAA/TXWolB/TM
--------------------------------------------------------------------~-> 

--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in 
any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved 
otherwise. 

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily 
digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your 
mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the 
title "change to daily digest".  
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/hidayahnet/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 



Kirim email ke