``Kami tidak tergamak menyerang...,'' - GAM


TEUKU Mucksalmina ketika ditemui wartawan AP di tempat persembunyiannya di utara Sumatera, semalam. - Gambar AP.

ACEH BESAR, Indonesia 18 Jan. - Seorang komander Gerakan Aceh Merdeka (GAM), Teuku Mucksalmina semalam berkata, mereka tidak akan menyerang para pekerja bantuan asing yang sedang memberi bantuan kemanusiaan kepada `kaum keluarga' mereka sendiri di wilayah itu.

``Tragedi itu menyebabkan ibu-ibu, isteri-isteri dan anak-anak kami menjadi mangsa dan sangat-sangat memerlukan bantuan.

``Jadi mana mungkin kami tergamak menyerang konvoi-konvoi bantuan yang bertujuan untuk membantu mereka malah kami merayu pihak asing agar tidak meninggalkan Aceh kerana penduduk di sini sedang menderita dan memerlukan mereka,'' katanya.

Teuku Mucksalmina berkata demikian sewaktu ditemui di tempat persembunyian GAM yang terletak di kawasan hutan, kira-kira dua jam perjalanan dengan kereta dari Banda Aceh.

Beliau kelihatan begitu emosional sewaktu melahirkan kesedihan berhubung apa yang berlaku terhadap penduduk Aceh yang menjadi miskin dalam sekelip masa akibat tragedi tersebut.

Tentera Indonesia pada minggu lalu mendakwa bahawa mereka terpaksa menyediakan kawalan keselamatan kepada konvoi-konvoi asing yang memberi bantuan di luar Banda Aceh kerana bimbang kemungkinan serangan GAM.

``Tentera Indonesia sebenarnya yang takut kepada orang asing kerana mereka bimbang akan dikritik hebat setelah orang luar menyaksikan apa yang berlaku di Aceh,'' kata Teuku Mucksalmina, 31, yang mendakwa menyertai GAM sejak berusia 13 tahun.

Katanya, pasukan beliau tidak perlu menyerbu konvoi-konvoi bantuan kerana mereka telah membeli bekalan makanan untuk tempoh setahun sebelum tragedi tsunami itu.

Malah katanya, mereka sanggup berkongsi bahan-bahan makanan itu dengan mangsa dan bersedia untuk keluar dari tempat persembunyian bagi mengagihkan bekalan mereka.

``Bagaimanapun pihak tentera meneruskan operasi dan menggempur kami setiap hari dan saya kehilangan dua orang pengikut pada 29 Disember lalu.

``Keadaan itu menyebabkan kami mengambil keputusan untuk tidak keluar dari pangkalan dan semua pejuang diarahkan menembak hanya untuk mempertahankan diri,'' kata beliau lagi. - AP

Presiden arah henti kira mayat

JAKARTA 18 Jan. - Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono telah mengarahkan supaya kerja-kerja mengira mangsa bencana tsunami yang terbunuh dalam kejadian pada 26 Disember lalu di negara itu dihentikan serta-merta.

Jurucakap Kementerian Hal Ehwal Sosial berkata, jumlah sebenar mereka yang terbunuh dalam bencana itu tidak dapat disahkan buat masa ini walaupun angka korban dianggarkan mencecah beratus ribu orang.

Katanya, hal tersebut berlaku kerana banyak mayat mangsa yang tidak dikenal pasti telah dikebumikan bagi mengelak penyebaran penyakit berjangkit.

``Ketua Pengarah Kementerian memaklumkan kepada kami bahawa Presiden telah mengarahkan agar kerja-kerja mengira mangsa korban tsunami dihentikan.

``Susilo turut mengarahkan supaya pihak kementerian memfokuskan kepada proses pengumpulan data mengenai mangsa yang terselamat daripada mengira mayat mangsa,'' jelasnya.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan menjelaskan bahawa pihaknya telah menghentikan kiraan mangsa yang terkorban sejak beberapa hari lalu.

Beratus-ratus ribu nyawa di beberapa buah negara Asia dan Afrika terkorban dalam kejadian gempa bumi sekuat 9.0 pada skala Richter di dasar laut berdekatan Sumatera yang menghasilkan ombak besar tsunami pada 26 Disember lalu.

Angka kematian tertinggi dicatatkan berlaku di wilayah Aceh yang musnah teruk dalam kejadian berkenaan. - AFP

PBB pelik negara kaya kedekut

KOBE, Jepun 18 Jan. - Ketua penyelaras bantuan kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Jan Egeland hari ini mendakwa bahawa banyak `negara kaya baru' tidak memberi sumbangan sepatutnya kepada usaha kemanusiaan selepas mereka menjadi kaya.

``Saya rasa agak pelik kerana penyumbang utama kepada bantuan kemanusiaan antarabangsa hanya terdiri daripada 10 hingga 15 buah negara sahaja iaitu negara-negara yang sama sejak 10 tahun lalu.

``Saya sebenarnya menjangka lebih banyak negara yang kini semakin kaya, terutama dari Asia, rantau Teluk, Eropah Timur dan Amerika Latin akan tampil memberi sumbangan yang lebih menarik kepada PBB,'' kata Egeland.

Menurutnya, setakat ini beliau melihat wujud jurang dalam bentuk bantuan luar di antara `negara kaya lama dan negara kaya baru.'

``Sepatutnya apabila semakin banyak negara menjadi lebih kaya ketika ini, kita mampu memberi bantuan dan makanan kepada lebih ramai kanak-kanak di seluruh dunia.

``Bagaimanapun keadaan itu tidak berlaku kerana hanya negara yang sama sahaja menghulurkan bantuan sedangkan negara kaya baru tidak berbuat demikian atau hanya menyumbang terlalu sedikit,'' tegasnya.

Rakyat Norway itu menjadi tokoh penting dalam operasi bantuan selepas tragedi ombak tsunami pada 26 Disember lalu.

Kenyataan beliau bahawa negara-negara kaya menjadi semakin kedekut telah membuka mata banyak negara sehingga semakin banyak negara menjanjikan bantuan bernilai berbilion-bilion dolar untuk membantu membangunkan semula negara yang dilanda bencana alam itu.

Sementara itu ketika ditanya mengenai peranan China yang semakin berkembang sebagai negara penyumbang, Egeland berkata, Beijing boleh memainkan peranan yang lebih penting dan beliau gembira melihat perkembangan tersebut.

Bagaimanapun katanya, China dan India juga mempunyai masalah sendiri iaitu masih banyak wilayah yang belum membangun dan kedua-dua negara itu perlu memberi keutamaan kepada masalah dalaman mereka sendiri. - AFP


Do you Yahoo!?
Read only the mail you want - Yahoo! Mail SpamGuard.

--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise.

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest".




Yahoo! Groups Links

Kirim email ke