Isu Jawi: 'Orang Islam juga punya hak'
Tuesday, February 08 @ 16:53:48 MYT


Oleh Mohd Azmi Abdul Hamid
(Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu - Teras)

SERBUAN di sebuah pub di Jalan Ampang di Kuala Lumpur baru-baru ini mencetuskan protes bertubi-tubi daripada golongan 'penjaga Islam liberal' dan 'pemuliharaan hak asasi', Dr Farish A Noor dan Sisters In Islam (SIS) dan 'penjaga'(guardians) yang lain dengan keras mengkritik Jawi yang telah menguatkuasakan Undang-Undang Kesalahan Syariah.

Pegawai-pegawai penguatkuasa telah diburuk-burukkan dan diberi gambaran menakutkan sebagai golongan 'fasis agama' yang dituduh bertindak seperti Gestapo. Malah ada yang menggesa orang Islam keluar daripada Islam sebagai protes terhadap Jawi.

Apa yang telah memprovokasi reaksi yang bersifat kecaman ini daripada 'penjaga-penjaga' ini? Pegawai-pegawai Jawi itu telah membuat serbuan ke sebuah pub dan menahan 100 orang anak muda Islam yang disyaki meminum arak dan bertingkah laku secara tidak bermoral yang bercanggah dengan hukum syarak di tempat terbuka.

Ini adalah kesalahan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah. Selepas dibebaskan, sebahagian daripada mereka yang disyaki oleh pegawai Jawi itu telah menuduh pegawai-pegawai tersebut sebagai bertindak 'terlalu berlebihan', 'menyalah guna kuasa','kasar' dan bertindak 'seperti samseng' secara tindakan yang 'angkuh'.

Tuduhan-tuduhan mereka yang disyaki ini telah diberi publisiti secara meluas oleh surat khabar arus perdana. 'Penjaga-penjaga' ini dan pihak media telah mengutuk pegawai-pegawai penguatkuasa dan Jawi sendiri berasaskan dakwaan-dakwaan tanpa mendengar dan memberi peluang laporan di pihak pegawai-pegawai itu sendiri.

Dalam keghairahan mereka untuk menyerang dan cuba menjejaskan kredibiliti Syariah, 'penjaga-penjaga hak asasi manusia' itu telah mengenepikan hak pegawai-pegawai Jawi untuk didengari sebelum kecaman ditujukan kepada mereka, padahal ini juga adalah hak asasi manusia.

Pegawai-pegawai itu telah bertindak di bawah kuasa-kuasa yang diberi kepada mereka oleh peruntukan undang-undang dan jika mereka didapati melampaui dan menyalah guna kuasa itu, ada saluran undang-undang untuk mereka diambil tindakan. Oleh itu, apakah sebabnya publisiti terhadap isu ini diberi sebegitu meluas sehingga Kabinet akan membincangkan perkara ini dan akan mengeluarkan kenyataan?

Agenda 'penjaga-penjaga' ini bukan untuk mendakwa pegawai-pegawai tersebut mengenai tuduhan mereka menyalahguna kuasa tetapi adalah untuk menghalang penguatkuasaan undang-undang Syariah terhadap orang Islam. Ini adalah sama dengan agenda Amerika Syarikat untuk mengubah Islam dan menjadikan Islam hanya sebagai agama urusan peribadi semata-mata.

Sebuah akhbar harian arus perdana yang mempunyai akses kepada kuasa telah menyiarkan tulisan lidah pengarang: 'Jika ada suatu keinginan sungguh-sungguh oleh majoriti orang-orang Islam supaya mahu kepada Islam yang lebih toleran, liberal dan progresif, mereka mesti lakukan tindakan lebih dari hanya protes terhadap layanan yang tidak wajar ke atas mereka yang ditahan......apa yang perlu, ialah suatu penyemakan semula terhadap pentafsiran dan pelaksanaan Islam di negara ini yang telah dicorakkan oleh nilai-nilai dan pandangan pemikir-pemikir ortodoks'. Presiden Bush dan pentadbirannya juga komited untuk mentafsir semula Islam agar menjadi 'lebih toleran, liberal dan progresif'.

Dalam kenyataan akhbar, Zainah Anwar, orang kuat SIS telah mengatakan undang-undang di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah, bukan hanya bertentangan dengan perlembagaan tetapi juga adalah tidak Islamik. Beliau tidak memberi sebarang sebab untuk menyokong pendapatnya. Jika Enakmmen ini melanggar Perlembagaan Persekutuan, maka, SIS, sebagai juara 'Islam Liberal', sepatutnya meminta Mahkamah Persekutuan untuk mengeluarkan keputusan terhadap kesahihan Enakmen tersebut dan bukan hanya memberi pandangan yang tidak bersandar kepada hujah di dalam media yang akan hanya mengelirukan masyarakat awam.

Zainah mendakwa banyak bahagian-bahagian di dalam Enakmen 'tidak ada asas perundangan Islam, baki secara teori mahupun amalan'. Beliau tidak pun menyebutkan bahagian-bahagian yang dimaksudkan itu tetapi telah membuat kenyataan rambang mengenai kesahihan Enakmen itu tanpa sebarang bukti untuk menyokong kenyataannya.

Enakmen tersebut yang berasaskan syariah, mengandungi antara lain, peruntukan yang berkait dengan kesalahan sumbang mahram, zina, homoseks, lesbian, pelacuran, minum arak dan berperangai tidak senonoh di khalayak ramai. Kebanyakan kesalahan ini adalah juga kesalahan di bawah undang-undang sekular dalam Kanun Jenayah.

Adakah perkara ini tidak mempunyai asas dalam teori dan amalan undang-undang Islam? Adakah Zainah dan SIS mahu mentafsir semula Islam untuk menjadikan hal-hal tersebut sebagai halal (tidak bercanggah dengan undang-undang), yang merupakan kesalahan-kesalahan di bawah Syariah? Jika ini adalah niat beliau dan SIS, maka, mereka mesti telus dan menjelaskan kepada masyarakat awam mengenai skop dan kesan dari pentafsiran semula mereka itu serta asasnya di dalam al-Quran dan Hadith.

Ada juga yang memberi pendapat bahawa penguatkuasaan kesalahan undang-undang Syariah adalah bertentangan dengan agenda 'Islam Hadahari' untuk mempromosi 'Islam Progresif dan Islam Moderat'. Kabinet, setelah berbincang mengenai seruan yang kontroversi ini dilaporkan telah membuat pendirian bahawa Malaysia tidak perlu kepada polis moral untuk menguatkuasakan moral dan bahawa moral sepatutnya menjadi tanggungjawab keluarga.

Kabinet mesti menjelaskan laporan ini kerana jika ini benar, bermakna is mempunyai implikasi yangs serius kepada Islam dan moral masyarakat. Ia bermakna sumbang mahram, zina, homoseks dan pelacuran yang merupakan kesalahan-kesalahan berasaskan moral akan diterima sebagai tingkah laku yang tidak menyalahi undang-undang dan dengan itu tidak boleh dihukum.

Beberapa orang Islam telah mengkritik bukan sahaja pegawai-pegawai Jawi yang dituduh menyalahi undang-undang, tetapi juga telah mengkritik undang-undang kesalahan Syariah itu sendiri. Mereka mengusulkan supaya undang-undang jenayah hendaklah diasing dan dipisahkan daripada persoalan moral. Bagaimana kita boleh berbuat demikian sedangkan moral adalah asas kepada undang-undang jenayah?

Orang-orang Islam tidak takut kepada kritik daripada orang bukan Islam. Sejak beribu tahun Islam telah disalahfahami dan Rasulullah (s.a.w.) diburuk-burukkan oleh orientalis Barat. Tetapi Islam tetap wujud dan berkembang. Apa yang mereka kehendaki dari rakan-rakan bukan Islam adalah supaya mereka berusaha dan memahami keprihatinan masyarakat Islam.

Masyarakat Islam sangat khuatir terhadap keruntuhan niali-nilai moral dan agama yang sangat kencang berlaku dewasa ini, khususnya di kalangan anak-anak muda, akibat dari asakan budaya konsumer dan gaya hidup hedonistik Barat. Ia dimanifestasikan dalam bentuk meningkatnya jenayah seperti rogol, sumbang mahram, penyalahgunaan dadah, arak dan runtuhnya institusi keluarga.

Suatu pendekatan yang menyeluruh termasuk pendidikan kaunseling dan undang-undang diperlukan untuk menangani maslah-masalah ini. Undang-undang mengenai kesalahan Syariah hanyalah satu komponen dari pendekatan ini. Oleh itu, suara 'penjaga-penjaga' tersebut yang memburuk-burukkan undang-undang Syariah adalah tidak berasas dan disebabkan oleh prasangka mereka terhadap Syariah akibat dari pendidikan Barat yang mereka terima.

Tamadun sekular Barat -berakar kepada individualism, materialism, konsumerism dan gaya hidup hedonistik - telah mengakibatkan kemusnahan alam sekitar, sosial dan hubungan keluarga yang payah untuk dipulih. Ia tidak boleh memenuhi keperluan material dan spiritual majoriti masyarakat termasuk orang Islam. Hegemoni sistem ilmu Barat dan institusinya sedang dicabar dan ada pihak-pihak yang sedang mencari alternatif.

Orang Islam berpegang kepada Islam sebagai penyelesai kepada masalah-masalah yang dihadapi oleh manusia moden. Mereka sedang bercita-cita untuk membina sebuah tamadun yang berasaskan ajaran al-Quran dan Hadith tanpa mengganggu hak-hak orang lain. Orang bukan Islam seharusnya menghormati hak asasi umat Islam untuk hidup berpandukan kepercayaan mereka dan hak ini tidak harus di halang atau diganggu. - mks.


ALL-NEW Yahoo! Messenger - all new features - even more fun!

--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise.

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest".



Yahoo! Groups Sponsor
ADVERTISEMENT


Yahoo! Groups Links

Kirim email ke