Oleh Roy Rasul
KUALA LUMPUR, 23 Feb (Hrkh) - Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Dr Mohamad Khir Toyo, sewajarnya merasa malu, bertanggungjawab dan sekaligus perlu meletak jawatan akibat pendedahan mengenai masalah di Bukit Cahaya Alam.
Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ustaz Idris Ahmad menegaskan, pendedahan mengenai masalah pembangunan dan ketidakseimbangan ekologi yang berlaku di Taman pertanian Bukit Cahaya Seri Alam, Shah Alam Selangor merupakan gambaran sebenar kelemahan dan penyelewengan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) Selangor di bawah pimpinan Dr Khir.
Baru-baru ini media perdana mendedahkan Taman Pertanian Bukit Cahaya Seri Alam yang diwujudkan pada tahun 1986 menghadapi kemusnahan ekologi setelah dihimpit pembangunan di sekitarnya.
Taman seluas 800 hektar itu, dilaporkan hampir menjadi pulau kerana kawasan tersebut rata-rata dibangunkan sebagai kawasan perumahan.
Sehubungan itu, Idris berkata, kelemahan pentadbiran Khir kini bukan lagi satu beban kepada rakyat Selangor, tetapi menjadi beban kepada kerajaan pusat.
"Dr Khir selama ini sering kali mendakwa kerajaan BN akan membawa Selangor menjadi negeri maju pada akhir tahun ini tetapi ternyata tidak menggambarkan keadaan sebenar," katanya.
Justeru itu katanya, tarikh pengisytiharan Selangor sebagai negari maju pada akhir Ogos nanti patut ditangguhkan di atas kelemahan pentadbirannya.
Malah katanya, ini bukan kali pertama berlaku kelemahan dan kepincangan dalam pentadbiran kerajaan BN di Selangor semenjak Dr Khir mentadbir negeri tersebut.
"Sebelum ini beliau didedahkan terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa, diikuti oleh pembukaan tanah secara haram oleh pendatang asing di Gombak, isu kegagalan Perbadanan Urusan Air Selangor (Puas) menyediakan air bersih, kecurian pasir dan sebagainya," dakwanya.
Kelemahan tersebut katanya, menggambarkan Selangor masih berada di paras negeri mundur dan tidak layak digelar negeri maju.
Katanya lagi,terbongkarnya isu pembangunan tidak terkawal di taman pertanian itu, menjelaskan lagi bahawa BN gagal mentadbir Selangor secara berkesan untuk ke arah negeri maju.
Malah katanya, apa yang berlaku di taman pertanian itu seolah-olah menggambarkan kerajaan BN Selangor tidak mengetahui dan tidak memantau proses pembangunan.
"Lebih teruk, bagaimana kerajaan boleh meluluskan projek pembangunan yang begitu besar di sekitar kawasan tersebut, sedangkan ia merupakan sebuah kawasan yang perlu dilindungi ekologinya," katanya sambil mengulangi Dr Khir perlu melepaskan jawatannya. - mks.