Oleh : Zulkifli Mohamed
BUKIT MERTAJAM- 2 Mac: “Saya mencabar kerajaan membenarkan pihak
penguatkuasa Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) mendedahkan kertas
siasatannya tanpa pindaan, termasuk menyiarkan sekali gambar-gambar suasana
keadaan malam itu, yang melibatkan penangkapan artis Jeslina Hashim iaitu anak saudara
Datuk Shahrizat Jalil.”
Demikian
cabaran Mahfuz Omar (gambar), AJK PAS Pusat, ketika menyampaikan ceramah
bertajuk “Hadharah bukan Hadhari” di Galeri Pejuang, Cherok Tokkun,
semalam.
Gesaan Mahfuz itu, berikutan tindakan JAWI yang menarik balik saman terhadap
100 pengunjung kelab malam The Zouk, Ampang yang dipercayai mengadakan pesta
arak di kelab itu pada 13 Januari lalu.
Soal beliau, “Apakah Islam Hadhari tajaan Umno menganggap tindakan JAWI
menahan umat Islam yang meminum arak dan berkelakuan tidak senonoh itu
salah?”
Jelasnya, jika benar Islam Hadhari meletakkan keimanan dan ketakwaan iaitu di
antara sepuluh prinsip asas pelaksanaannya, tentulah tidak berlaku pembatalan
saman oleh pihak JAWI.
Sepatutnya, katanya biarlah mahkamah tentukan sama ada tindakan JAWI itu salah
atau tidak, bukannya pemimpin Umno bertindak menyalahkan JAWI.
Sebab itu, katanya, Islam Hadhari hanyalah satu istilah untuk mengelirukan
orang Melayu bagi mengekalkan sokongan kepada Umno, dan bukannya untuk memandu
rakyat ke arah Islam sebenar.
Isu penangkapan 100 pengunjung Islam di “The Zouk” oleh JAWI
mendapat bantahan keras pemimpin Umno, antaranya oleh Datuk Shahrizat Jalil,
Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga, Noraini Ahmad, Ketua Puteri Umno, dan
Zainah Anwar; Sisters In Islam.
Ustaz
Sidek Noor (gambar), yang turut berucap sebelum itu, menganggap Islam Hadhari
bertujuan menghalang kemaraan Islam di negara ini yang dipelopori PAS. Beliau
selaku AJK PAS Perak, turut menyoal keikhlasan kerajaan memperkenalkan konsep
itu.
“Tidak ada satupun kelab malam, premis judi atau kilang arak yang ditutup
atau dikurangkan. Yang ada, maksiat semakin bertambah sejak Islam Hadhari
diperkenalkan,” katanya.
Sementara itu ketika bercakap kepada Malaysia Today berkaitan cadangan
penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (IFC), Mahfuz menjelaskan,
“Saya bersetuju dengan pandangan Datuk Abdullah Mohd Zin, Menteri di
Jabatan Perdana Menteri yang tidak bersetuju dengan penubuhan IFC. Tetapi dalam
masa yang sama, kita sentiasa mengalu-alukan program dialog antara agama dan
program silang budaya antara pelbagai kaum di negara ini.”
Menurutnya lagi, apabila Perdana Menteri meminta ditangguhkan, bermaksud beliau
tidak peka dengan bantahan oleh pertubuhan-pertubuhan Islam di negara ini dan
bercanggah dengan kenyataan menteri yang menjaga hal ehwal Islam di negara
kita. Beliau perlu tegas dalam hal ini.