Khinzirophobia, arak halal dan judi lagi halal!



Maszlee Malik







   Usai pendedahan PPIM terhadap usaha beberapa kilang yang dimajhulkan namanya menghasilkan sosel berkantungkan usus babi yang mendapat halal JAKIM, masyarakat Malaysia, terutamanya kaum muslimin bagaikan dihentam oleh ombak tsunami buat kali kedua. Jika ombak tsunami pertama yang telah menunjukkan samsengnya pada pagi 26 Disember 2004 telah mengorbankan ratusan ribu nyawa mangsanya, isu sosej ini pula telah mengorbankan moral dan maruah lebih 10 juta rakyat Malaysia yang beragama Islam. Mana tidaknya, bagaikan di bawah terangnya matahari di kala equinoks, umat Islam di Malaysia ditipu dan juga dikhianati oleh golongan kapitalis. Pihak yang sepatutnya bertanggung jawab membela nasib mereka pula, ibarat harapkan pagar, pagar dah roboh!



Isu sosej ini walau bagaimanapun ada sudut baiknya. Sekurang-kurangnya respon dari rakyat dan media berhubung isu ini menunjukkan rakyat Malaysia beragama Islam masih lagi bernyawa dan masih lagi peka terhadap isu halal dan haram berkaitan dengan makanan, jika tidak dalam semua aspek pun, sekurang-kurangnya dalam isu babi. Mana tidaknya, lihatlah restoran di IKEA yang terpaksa bermandi tanah, lihatlah juga penceramah-penceramah yang muncul dengan nasihat prihatinnya terhadap umat Islam agar mereka berkumur, minum dan membasuh lidah, gigi dan mulut mereka dengan air tanah agar ibadat mereka diterima Allah. Bukankah itu menunjukkan masyarakat Islam hadari Malaysia masih lagi kuat beragama!







Khinzirophobia



Sayangnya khinzirophobia yang dihidapi oleh rakyat Malaysia ini hanya tertumpu dan khusus untuk babi sahaja. Pada majoriti rakyat Malaysia, memakan babi adalah sesuatu yang haram!, barangsiapa yang telah memakannya mereka telah melakukan dosa yang paling besar di dunia menurut syariat Melayu. Barangsiapa yang makan babi dia telah terkeluar Islam, barangsiapa yang telah termakan babi walaupun secara tidak sengaja, dia harus beristighfar, bertaubat, bersuci dari kekotoran luar dan dalamnya. Pendekata, babilah kemuncak tertinggi haramnya sesuatu perkara. Babi jugalah benda yang paling haram dan najis di dunia ini menurut syariat Melayu. Jangan sekali-kali sebut nama babi, pasti ada sahaja umat Islam melayu yang akan termuntah walaupun di kala itu dia sedang menonton filem biru.



Tiada salahnya khinzirophobia, kerana Allah telah mengharamkan umat Islam dari memakan daging babi di dalam ayat kelima surah al-Maidah di dalam al-Quran. Tiada salah juga untuk berasa jijik terhadap babi, kerana tabiat buruk dan juga fizikal babi yang penuh dengan 1001 jenis kuman dan penyakit seperti yang telah dibuktikan oleh sains moden. Tiada salahnya semua itu, yang salahnya ialah masyarakat muslim Malaysia tidak merasakan ada perkara yang lebih haram daripada babi itu sebagai haram. Malah ianya dianggap sebagai biasa dan juga di dalam banyak keadaan dianggap sebagai sebahagian daripada kehidupan.







Arak yang halal



Di dalam al-Quran, Allah S.W.T. telah menyebutkan: "Wahai orang – orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi , bertenung nasib dan juga berhala – berhala merupakan najis dan sebahagian daripada amalan syaitan, maka hendaklah kamu menjauhinya semoga kamu berjaya (yakni di dunia dan di akhirat)". (al-Maidah : ayat 90)



Di dalam ayat yang lain pula, Allah S.W.T telah menyebutkan: "Dan mereka bertanyakan kamu (wahai Muhammad) perihal arak dan judi. Katakan kepada mereka, pada kedua-duanya kebaikan dan dosa, dan dosanya lebih banyak dari kebaikannya" . (al-Baqarah ayat : ayat 219)



Ummu Salamah isteri Rasulullah S.A.W dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud, juga telah mengatakan : "Rasulullah S.A.W telah mencegah dari meminum semua minuman yang memabukkan dan melemahkan fikiran".



Himpunan dalil-dalil ini telah cukup untuk menujukkan kepada kita bahawa arak adalah jelas haram. Malah ulama Islam telah berijmak tentang keharamannya dari dulu, kini dan selamanya. Tidak pernah timbul pun di mana-aman zaman, mana-mana mujtahid yang mengatakan arak adalah halal. Lebih parah lagi ialah apabila Rasulullah S.A.W menggelarkan arak sebagai "Umm Khabaith", iaitu ibu segala maksiat. Arak juga telah disepakati oleh para ulama sebagai salah satu daripada dosa-dosa besar yang akan menghumbankan peminumnya, pembuatnya dan sesiapa yang terlibat dengannya ke dalam api neraka.



Tidak hairanlah dalam sebuah hadis, Rasulullah S.A.W. telah melaknat 10 golongan yang terlibat dengan arak :

            "Pemerahnya (ataupun pengusahanya), orang yang menyuruh memerahnya, peminumnya, pemberi minum (pelayan – pelayan bar misalnya), orang yang membawanya (termasuklah pemandu – pemandu lori arak), orang yang menyuruh membawanya, penjualnya, pembelinya dan juga orang yang mengambil keuntungan dari jualannya". (hadith riwayat al-Tammidhi daripada Anas Bin Malik)



Sayang sekali di Malaysia, arak bukanlah sesuatu yang haram lagi najis. Cuba sebut arak, tidak akan ada orang yang terasa hendak termuntah. Cuba lihat tin-tin arak dan botol-botol arak yang dijual di kedai-kedai runcit, stesen-stesen minyak dan juga hyper market-hypermarket. Tidak ada sesiapa pun berasa jijik, geli dan haram, berbanding isu babi. Bukankah ini menujukkan arak itu halal menurut syariat Islam Melayu versi Malaysia?



Jika kita mendengar seseorang minum arak, itu biasa...kata orang ramai. Jika kita tahu seorang pemimpin itu minum arak, itu biasa...kata orang ramai. Jika kita dengar para peniaga dan ahli korporat minum arak...itu biasa juga, kata orang ramai. Jika kita lihat ahli sukan minum arak, juga kita rasakan iau perkara biasa. Jika  kita lihat artis-artis minum arak, itu pun juga biasa. Di atas kapal terbang MAS milik negara Islam Hadari Malaysia, arak dihidangkan, para peramugari melaytu Islam yang comel lote menawarkan arak, menuangkan arak dan juga menghidangkan arak...itu juga biasa bagi kita. Lebih menarik lagi, jika ada orang-orang Islam yang minum arak, berkerja di tempat yang dihidangkan arak ataupun menjadi penghibur di premis yang menjual arak..itu adalah satu kemuliaan, mana tidaknya, jika ada pihak yang menangkapnya dan menahannya kerana berkelakuan sedemikian yang bertentangan dengan undang-undang agama Islam kerajaan negeri dan juga moral. Pihak media, ahli politik, para peguam dan beratus-ratus manusia lain akan membela mereka dan meletakkan pihak berkuasa agama di kandang pesalah. Bukankah itu dalil yang paling jitu menujukkan arak adalah HALAL di Malaysia.



Menurut kajian salah sebuah NGO pengguna di Malaysia, industri arak samsu yang dihasilkan di dalam pasaran tempatan sahaja telah mencapai pengeluaran RM 180 juta setahun. Dari segi konsumsi pula, rakyat Malaysia membelanjakan RM 500 juta setahun untuk membeli arak. Keadaan yang memberangsangkan ini telah menjadikan Carlsberg AS di Denmark melihat Malaysia sebagai pasaran yang penting di dalam penjualan arak mereka. Hebat sungguh Malaysia kita ini!



Bukti yang jelas lagi menunjukkan arak menjadi satu yang halal dan dimuliakan di negara kita pada hari ini ialah melatanya iklan – iklan arak di dada akhbar berbahasa inggeris seumpama New Straits Time, The STAR dan lain – lain akhbar lagi. Iklan – iklan arak juga didapati tersebar secara meluas di kotaraya KL, malah CD – CD iklan arak diberikan secara percuma di sesetengah tempat di ibu kota Kuala Lumpur.



Ini amat memalukan kerana dengan terang – terang menjatuhkan imej Malaysia sebagai satu – satunya negara di dunia yang mengaku sebagai Negara Islam, malah lebih daripada itu model negara islam kepada negara – negara OIC yang lain di dunia ini. Adakah ini model "hadari" yang ingin kita daulatkan?, hanya kita sahajalah yang boleh menjawabnya, bukan PATI  Indon atau mamat Bangla!



Yang pastinya, arak tidaklah mendapat tempat yang hina seperti hinanya babi di kaca mata rakyat Malaysia yang beragama Islam, terutamanya di kalangan para birokratnya.















Judi juga halal!



Berdasarkan ayat 90 dari surah al-Maidah yang lepas juga kita telah mendapati bahawa judi juga merupakan sesuatu yang haram setaraf dengan arak. Pemain judi dan penganjur judi, kedua-duanya telah melakukan dosa besar, dan destinasi akhirat mereka hanyalah neraka jahannam.



Allah S.W.T. juga telah mentinggung perihal mudharat judi ini di dalam surah al-Baqarah, ayat 29, dengan firmannya: "Dan mereka bertanyakan kamu (wahai Muhammad) perihal arak dan judi. Katakan kepada mereka, pada kedua – duanya kebaikan dan dosa, dan dosanya lebih banyak dari kebaikannya" .



Tidak kiralah, samada orang yang membeli, menjual, memberikan lesen judi ataupun yang redha dengan kewujudan judi di dalam masyarakat secara terang-terangan, mereka semua turut berkongsi dosa. Sayangnya juga, judi bukanlah sesuatu yang haram di Maalysia ini. Jika ada judi yang haram pun, itu adalah judi-judi yang tidak berlesen, samada ianya joki-joki, premis-premis, ataupun sindiket nombor ekor gelap. Jika ianya berlesen, maka ianya halal lagi menghalalkan yang lain. Lebih mengaibkan lagi pusat-pusat perjudian berkembang biak subur di permukaan bumi Malaysia yang mendakwa dirinya sebagai negara Islam contoh bagi dunia. Di dalam bukunya, Malaysia Darul Kasino, penulis buku tersebut telah mendedahkan betapa rancak dan cergasnya industri perjudian di Malaysia ini. Prestasi Malaysia jauh meninggalkan pesaing-pesaing terdekatnya dari kalangan negara-negara ASEAN yang bukan didiami oleh majoriti umat Islam. Mungkin inilah maksud tersirat dari laungan keramat: "Malaysia Boleh"!



Sebagai contoh, Sports TOTO, salah sebuah syarikat judi HALAL di Malaysia sahaja mempunyai pendapatan RM 2.3 billion bagi tahun 2001 dari hasil perjudian mereka di Malaysia. Tanjong Public Limited Co., salah sebuah syarikat gergasi perjudian tempatan pula telah mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM 311.5 juta bagi tahun 2002. Metroplex, syarikat yang menguasai aktiviti perjudian di lautan pula mencatatkan pendapatan RM 2.5 billion bagi tahun 2002. Magnum Corp. Yang menguasai perjudian 4 nombor ekor d Malaysia pula telah mencatatakan keuntungan lebih RM 289 juta bagi tahun 2004.



Lebih menarik lagi, kebanyakan syarikat-syarikat perjudian gergasi di Malysia yang telah disebutkan dan juga yang tidak disebutkan mempunyai wakil-wakil melayu yang beragama Islam (versi Malaysia) sebagai ahli-ahli lembaga pengarah mereka. Fakta yang lebih mengejutkan lagi ialah salah seorang daripada gergasi korporat judi dengan pendapatan lebih RM 10 juta setahun dari hasil perjudian adalah seorang melayu muslim yang amat dikenali ramai! Tidak cukupkah ini sebagai dalil bahawa judi merupakan satu aktiviti haram yang HALAL menurut piawaian Islam versi Malaysia???



Hakikatnya duit judi tidak dipandang haram seperti haramnya babi. Jika ada orang melayu yang menjadi tokey babi, pasti masyarakat akan mencemuhnya, ataupun memandang hina dan jijik kepadanya. Jika ada orang melayu makan babi, lagilah keji dia di mata masyarakat melayu, tetapi jika ada orang melayu menjadi tokey syarikat perjudian?, bermain judi, memegang saham terbesar dalam syarikat perjudian, menang loteri, menang toto, menang nombor ekor?, mengapa pula tidak dipandang haram?



Itulah uniknya Islam versi Malaysia boleh. Semuanya boleh kecuali yang dianggap tidak boleh oleh pihak yang berpengaruh. Apabila timbul golongan manusia sewel berlabelkan "Liberalisme" yang berjihad untuk menhaplikasikan ide liberal mereka ke atas agama Islam, ianya tidaklah mengejutkan mereka yang berfikir. Pengamalan Islam yang serba celaru di Malaysia ini sebenarnya telah menjadi tapak yang subur untuk mereka terus menyemai benih-benih pemikiran mereka dan seterusnya memetik hasilnya apabila tiba masa.



________________________________
Do you Yahoo!?
Plan great trips with Yahoo! Travel: Now over 17,000 guides!




--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise.

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest".



Yahoo! Groups Sponsor
ADVERTISEMENT
Children International
Would you give Hope to a Child in need?
 
· Click Here to meet a Girl
And Give Her Hope
· Click Here to meet a Boy
And Change His Life
Learn More


Yahoo! Groups Links

Kirim email ke