Assalamualaikum.
 
Hampir setiap hari media cetak dan penyiaran mengeluarkan berita mengenai UMNO atau Barisan Nasional dengan berita yang memegahkan keduanya. Dan hampir setiap hari jika ada berita dari pihak pembangkang tidak disiarkan...kalau ada, ianya hanya berita untuk memburukkan pihak pembangkang, tanpa kira samada DAP, PAS atau Keadilan.
 
Diri saya ini bukanlah penyokong fanatic mana mana pihak, sekadar seorang hamba Allah yang ingin melihat keadilan dan kebenaran di tanahair sendiri - janganlah mengaburkan mata rakyat dengan berita berita palsu seperti:
1. kejayaan ekonomi (tapi lebih 80,000 menganggur),
2. keburukkan PATI (kebanyakkan syarikat pembinaan yang mengupah PATI merupakan samada syarikat kepunyaan parti pemerintah atau mereka yang rapat dengan parti pemerintah),
3. Islam Hadhari
a.sedangkan fesyen yang diketengahkan kini oleh pihak yang rapat dengan Perdana Menteri itu tidak memenuhi ciriciri Islam.
b.masih berluasa konsert konsert yang terang terang melanggar syariah.
 
Alasan yang diberi oleh pihak pemerintah dan penyokong mereka adalah setiap berita yang berkait dengan parti pemerintah ada implikasi terhadap negara. Saya setuju. Tetapi bila ada berita buruk mengenai parti pemerintah mengenai rasuah seperti kes politik wang, ianya menjadi perkara 'internal' atau dalaman. Kenapa?
 
Sepatutnya mereka yang terbabit dalam rasuah politik wang ini dibawa ketengah dan diadili secara terbuka di dalam mahkamah. Ini kerana jika benar parti pemerintah hendak memimpin rakyat dalam membenteras rasuah, maka mereka mesti bersikap terbuka terhadap ahli parti mereka sendiri. Atau, adakah pihak pemerintah takut bila dibenteras rasuah dengan sepenuhnya, maka tinggal 1 atau 2 sahaja pemimpin yang didapati tidak bersalah?
 
Difikir secara mudah, mereka yang memberi rasuah, terpaksa mengambil rasuah sekurangnya untuk menutup atau mengimbangkan semula aliran wang yang telah keluar. Dan dengan mengambil rasuah, mereka mengkompromi mutu sesuatu projek untuk rakyat kerana syarikat yang memberi mereka rasuah juga mahukan keuntungan. Bila mutu projek itu berkurangan, bermakna rakyat telah ditipu dan wang rakyat terpaksa dialirkan sekali lagi untuk membetulkan kerosakkan yang berlaku disebabkan mutu pembinaan yang rendah. Dan bila lebih banyak wang yang terpaksa dialirkan sebegitu, maka kuranglah wang dalam dana yang boleh diperuntukkan untuk projek rakyat. Bila kekurangan wang, maka pelbagai cukai akan dinaikkan - membebankan lagi kesengsaraan pada rakyat. Sampai bila perkara seperti ini akan berakhir?
 
Gemilang, Cemerlang dan Terbilang. Buktikanlah cogankata ini bukan satu perkara atau fasa yang telah lampau.
 
 
Politik wang ke mahkamah, Pemuda sambut baik syor Musa
Friday, April 29 @ 15:18:43 MYT


Oleh Wan Nordin Wan Yaacob
KUALA LUMPUR, 29 April (Hrkh) - Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menyambut baik cadangan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Musa Hitam supaya ahli Umno yang dituduh terbabit dalam politik wang dibenarkan mendapat pembelaan di mahkamah.

Ketua Penerangan Pemuda PAS, Mazlan Aliman berkata, Pemuda PAS pernah menyuarakan sedemikian ketika menyerahkan memorandum berhubung politik wang kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) semasa isu politik wang Umno hebat diperkatakan.

Bagaimanapun ujar Mazlan, mengikut perlembagaan Umno, sebarang kes politik wang melibatkan ahli tidak dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan.

Bagi DPPP Kata Mazlan, mereka melihat isu politik wang dalam Umno bukanlah hanya melibatkan masalah 'internal', tetapi ia juga adalah berupa masalah 'eksternal'.

Jelas beliau, pemimpin yang bertanding dalam pemilihan Umno juga adalah mereka di kalangan pemimpin negara, justeru sindrom politik wang ini memberi kesan kepada negara.

"Ianya juga boleh memburukkan situasi ekonomi, kerana pengamal politik wang bererti mengamalkan rasuah.Rasuah boleh merosakkan pembangunan ekonomi negara,"katanya.

Seperkara yang Mazlan ingatkan kepada rakyat iaitu, bagaimana pemimpin yang dikatakan terlibat politik wang mendapatkan sejumlah wang yang banyak untuk memberi ganjaran kepada pengundi mereka.

Katanya, Pemuda PAS melihat bahawa kemungkinan ada usaha mereka yang terbabit menggunakan kesempatan dengan kedudukan dalam kerajaan untuk memberi anugerah projek kepada kontraktor mahupun korporat sebagai balasan kepada dana kewangan untuk pemilihan.

Menurut Mazlan, senario tersebut setidak-tidaknya akan menggelapkan masa depan negara, malah wang rakyat akan terus digunakan begitu sahaja oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Justeru ujar beliau, cadangan Musa itu dilihat sebagai antara jalan yang boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah politik wang dan penganiayaan terhadap mana-mana pihak.

"Hari ini, yang ditahan hanya mereka yang berjawatan kecil, tetapi yang memegang jawatan tinggi tidak dikenakan tindakan, juteru dengan membawa ke mahkamah seterusnya BPR, ianya akan mampu menyelesaikan masalah tersebut,"kata beliau.

Selain itu beliau juga menggesa kerajaan segera membebaskan BPR dari cengkaman Jabatan Perdana Menteri dengan meletak badan itu di bawah kuasa Parlimen.

"Jika BPR terus di bawah JPM, saya percaya sampai kiamat pun masalah rasuah tidak akan selesai,"tegas beliau.

Sementara itu, Musa dilaporkan sebagai berkata, sistem sekarang perlu diubah dan kembali kepada cara sebelum Perlembagaan Umno dipinda di mana ahli boleh bawa kes ke mahkamah.

�Saya percaya dengan adanya pengadilan di mahkamah tidak akan ada penganiayaan terhadap ahli yang dituduh terbabit politik wang,� katanya selepas pembentangan kertas kerja Kuasa Etika Kepemimpinan di Forum Integriti dan Etika Dunia 2005 di sini, semalam.

Musa berkata, dengan membawa kes politik wang ke mahkamah, tindakan yang dikenakan juga bersesuaian dengan kesalahan yang dilakukan.

�Melalui mahkamah juga kita dapat memberi hukuman setimpal dengan kesalahan yang dilakukan. Sebagai contoh, jika seseorang ahli politik menerima wang yang banyak hukumannya juga perlu lebih besar,� katanya.

Musa berkata, sebagai parti politik terbesar di negara ini, Umno sering diberi perhatian oleh rakyat negara ini.

�Oleh itu, Umno perlu tegas dalam menangani politik wang dengan tidak hanya mengenakan tindakan mengikut peraturan parti saja tetapi tindakan mengikut undang-undang negara juga perlu dibenarkan,� katanya.

�Pemimpin juga perlu berani membuat apa yang dikatakan dan mereka juga perlu tegas dalam semua hal berkaitan rasuah dan perlu membersihkan diri sebelum mengajak orang lain bersama memeranginya.

�Kegagalan mereka mengekalkan perkara itu hanya akan menggugat kewibawaan mereka sebagai pemimpin,� katanya. - mks.

Send instant messages to your online friends http://uk.messenger.yahoo.com


--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise.

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest".




Yahoo! Groups Links

Kirim email ke