MUIR, Watt, Puin, Crone, Schlatt, Goldziher dan
orientalis lain pastinya tersenyum girang. Banyak
petanda menunjukkan usaha keras dan jarum halus mereka
untuk menundukkan dunia Islam dengan mencabar
kesahihannya sebagai agama wahyu dan mencelarukan
pemikiran umatnya, sudah membuahkan hasil.

Paling besar makna dan memuaskan mereka ialah kejayaan
mempengaruhi pemikiran umat Islam. Jangan terkejut
jika golongan yang terpengaruh ini tidak terhad kepada
mereka yang agak kebaratan atau tipis semangat
keislamannya saja, malah mereka juga datang daripada
kalangan yang mendakwa dan didakwa pejuang Islam atau
Islamik. Kelompok yang dianggap tinggi ilmu agama,
juga tidak terkecuali.

Penulis S Parvez Manzoor, dalam bukunya Method Against
Truth: Orientalism and Quranic Studies, menghujah,
pengkajian orientalis Barat ke atas al-Quran biar apa
pun manfaatnya, lahir daripada kebencian yang dipupuk
dalam kekecewaan dan disuburi dengan kesumat.

Trofi hakiki yang dikejar mereka, menurutnya adalah
penguasaan terhadap minda Muslim. Barat percaya untuk
menyelesaikan masalah ancaman Islam, penganut agama
Allah hendaklah dikecewakan berhubung ketentuan
risalah Islam seperti yang diturunkan kepada Nabi
Muhammad saw. Hanya Muslim yang keliru dengan
kesahihan dan autonomi doktrin al-Quran akan
mengabaikan misi sejagatnya dan dengan itu tidak
mencabar dominasi global Barat.

Perbuatan khianat orientalis Barat terhadap agama dan
penganut Islam turut ditonjolkan oleh penulis
berbangsa Swiss, Roger Du Pasquier dalam bukunya
Unveiling Islam. Beliau percaya kajian orientalis
Barat tidak bersandarkan semangat keadilan kesarjanaan
yang tulen dan seringkali berniat untuk meremehkan
Islam. Walaupun atas sebab yang jelas kecenderungan
ini memuncak pada zaman penjajah, katanya, adalah
suatu kesilapan jika dianggap ia sudah lenyap tanpa
sebarang tanda.

Sebagai pengukur pencapaian orientalis, lihat saja
bagaimana kelompok Islam sendiri kini begitu
terpengaruh sehingga ketika berfikir secara sedar atau
separa sedar, mengikut kaca mata pelbagai musuh Islam.
Paling ketara, proses pemikiran mereka sudah diwarnai
pelbagai konsep yang direka dan disebarluaskan oleh
golongan bukan Islam.

Antara contoh yang paling menonjol ialah isu
sekularisme yang menjadi punca perbalahan besar dan
polemik berpanjangan di kalangan umat, termasuk di
Malaysia. Sejarah menunjukkan sekularisme adalah
antara senjata yang diperalatkan oleh orientalis untuk
melemahkan umat Islam. Melalui pendekatan ini,
pegangan dan penghayatan penganut Islam menjadi
longgar lantas mengakibatkan terhakisnya raison d�etre
masyarakat Muslim.

Sekularisme lazimnya diertikan sebagai pemisahan
antara urusan agama dengan kehidupan duniawi. Menurut
Kamus Dewan, sekularisme membawa maksud berkaitan
keduniaan, bersifat duniawi dan tidak berkaitan
keagamaan.

Dari segi filologinya, perkataan secular berasal
daripada bahasa Latin, saeculum yang membawa maksud
dunia atau dalam lingkungan masa kini. Jika ditelusuri
perkembangan sejarahnya, fahaman sekularisme
dikembangkan dengan pemikiran rasionalisme zaman
Greek, nilai madani dan kemasyarakatan zaman
Greco-Roman, zaman Reformasi, Renaissance, Kalvinisme
dan falsafah moral dan empirikal fahaman
Enlightenment.

Pada peringkat awalnya, konsep sekularisme banyak
dipengaruhi ahli falsafah Greek, khususnya Aristotle,
yang mendakwa tuhan tidak mengetahui hal ehwal dunia
dan tidak mengawalnya. Will Durant mengembangkan
pemikiran ini dengan konsep tuhan yang tidak berupaya.

Sekularisme muncul dan diguna pakai dalam dunia
Kristian, sebahagiannya sebagai pemberontakan terhadap
autokrasi atau teokrasi kelompok paderi zaman Jahiliah
Eropah (European Dark Ages). Berkebetulan, pemikir
Eropah mula terpengaruh dengan fahaman rasionalisme.
Antara pemikir handalan dalam golongan ini ialah
Thomas Paine dengan nukilannya yang berpengaruh, The
Age of Reason.

Selepas berjaya menundukkan kelompok paderi dan gereja
kristian, fahaman sekularisme mengalami perubahan
wajah. Pada abad ke-18, ia didominasi oleh pemikir
berfahaman ateis dan agnostic; kelompok pertama
menolak sama sekali sebarang fungsi agama dalam urusan
kehidupan kerana mereka menafikan konsep ketuhanan itu
sendiri; manakala golongan kedua semata-mata
mementingkan pencapaian duniawi adalah dalam kawalan
manusia.

Pada abad ke-19 dan ke-20, pertembungan berlaku pula
antara versi liberal humanisme dengan
sosialisme-komunisme. Dengan berakhirnya blok sosialis
pada akhir abad ke-20, fahaman liberal humanisme kini
unggul dengan dimanifestasikan menerusi dwitunjangnya:
kapitalisme pasaran bebas dan demokrasi liberal.
Futuris Amerika, Francis Fukuyama adalah antara
pemikir yang mendahului fahaman ini.

Jelaslah, sekularisme dari awal kemunculannya sehingga
variasi yang mendominasi wacana intelektual kini,
adalah binaan ideologi (ideological construct) oleh
Barat. Sejarah imperialisme Barat yang bukan sedikit
dibantu oleh orientalis yang sesetengahnya juga adalah
mubaligh Kristian, jelas menunjukkan sekularisme cukup
berkesan sebagai senjata untuk memecahbelahkan ummah.

Oleh kerana sumber konsep ini bukan Islam, tentunya
asas pertimbangannya juga tidak bersumberkan al-Quran
dan Sunnah. Justeru, amat berbahaya jika konsep yang
jelas begitu asing daripada Islam diguna pakai oleh
pejuang Islam untuk menilai dan menghukum pemerintah
Islam. Lebih-lebih lagi di Malaysia, penilaian secara
rasional terhadap pemerintahan negara mengikut syariat
Islam menampilkan rekod yang boleh dipertahankan.
Malaysia tidak boleh disamakan dengan Turki, negara
yang secara terang-terangan mengamalkan dasar mengawal
fungsi agama dalam kehidupan awam selepas keruntuhan
empayar Othmaniah pada awal kurun lalu.

Anggapan sekularisme bertentangan dengan Islam tidak
perlu diragui lagi: �Dan (ingatlah) Aku tidak
menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka
menyembah dan beribadat kepadaKu.� (surah
Adz-Dzaariyaat, ayat 56) dan �Katakan (wahai
Muhammad): Adakah kamu yang lebih mengetahui atau
Allah?� (surah al-Baqarah, ayat 140). Selain itu,
banyak lagi firman Allah swt yang menunjukkan
sekularisme bercanggah sama sekali dengan Islam.

Dr Yusuf Al-Qaradawi dalam bukunya �Al-Hulul
al-Mustawradah wa Kayfa Jaat �alaa Ummatina�
(Bagaimana penyelesaian yang Diimport Menjejaskan
Ummah Dengan Teruk) menyatakan: �Sekularisme mungkin
diterima dalam masyarakat Islam. Kepada masyarakat
Muslim, Islam ialah sistem pengabdian (ibadah) dan
perundangan (syariah). Penerimaan sekularisme bermakna
meninggalkan syariah, penafian petunjuk suci dan
penolakan ajaran Allah.�

Di Malaysia, ada asas yang boleh dibina ke arah
mengharmonikan segala perundangan dengan tuntutan
syariah. Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan Malaysia
yang memaktubkan kedudukan Islam sebagai agama
Persekutuan, adalah bukti pertama pemerintahan negara
ini memartabatkan agama Allah. Peruntukan ini
mewajarkan Islam dijadikan asas dan panduan, dalam
semua cabang pentadbiran negara, sama ada perundangan,
pertahanan, pendidikan, kewangan dan hubungan luar.

Dalam bidang perundangan, hendaklah diterima hakikat
sejarah bahawa penjajah meninggalkan legasi
perundangan sivil yang terpisah daripada sistem
syariah. Maka pelaksanaan perundangan Islam terpaksa
dilakukan secara berperingkat mengikut kemampuan.

Penulis berpendapat, pendekatan ini jugalah diamalkan
oleh kerajaan Pas di Kelantan dan Terengganu.
Buktinya, hukum hudud yang dijadikan isu dasar oleh
Pas seketika dulu belum dilaksanakan di dua negeri
itu. Kalau sebelum ini pemimpin Pas menjadikan hukum
hudud sebagai agenda utama, kini Datuk Abdul Hadi
Awang, Menteri Besar Terengganu dengan selamba
mengatakan itu hanya peraturan kecil dalam perundangan
Islam.

Begitu juga halnya dengan undang-undang tubuh di dua
negeri itu. Sebelum ini perkara itu dipertikaikan
dengan hebat oleh pelbagai pemimpin Pas dengan dakwaan
tidak Islamik kerana dirangka oleh Residen British.
Tetapi selepas 10 tahun memerintah Kelantan, Menteri
Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan pemimpin Pas
lain masih menggunapakainya dan tidak kelihatan usaha
untuk memansuhkannya.

Abdul Hadi juga tidak mencampakkan undang-undang tubuh
negeri Terengganu dan menggantikannya dengan
perlembagaan berdasarkan al-Quran seperti yang
digembar-gemburkan oleh ramai penceramah Pas selama
ini. Jika dituduh Umno dan Barisan Nasional
mengamalkan dasar sekular, apakah perbezaan dalam
dasar perundangan, pendidikan, kewangan, pertahanan
dan hubungan luar yang diamalkan oleh pemimpin Pas?
Hujah bahawa semua ini adalah di bawah bidang kuasa
Kerajaan Persekutuan berbunyi dangkal, apakah Pas
lebih takutkan manusia daripada Tuhan sehingga sanggup
menelan dasar Persekutuan yang didakwa bertentangan
dengan Islam?

Di pentas global, Islam dengan jelas banyak
mempengaruhi dasar dan pendirian Kerajaan Malaysia
dalam menangani cabaran yang dilontarkan oleh
perkembangan utama dunia, seperti globalisasi, ekonomi
pasaran bebas, demokrasi liberal dan hak asasi
manusia. Nilai-nilai Islam ternyata mencorakkan
pendekatan negara ini, terutama menangani berkaitan
gagasan yang kufur dan tidak Islamik.

Zaid Shakir dalam makalahnya, The Changing Face of
Secularism and the Islamic Response, menyatakan
keunggulan versi liberal fahaman sekularisme sudah
memastikan etika bermotifkan keuntungan kini
menggantikan etika peninggalan Rasul-rasul dalam dunia
niaga. Malah, beliau berpendapat keserakahan mengejar
laba adalah rasional bagi beberapa peruntukan yang
menindas dalam Perjanjian Antarabangsa mengenai Tarif
dan Cukai (GATT) dan Pertubuhan Perdagangan Sedunia
(WTO). Antara lain, ini akan membenarkan firma gergasi
transnasional untuk mengisytiharkan sebarang
penentangan, bagaimanapun berprinsip, terhadap proses
itu sebagai halangan perdagangan.

Hal yang sama berlaku dalam hak asasi manusia. Prof
Shad Faruqi, pensyarah undang-undang di Universiti
Teknologi Mara (UiTM), berpandangan konsep yang mahu
dipaksa oleh Barat ke atas masyarakat lain banyak
bertentangan dengan Islam. Antaranya, hak individu
berbanding hak masyarakat dan keluarga. Di Barat,
seseorang individu bebas untuk mewasiatkan harta
kepada sesiapa, hatta binatang peliharaannya, tetapi
dalam hukum faraid, harta peninggalan hendaklah
dibahagikan kepada waris terdekat mengikut kadar yang
ditetapkan.

Walaupun banyak lagi contoh yang ketara berhubung
pertembungan nilai Islam dan Barat dalam konsep hak
asasi, malangnya, sebilangan umat Islam turut
terkeliru dengan konsep yang pada permukaan kelihatan
wajar. Hak asasi, demokrasi, globalisasi,
liberalisasi, semuanya gah dengan konotasi keadilan,
kebebasan dan kesamarataan. Apakah ini benar?

Hakikatnya, jarum musuh Islam sudah begitu menular
sehingga umat kehilangan keyakinan diri dan keaslian
pemikiran. Paling menakutkan, golongan yang dianggap
bersemangat Islam juga secara tidak sedar menjadi alat
kepada golongan orientalis dan musuh Islam.

Buktinya, mereka terpaksa bersandarkan idea musuh
Islam dalam ketandusan dan kecelaruan pemikiran
sendiri. Keadaan ini tentunya cukup malang kerana
dewasa ini pertembungan antara agama amnya dan Islam
khasnya dengan sekularisme sudah kembali. Sebilangan
intelektual Barat sendiri, termasuk Ernest Gellner,
mengakui dalam polemik ini Islam adalah pembawa
panji-panji untuk golongan yang mempercayai agama. Ini
berasaskan hakikat Islam adalah agama yang benar dan
normatif yang terakhir.

Berita Harian 6 April 2001





                
Yahoo! Mail
Stay connected, organized, and protected. Take the tour:
http://tour.mail.yahoo.com/mailtour.html





------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> 
Would you Help a Child in need?
It is easier than you think.
Click Here to meet a Child you can help.
http://us.click.yahoo.com/sTR6_D/I_qJAA/i1hLAA/TXWolB/TM
--------------------------------------------------------------------~-> 


--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in 
any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved 
otherwise. 

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily 
digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your 
mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the 
title "change to daily digest".  
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/hidayahnet/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 


Kirim email ke