Lembu Sri Lanka dan KLCC

 

Maszlee Malik

 

 

Pada bulan April yang lepas penulis dan juga rakan-rakan telah berpeluang untuk menziarahi mangsa-mangsa Tsunami di Sri Lanka. Kami telah memilih Muthur sebagai lokasi untuk dihulurkan bantuan. Muthur yang bermakna "Kampung Permata" dipilih kerana lokasinya yang terpencil dan juga situasi di sana yang membahayakan. Tidak seperti kawasan-kawasan lain yang dilanda ombak Tsunami, kampung nelayan yang terletak di dalam wilayah Trinco Malee ini amat unik. Pertamanya, 80% daripada populasinya adalah Muslim, walaupun Sri Lanka merupakan sebuah negara yang agama rasminya Buddha. Keduanya ianya terletak di dalam kawasan yang dikuasai oleh Tamil Ilem (Tamil Tigers) yang telah bertanggung jawab merompak segala bantuan yang telah dihantar untuk mangsa Tsunami di Muthur dan kawasan-kawasan yang berdekatan. Ketiganya, hanya satu sahaja NGO Islam yang bergerak membantu mangsa-mangsa Tsunami di sini, iaitu MFCD (Muslim Foundation for Cultural Developement), selebihnya merupakan NGO-NGO Eropah dan Kristian. Konklusinya, mangsa-mangsa beragama Islam di sini dan juga sukarelawan-sukarelawan di sini telah didiskriminasi oleh NGO-NGO tersebut secara terang-terangan.

 

Di sini bukanlah waktu untuk berkongsi pengalaman serba mencabar dan menyulitkan itu. Cuma sewaktu di sana penulis tertarik dengan lembu-lembu yang dibiarkan berkeliaran di tepi-tepi jalan dan juga di dalam pekan. Lebih menarik lagi, lembu-lembu ini mempunyai tanda yang tersendiri untuk dikenali oleh tuannya. Iaitu dengan tindik di hidung, telinga dan juga cop tatu di badannya. Walaupun lembu-lembu ini berkeliaran, namun tuannya akan dapat mencarinya kembali    berdasarkan tanda-tanda tersebut. Ini telah mengimbaskan kotak pemikiran penulis pada anak-anak muda yang banyak berkeliaran di taman di hadapan KLCC. Kebanyakan mereka mempunyai tanda-tanda yang hampir sama dengan lembu-lembu tersebut. Bertindik di hidung, di telinga, di mata bagi sesetengahnya dan juga di pusat bagi mereka yang lebih berani. Di lengan-lengan anak-anak muda in pula kadang-kadang ada cop-cop tatu tersendiri. Ada yang lebih berani lagi, tatu dilukiskan di pusat atau bawah pusat mereka yang sengaja didedahkan mungkin kerana baju yang dipakainya itu telah mengecut akibat tindak balas kimia dengan udara sekitar. Andaian penulis, mungkin apa yang mereka lakukan itu untuk memudahkan tuan-tuan mereka untuk mengenali mereka yang kebanyakannya berpeleseran tiada arah tujuan, namun itu mustahil. Lembu adalah lembu, dan yang berada di taman KLCC ini adalah manusia yang berakal dan juga berjiwa seperti manusia. Apabila ditanya kenapa mereka berbuat demikian, pastinya soalan cepu emas itu akan dijawab dengan jawapan yang stereotaip, iaitu: "Trend masa kini".

 

Cuma yang musykilnya, yang bertindik dan bertatu itu adalah dari kalangan mereka-mereka yang tercatat di dalam kad pengenalan biru mereka, beragama Islam. Jikalaulah persoalan "trend" yang dijadikan hujah, tidakkah mereka menilainya dahulu dengan kewarasan dan juga pertimbangan iman. Bagaimana pula jika satu hari nanti trend manusia memakan tahi, membutakan mata atau berbogel langsung di khalayak ramai?, adakah itu juga akan mereka ikuti?...hanya mereka sahaja yang boleh menjawabnya.

 

Sewaktu menghabiskan buku 300 soal jawab remaja yang bakal diterbitkan oleh Alaf 21, penulis banyak menghadapi soalan-soalan yang serba sedikit telah menyebabkan dahi penulis sedikit berkerut sehingga kini dan memerlukan sentuhan Dove untuk menghilangkan kedutan tersebut. Soalan-soalan seperti: "Adakah lelaki boleh bertindik?", "Bolehkah wanita bertindik di kening, di hidung, di bibir dan di pusat?", "Bolehkah orang Islam bertatu, jika dakwat yang digunakan itu boleh menyebabkan air menembusi kulit?", "Bolehkah mewarna rambut, jika pewarna tersebut mempunyai cop halal JAKIM?" dan lain-lain soalan kontemporari yang jika diajukan kepada Dr Yusuf al-Qaradhawi, pastinya ulama tersebut terpaksa mengambil nafas yang panjang untuk beristighfar. Hakikatnya, itulah realiti masyarakat kita. Bagi yang bertanya, sekurang-kurangnya, alhamdulillah mereka inginkan kepastian tentang hukum, bagaimana pula yang langsung tidak hiraukan hukum-hakam dan terus ikut dan buat sahaja tanpa berfikir panjang. Mungkin cogankata "Just Do It" kasut jenama NIKE telah menjadi inspirasi mereka.

 

Memang benar, penyakit jiwa yang dihidapi oleh  sesetengah generasi muda kini ialah kurangnya berfikir dan taklid membuta tuli. Jika generasi tua berasa senang untuk bertaklid dalam hal-hal agama, generasi muda pula merasa senang untuk bertaklid dalam hal-hal sosial. Apa sahaja yang disuapkan oleh media, itulah ikutan mereka tanpa mempunyai perkiraan yang matang, samada dari pertimbangan agama ataupun perimbangan akal yang waras. Apa yang artis buat, itulah ikutan mereka. Seperti kata seorang rakan yang mengatakan bahawa masyarakat kita seumpama komputer yang tiada anti-virus dan firewall yang kuat, mereka hanya memuat turunkan segala perisian yang disogokkan kepada mereka tanpa mempunyai daya penapisan dan daya tahan. Ahkirnya, segala yang mereka muat turunkan itu terdapat virus yang akhirnya akan merosakkan bukan hanya sekadar perisian komputer itu sahaja, malah hard ware juga akan turut rosak kerana kejahatan virus yang berjaya menyelinap masuk ke dalam komputer tersebut. Begitulah halnya keadaan masyarakat kita, budaya-budaya yang sedemikian bukan hanya sekadar penampilan, tetapi ia juga membawa bersamanya falsafah dan kerosakan terhadap struktur sosial masyarakat dan juga nilai-nilai etikanya.

 

Jika ditinjaukan dari hukum pula, jelas sekali hadis Rasulullah S.A.W. yang melarang kita meniru orang-orang kafir dan orang-orang yang fasiq (hadis : Barangsiapa yang meniru sesuatu kaum, maka dia dari kalangan mereka. H.R. Abu Daud) sudah cukup menjadi jawapan kepada sesiapa yang masih lagi tidak jelas tentang hukum perlakuan tersebut. Walau bagaimanapun, jika tidak dilihat dari sudut agama pun, dari sudut moral, ianya amat bertentangan dengan nilai manusia bertamadun. Mungkin terlalu kasar jika ingin disamakan dengan apa yang terdapat di Sri Lanka, tetapi ianya hampir ke sana juga. Perihal lelaki yang gatal hendak bertindik, walaupun ianya penuh kesakitan (sepertimana yang dilaporkan dalam sebuah majalah picisan minatan ramai anak Melayu) lagilah kurang cerdik sipengamalnya. Jika hendak dilihat kepada dalil juga, hadis Rasulullah S.A.W. yang melaknat orang lelaki yang menyerupai wanita dan juga wanita yang menyerupai lelaki sudah cukup untuk membuktikan bahawa bertindik adalah haram bagi kaum lelaki. Sayangnya golongan seumpama ini bukanlah kisahkan sangat apa Nabi kata, yang penting "ikut trend", "ikut fesyen", walaupun apa yang mereka ikutkan itu tidak langsung mendatangkan manfaat. Mungkin makhluk-makhluk di Sri Lanka itu jika diberikan akal pun, tidak akan rela dirinya ditindik di   hidung dan di teliga, apatah lagi kalau yang hendak ditindik itu di kelopak mata ataupun di pusat.

 

Berkaitan isu tatu pula, Rasulullah S.A.W. telah melarang umatnya dari melakukan Wasyam (tatu) dan Allah melaknat sesiapa yang melakukannya seperti yang telah disebutkan di dalam hadis riwayat Muslim. Walaupun hadis ini menyebutkan wanita yang ilaknat kerana bertatu dan minta dirinya ditatu, termasuk di dalam larangan dan juga laknat tersebut, kaum lelaki. Tatu juga, selain daripada dakwatnya yang menghalang air melalui kulit, ianya merosakkan kulit dan juga mencerminkan ketidak berakhlaknya si pemakai tatu tersebut. Di samping itu, budaya bertatu juga mencerminkan manfestasi penghambaan diri seseorang kepada budaya ikut-ikutan. Lagi pula yang diikutkan itu adalah budaya hendonisme dan juga para artis yang kafir dan juga yang bergelumang dengan dosa. Persoalannya adakah mereka yang melakukan tatu-tatu tersebut mengambil kira perkiraan seumpama ini?, rasanya otak mereka tidaklah terlalu ligat untuk berfikir semacam ini. Yang penting bagi mereka-mereka yang semacam makhluk di Sri Lanka ini ialah "trendy", "glamour", "ikut fesyen" dan juga bebas.

 

Rasanya sudah sampai waktu bagi mereka-mereka yang sedar, terutamanya para pembaca e-mail ini untuk membantu rakan-rakan mereka yang diperhambakan oleh ideologi ikut-ikutan yang telah ditindik dan ditatukan seumpama mahkluk-makhluk di Sri Lanka. Sedarkan mereka, dekati mereka dan juga bimbinglah mereka. Jangan biarkan mereka tenggelam di dalam khayalan mereka sehinggakan akal yang begitu bernilai tidak langsung mereka gunakan untuk membezakan yang mana baik dan yang mana buruk. Janganlah juga satu hari nanti bilangan anak-anak muda kita yang menjadi hamba ideologi ini mengatasi bilangan lembu-lembu di Sri Lanka yang berkeliaran di pekan-pekan dan juga bandar-bandarnya dengan badan yang bertatu serta telinga, hidung dan pusat yang bertindik...

 

 


Yahoo! Mail Mobile
Take Yahoo! Mail with you! Check email on your mobile phone.

Yahoo! Groups Links





--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise.

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest".




Yahoo! Groups Links

Kirim email ke