Pemuda Pas dedah ada pemimpin parti hidup mewah

Oleh: ZULKIFLEE BAKAR

KOTA BHARU 1 Jun - Dewan Pemuda Pas hari ini secara terbuka mendedahkan sikap segelintir pemimpin mereka yang disifatkan telah dijangkiti penyakit elit, ego, angkuh dan mewah.

Ketuanya, Salahuddin Ayub memberi contoh, ada di antara mereka selesa memandu kereta-kereta berjenama mewah, memakai pakaian yang anggun dan membina mahligai perkasa.

Malah, katanya lagi, mereka turut tidur di hotel ternama serta terpesona dengan gelaran Datuk atau Yang Berhormat (YB).

Ketika menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan Pemuda Pas Pusat ke-46 di sini, malam ini, Salahuddin berkata:

``Mereka tidak lagi merasai keperitan hidup rakyat, kemiskinan petani, penderitaan setinggan, kesempitan peneroka, kesulitan nelayan, kelaparan buruh dan kesengsaraan pengguna.

``Saya menimbulkan perkara ini sebagai satu ancaman dalaman yang sangat berbahaya kerana wujudnya kelompangan yang besar terhadap sikap peduli rakyat di kalangan pimpinan kita.''

Salahuddin berkata, sebagai parti yang berorientasikan massa dan berkecimpung dalam politik demokrasi, mahu tidak mahu hubungan dengan rakyat mestilah menjadi agenda utama.

Katanya: ``Pas telah memiliki tokoh seperti Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang begitu sederhana hidupnya, tetapi amat malang apabila mesej dan teladan yang ditunjukkan oleh pemimpin tertinggi parti tidak dapat dihayati dengan berkesan oleh sebahagian besar pemimpin Pas pada hari ini.

``Satu masa dahulu kita sering kali mengkritik pemimpin-pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang berada dalam kerajaan kerana hidup mewah dan melupakan kesengsaraan rakyat. Mereka hidup bersama golongan elit dan aristokrat dengan budaya yang angkuh, ego dan mewah.

``(Tetapi) pada hari ini pemimpin-pemimpin UMNO dan BN mulai sedar kesilapan mereka, dan mereka mulai turun ke bawah menemui masyarakat, tidur di rumah-rumah rakyat, berjemaah di surau, makan bersila dan memandu kereta-kereta berjenama tempatan.''

Sehubungan itu, beliau berharap elemen `tasawuf' dapat dikembangkan semula di kalangan ahli-ahli dan pimpinan parti.

Ia, katanya, supaya mereka dapat memahami erti keselesaan hidup dalam penderitaan rakyat dan tidak dihinggapi penyakit `al-wahn', cintakan dunia bencikan mati.''

Salahuddin berkata, apa yang lebih membimbangkan, Pas kini juga diancam krisis perpaduan apabila budaya baru muncul dalam parti itu dengan wujudnya perbuatan cantas mencantas, fitnah, mencerca individu, pembocoran rahsia parti dan mewujudkan puak dalam parti.

``Saya bimbang sekiranya fenomena ini tidak ditangani, muncul pula budaya-budaya yang lebih buruk seperti rasuah dan politik wang di dalam parti kita,'' katanya.

Beliau berkata, kini wujud pemikiran dan percubaan politik adu domba yang cuba membangkitkan isu ulama-profesional atau ulama dengan bukan ulama.

``Dewan Pemuda Pas menganggap inilah fahaman jahiliyah yang cuba dibawa ke dalam parti dan ia sangat berbahaya kepada perpaduan dan keutuhan kita.

``Sebenar tidak timbul soal dikotomi ulama-profesional dalam PAS kerana ulama dan profesional telah lama berganding mahu memajukan Pas semenjak 1951. Tetapi kerana wujudnya golongan tertentu yang berkepentingan sempit, maka persoalan dikotomi ini sengaja dibangkit dan diapikan,'' tegasnya.

Salahuddin mengingatkan, isu-isu dalaman ini sebenarnya lebih berbahaya kepada Pas jika dibiarkan berlarutan, berbanding ancaman daripada luar.

Dalam ucapan itu juga, Salahuddin menggesa supaya Pas bersedia mencipta semula parti itu melalui proses penjenamaan yang lebih strategik dalam pasaran politik negara ini.

``Pas perlu dilihat sebagai berwajah Malaysia dan memainkan peranan sebagai gerakan politik nasional yang diyakini rakyat untuk menjadi alternatif kepada BN,'' katanya.

Pas, kata Salahuddin perlu mengakui bahawa mereka masih dilihat oleh rakyat sebagai parti yang berada di pinggir realiti politik Malaysia dan oleh itu mereka mesti bergerak ke tengah.

``Pas mestilah dielakkan daripada dilihat mewakili umat Islam, orang Melayu, rakyat Kelantan, golongan tua atau masyarakat bawahan sahaja.

``Tetapi Pas mesti berada di tengah-tengah masyarakat mewakili kepentingan semua agama, semua bangsa, semua negeri, semua golongan dan setiap lapisan masyarakat,'' katanya.


Send instant messages to your online friends http://asia.messenger.yahoo.com


--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise.

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest".




Yahoo! Groups Links

Kirim email ke