Betapa hampasnya pemikiran itu...
Shatibi Ishaq
Ketika membelek akhbar "The Star" bertarikh 1 Jun 2005 , ada sebuah ruangan yang pastinya akan menarik perhatian para pembaca, terutamanya para pembaca muslim. Ruangan yang sentiasa sarat dengan isi-isi yang kontreversi, terutamanya dalam isu-isu yang melibatkan agama Islam. Bagi penulis tersebut, itulah "perjuangannya" untuk menegakkan gaya hidup demokrasi dan menyuburkan ideologi Liberalisme yang sepatutnya (menurut perkiraan beliau) wajib diimani oleh semua rakyat Malaysia. Penulis ruangan tersebut yang juga merupakan anak salah seorang mantan Perdana Menteri, sentiasa diberikan layanan kelas pertama di media-media arus perdana berbahasa Inggeris dan terutamanya akhbar "The Star". Setiap kenyataannya, pendapatnya dan juga apa sahaja komennya pasti akan mendapat tempat, seolah-olah tiada selain beliau yang lebih arif tentang sesuatu perkara yang dibincangkannya, terutamanya dalam persoalan HIV, feminisme, gaya hidup moden, gaya hidup liberal dan juga pluralisme Malaysia. Itulah kuasa media...Pak Pandir pun akan menjadi lebih hebat dari Einstein dengan kuasa media.
Apa yang menarik pada tulisannya yang bertarikh 1 Jun 2005 itu?, selain daripada kebiasaannya memperlekehkan golongan yang dianggapnya sebagai "religious zealots", taksub dan anti-kemajuan, kemahirannya mempersendakan ulama dan hukum-hukum Islam yang dianggap kuno, beliau juga tidak ketinggalan meluahkan ketidak puashatiannya terhadap masyarakat Islam Malaysia arus perdana dan pengamalan kuno mereka terhadap agama dan juga kejahilan mereka terhadap erti kemajuan seperti yang difahamnya. Artikel yang bertajuk "More things not to do" itu secara sinis telah menempelak norma sesetengah rakyat malaysia yang cuba menjadi jaguh agama menurut perkiraan penulisnya. Di dalamnya beliau merungut kerana banyak perkara yang tidak boleh dibuat jika diri rakyat Malaysia dibiarkan mengikut sahaja norma-norma tersebut.
Beliau amat risau kerana dengan norma-norma tersebut, ramai orang tidak boleh pergi menonton wayang berdua-duaan, tak boleh bercakap ketika mendengar azan, tidak boleh menonton acara-acara hiburan, terpaksa melalui ujian-ujian tertentu untuk berkahwin dan sebagainya. Beliau juga merungut bahawa rakyat Malaysia dibelenggu daripada berfikir dan bercakap kerana norma-norma ini. Sekali lagi alasan-alasan yang dikemukakan adalah kerana terlalu banyak sekatan untuk berhibur dan melakukan maksiat. Lebih melampau lagi apabila beliau merungut bakal wujudnya tempat duduk berasingan di dalam kenderaan untuk lelaki dan wanita, kenderaan berasingan berasaskan gender dan jauh daripada itu beliau menjangkakan akan wujud kenderaan berasingan di antara muslim dan bukan muslim jika rakyat Malaysia terlalu mengikutkan kehendak golongan-golongan yang tidak dipilih oleh rakyat untuk menentukan polisi. Sehebat nujum Pak Belalang penulis ini di dalam melepaskan kegeramannya. Kesimpulannya kerisauannya beliau yang teramat hanyalah kerana tiada peluang untuk berhibur, seolah-olah rakyat Malaysia ini hidup untuk berhibur.
Yang menariknya, di akhir artikelnya, dia menyuruh rakyat Malaysia bangkit untuk mempertahankan hak mereka di bawah sistem demokrasi yang telah dicabuli oleh wakil-wakil yang tidak mereka lantik!, alangkah jitunya semangat srikandi ini...
Sayangnya, teramat cetek perkiraannya. Teramat kecil pula nuansa pemikirannya. Segalanya berkisar tentang hiburan dan kebebasan untuk melakukan perkara-perkara yang bukanlah perkara asasi di dalam kehidupan rakyat Malaysia. Tanpa hiburan, kehidupan tidak bermakna, tanpa hiburan demokrasi tidak bermakna. Dia tidak sepatutnya dipersalahkan, kerana dia hanya dibesarkan di dalam kemewahan, diuliti dengan kesenangan dan diadun di dalam kehidupan golongan atasan borguise. Adalah mustahil untuk mengharapkan darinya pemahaman sebenar demokrasi dan juga erti kebebasan yang sebenar yang diinginkan oleh rakyat yang bertamadun. Tidakkah dia sedar bahawa demokrasi sudah lama mati di bumi Malaysia Boleh ini???
Berapa ramai yang ditahan tanpa bicara?, berapa ramai pula yang diseksa tanpa diberikan hak untuk membela diri di Malaysia, terutamanya di zaman bapanya. Hak untuk bersuara memang tiada, dengan ISA, OSA dan juga AUKU, rakyat sudah lama dibisukan dari bersuara untuk mempertahankan hak mereka. Kuasa eksekutif begitu rakus merogol hak-hak rakyat. Harta rakyat disamun, duit rakyat digunakan sesuka hati, dan rakyat terus menderita. Yang kaya hanyalah segelintir dari golongan atasan dan kroni masing-masing. Mengapakah penulis ruangan "Musings" itu tidak perasan?, atau hiburan yang berlebihan telah merabunkan matanya?...hanya beliau yang tahu jawapannya.
Jika dia ingin memperkatakan tentang hak wanita, di Malaysia sudah lama hak wanita dicabuli. Bukan kerana mereka tiada kuota di parlimen pra persidangan wanita NAM 2005. Bukan juga kerana mereka dipaksa bercadur seperti wanita-wanita di Afghanistan era Taliban, tetapi kerana hak mereka untuk mendapatkan "maternity leave" yang sepatutnya diabaikan, hak mereka untuk mendapatkan "maternity bonus" dinafikan, hak mereka untuk menutup aurat di sesetengah syarikat swasta dinafikan, hak mereka untuk dijamin keselamatannya terus kabur bersama angin lalu. Tiada jaminan keselamatan untuk para wanita, prasarana yang diwujudkan langsung tidak mengambil kira kemaslahatan wanita. Mengapa merungut jika ada ruang khas untuk wanita di dalam bas atau LRT sebagai contoh?, itu bukan kerana alasan gender, tetapi untuk keselamatan wanita dari diraba, diragut dan malah dirogol. Jika di Jepun, ada sesetengah gerabak keretapi yang memisahkan lelaki dan wanita untuk tujuan ini, mengapa di Malaysia kita tidak boleh?, bukankah mangsa-mangsa rogol, raba, ragut dan penyeluk saku kebanyakannya adalah wanita, dan pelakunya pula adalah lelaki?, tidakkah tindakan sedemikian hanya akan menjamin kemaslahatan wanita juga? Sayangnya untuk mereka yang berfikiran hampas dan telah dinajisi oleh lumpur-lumpur feminisme yang ekstrim, mereka tidak akan dapat menilainya dengan waras.
Di Austria pula, kawasan-kawasan parking khas untuk wanita disediakan di hadapan-hadapan pintu masuk bangunan demi mengelakkan kejadian rogol, ragut dan juga peras ugut. Peliknya tidak pula muncul Pak Nujum-Pak Nujum sehebat bintang "Musings" ini di sana membantah. Mengapa?, kerana mereka tahu kelebihan di sebalik peraturan tersebut, dan mereka tidak pula mendahulukan nafsu mereka di hadapan pemikiran yang cerdik dan bernas. Itulah kelebihan mereka, atau mungkin juga penulis artikel tersebut tidak pernah meletakkan kereta-kereta mewahnya di tempat parking konvesional, almaklumlah anak orang kenamaan, sudah tentu parkingnya tidak seperti orang biasa. Cuti bersalin di Austria pula berlangsung selama dua tahun dengan elaun beranak yang diberikan sepanjang tempoh tersebut. Mengapakah perkara sebegini yang memberikan manfaat kepada rakyat tidak disuarakan oleh penulis "Musings" ini?, mungkin kerana "Master"nya tidak pernah mengarahkannya untuk berbuat demikian...
Harga minyak yang semakin naik, gaji pekerja yang tidak setimpal tanpa ada had minima gaji di dalam negara. Tiada social security, tiada biasiswa untuk pelajar peringkat universiti (yang ada hanyalah pinjaman PTPTN dengan kadar bunga 3%), hospital hendak diswastakan, tanah-tanah rakyat diambil sewenang-wenangnya untuk dikurniakan kepada para kapitalis, surau-surau dirobohkan, tiada elaun untuk warga cacat dan dan kurang upaya, dan 1001 lagi kekalutan dan kepincangan perjalanan demokrasi di dalam Malaysia "the bolehland" tidak pula ternampak oleh penulis ruangan tersebut. Bukankah ini yang lebih bermakna bagi majoriti rakyat berbanding hak untuk berkepit ketika menonton wayang ataupun hak wanita untuk menonton bola?, ataupun sang penulis tidak pernah mengetahui kesengsaraan rakyat kerana kemewahan yang melimpah ruah di keliling pinggangnya?
Masalah gangsterisme yang semakin parah di sekolah-sekolah seirjng dengan teknologi IT yang dijalankan di sekolah-sekolah tersebut, masalah rogol yang semakin membimbangkan, jenayah pandu laju dan langgar lari oleh para pemandu trailer, indeks pencemaran air, udara dan bunyi yang semakin parah serta kejahilan rakyat tentang hak-hak asasi mereka untuk hidup, untuk bersuara, untuk mendapatkan sekelumit dari kekayaan negara yang dilapah oleh segelintir golongan manusia aristokrat dan 1001 lagi kemelut yang melanda negara di atas nama demokrasi, mengapa tidak pula dinampak sebagai pencabulan demokrasi itu sendiri? Amat pelik bin hairan dan uniknya kedunguan pejuang ideologi Liberalisme ini. Sudah sampai masanya rakyat untuk celik dan memberitahu kepada akhbar "The Star" supaya menggantikan beliau dengan mereka-mereka yang lebih cerdik dan lebih luas pemikirannya, berbanding dengan tulisan-tulisan murahannya yang pastinya boleh dihasilkan hatta oleh penjual tiket wayang di panggung Capitol.
--------------------------------------------------------------------------
All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise.
If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest".
Yahoo! Groups Links
- To visit your group on the web, go to:
http://groups.yahoo.com/group/hidayahnet/
- To unsubscribe from this group, send an email to:
[EMAIL PROTECTED]
- Your use of Yahoo! Groups is subject to the Yahoo! Terms of Service.
