Adakah Islam menzalimi wanita?



Assalamualaikum w.b.t



Saudara-saudaraku sekalian,



            Telah menjadi kebiasaan, keadaan Islam sejak diutuskan para
nabi a.s, pasti dibebani dengan tentangan dan tribulasi. Musuh-musuh
Islam dari kalangan Yahudi dan Nasrani tidak henti-henti mencari lubuk
kelemahan Islam sehinggalah ke saat kewafatan nabi s.a.w dan ianya
digiatkan sehingga ke hari ini. Usaha mereka telah berjaya apabila khilafah
Islamiah dapat dijatuhkan melalui penerapan ideologi nasionalisme. Sikap
inilah yang membuatkan mengapa khilafah Turki Uthmaniah jatuh di tangan
kuasa kuffar pada tahun 1924. Orang arab tidak lagi menganggap bangsa
Turki yang menjadi khilafah sebagai saudara se-Islam mereka malah
menuduh mereka sebagai musuh dan penjajah yang wajib diperangi. Dalam masa
yang sama, Kamal Atartuk meniupkan ajaran sekularisme dari dalam negera
Turki untuk menggulingkan khilafah Uthmaniah yang dipimpin oleh Sultan
Abdul Hamid II. Akhirnya, kerajaan Turki bukan sahaja mendapat pukulan
hebat daripada tentera-tentera kuffar malah dipukul oleh orang Arab yang
telah disirami dengan mandian nasionalisme.



Pasca-kejatuhan Islam pada tahun 1924, umat Islam dipecah-pecahkan
kepada para penjajah mengikut bangsa dan negeri masing-masing. Malaysia,
India, Iraq, Mesir, negeri-negeri Teluk, Sudan, Palestin dan Nigeria
diberikan kepada British. Algeria, Tunisia, Moroko dan Syiria diberikan
kepada Perancis. Belanda menjajah kepulauan Indonesia. Italy menjajah
Libya dan Negara-negara Islam Asia Tengah dijajah oleh Soviet Union dan
China Komunis. Umat Islam terus disuntik dengan ideologi-ideologi kuffar
beradunkan kemajuan dan prasarana kontemporari di samping menempangkan
imej Islam dengan kemunduran dan kezaliman. Kesannya, lahirlah generasi
Islam yang memperjuangkan “Fundamental Islam”, lahirlah generasi
Islam yang memperjuangkan “liberalisasi” dan lahirlah generasi Islam yang
menjadi opposisi Islam. Melalui peng-Globalisasi-an yang tiada sempadan
dan batasan, melalui penguasaan ekonomi dan politik, integriti Islam
terus dicalari.



            Persoalan “Gender Equality” kini menjadi polemik hangat
berlegar di setiap penjuru dunia. Rentetan tindakan berani Prof Dr.
Amina Wadud menjadi Imam solat Jumaat, justeru telah mencatat rekod di
dalam sejarah Islam dan dunia yang tidak boleh dilupakan. Perdebatan demi
perdebatan bergerak aktif di seluruh dunia membincangkan mengenai
persoalan ini. Tindakan tersebut bertujuan untuk menonjolkan bahawa wanita
mampu melakukan kerja yang sama seperti lelaki. Ia sekaligus menimbulkan
spekulasi negatif terhadap Islam tentang diri wanita . Persoalannya,
adakah benar Islam merupakan agama yang mendiskriminasikan kaumwanita?
Mari kita membuat penilaian berdasarkan tiga perkara yang berdasarkan
buku “Nilai Wanita”, karangan K.H Moenawwar Chalil:



1)      Kedudukan wanita di dalam agama Yahudi dan Nasrani.

2)      Kedudukan wanita di dalam masyarakat bangsa-bangsa di seluruh
dunia.

3)      Kedudukan wanita di dalam Islam.



1. Kedudukan wanita di dalam agama Yahudi dan Nasrani.



Bukti dari kitab Bible “perjanjian lama”:



“Katakanlah ini kepada semua bani Israel: Apabila bunting seorang
perempuan lalu melahirkan anak lelaki, maka najislah ia tujuh hari lamanya,
seturutnya hari haid yang biasa ….” (Imamat Fasal XII ayat 2)



“Tetapi jika melahirkan anak perempuan, maka dua kali tujuh hari
lamanya najislah ia(14 hari), seperti haidnya yang biasa, kemudian hendaklah
ia tinggal lagi enam puluh enam hari lamanya dalam darah taharahnya.”
(Imamat Fasal XII ayat 5)



Ayat-ayat dalam Bible “Perjanjian Baru” yang berkenaan dengan kaum
perempuan.



“Tetapi aku berkata kepadamu: Barangsiapa yang bercerai dengan
isterinya, kecuali sebab zina, ialah menjadi sebab perempuan itu berbuat
zina, dan barangsiapa yang kahwin dengan perempuan yang diceraikan itu,
maka diapun melakukan zina” (Matius Fasal V ayat 22)



“Hai segala isteri, hendaklah kamu tunduk kepada suamimu seperti
kepada Tuhan. Kerana suami itu kepala isterinya seperti Almasih pun kepala
siding, maka juga yang memeliharakan tubuh. Maka sebab itu, seperti
siding itu tunduk kepada Almasih, demikianpun hendaknya segala iseri tunduk
kepada suaminya dalam tiap-tiap perkara.” (Epesus V ayat 22-24)



Apa pula pendapat tokoh-tokoh Kritian dan Yahudi terhadap wanita:



   Martin Luther, seorang penganjur besar Protestan, yang telah sengaja
membongkar habis-habisan segala macam bid’ah dan khurafat di dalam
agama Katholik, masih menasihatkan dan berpesan agar kaum wanita dijauhkan
daripada pendidikan, dengan alasan tidak gunanya bagi wanita diberikan
pendidikan.



   Di dasar patung Raja Henry VII, Raja Inggeris ada tertulis dengan
huruf besar iaitu: “Dilarang keras wanita dan orang yang sama taraf
dengannya menerima pendidikan dan mengetahui isinya yang berfaedah”



   Sehingga tahun 1850, di England dan Boston, masih terdapat
undang-undang yang sebegini: “Perempuan tidak dibolehkan bertindak maju, suami
diberikan hak memukul anak daranya dengan tongkat sebesar ampu jari,
sedang perempuan tidak ada hak sedikitpun, hingga pada pakaian dan titik
peluhnya sendiri.”



   John Damascene menyatakan: “Perempuan adalah anak dari kedustaan,
penunggu Neraka, musuh keselamatan. Kerananya Adam terusir dari
Syurga.”



   Kata Bernhard: “Perempuan itu adalah anggota dari syaitan”



   Kata Antony: “Perempuan itu adalah asal mulanya dari tangan syaitan
kemudian suaranya adalah dari siulan ular.”



            Kedudukan kaum wanita dalam masyarakat Yahudi paling tepat
dapat digambarkan oleh ucapan-ucapan yang diucapkan oleh mereka di
dalam sembahyangnya pada tiap-tiap pagi: “Terpujilah Tuhan Rabbul
‘Alamin, yang telah menciptakan aku tidak menjadi wanita”. Dan golongan
wanita Yahudi di dalam sembahyangnya mengucapkan: “Terpujilah Tuhan Rabbul
‘Alamin, bahawa Dia menjadikan aku mengikut kehendakNya.”



Dari beberapa ayat di dalam bible, baik dari Perjanjian lama dan
Perjanjian Baru, tokoh-tokoh besar Kristien, para pemimpin gereja dan doa
golongan Yahudi sudah cukup untuk membuktikan tanggapan mereka terhadap
kaum wanita begitu jelek dan hina sekali. Bukti ini memadai untuk antum
semua membuat penilaian dan kesimpulan terhadap agama Kristian dan
Yahudi. Adakah kita masih mahu berkiblatkan telunjuk mereka lagi?  



2. Kedudukan wanita di dalam masyarakat bangsa-bangsa di seluruh dunia.



Bangsa Rome:



Di antara abad ke II sebelum masihi, kaum wanita yang dipandang
bersalah di tanah Roma, telah diperlakukan dan dizalimi oleh kaum lelaki
dengan hukuman yang amat menyakitkan. Contoh perbuatan kejam itu adalah:



a.      Badannya dituangkan dengan air panas sampai mati.

b.      Tangan dan kakinya masing-masing diikat dengan seekor kuda,
setelah itu kuda-kuda tersebut lari dengan pantasnya sehingga
terputus-putus anggota badannya.

c.       Dibakar di atas nyalaan api yang bernyala-nyala, hingga daging
dan tulangnya jatuh sedikit demi sedikit sampai hancur.



Bangsa Perancis:



Di beberapa daerah Perancis sejak dahulu sampai sekarang masih didapati
banyak adat kebiasaan bahawa jika seorang perempuan melahirkan anak
lelaku, ia boleh makan daging dibakar dengan anggur dan gula. Sekiranya
perempuan itu melahirkan anak perempuan, cukuplah baginya makan bubur
sahaja.



Bangsa Inggeris:



Tuan Herbert Spencer, seorang ahli ilmu pengetahuan pernah menulis:
“Perempuan itu terus menjadi manusia yang rendah kecerdasannya …”



Sahabatku sekalian,



Inilah contoh pandangan mereka terhadap kaum wanita. Wahai PUTERI,
PEREMPUAN dan WANITA, semakin cantik rupamu, semakin langsing batang
tubuhmu, semakin halus dan licin kulitmu, semakin besarlah bahaya yang
mengancam keselamatan jiwamu. Penindasan dan kezaliman terhadap wanita terus
menerus direncanakan tanpa disedari, cuma yang membezakannya adalah
cara dan pendekatannya. Jika dirimu tidak disirami cahaya keimanan, maka
engkau akan memandangnya sebagai erti. Tetapi sekiranya engkau
mengetahui, sesungguhnya ia adalah bahan perosak yang memusnahkan nilai
darjatmu.



3. Kedudukan wanita di dalam Islam.   



a) Firman Allah s.w.t yang bermaksud:



“Wahai segenap manusia! Sesungguhnya Kami telah jadikan kamu dari
seorang laki-laki dan seorang perempuan, dan Kami telah jadikan kamu
berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu saling kenal mengenali.”
(al-Hujerat: 13)



“Dan barangsiapa yang mengerjakan kebajikan, baik dari lelaki dan
perempuan, dan ia beriman, maka mereka itu akan masuk syurga dan mereka
tidak akan dianiayai sedikitpun.” (an-Nisa’ 124)



“Dan barangsiapa yang mengerjakan kebajikan, baik dari lelaki dan
perempuan, dan ia beriman, maka mereka itu akan masuk syurga, mereka di
dalamnya diberi rezeki dengan tidak terhitung.” (al-Mu’minun: 41)



“Dan orang-orang mukmin lelaki dan orang-orang mukmin wanita,
sebahagiannya menjadi pembantu kepada sebahagian yang lain …” (at-Taubah: 71)



Berikut merupakan beberapa contoh dari Firman Allah s.w.t dan banyak
lagi sebenarnya dalil-dalil yang terdapat di dalam al-Quran.



b) Hadis-hadis nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud:



“Bahawa sesungguhnya orang-orang perempuan itu saudara bagi
orang-orang lelaki.” (Hadis riwayat Ahmad, Abu Dawud dan Tirmidzy dari Siti
Aisyah r.a)



“Sesungguhnya daripada kesempurnaan orang-orang mukmin lelaki pada
imannya ialah mereka yang baik budi pekertinya dan lebih sopan pada
isterinya.” (Hadis riwayat Tirmidzy dan Hakim dari Siti Aisyah r.a)



“Sebesar-besar kewajipan atas seorang lelaki itu adalah kepada
ibunya” (Hadis riwayat Hakim dari Siti Aisyah r.a)



“Syurga itu dibawah tapak kaki ibu” (Hadis riwayat Ahmad al-Qadhy dan
al-Khathieb dari Siti Aisyah r.a)



“Mencari ilmu itu menjadi kewajipan kepada setiap orang muslim lelaki
dan perempuan” (Hadis riwayat Ibnu ‘Ady dan al-Baihaqy dari Anas r.a)



“Telah didapati - oleh Nabi s.a.w - bahawa seorang perempuan yang mati
terbunuh di dalam satu peperangan Rasulullah s.a.w, maka baginda
melarang membunuh perempuan dan anak-anak dalam peperangan.” (Hadis riwayat
Abu Daud dari Ibu Umar r.a)



Kesimpulan:



Sidang pembaca sekalian,



Berdasarkan ketiga-tiga perbandingan yang diberikan, marilah kita
membuat penilaian adakah Islam mendiskriminasikan kaum wanita? Sebenarnya,
Islamlah yang telah mengangkat darjat wanita. Oleh itu, perkukuhkan
keimanan kita bahawa Islam adalah agama yang adil yang datang dari Allah
yang Maha Adil. Sebagaimana Allah itu bersifat dengan sifat Adil dan
mengharamkan diriNya bersifat dengan sifat Zalim, maka begitulah
diperintahkanNya kepada hambaNya agar berlaku Adil dan menjauhi sifat zalim.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud:



“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil”



“Sesungguhnya Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang
yang zalim”



Adakah neraca keadilan Islam itu sama seperti neraca keadilan pada
pandangan mata manusia seperti yang digariskan oleh Plato dan Aristotle?
Sudah tentu tidak. Islam mendefinasikan adil itu dengan “Meletakka
sesuatu itu pada tempatnya”. Maka, barangsiapa yang tidak melakukan dan
bersifat dengan prinsip keadilan yang diterapkan Islam, sesungguhnya dia
telah melakukan kezaliman. Salah satu contoh kezaliman adalah seperti
mana yang diwasiatkan oleh Luqman al-Hakim kepada anaknya yang disebutkan
di dalam al-Quran yang bermaksud:



“Sesungguhnya syirik(kepada Allah) itu adalah kezaliman yang besar”



            Oleh itu saudara, sekiranya kita menganggap Islam itu zalim
dan tidak adil dan seterusnya meyakini terdapat sistem dan agama lain
yang lebih baik daripada Islam, maka kita telah syirik dan menzalimi
diri kita sendiri. Inilah yang telah Allah sebutkan di dalam al-Quran
kepada golongan yang kuffur kepada Allah:



“Dan Allah sesekali tidak hendak menganiaya mereka, tetapi merekalah
yang menzalimi diri mereka sendiri.” (al-Ankabut: 40)



Oleh itu, wajarkah tindakan Amina Wadud tersebut? Tepuk dada, tanya
iman masing-masing.



Wallahu a’lam.

Send instant messages to your online friends http://uk.messenger.yahoo.com


--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise.

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest".




Yahoo! Groups Links

Kirim email ke