Personaliti Bisnes : Pernah kerja tarik kabel


KEMELESETAN ekonomi telah memusnahkan impian ramai individu. Banyak 
syarikat terpaksa gulung tikar, pemiliknya pula ramai muflis 
menyebabkan kebanyakannya putus asa.

Bagi yang tabah, kesusahan adalah persediaan untuk mencapai kejayaan 
lebih besar.

Inilah pegangan Omar Khalid, Pengarah Urusan dan pengasas Tanjung 
Offshore Bhd, penyedia perkhidmatan bersepadu untuk industri minyak 
dan gas yang disenaraikan di Papan Kedua Bursa Malaysia.

"Kesusahan memberikan saya kekuatan dalaman. Pandangan jadi lebih 
jelas, fikiran lebih terbuka dan berpijak di bumi pun lebih kukuh," 
katanya.

Walaupun tidak mengalami kesan langsung seperti yang dihadapi 
golongan peniaga, kemuraman kegiatan ekonomi negara turut 
memusnahkan impiannya.

Apa tidaknya, sekembalinya ke tanah air selepas menamatkan pengajian 
dalam bidang perakaunan di Eastern Michigan University Amerika 
Syarikat (AS) pada 1984, tiada kerja yang sesuai dengan kelulusannya 
yang menunggu.

Walaupun harapannya sebelum ke AS adalah untuk pergi lebih jauh 
dalam bidang perakaunan dan lebih terkilan beliau sanggup melepaskan 
jawatannya di sebuah firma juruaudit terkemuka antarabangsa.

"Ketentuan Allah memang tidak boleh kita duga. Apabila balik ke 
Malaysia, kerja pula tak ada kerana ekonomi negara ketika itu sedang 
di kemuncak kemelesetan," kata Omar.

Namun, beliau tidak memilih kerja, apa saja kerja halal yang boleh 
mendatangkan pendapatan dibuatnya, termasuk sebagai buruh.

"Sukar untuk digambarkan betapa peritnya kehidupan ketika itu. Saya 
terpaksa menjadi buruh kontrak, menarik kabel telefon dan bekerja 
saban hari di bawah terik matahari dengan upah RM400 sebulan.

"Memang perit. Apabila memikirkan anak dan isteri di rumah, saya 
tidak mempunyai pilihan," kata Omar.

Selepas hampir setahun bekerja menarik kabel, akhirnya beliau 
mendapat pekerjaan yang sesuai dengan kelulusannya di sebuah 
syarikat swasta.

Setelah puas bekerja makan gaji dan menimba pengalaman, beliau 
memutuskan untuk bekerja sendiri.

Pengalaman lebih 10 tahun dalam bidang perakaunan dan audit banyak 
mendedahkan beliau kepada pelbagai operasi dalaman syarikat 
pelanggan.

Daripada situ beliau mendapati perniagaan berkaitan minyak dan gas 
adalah industri paling berpotensi untuk berkembang maju dan banyak 
perniagaan hilirannya masih belum diterokai.

Justeru, beliau memilih bidang berkenaan sebagai perniagaan yang 
bakal diceburinya.

Walaupun menyedari tiada pengalaman, dengan sokongan padu rakan 
dalam industri terbabit, beliau memutuskan untuk berhenti kerja 
makan gaji dan menumpukan sepenuh masanya kepada perniagaan 
berkenaan.

Bermodalkan RM100,000 hasil simpanan selama 10 tahun, pada 1990, 
beliau dan seorang rakannya menubuhkan Tanjung Offshore Services Sdn 
Bhd.

Kontrak pertamanya ialah menyewakan sebuah kapal penggerudi bagi 
kerja mencari gali minyak yang disewa daripada syarikat Norway 
kepada Overseas Private Investment Corporation (OPIC).

Seperti kata pepatah, `harapkan panas sampai ke petang, rupanya 
hujan di tengah hari' selepas kontrak pertama itu, syarikatnya mula 
menghadapi kesukaran.

"Tahun kedua dan ketiga kami menghadapi banyak tekanan. Tak dapat 
kontrak, duit pula sudah mula kering," katanya.

Kerana sudah biasa dengan kesusahan, ia tidak mematahkan semangatnya 
untuk terus berusaha memajukan syarikat.

Secara perlahan, beliau meningkatkan perkhidmatan ditawarkan Tanjung 
Offshore, sekali gus menambah asas pendapatan syarikat. 

Hari ini, syarikat itu turut terbabit dalam pembekalan kelengkapan 
kejuruteraan dan alat ganti, perkhidmatan marin, sokongan teknikal 
serta penyenggaraan.

Omar juga turut membawa masuk profesional industri minyak dan gas 
tempatan ke dalam syarikat itu.

Tanjung Offshore baru-baru ini melancarkan kapal Anchor Handling Tug 
Supply Vessel sepanjang 60 meter milik sendiri.

Kapal yang diberi nama Tanjung Huma itu, dilengkapi peralatan 
canggih yang boleh mengangkut sehingga 600 tan kargo atas dek dan 
1,000 tan cecair di tangki.

Sebuah lagi kapal sepanjang 45 meter sedang dibina di Pelabuhan 
Klang membabitkan perbelanjaan RM22 juta.

Sebuah bank saudagar menganggarkan aset Tanjung Offshore kini 
bernilai lebih RM42 juta.

Merenung kembali kejayaan yang sudah diraihnya, Omar berkata 
walaupun bukan daripada sekolah elit, beliau bersyukur memiliki 
kawan lama yang sedia membantu dan memberi sokongan ketika dalam 
kesusahan.

"Saya juga bersyukur mempunyai isteri yang setia di sisi ketika 
waktu susah dan senang," katanya.

Pesannya kepada usahawan muda; "Kita kena bersusah payah dulu 
sebelum mencapai kejayaan. Belanja mengikut kemampuan dan mesti 
pandai memilih kawan. Salah kawan, lingkup."

"Apabila sudah berjaya, jangan lupa diri dan jangan lupa bersyukur," 
tegasnya.





--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in 
any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved 
otherwise. 

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily 
digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your 
mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the 
title "change to daily digest".  
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/hidayahnet/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 


Kirim email ke