“Nuni haram zadah! Aku, hendak engkau beri makan sedekah? Jika pada bapak-bapakmu yang lain boleh!” --- Tun Hassan Temenggung memarahi seorang saudagar, Ali Manu Nayan kerana cuba mem’beli’nya dengan hadiah-hadiah.

[Tun Seri Lanang, Sulalatus Salatin, bab – Tun Hasssan Temenggung Cuba Di”beli”]

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

 

            Alkisahnya, ada seorang saudagar yang sangat kaya lagi ternama di Melaka, Ali Manu Nayan namanya. Adapun segala pembesar negeri selalu bertandang ke rumahnya dan semuanya beroleh hadiah. Kecualilah Tun Hassan Temenggung, anak Bendahara Seri Maharaja yang enggan ke rumahnya. Tun Hassan bersikap tegas menolak rasuah dan apa-apa jua hadiah daripada kapitalis purba ini.

 

Peristiwa ini terjadi di zaman pemerintahan Sultan Mahmud Syah. Maknanya, hal saudagar cuba membeli penguasa serta menteri-menteri bukan cerita baru. Namun, watak seperti Tun Hassan Temenggung mustahil pupus sudah di zaman ini. Kata pepatah orang Melayu, dalam setandan pisang, mustahil semuanya buruk.

 

Demikianlah di dalam Umno. Mustahil sudah hilang orang-orang yang jujur serta amanah kepada parti dan bangsa. Tun Seri Lanang (TSL) cuba mengingatkan kita darihal bahaya berdampingan dengan kaum saudagar yang sentiasa mencari ruang serta mencuri peluang untuk menyogok para pegawai kerajaan.

 

Jika budaya membeli pembesar dengan wang hadiah wujud sebelum penjajahan, tidak mustahil hal yang sama berlaku sesudah penjajah meninggalkan negara kita. Di sini, tidak boleh kita menyalahkan penjajahan kerana nilai ini, budaya membeli undi–membeli kepercayaan orang dengan wang, sudah lama tertanam di dalam jiwa sesetengah orang Melayu khususnya yang bergelar pembesar dan juga saudagar.

 

Maka, sikap inilah yang mungkin membawa kepada penjajahan. Akhirnya, ia pun merebak dan berkembang menjadi suatu budaya rasuah yang makin diterima dan popular di peringkat atasan. Mungkin juga rahsia-rahsia pertahanan kerajaan Melayu dahulu telah dijual kepada Portugis sehingga menyebabkan kita alah dengan penjajah.

 

Apa pun yang terjadi, ‘budaya rasuah’ atau culture of corruption mestilah dikawal dikekang dan ditinggalkan dengan menggunakkan segala potensi dan kekuatan yang ada. Antaranya, dalam mesyuarat Umno, Putera Umno harus memantau dan melaporkan jika ada kalangan ahli Umno yang cuba membeli undi dan menjual maruah partinya.

 

Kekuatan seterusnya haruslah dibebankan kepada media. Kebebasan akhbar amat diperlukan wartawan bagi menyiasat – melaporkan kegiatan rasuah serta penyelewengan yang berlaku dalam kerajaan, badan berkanun dan parti politik.TSL misalnya hidup di era yang bebas untuk melaporkan peristiwa baik buruk bangsa Melayu dahulu sebagai iktibar bersama. TSL mendapat mandat khusus atas saranan oleh sekalian pembesar istana juga.

 

“… ada Hikayat Melayu dibawa oleh orang dari Goa; barang kita perbaiki … agar diketahui oleh segala anak cucu kita … dan boleh diingatkan oleh segala mereka … dan ada beroleh faedah ia daripadanya.” Ertinya di sini, kewartawanan – kesusasteraan Melayu berakar dari istana kerajaan. Saat itu, penguasanya menghormati pengarang ilmu. Misalnya, kitab sufi Duril Mazlum diarak dengan kain kuning sebagai penghormatan.

 

Justeru, wartawan – sasterawan Melayu di zaman bahari lagi hadhari menjunjung mandat mengarang dengan kebebasan sepenuhnya, penuh iltizam serta bertanggungjawab bagi menggarap usaha pembaharuan dan memupuk budaya ilmu dalam masyarakat.

 

Demikian penghormatan kepada wartawan Melayu purba serta tebal pula dengan ikatan keagamaan. Hari ini, jika negara ingin menjulang Islam Hadhari, tidaklah mustahil kebebasan diberikan sepenuhnya kepada wartawan kerajaan. Mereka pastilah menggarap amanah itu dengan bertanggungjawab asalkan kita memberi kepercayaan kepada mereka.

 

Amalan mengikat mereka dengan perundangan bererti kita merebahkan keyakinan kita kepada mereka. Wartawan sudah tentu telah dikawal, kerana mereka sudah diikatkan dengan etika dalaman. Adapun ‘etika’ luaran yang menghalang wartawan membersihkan amalan rasuah ini seharusnya dilonggarkan ataupun dimansuhkan. Itu pun jika kita benar-benar ingin mengikut jejak langkah para pemimpin Melayu yang bistari di zaman bahari.

 

Dengan berbekalkan kebebasan itu, TSL melaporkan peristiwa seperti kelemahan penguatkuasaan ‘polis’ sehingga Baginda Sultan Alauddin Riayat Syah juga turun padang untuk menangkap pencuri. Kekadang hikayat menggunakan sahibul hikayat bagi merujuk sumber-sumbernya dan mengguna empunya cerita bagi merujuk pengalaman sendiri.

 

Melalui Sulalatus Salatin, beliau melaporkan konflik antara istana dengan rakyat, merakam sengketa istana dan istana (kerajaan antara kerajaan), perselingkuhan pembesar dengan istana, pertikaian pembesar dengan rakyat, perbalahan sesama pembesar daripada peristiwa berbuat jasa kepada istana sehingga perihal mengampu dan mengadu domba.

 

Dan banyak lagi berita yang boleh dilaporkan kerana mereka hidup di zaman yang kondusif. Adapun amalan perundangan yang menyekat kebebasan wartawan hanya wujud di era penjajahan. Di Indonesia misalnya, penjajah Belanda menerbitkan akhbar Koranto. Hingga kini, istilah ‘koran’ ataupun pers (press) dinisbahkan kepada akhbar. Demikianlah penjajahan minda diterjemahkan melalui penggunaan istilah-istilah.

 

Di Malaya, penjajah menggunakan akhbar untuk menanam segala doktrin mereka. Misalnya, Berita Malai digunakan sebagai akhbar propaganda Jepun. Mana-mana akhbar yang menaikkan semangat juang nasionalis, perjuangan alif–ba–ta, semuanya dihapuskan melalui tekanan undang-undang di zaman itu. Dan ia berterusan ke zaman British.

 

Kesimpulannya, tindakan menyekat kebebasan wartawan bukan bermula dari sifat pembesar serta penguasa Melayu. Tetapi, bermula dari penjajah, lalu menjadi satu amalan turun temurun dan mendarah daging dalam pemikiran generasi penguasa kini.

 

Seterusnya, potensi media perlulah digerakkan untuk berkempen bagi menentang budaya rasuah. Adalah disarankan supaya Umno melancarkan gagasan Umno Hadhari sebagai senjata utama untuk kempen memerangi rasuah tegar. Slogan-slogan pula bolehlah difikirkan bersama. Di sini, sekali lagi pengamal media seperti wartawan berfungsi untuk bersama-sama membantu kerajaan dan Umno dalam rangka membersihkan reputasi parti. “Umno Hadhari – Ke Arah Umno Yang Bebas Rasuah dan Bermaruah” …

 

Manikam Jauhari Sutera Baju,

Dikembar Rapi Atas Jubah,

Islam Hadhari perkasa ilmu,

Pakembar Hadhari banteras rasuah.

 

 

Ibnuamir al-Pendangi,

Sekolah Pemikiran Tunjungan,

4:04 a.m, 16 Julai 2005.

 

http://ibnuamir.multiply.com/journal/item/31

http://ibnuamir.blogs.friendster.com/my_blog/2005/07/umno_hadhari_me.html

http://www.idealis-mahasiswa.net

http://www.ummahonline.com

http://www.kampusnegara.net

http://www.suaramahasiswa.net



GARAP (Gerakan Pelajar Raya Persekutuan) adalah badan amanah pelajar Malaysia yang menjalankan penulisan berterusan untuk memasarkan idea pembangunan bagi usaha pembaharuan sosial. Untuk agenda ini, GARAP memerlukan sokongan moral & modal.Sumbangan dana boleh disalurkan ke Bank Islam; 2-011-02-029707-5

 


Yahoo! Mail for Mobile
Take Yahoo! Mail with you! Check email on your mobile phone.


--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise.

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest".




SPONSORED LINKS
Divine inspiration Islam


YAHOO! GROUPS LINKS




Kirim email ke