Wednesday, July 20 @ 16:07:14 MYT
Mereka yang ditangkap adalah pendukung kuat Umno Besut yang dipecat daripada PAS
KUALA TERENGGANU, 20 Julai (Hrkh) PAS Negeri Terengganu melahirkan rasa kesal dengan sikap media yang terus berusaha mengaitkan PAS dengan serangan ke atas 'Ayah Pin".
Pesuruhjaya PAS negeri, Dato Mustafa Ali berkata, PAS difahamkan pemimpin yang disebut terlibat dengan serangan itu dan telah ditahan Polis ialah seorang pendukung kuat Umno di Besut dan telah dipecat daripada PAS kira-kira lapan tahun lalu kerana melanggar disiplin parti.
Berita Harian 20 Julai 2005 melaporkan, bekas wakil rakyat PAS ditahan bagi membantu siasatan serangan terhadap perkampungan Ayah Pin baru-baru ini.
Dalam serangan jam 5 pagi itu, kenderaan pacuan empat roda yang dikatakan milik Ayah Pin telah dibakar di samping beberapa binaan di situ.
"Pihak kami amat kesal dengan usaha terus-menerus mengaitkan isu ajaran sesat Ayah Pin dengan PAS.
"Justeru itu, kami mendesak pihak yang bertanggungjawab agar menyiasat secara adil dalang sebenar serangan pada pagi 18 Julai lalu seterusnya membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan," katanya dalam satu kenyataan bertulis.
Dalam kenyataan itu, PAS menganggap kerajaan negeri sekarang tidak berwibawa dan bersikap sambil lewa dalam menangani isu ajaran sesat yang dibawa oleh Ayah Pin atau Ariffin Mohamad di Hulu Besut.
Kata Mustafa, umum sedia maklum bahawa ajaran sesat Ayah Pin telah bermula sejak awal tahun 80-an dan telah dibiarkan tanpa tindakan yang wajar oleh pihak berkuasa sehingga keahliannya semakin berkembang dan dilaporkan sekarang ini menjangkau lebih seribu orang ahli.
Menurutnya, Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu pada tahun 1997 telah memutuskan ajaran Ayah Pin adalah sesat mengikut Seksyen 25, Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986 dan menetapkan ajaran dan pegangan Ayah Pin adalah palsu serta boleh mengancam ketenteraman orang awam dan boleh merosakkan akidah.
Fakta yang tidak boleh disembunyikan bahawa semasa PAS memerintah Terengganu (1999-2004), tindakan serius telah diambil dalam menangani isu ini.
Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) telah menangkap Ayah Pin dan pada Jun 2001, Ayah Pin didapati bersalah dan dihukum penjara 11 bulan oleh Mahkamah Rendah Syariah Besut.
JHEAT juga pada Oktober 2001 telah mengadakan Majlis Syahadah iaitu kursus tarbiyah akidah yang diikuti oleh lebih seribu pengikut Ayah Pin termasuk empat isterinya.
Tindakan-tindakan yang diambil oleh Kerajaan PAS dahulu membuktikan kesungguhan PAS dalam menghadapi ajaran sesat Ayah Pin walaupun tanpa kerjasama yang baik dari pihak keselamatan, katanya.
PAS negeri juga, katanya terkilan dengan kenyataan Menteri Besar, Dato' Seri Idris Jusoh yang bukan sahaja berlepas tangan menyerahkan perkara ini kepada Kerajaan Pusat untuk bertindak malah turut menyalahkan kerajaan PAS dahulu dengan menuduh ajaran Ayah Pin ini menular ketika Kerajaan PAS memerintah.
Kami kecewa kerana Idris Jusoh terus menerus mengeluarkan kenyataan bohong dan menyeleweng dari fakta yang sebenar, ujarnya.
Berikut ialah kenyataan penuh Dato Mustafa Ali
Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) menganggap Kerajaan Negeri Terengganu sekarang tidak berwibawa dan bersikap sambil lewa dalam menangani isu ajaran sesat yang dibawa oleh Ariffin Mohamad (Ayah Pin) di Besut, Terengganu.
Umum sedia maklum bahawa ajaran sesat Ayah Pin telah bermula sejak awal tahun 80-an dan telah dibiarkan tanpa tindakan yang wajar oleh pihak berkuasa sehingga keahliannya semakin berkembang dan dilaporkan sekarang ini menjangkau lebih seribu orang ahli.
Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu pada tahun 1997 telah memutuskan ajaran Ayah Pin adalah sesat mengikut Seksyen 25, Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986 dan menetapkan ajaran dan pegangan Ayah Pin adalah palsu serta boleh mengancam ketenteraman orang awam dan boleh merosakkan akidah.
Apa yang menimbulkan persoalan ialah mengapa tindakan tidak diambil walaupun bukti yang ada sudah cukup untuk mendakwa Ayah Pin dan pengikutnya di bawah enakmen atau akta yang berkaitan. Ini menimbulkan kegelisahan yang amat sangat terutamanya kepada penduduk tempatan yang bimbang ajaran ini semakin merebak menyesatkan orang ramai.
BPPNT juga terkilan dengan kenyataan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Idris Jusoh yang bukan sahaja berlepas tangan menyerahkan perkara ini kepada Kerajaan Pusat untuk bertindak malah turut menyalahkan kerajaan PAS dahulu dengan menuduh ajaran Ayah Pin ini menular ketika Kerajaan PAS memerintah. Kami kecewa kerana Idris Jusoh terus menerus mengeluarkan kenyataan bohong dan menyeleweng dari fakta yang sebenar.
Fakta yang tidak boleh disembunyikan bahawa semasa PAS memerintah Terengganu (1999-2004), tindakan serius telah diambil dalam menangani isu ini. Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) telah menangkap Ayah Pin dan pada Jun 2001, Ayah Pin didapati bersalah dan dihukum penjara 11 bulan oleh Mahkamah Rendah Syariah Besut. JHEAT juga pada Oktober 2001 telah mengadakan Majlis Syahadah iaitu kusrsus tarbiyah akidah yang diikuti oleh lebih seribu pengikut Ayah Pin termasuk empat isterinya. Tindakan-tindakan yang diambil oleh Kerajaan PAS dahulu membuktikan kesungguhan PAS dalam menghadapi ajaran sesat Ayah Pin walaupun tanpa kerjasama yang baik dari pihak keselamatan.
Hakikat yang sebenarnya ajaran Ayah Pin ini berkembang sangat pesat setelah kerajaan Terengganu diperintah semula oleh BN. Banyak binaan-binaan dan replika dibangunkan sebaik kerajaan Terengganu bertukar tangan pada Mac 2004. Dakwaan Idris Jusoh bahawa binaan-binaan di perkampungan `Kerajaan Langit Ayah Pin pesat dibina semasa PAS memerintah Terengganu adalah tidak benar.
Kenyataan berdolak dalik Idris Jusoh dan sikap saling melepaskan tanggungjawab kepada pihak lain di kalangan pemimpin kerajaan negeri dan Pusat dalam isu Ayah Pin ini membuktikan bahawa kerajaan BN tidak serius dalam menghapuskan ajaran sesat Ayah Pin. Difahamkan Ayah Pin dan pengikutnya adalah penyokong kuat Barisan Nasional (BN) dan telah memberi sokongan yang kuat memenangkan Umno/BN di Terengganu dalam pilihanraya umum yang lalu. Ini telah diakui sendiri oleh Ayah Pin dalam satu temuramah oleh seorang wartawan walaupun ianya tidak siarkan dalam mana-mana akhbar tempatan. Kalau benarlah anggapan ini, maka amat malang bagi rakyat Terengganu yang mempunyai pemimpin yang lebih mengutamakan kepentingan dan survival politik sehingga sanggup memejamkan mata membiarkan aqidah umat Islam terus menerus dinodai oleh manusia yang berkepentingan.
Merujuk kepada laporan akhbar Berita Harian 20 Julai 2005 yang melaporkan bahawa bekas wakil rakyat PAS ditahan bagi membantu siasatan serangan terhadap perkampungan Ayah Pin baru-baru ini, pihak kami amat kesal dengan usaha terus-menerus mengaitkan isu ajaran sesat Ayah Pin dengan PAS. Justeru itu, kami mendesak pihak yang bertanggungjawab agar menyiasat secara adil dalang sebenar serangan pada pagi 18 Julai lalu seterusnya membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan. Difahamkan pemimpin yang disebut terlibat dan telah ditahan Polis ialah seorang pendukung kuat Umno di Besut dan telah dipecat daripada PAS kira-kira lapan tahun lalu kerana melanggar disiplin parti.
Oleh itu kami menggangap kenyataan mengaitkan serangan ke atas perkampungan Ayah Pin dengan PAS adalah berniat jahat dan satu lagi taktik pihak kerajaan negeri untuk melindungi kegagalan mereka menangani persoalan ini.
- AYU/zs
Does your mail provider give you FREE antivirus protection?
Get Yahoo! Mail
--------------------------------------------------------------------------
All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise.
If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest".
YAHOO! GROUPS LINKS
- Visit your group "hidayahnet" on the web.
- To unsubscribe from this group, send an email to:
[EMAIL PROTECTED]
- Your use of Yahoo! Groups is subject to the Yahoo! Terms of Service.
