Kehidupan hitam - `Diputihkan' dengan penyakit misteri

Oleh ZUARIDA MOHYIN


BERKONGSI kegembiraan. Muhammad Ali Rengen Abdullah sekeluarga bersama adik-beradik dan keluarga mereka yang turut mengikut jejaknya memeluk agama Islam.


PERJALANAN pengIslaman K.Pandu Rengen a/l P. Karuppaiah, 47, cukup unik. Bersua muka dengan beliau, isteri, anak-anak saudaranya di teratak beliau yang terletak di Kampung Cheras Baru, Jalan Kuari, baru-baru ini membongkar segalanya.

Sinar Islam yang melintasi sanubari lelaki kelahiran Bentong, Pahang ini atau nama Islamnya, Muhammad Ali Rengen Abdullah, `datang' tanpa dipinta apatah lagi dicari.

Menceritakan latar belakang kehidupan sebelumnya serta perkenalan awal dengan agama Islam, semenjak dipisahkan daripada ibu kandung sewaktu berusia empat tahun, Muhammad Ali terpaksa menumpang kasih dengan ibu tiri.

Pada saat itu, beliau sedar dan dapat merasakan dirinya terumbang-ambing tanpa haluan dan bimbingan. Banyak masanya dihabiskan di tempat-tempat yang tidak sepatutnya dikunjungi oleh mereka yang terlalu mentah usianya.

Natijah daripada terpaksa berkongsi perhatian dan kasih sayang dengan 16 orang adik-beradik yang lain (hasil dua perkahwinan bapanya) serta tanpa pengawasan, kehidupan Muhammad Ali `terbiar' sehingga dirinya begitu sukar dikawal.

Malah, keseronokan tanpa batasan ini jugalah yang membawa Muhammad Ali ke sekolah yang mengendalikan kanak-kanak bermasalah, iaitu Sekolah Telur Air Masin di Butterworth, dan peringkat menengah di Sekolah Henry Gurney, Melaka.

Selepas menghabiskan tempoh hukuman di kedua-dua buah sekolah tersebut, kehidupan bebas dan liarnya masih diteruskan. Muhammad Ali bertukar karektor daripada kanak-kanak nakal kepada lelaki samseng. Bahkan, nama K. Pandu Rengen begitu digeruni penduduk sekitar Kampung Cheras Baru sekitar tahun 80-an.

Akui Muhammad Ali, pernah suatu ketika beliau terfikir untuk mengubah cara hidup menjadi seorang yang lebih bermaruah, dan bertekad tidak mahu lagi mencampakkan dirinya ke lembah yang mengumpul musuh, bukannya sahabat baik.

Lantas, Muhammad Ali mengambil keputusan pulang ke kampung halamannya untuk membina sebuah kehidupan baru. Beliau beralih angin dengan harapan dapat menjauhkan diri daripada bertemu dan bergaul kembali dengan kawan-kawan yang sentiasa mengajaknya ke jalan kejahatan.

Sayangnya, ujian hidupnya tidak semudah yang dijangka. Dengan bantuan seorang kawan, beliau berhijrah semula ke Kuala Lumpur dan akhirnya berjaya membuka sebuah kedai makan. Sambil itu beliau membina perniagaan besi buruk secara sah di sisi undang-undang.

Kejayaannya ini menimbulkan kemarahan teman-teman lama yang berhasrat menariknya semula ke dunia asalnya. Kehidupannya sentiasa di buru kebimbangan dan ugutan.

Memandangkan pada masa itu Rengen merupakan penganut agama Hindu yang kuat, tanpa berfikir panjang, beliau membina sebuah kuil Hindu di perkampungan tersebut, dengan harapan tuhannya akan menyelamatkan dirinya.

Rupa-rupanya, kuil yang dibina sebagai benteng keselamatan memakan dirinya sendiri. Musuh-musuh Rengen menggunakan kuil yang dibina untuk mengenakannya ilmu hitam.

Kehidupannya semakin `parah' sehingga beliau dikategorikan tidak waras; jalan tanpa berselipar, makan makanan yang kotor, tidak mandi dan merayau-rayau. Lebih menyedihkan, isteri dan anak terbiar tanpa pembelaan.

Ingatan dan fikiran Rengen `kosong'. Beliau tidur berbantalkan lengan dan bersaksikan bulan bintang. Hari-hari yang dilalui juga tidak disedari begitu pantas berlalu.

Pelbagai usaha dilakukan, seperti mendapatkan pertolongan daripada lebih 40 orang tok sami dari berbagai-bagai kuil. Namun, penyakit misteri yang dihadapi tidak berkurangan.

Kesengsaraan

Akibat menanggung kesengsaraan yang teramat sangat, Rengen sanggup bertemu seorang ustaz yang arif dengan selok-belok berkaitan ilmu sihir dan mengamalkan kaedah perubatan Islam. Permintaannya hanya satu; pulih dan sihat semula. Jauh sekali mengenali Islam.

Hakikatnya, perjalanan hidup seseorang itu tersurat sejak awal lagi. Penyakit misteri yang dialami Rengen umpama platform pertama perkenalannya dengan agama Islam, dan seterusnya mempercayai serta mengakui kebenaran syahadah.

Pengalaman mendengar ucapan salam daripada suara yang tidak dikenalinya sewaktu mengambil air dari sebuah masjid di Pudu begitu menggetarkannya. Apatah lagi sebelum ini, ustaz yang mengubatinya berpesan bahawa setiap penyakit itu ada penawarnya dan Allah s.w.t. sahaja yang berkuasa memberi dan menyembuhkan penyakit seorang insan.

Insiden luar biasa itu, sedikit sebanyak membuka mindanya. Beliau juga bagai tersedar daripada mimpi panjang.Dari situlah, beliau mula mencari kebenaran yang diyakininya hanya terdapat dalam agama Islam.

Maka pada 2 Februari 2000, sahlah pengIslamannya bersama isteri, Siti Sarah Abdullah dan anak lelakinya, Mohd. Saiful yang ketika itu berusia lima tahun. Majlis pengIslaman mereka berlangsung di Pejabat Agama Islam, Petaling Jaya.

Demikian kisah bagaimana Muhammad Ali bertemu Islam. Selepas mengucap kalimah syahadah, beliau akur bahawa segala yang berlaku di dalam hidupnya adalah takdir Allah s.w.t. Benar jugalah bahawa penyakit itu sebenarnya hikmah Allah yang tidak disedari hamba-hamba-Nya.

``Dengan diri yang masih belum sembuh sepenuhnya. Kami sekeluarga menumpang di rumah seorang ustaz di Taman Tasik Tambahan Ampang. Selama beberapa bulan di sini, Ustaz mengajar beberapa ayat al-Quran dan zikir-zikir bagi menghindarkan diri daripada gangguan syaitan.

``Pada tahun 2002, saya pergi ke Tirjit, Kadamalai, India untuk mendalami ilmu agama. Sepanjang di bawah bimbingan Syeikh Kabir, banyak yang diperoleh. Di antaranya, ibadah fardu ain seperti sembahyang, puasa dan banyak lagi.

``Saya pergi sendirian. Isteri dan anak saya tinggalkan dengan keluarga angkat. Ilmu yang diperoleh begitu mendamaikan jiwa dan memberi semangat bergelar Muslim sejati,'' akui Muhammad Ali sedikit kesal kerana lambat bertemu Islam.

Pun begitu, beliau bersyukur kerana akhirnya Islam menjadi kepercayaannya dunia dan akhirat. Tiga orang saudaranya juga mengikut jejak langkahnya mengucap syahadah.

Kini, Muhammad Ali menyimpan impian, semoga Mohd. Saiful bergelar hafiz suatu hari kelak.

Katanya lagi, amalan solat itu banyak kelebihannya. Sebab itulah beliau sentiasa berpesan agar jangan sekali-kali meninggalkan solat lima waktu kerana ia adalah tiang agama.

``Semasa sakit dahulu, amalan solatlah banyak menyelamatkan saya. Ini kerana apabila kita melakukan solat dengan penuh khusyuk dan tawaduk, pasti tiada `benda' halus yang boleh mengganggu.

``Sebab itulah, saya selalu berpesan kepada adik-beradik yang lain serta mereka yang dibawa kepada Islam supaya jangan sekadar Islam pada nama tetapi kenalah belajar. Ilmu tidak akan datang tanpa dicari,'' terang Muhammad Ali yang telah mengIslamkan hampir 30 orang termasuk adik-beradiknya sekeluarga, iaitu Mohammad Mustafa, Mohammad Shamsuddin dan Nafisa.

Dek kerana cintanya kepada Islam yang tidak berbelah bahagi, Muhammad Ali menyediakan kelas-kelas agama di bawah kelolaan seorang ustaz yang diberikan gaji secara bulanan.

Terangnya, kuantiti tidak penting tetapi yang sepatutnya menjadi keutamaan ialah memberikan didikan agama kepada mereka yang baru memeluk agama Islam.

``Saya cukup sedih melihat ada segelintir saudara baru yang hilang tempat bergantung selepas memeluk Islam. Sebab itulah, mereka perlu dibantu dalam segenap segi, seperti sokongan moral, pemantapan akidah dan aspek ekonomi.

``Apabila mereka sudah mampu berdikari, secara tidak langsung, mereka juga menjadi contoh kepada yang lain. Barulah Islam boleh kukuh dalam dada walau apa cabaran mendatang, sekali gus imej Islam pun terjaga,'' ujar Muhammad Ali yang terpanggil membina sebuah madrasah, khusus memberikan didikan agama dan tempat tinggal kepada saudara-saudara baru.

Oleh itu, bagi merealisasikan impiannya itu, Muhammad Ali amat mengharapkan sumbangan dan bantuan mereka yang berkemampuan. Ibarat lidi sebatang, pastinya lambat membersihkan longgokan sampah jika dibandingkan lidi seikat.

``Islam terlalu besar hikmahnya kepada saya. Ilmu yang diperoleh menjadikan saya seorang manusia yang jauh berbeza dari dulu. Malah saya rasa amat rugi, sekiranya nikmat dan hidayah yang diberikan ini, tidak saya jaga dan sebarkan kepada orang lain. Kini, perjuangan kami sekeluarga memberi kekuatan dalaman kepada saya untuk berkongsi keredhaan Allah s.w.t. Islam adalah agama yang cukup lengkap dan sejagat.

``Malah agama syumul ini juga tidak membezakan darjat, martabat, bangsa dan warna kulit seseorang. Allah s.w.t. memandang kepada hamba-Nya yang bertakwa,'' luah Muhammad Ali yang turut bersyukur mempunyai isteri yang begitu patuh dan taat. Akuinya, ia terbukti dengan kesanggupan isteri menerima saranannya memeluk Islam, biarpun isterinya sendiri tidak pernah mengenal Islam sebelum ini. Perkahwinan yang berusia 33 tahun dilangsungkan di negara asal isterinya, India pada Julai 1993.



Meet your soulmate!
Yahoo! Asia presents Meetic - where millions of singles gather


--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise.

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest".




YAHOO! GROUPS LINKS




Kirim email ke