LEMAHNYA AKAL

Akal manusia memang hebat. Dengan akal, meningkat
darjat dan kemuliaan manusia. Kerana akal, manusia
boleh mengatasi dan menguasai makhluk-makhluk lain
yang tidak berakal. Dengan akal, manusia menguasai
alam jamadat. Dengan akal, manusia menguasai alam
nabatat. Dengan akal, manusia menguasai alam haiwanat.

Dengan akal juga, manusia meneroka lautan yang luas
dan dalam. Dengan akal, manusia mengeluarkan segala
khazanah dari perut bumi. Dengan akal, manusia dapat
meneroka angkasa lepas.

Pendek kata, dengan akal, manusia menjadi raja di alam
yang lahir ini. Semua ciptaan lahir ini seolah-olah
tunduk kepada kehendak dan kemahuan akal manusia.
Tetapi di situ sahajalah terhentinya kehebatan akal.
Di alam jin contohnya, manusia tidak mempunyai banyak
pengaruh. Bangsa jin tidak berapa peduli sangat dengan
manusia ini. Jin, jin punya hal, manusia, manusia
punya hal. Baik tak baik, jin boleh khianat pada
manusia. Akal manusia tidak dapat berperanan di alam
jin. Alam jin bukan lagi alam lahir. Alam jin tidak
masuk akal. Tidak logik. Bagaimanakah akal dapat
berperanan di alam yang tidak masuk akal?
Lebih-lebih lagilah, akal tidak dapat berperanan di
alam-alam yang lebih tinggi. Akal tidak dapat meneroka
alam jabarut. Akal tidak dapat meneroka alam malakut.
Akal tidak dapat meneroka alam lahut. Akal tidak dapat
meneroka alam barzakh, alam Akhirat dan sebagainya.
Bukan sahaja alam-alam ini tidak masuk akal, akal pun
tidak dapat masuk ke dalam alam yang seperti ini.

Kalau dalam alam-alam seperti ini pun akal tidak dapat
masuk dan tidak boleh berperanan, apakah halnya pula
dengan perkara yang bukan alam. Kerana segala alam itu
adalah ciptaan. Dalam banyak alam yang dicipta pun,
akal tidak dapat berperanan, inikan pula dalam hal
yang bukan alam khususnya dalam hal ketuhanan. Kerana
Tuhan itu bukan alam. Alam itu ialah segala sesuatu
selain Tuhan.

Oleh itu, kalau manusia hidup semata-mata dengan akal,
maka dia akan terpenjara dan tidak akan dapat keluar
dari alam yang lahir ini. Dia tidak akan dapat
terlepas dari hal-hal jamadat, hal-hal nabatat,
hal-hal haiwanat dan hal-hal yang bersabit dengan
kehidupan lahiriah manusia. Dia akan jadi banduan
dunia.

Kalau manusia hidup hanya dengan melibatkan hal dan
keperluan lahiriah mereka semata-mata, maka tidak
jauhlah darjat manusia itu dengan haiwan. Itulah
sebenarnya konsep hidup haiwan. Memuaskan keperluan
lahir semahu-mahunya. Apalah gunanya kalau manusia
boleh menguasai haiwan kalau dia pun macam haiwan.
Harimau dan singa pun boleh menguasai haiwan yang
lain.

Haiwan bukan makhluk yang bermusafir di dunia ini.
Dunia ini permulaan dan terakhir baginya. Bagi manusia
pula, dunia ini hanya buat sementara. Perjalanan
manusia lebih jauh. Manusia akan berhijrah lagi ke
alam yang lebih tinggi dan lebih seni. Mahu pergi kena
pergi, tak mahu pergi pun kena pergi. Sudah bersedia
kena pergi, belum bersedia pun kena pergi. Dia macam
satu pakej. Bila mula kena ikut sampai habis.

Kalau selama ini hanya akal sahaja yang berperanan
dalam hidup manusia dan justeru itu manusia terpenjara
di alam dunia ini, bagaimanalah dia akan hidup di alam
barzakh dan di alam Akhirat. Tidakkah dia akan
terkejut bila melihat adanya alam yang lebih seni dan
lebih luas dari alam dunia yang selama ini dikenalinya
dan direbut-rebutkannya. Tidakkah dia akan jadi
seperti katak di bawah tempurung. Bila datang maut
atau bila terangkat tempurung, baru dia sedar akan
adanya alam yang lebih besar dan lebih luas dari apa
yang selama ini wujud di dalam tempurungnya. Orang
akal tak ubah seperti katak di bawah tempurung.

Begitulah hakikat orang akal yang menjadi banduan
dunia. Bila terlepas dari dunia, dia akan menjadi
pelarian di alam Akhirat. Di alam Akhirat, akal tidak
berguna. Akal tidak boleh berfungsi. Akal akan kaku
dan beku. Kalau di dunia akal ligat berputar, di alam
Akhirat, dia seperti tidak wujud.

Itulah sebabnya Islam melarang kita menjadi orang akal
semata-mata orang yang hanya menggunakan akal dalam
segala hal dan masalah, dan menggunakan ukuran dan
nilai akal dalam semua perkara. Kalau tidak masuk
akal, tolak. Kalau tidak logik, tidak mahu terima.
Tidak mahu beriman dan percaya dengan perkara-perkara
ghaib yang tidak masuk akal. Semuanya kena ditapis
dengan akal. Wahyu pun hendak diakalkan. Ada wahyu
yang sesuai, ada yang tidak. Ada yang positif dan ada
yang negatif. Alam barzakh, alam Akhirat, jin dan
malaikat, semua tidak boleh diterima sebab tidak masuk
akal. Hatta Tuhan sendiri pun hendak ditapis dengan
akal juga. Kalau tak logik, tak mahu akui bahawa Tuhan
itu wujud.

Cuba bayangkan. Allah yang cipta akal. Allah yang
mengurniakan akal itu kepada manusia. Akal itu juga
hendak digunakan untuk menafikan kewujudkan Allah.
Inilah logik akal yang kita tidak tahu di mana
logiknya.

Satu persoalan yang perlu ditanya kepada orang akal,
mestikah segala apa yang Allah cipta itu logik. Tak
bolehkah Allah mencipta benda yang di luar logik.
Tidakkah kita sedar bahawa kalau semua ciptaan Tuhan
itu terpaksa bersandar kepada logik, maka lemah
sangatlah Tuhan. Takkanlah Tuhan pun tertakluk kepada
logik walhal logik itu sendiri pun Tuhan yang cipta.
Kalau Allah boleh mencipta benda yang logik, sudah
tentu Allah akan mencipta juga benda atau perkara yang
tidak logik sebab adalah sunnah Allah untuk mencipta
sesuatu itu berpasang-pasang. Kalau ada yang logik,
mesti ada yang tidak logik. Kalau tidak manusia akan
kata Allah itu lemah. Mencipta yang logik sahaja.

Kalau apa yang Allah cipta itu logik, maka ia bolehlah
dikendalikan oleh akal. Sebaliknya, kalau apa yang
Allah cipta itu tidak logik, tidak bermakna perkara
itu tidak wujud. Ia hanya bermakna bahawa akal bukan
alat untuk mengendalikannya. Perkara yang seni, halus
dan tidak logik tidak dapat diteroka oleh akal. Ia
kenalah diserah kepada roh atau hati. Perkara yang
tidak masuk akal boleh jadi boleh masuk hati. Orang
Islam mesti hidup roh dan hatinya. Barulah dia akan
dapat faham perkara-perkara yang tersirat dan maknawi.
Perkara-perkara yang ghaib dan tersembunyi.

Orang akal dinamakan juga orang dunia. Ini kerana
orang yang menggunakan akal semata-mata tidak dapat
meneroka alam lain selain alam dunia. Orang akal
dikenali juga sebagai orang sekular. Kerana
sekularisme bermaksud “dunia untuk dunia” atau “dunia
habis di dunia”. Sekularisme tidak mengaitkan hal
dunia dengan Akhirat. Fahaman sekularisme menafikan
adanya Akhirat.

Ilmu orang akal sebenarnya cetek dan tidak sehebat
mana. Hanya setakat ilmu lahiriah dan ilmu dunia
sahaja. Ilmu orang rohani lebih seni, lebih tinggi dan
lebih dalam ilmunya sampai kepada hakikat sesuatu
perkara. Orang akal ibarat kanak-kanak. Mampu membina
jambatan di antara dua benua, sudah melonjak-lonjak
dengan kemegahan. Orang rohani mampu membina jambatan
di antara dua alam tetapi tetap merendah diri,
tawadhuk dan malu dengan Tuhan.

Hasil kerja orang akal juga tidak ke mana. Bina punya
bina, bina punya bina, satu hari nanti akan runtuh
musnah menjadi habuk. Itulah nilai akhir hasil kerja
orang akal. Semuanya akan jadi habuk. Hasil kerja
orang rohani kekal abadi sampai Akhirat. Tidak ada
yang sia-sia. Segala nikmat dari kerja-kerja orang
rohani dapat dirasai sampai ke Akhirat.

Bukan itu sahaja. Akal orang rohani juga lebih hebat
dari akal orang akal. Orang rohani tidak bermakna dia
tidak berakal. Malahan akalnya lebih terang, lebih
tajam dan lebih memancar kerana rohaninya yang
bercahaya. Bukankah ini pelik dan menghairankan. Orang
yang mengaku dia orang akal tetapi akalnya tak
seberapa kalau dibandingkan dengan akal orang rohani.
Orang akal hanya mampu membina dunia. Tapi orang
rohani mampu mengakhiratkan dunia. Ini jauh lebih
rumit dan susah dari membina dunia semata-mata.
Akal sebenarnya sangat berbahaya kepada manusia
terutama kalau ia dilepas berperanan secara bebas
tanpa kawalan. Akal yang tidak terkawal akan menafikan
perkara ghaib termasuk Akhirat. Malahan di hujungnya
nanti, dia akan menafikan Tuhan. Akan digantikannya
Akhirat dengan dunia dan Tuhan itu dengan “nature”.
Akal tidak tahu selain daripada itu.
Oleh itu akal mesti ditundukkan. Ia mesti duduk di
bawah hati. Akal mesti dikawal oleh hati. Akal mesti
tunduk kepada hati. Barulah akal itu boleh menjadi
alat untuk melaksanakan segala kehendak dan perintah
hati. Bukan akal yang sepatutnya memerintah sebab dia
bukan raja. Raja dalam diri manusia itu ialah hati.
Akal bukan untuk mencipta perundangan, sistem,
ideologi atau cara hidup bagi manusia. Itu semua telah
ditetapkan oleh Allah di dalam Al Quran dan As Sunnah.
Allah mengurniakan akal hanya sanya untuk melaksanakan
segala suruhan dan hukum hakam yang sudah Allah
tetapkan.

Justeru itu, peranan roh dan hati mesti ditingkatkan.
Roh yang lemah mesti dikuatkan. Jiwa yang mati mesti
dihidupkan. Hati yang buta mesti dicelikkan. Kalau
rohani lemah, akal akan menuntut kebebasan. Akal yang
bebas akhirnya akan dipengaruhi oleh nafsu. Gandingan
akal dengan nafsu ini ibarat api yang menyemarak di
hutan yang kering. Selagi ada hutan, selagi itulah dia
akan membakar. Lebih tebal hutan, lebih semarak lagi
apinya.

Kuatkan rohani dengan memperbaiki diri. Bertaubatlah
dari segala dosa dengan taubat nasuha. Bersihkan hati
dari segala sifat mazmumah yang keji. Dari hasad
dengki, tamak haloba, pemarah, bakhil, ego, sombong,
angkuh, riyak dan sebagainya. Hiasilah hati dengan
segala sifat mahmudah. Dengan sifat pemurah, pemaaf,
rendah diri, tawadhuk, lapang dada dan sebagainya.
Bersihkan fitrah kita hingga ia kembali kepada keadaan
asal semulajadinya. Kekang nafsu amarah dan didiklah
ia hingga ia dapat meningkat ke peringkat nafsu yang
lebih tinggi, setidak-tidaknya ke peringkat “mulhimah”
dan kalau boleh ke peringkat “mutmainnah”.

Untuk itu semua, kita perlu kembali kepada Tuhan. Kita
perlu menyembahnya. Kita perlu bersembahyang atau
bersolat. Kerana dalam solat itu sedia tersusun,
segala rukun untuk meningkatkan roh dan memperbaiki
diri. Dalam solatlah kita belajar merasa bertuhan.
Dalam solatlah kita belajar merasakan diri kita ini
hamba. Solat adalah pintu masuk ke alam rohani.


www.rufaqadaily.com/majalah.asp




__________________________________________________
Do You Yahoo!?
Tired of spam?  Yahoo! Mail has the best spam protection around 
http://mail.yahoo.com 





--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in 
any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved 
otherwise. 

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily 
digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your 
mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the 
title "change to daily digest".  
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/hidayahnet/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 


Kirim email ke