Raja Rempit menangis jatuh motor
Oleh Nazarali Saeril

KUALA LUMPUR: Raja Rempit ibu kota yang juga ketua Geng Apache yang mempunyai tujuh rekod kesalahan trafik dan diburu sejak dua tahun lalu, menangis teresak-esak ketika ditahan polis dalam operasi khas, baru-baru ini.

Ketua Geng Apache terbabit yang gemar membuat huru- hara di sekitar ibu kota dengan melakukan beberapa pusingan di kawasan tumpuan Mat Rempit untuk ‘memanaskan’ suasana, menangis ketika terjatuh dari motosikal sebelum ditahan polis, malam Rabu lalu.

Jurucakap Unit Cegah Lumba Haram Balai Polis Trafik Jalan Bandar berkata, remaja berusia lingkungan 23 tahun itu sedang menunggang motosikal dalam keadaan roda depannya terangkat sebelum terjatuh dan terus menangis apabila melihat sepasukan polis mengepungnya.

“Ketua Geng Apache dikenali dengan nama samaran ‘Pen’ atau ‘Sam’ sibuk ‘memanaskan’ litar di belakang sebuah pusat beli-belah di tengah ibu kota apabila dia terjatuh kira-kira jam 11.45 malam.

“Ketika itu, kumpulan mat rempit lain sedang memerhatikan gerakan yang dilakukannya dan tiada yang berani ‘masuk’ gelanggang kerana tahu kehebatannya berlumba,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.

Remaja terbabit bagaimanapun terjatuh dan ketika itu, sepasukan anggota trafik yang sedang memerhatikan aksinya, terus menahannya.

Sambil menangis teresak-esak, dia merayu dilepaskan dengan pelbagai alasan seperti baru pertama kali mencuba selain tidak akan melakukan aksi terbabit lagi.

“Polis terus menahannya dan siasatan awal mendapati dia mempunyai tujuh rekod pelbagai kesalahan jalan raya dan dikehendaki sejak dua tahun lalu.

“Pada mulanya, kami tidak tahu dia adalah ketua Geng Apache tetapi hasil soal siasat terhadap seorang wanita yang juga teman wanitanya sebelum itu, mendedahkan remaja terbabit adalah dalang utama geng berkenaan,” katanya.

Teman wanita dalang geng itu dikenali sebagai ‘Noni Tabung’ dan pernah ditahan kerana terbabit bersama sekumpulan mat rempit lain di sekitar ibu kota tidak lama dulu.

Noni Tabung dikenali ramai mat rempit kerana dia menjadi habuan setiap juara lumba haram.

“Bagi mat rempit, nama Noni Tabung popular kerana wanita berkenaan akan menjadi hadiah kepada pemenang lumba haram.

“Noni Tabung pula hanya akan bersama juara lumba haram. Dia tidak memandang pada mat rempit biasa sebaliknya hanya berminat pada juara,” katanya.

Noni Tabung menjadi teman wanita ketua Geng Apache kerana setakat ini, hanya lelaki terbabit yang mampu memegang takhta juara lumba haram.

Menurut jurucakap itu, operasi memburu ketua Geng Apache mengambil masa lama kerana dia yang berasal dari Gombak, begitu licik meloloskan diri daripada kepungan polis setiap kali operasi dijalankan.

“Pen tidak akan berlumba sesuka hati seperti mat rempit lain. Dia akan membuat beberapa pusingan sebelum menghilangkan diri.

“Jika mahu pulang ke rumahnya di Gombak, dia akan mengikut jalan tertentu. Taktiknya untuk mengesan pihak berkuasa yang mengekorinya mudah iaitu menyusuri laluan bertentangan,” katanya.

Jika ada pihak mengekorinya, maka dia tahu itu adalah pihak berkuasa dan terus menghilangkan diri untuk tempoh tertentu sebelum ‘mengganas’ kembali di tengah ibu kota.

Bagaimanapun, polis gembira kerana akhirnya pemuda itu berjaya ditahan dan menyelesaikan pelbagai kes lumba haram sejak dua tahun lalu.

Menurut jurucakap berkenaan, ini adalah antara kejayaan besar pasukan cegah lumba haram memusnahkan satu kumpulan mat rempit yang galak membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain.

“Setiap motosikal anggota Geng Apache dilekatkan dengan pelekat khas kaum Apache. Ini sebagai menunjukkan mereka anggota sah geng terbabit.

“Mat rempit lain tidak boleh menggunakan lambang itu kerana ia eksklusif untuk geng terbabit dan jika berkeras menggunakannya, mereka mungkin dikenakan tindakan oleh anggota geng sebenar,” katanya.

Pen dikenakan perintah tahanan reman pada Khamis lalu dan dikatakan sudah didakwa atas pelbagai kesalahan jalan raya dilakukannya.


Yahoo! Mail - now with Autocomplete that helps fill email addresses.


--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise.

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest".




YAHOO! GROUPS LINKS




Kirim email ke