Memecah hegemoni petroleum
Hishamuddin Rais -

Hishamuddin Rais

HISHAMUDDIN RAIS adalah seorang manusia baru dengan roh yang bebas. Beliau merupakan pendukung dan pengembang asal mazhab NGI (non-governmental individual). Dipengaruhi oleh fahaman Marxis jenis Groucho, Isham adalah lulusan daripada sekolah pemulihan pemikiran politik seperti Melbourne Tellamarine Center, Bombay Arthur Road, Ayer Molek dan Dang Wangi.

Kolumnya di malaysiakini - DOTMAI - terberhenti sejak April 2001 selepas penahanannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Isham dibebaskan Jun lalu selepas dua tahun di Kem Tahanan Kemunting. Kini Isham muncul semula dengan kolum DOTMAI KEMBALI di mana beliau akan menulis mengenai isu-isu politik semasa, filem, seksualiti hingga kepada isu estetika kebosanan hidup.

Malaysiakini
Secara perbandingan, harga minyak di Malaysia lebih murah daripada kebanyakan negara Asean. Malah, ia adalah antara terendah di dunia. Satu daripada kesan negatif (subsidi) ialah berlakunya herotan pasaran yang boleh menjejaskan ekonomi negara. Ini bermakna harga komoditi itu tidak menggambarkan kos sebenar. Ini kerana harga pasaran adalah di bawah harga sebenar.

Akibatnya, akan berlaku penggunaan yang berlebihan dan pembaziran. Di samping itu, akan timbul kegiatan yang tidak sihat seperti penyelewengan, penipuan dan penyeludupan. Pada hari ini, subsidi juga menguntungkan orang kaya yang memiliki banyak kereta berbanding orang miskin yang mempunyai motosikal. Ini tidak adil. Lebih baik jika wang yang digunakan untuk subsidi ini dipakai untuk tujuan lain yang lebih menguntungkan rakyat jelata. (Dipetik dari Berita Harian Isnin 1 Ogos 2005).

Kabinet hari ini mengarahkan semua kementerian mengemukakan cadangan dan pandangan mengenai langkah jangka panjang penjimatan tenaga bagi mengurangkan pergantungan terhadap elektrik dan minyak.
  • Memasang alat solar bagi menjana elektrik di setiap kediaman yang baru dibina.
  • Menggalakkan penggunaan pengangkutan awam di kalangan orang ramai.


Sementara bagi langkah jangka pendek pula ialah:
  • Semua pejabat kerajaan diminta memadamkan lampu pada waktu rehat tengah hari.


(Dipetik dari Utusan Malaysia 4 Ogos 2005 – Tulisan Sri Angreni Mohd Zet)

Data tidak lengkap, tapi tepat

Harga bahan bakar minyak petrol telah dinaikkan lagi. Yakinlah, tidak berapa lama lagi harga ini akan dinaikkan sekali lagi. Hari ini harga setong minyak mentah ialah US$62. Pemerhati pasaran minyak pernah menyatakan yang harga ini mungkin mencecah US$200 dollar setong. Dan akan sampai ketikanya nanti apabila harga ini juga akan terus melambung tinggi.

Untuk pertama kalinya, media arus perdana dalam negara kita telah cuba memberitahu tentang ketidak seimbangan pengeluaran dan permintaan bahan bakar minyak mentah. Ini terpaksa dilakukan kerana kerajaan ingin mengolah persetujuan orang ramai yang pasti akan menghadapai bahang kenaikkan harga bahan bakar petrol.

Data-data yang dipaparkan oleh media walaupun tidak lengkap tetapi adalah tepat. Saya tidak akan mempertikaikan tentang statistik dan data. Seperti biasa orang ramai akan diberi candu tentang bagaimana harga minyak di negara kita adalah yang termurah berbanding di Jerman, Sweden atau Britain. Fakta ini memang betul dan tepat. Tetapi tidak pula dinyatakan bahawa gaji minima memburuh di negara-negara ini melintasi RM200 sehari. Ini juga tidak akan saya pertikaikan.

Saya merasa marah kerana masih ada lagi satu fakta yang terus ingin disorok dari pengetahuan orang ramai. Fakta yang ingin diselindungi ialah tentang kekeringan bahan bakar minyak petroleum. Fakta minyak semakin kering ini sebenarnya adalah punca utama yang memaksa kenaikan harga.

Pergolakan politik, perang, cuaca dan spekulasi pasaran hanya rempah-ratus dalam hal jual-beli minyak. Rempah ratus ini hanya membantu fakta utama – di mana negara pengeluar bahan mentah ini tidak lagi memiliki telaga minyak yang melimpah ruah.

Memadamkan lampu atau mengurangkan suhu alat hawa dingin ini bukan jawapan untuk berjimat-cermat. Malah, tutup pasang tutup pasang akan membawa kemudaratan kepada alat-alat ini. Sebenarnya, berapa sen sangat yang dapat dijimatkan dengan nasihat tutup-pasang-tutup-pasang ini. Pembakaran minyak yang paling membazir bukan kerana lampu di rumah, di pejabat atau alat hawa dingin.

Pembaziran petrol yang terbesar ialah penggunaan kereta persendirian. Kereta persendirian ialah alat pengangkutan yang paling tidak ekonomik. Satu keluarga sebuah kereta adalah dasar salah yang telah dikembangkan oleh budaya konsumer kapitalis. Di era awalan penemuan minyak dan kemunculan teknoloji enjin, mungkin kereta adalah satu-satunya alat pengangkutan. Ketika itu, minyak senang ditemui dan kereta belum banyak.

Hari ini, budaya kereta persendiran telah menjadi musuh utama umat manusia. Ianya terbukti sebagai satu alat pengangkutan yang tidak ekonomik. Jumlah tenaga bahan bakar yang digunakan untuk menggerakan sebuah kereta dengan seorang pemandu, sebenarnya boleh digunakan untuk mengangkut lima atau enam orang dengan tenaga bahan bakar yang sama. Ertinya telah wujud pembaziran tenaga bahan bakar untuk lima orang.

Objek kereta ini juga adalah alat utama yang telah membawa pencemaran alam. Kereta juga bertanggungjawab memanaskan suhu dunia hari ini. Buangan karbon, asid, toksid dari pembakaran petrol ini, sedang mengancam kesihatan seluruh umat manusia. Kajian telah membuktikan bahawa suhu dunia semakin naik. Ketidak seimbangan suhu ini akan membawa kepada perubahan cuaca dunia.

Perubahan musim semakin tidak menentu. Di Amerika Syarikat dan Eropah, adakalanya musim sejuk tidak lagi menghasilkan salji yang diperlukan untuk pengairan sungai-sungai yang menjadi asas pertanian. Ada ketikanya pula perubahan musim ini membawa limpahan air yang telah beberapa musim menenggelamkan Eropah. Kekurangan salji di musim sejuk telah juga dirasakan di Pergunungan Andes. Jika salji semakin mengurang di Andes, maka ini bermakna sungai-sungai besar di hutan Amazon juga akan kekurangan air.

Kemusnahan yang dibawa oleh budaya satu keluarga satu kereta ini dapat dilihat dengan jelas dalam negara kita sendiri. Perhatikan bagaimana jalan di kampung-kampung kecil diperbesarkan dengan niat untuk memberi keselesaan kepada pemandu kereta. Sebesar manapun jalan dibuat, ianya pasti akan membawa kepada kesesakan. Dalam kota dan pekan-pekan kecil juga, kereta telah mula mengancam dengan kesesakan lalulintas. Kualiti kehidupan yang diharapkan melalui kewujudan kereta kini, telah membawa mudarat jangka panjang. Hidup aman permai di kampung-kampung kini dihuru-harakan oleh kedatangan kereta.

Di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Kajang dan Seremban dan bandar-bandar lain, kesesaakan lalulintas telah menjadi lumrah. Di Kuala Lumpur – dari awal pagi hinggalah ke tengah malam – jalan-jalan terus sesak. Saya tidak dapat menilai kesesakan lalulintas ini sebagai satu pencapaian kemajuan. Atau satu harga yang wajib dibayar untuk hidup. Apa yang saya yakini, kesesakan lalulintas ini akan terus membawa tekanan kepada penduduk kota. Kualiti kehidupan warga
kota terus terancam.

Ingat Lake Garden?

Lihatlah pula bagaimana keindahan Lake Garden – sebuah taman bertasik di tengah-tengah kota Kuala Lumpur yang satu ketika dahulu menjadi buah mulut seluruh negara – kini telah dimusnahkan untuk memberi jalan kepada kereta. Lihat pula bagaimana hutan dara tropikal Bukit Nenas kini hanya tinggal serpihan kerana ada pemimpin kita yang lebih berminat dengan simen tinggi dari pokok-pokok kayu yang rendang.

Juga perhatikan di sekitar Kuala Lumpur, setiap hari ada sahaja jalan yang tidak sudah-sudah diperbesarkan. Pokok-pokok yang rendang permai, ditebang untuk membesarkan jalan. Belukar yang menghijau, diganti dengan simen dan tembok besi. Semua ini adalah budaya yang dibawa oleh dasar satu keluarga satu kereta. Bumi kita ini tidak memiliki kudrat untuk menampung budaya konsumer kapitalis yang berpaksikan bahan bakar petroleum. Bumi kita ini tidak sanggup lagi menerima robekan demi robekan yang menghakiskan kulitnya dan merosakkan alam semula jadi.

Kenyataan kerajaan untuk menggalakan sistem pengangkutan awam ini bukan kali pertama yang telah saya dengar. Ianya juga pasti bukan kali terakhir. Seperti banyak dasar kerajaan, semuanya adalah hangat-hangat air kencing. Pada satu ketika dahulu, ada dicadangkan agar kereta yang memasuki kota wajib membawa penumpang. Idea ini datangnya dari kepala politikus yang sewel dan tidak perlu dipertimbangkan. Idea ini tidak pernah direalisasikan. Ianya hanya cakap-cakap kosong.

Kali ini, kerana harga minyak naik sekali lagi, maka agenda pengangkutan awam ditimbulkan. Saya rasa agenda ini tidak akan pergi ke mana-mana. Saya hanya berharap, dalam masa terdekat, harga minyak akan terus melonjak lagi hingga ke paras US$100 setong. Jika ini berlaku, maka besar kemungkinan agenda, pengangkutan awam ini akan cuba diperbincangkan untuk dijadikan dasar negara.

Sistem pengangkutan awam kita hari ini telah merosot kerana dasar pengangkutan yang diambil oleh Mahathir Mohamad. Dasar kerajaan membuat dan menjual kereta, berlawanan dengan dasar pengangkutan awam. Dua dasar ini tidak boleh dijalankan serentak kerana ianya bertentangan. Contohnya, pada satu ketika dahulu, kota New York dan Chicago memiliki sistem pengangkutan
awam yang boleh dijadikan contoh. Kota-kota ini berselirat dijaringi oleh sistem keretapi, tram dan bas.

Lihat apa yang telah dilakukan oleh tuan punya syarikat kereta – Henry Ford. Dia telah mengupah goonda, samseng dan kaki busuk untuk merosakkan landasan tram. Garam telah dimasukkan ke dalam enjin tram dan bas. Akhirnya sistem pengangkutan awam patah dam musnah. Tanpa banyak pilihan, orang ramai terpaksa membeli kereta yang dikeluarkan oleh syarikat Henry Ford. Ini bukan satu dongeng. Ini fakta sejarah perkembangan budaya kapitalis.

Perkara yang sama telah berlaku ke atas sistem pengangkuatn awam di Kuala Lumpur. Satu ketika dahulu, Bas Sri Jaya menjadi alat penyambung warga kota Kuala Lumpur. Bas Sri Jaya berselirat di sekitar Kuala Lumpur. Manakala di pekan-pekan kecil wujud sistem bas berhenti-henti untuk mengangkut penumpang. Bagi mereka yang ingin lebih cepat perjalanan, wujud pula sistem teksi jarak jauh yang berkongsi empat orang. Sistem teksi ini murah dan cukup efisen.

Hari ini, bukan sahaja sistem pengangkutan awam hampir musnah, malah jika kita naik bas di Kuala Lumpur, besar kemungkinan kita akan dirompak. Cubalah naiki bas dan memasukkan duit satu ringgit untuk tiket 90 sen, lebihan 10sen itu tidak akan dipulangkan. Bayangkan dalam kecanggihan teknologi yang berjaya mendaratkan manusia ke bulan, sistem teknologi duit pulangan, masih belum berupaya dibuat di Malaysia. Dan jangan lupa syarikat bas ini adalah milik tuan empunya syarikat kilang kereta nasional.

Harga minyak melonjak

Bagi saya, dalam masa yang singkat, syarikat-syarikat membuat kereta akan lupus. Perkara ini bukan hanya berlaku di negara kita sahaja. Ianya akan berlaku di merata tempat dalam dunia ini. Krisis kenaikan minyak ini akan melanda negara miskin dan negara kaya. Membuat kereta peribadi ini adalah satu kerja yang tidak berbaloi. Apabila harga minyak terus melonjak, tidak dapat tidak, kilang-kilang pembuat kereta akan ditutup.

Ini bukan permintaan saya tetapi hukum ekonomi kapitalis – pengeluaran dan permintaan. Kilang-kilang membuat kereta ini seharusnya membuat enjin-enjin bas, lori dan jentera pertanian. Enjin-enjin sedemikian, masih diperlukan dan amat berfaedah untuk kegunaan awam buat sementara waktu, sebelum minyak betul-betul kering.

Memberi subsidi minyak ini bukan satu yang salah. Malah ianya wajib diperbesarkan dan diperluaskan lagi. Jangan percaya hujah kerajaan yang mengatakan subsidi minyak ini akan menguntungkan orang kaya. Bagi orang kaya - ada subsidi atau tidak – mereka akan terus mengaut untung. Kerajaan juga wajib mengambil alih dan mengendalikan semua sistem pengangkutan awam.
Sistem-sistem LRT kini telahpun dipulangkan oleh para kroni kepada kerajaan (baca orang ramai). Semua sistem pengangkutan awam harus diberi subsidi untuk menarik orang ramai untuk meninggalkan kereta mereka. Dalam masa yang sama, kereta pensendirian wajib dinaikan cukai. Jika kereta ingin memasuki kota dan pekan, ianya perlu dikenakan cukai lagi. Tempat letak kereta dalam bandar dijadikan taman tempat riadah. Untuk meletakkan kereta dalam pekan dan bandar harga wajib dipergandakan.

Semua langkah-langkah ini pun hanya dasar sementara sahaja kerana akhirnya minyak akan kering juga. Langkah berjangka panjang bermula apabila kita menerima hakikat bahawa bahan bakar petrolium telah habis. Kerajaan akan bersikap jujur dan telus jika memberitahu rakyat bahawa tamadun yang berlandaskan minyak petrol, telah sampai ke penghujung. Fakta ini wajib
ditanamkan secepat mungkin ke pengetahuan orang ramai untuk mengelakkan pecahnya susunan fabrik masyarakat. Ini juga untuk mengelakkan kekacauan yang akan timbul apabila minyak kering.

Apabila kita semua menerima hakikat – minyak sudah habis – maka asas yang perlu kita lakukan ialah anjak gaya hidup. Anjakan gaya hidup ini sahajalah jawapan berjangka panjang yang ada pada kita hari ini. Cakap-cakap tentang teknologi baru. Cakap-cakap tentang penemuan baru untuk gantian minyak. Cakap-cakap tentang tenaga matahari, tenaga air, tenaga angin – semua
ini adalah lawak seram yang zalim lagi menzalimi pendengarnya.

Cakap-cakap kosong

Ini bukan bermakna kuasa tidak boleh dijana oleh tenaga-tenaga ini. Tetapi hakikatnya, struktur pembudayaan dan pembangunan kita hari ini, tidak berlandaskan janakuasa ini. Contohnya, ambil sebuah bangunan – kita memerlukan lif untuk menaiki bangunan ini. Lif ini memerlukan tenaga elektrik. Janakuasa elektrik ini bergerak dengan membakar minyak. Bangunan ini pula tidak bertingkap, lalu kita memerlukan alat hawa dingin. Ini juga memerlukan tenaga bahan bakar minyak. Semua bergantung pada petrol.

Lihat pula kereta, bas atau lori – bayangkan bagaimana benda-benda ini akan bergerak dengan kuasa angin atau kuasa matahari. Cakap-cakap kosong ini hanya sedap untuk didengar, tetapi tidak memiliki asas yang ilmiah. Dari congak ekonomi, bahan yang menjadi tenaga ini wajib lebih murah dari tenaga yang dihasilkan. Membakar 10 tong minyak untuk melahir 10 tong tenaga pasti tidak berbaloi. Atau untuk menghasilkan 10 bateri karbon, kita wajib membakar
20 tong minyak, juga sesuatu yang sia-sia untuk dilakukan.

Cakap-cakap kosong tentang tenaga gantian ini selalu didendangkan oleh politikus dalam negara kita ini. Mereka bukan sahaja tidak berilmu, malah mereka juga tidak membaca. Mereka hanya membuka mulut dan bersuara tentang kuasa angin atau kuasa alcohol secara sepontan tanpa berfikir lebih awal. Politikus di negara kita ini jarang tahu dan faham apa yang mereka sendiri ucapkan. Justeru, untuk sementara waktu, mari kita lupakan gantian untuk bahan bakar minyak ini.

Bagi saya, projek terbaik yang berjangka panjang untuk kita semua ialah mengubah cara hidup kita – dari seorang konsumer yang rakus, menjadi pengguna yang mengguna jika perlu. Budaya -guna-pakai-buang yang digalakan oleh sistem ekonomi kapitalis ini, tidak mungkin lagi menjanjikan masa depan yang cerah. Kita wajib kembali ke kelompok-kelompok kecil. Pulang ke pekan dan kota-kota kecil di mana keperluan kita dapat kita temui tanpa didatangkan dari tempat yang beribu-ribu batu jauhnya. Pekan-pekan kecil yang dilengkapi kemudahan asas adalah tamadun masa depan.

Manusia tidak perlu bergegas ke hulu ke hilir berhadapan dengan kesesakan lalulintas. Di pekan kecil kita boleh berbasikal atau berjalan kaki. Hubungan manusia dengan manusia akan menjadi lebih intim, mendalam dan lebih bermakna dari hubungan yang superfisial dalam budaya konsumer kapitalis. Kita wajib melakukan anjakan gaya hidup ini untuk memecahkan hegemoni budaya konsumer petroleum sebelum kekeringan petroleum memusnahkan tamadun kita.

Send instant messages to your online friends http://asia.messenger.yahoo.com


--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise.

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest".




SPONSORED LINKS
Divine inspiration Islam


YAHOO! GROUPS LINKS




Kirim email ke