Gas pemedih mata: Penduduk buat laporan polis
Thursday, August 11 @ 18:06:34 MYT


KUALA TERENGGANU, 11 Ogos (Hrkh) – Seorang penduduk Kampung Tanjung, Batu Rakit, Rosmawati Mohamad Yasin telah membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu, di sini petang semalam berhubung dengan kejadian serangan polis terhadap perhimpunan yang diadakan di surau kampung itu pada 8 Ogos lalu

“Saya sesungguhnya percaya bahawa serangan tersebut adalah menyalahi undang-undang kerana ianya dibuat secara membabi buta dan penuh kekerasan di mana berpuluh-puluh gas pemedih mata telah dilepaskan dan sebahagian daripada gas itu telah masuk ke dalam rumah-rumah penduduk yang berdekatan,” katanya dalam laporan itu.

Turut berada di balai polis semasa laporan itu dibuat ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Dato’ Abu Bakar Chik, ketua penerangan, Haji Muhyiddin Abdul Rashid dan Setiausaha Parti Keadilan Rakyat negeri, Ng Chai Hing.

(Rosmawati menunjukkan laporan polis yang beliau buat berikutan tindakan polis menyemburkan gas pemedih mata kepada satu perhimpunan di surau kampungnya)

Menurutnya, pihak polis juga telah gagal memberikan masa yang secukup kepada orang ramai untuk bersurai bahkan terus melepaskan tembakan gas tanpa mematuhi Akta Polis yang menghendaki amaran hendaklah diberi terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan.

Beliau menambah, akibat daripada gas yang masuk ke dalam rumah-rumah penduduk, terdapat penghuninya yang terdiri daripada wanita dan kanak-kanak yang tidak bersalah telah sesak nafas dan mengalami kepanasan anggota badan.

“Saya juga percaya pihak polis telah tidak menunjuk sifat menahan diri restraint dalam mengambil tindakan terhadap orang ramai yang kononnya telah melakukan kesalahan,” ujarnya lagi.

Ini, katanya telah menimbulkan cakap-cakap bahawa itu adalah satu lagi contoh keganasan polis terhadap masyarakat yang perlu secara segera diperjelaskan dan disiasat oleh pihak polis.

Beliau juga mempunyai kekhuatiran tentang kemungkinan kejadian yang berlaku itu didorong oleh sesetengah pihak yang cuba mengambil kesempatan bahkan cuba juga melaga-lagakan orang awam dengan pihak polis.

“Oleh kerana itu, kami dengan rendah diri meminta supaya pihak polis dapat menyiasat perkara ini dengan secara terperinci tanpa mengira kedudukan atau status mereka dalam kerajaan atau perkhidmatan polis itu sendiri,” katanya.

Minta polis siasat laporan

Sementara itu, Jawatankuasa Bertindak Prihatin Masyarakat Batu Rakit (JBPMBR) menggesa supaya laporan yang dibuat oleh penduduk kampung yang terlibat dalam kejadian itu dapat membantu pihak polis untuk memulakan siasatan terhadap kejadian serangan terhadap penduduk kampung itu.

JBPMBR dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini, petang semalam percaya bahawa serangan tersebut adalah bertentangan dengan undang-undang dan juga hak asasi manusia kerana perhimpunan tersebut yang telah diminta kebenaran daripada pihak polis dengan mematuhi syarat-syarat sebagaimana yang terkandung di dalam Akta Polis.

Walau bagaimanapun, pihak polis dengan rakusnya tidak membenarkan majlis tersebut dengan memberi notis pada saat-saat akhir pada petang 8 Ogos 2005 atas alasan keselamatan.

(Abu Bakar Chik dan lain-lain turut berada di balai polis ketika laporan dibuat)

Notis tersebut tidak memberikan butiran lanjut apakah yang dikatakan merbahaya kepada keselamatan. Kerakusan ini lebih terserlah apabila hak-hak pengajur merayu dalam tempoh 48 jam tidak diberikan.

Apabila majlis itu diadakan pada malamnya, pihak polis telah datang menggempur dengan full force seperti lori penyembur air kimia, trak tunda, trak pengangkut anggota, bas dan lain-lain, bahkan ada anggota Unit Simpanan Pesekutuan (FRU) yang bersenjatakan rifel M16.

Apabila polis sampai di Surau Kampung Tanjung, Batu Rakit, mereka langsung tidak memberikan masa untuk majlis itu bersurai, bahkan terus menembak gas pemedih mata di mana berpuluh-puluh gas pemedih mata yang masuk ke dalam rumah yang berdekatan sehingga ada menyebabkan wanita dan kanak-kanak lemas dan sesak nafas.

Kejadian pada itu menunjukkan dengan jelas sikap pihak polis yang menggunakan taktik high handed approach ketika mengendalikan kes berkait dengan penduduk yang langsung tidak bersenjata.

Pihak polis juga langsung tidak menunjukkan sifat menahan diri restraint bahkan bertindak membabi buta terhadap kononnya ancaman yang mungkin mereka hadapi.

Soalnya, adakah risiko ancaman itu munasabah dengan tindakan pihak polis? Adakah mereka yang berhimpun itu mempunyai senjata? Ataupun mereka penjenayah yang lepas lari?

Kami meminta pihak polis dapat menunjukkan sikap profesionalisme dalam menyiasat unsur-unsur jenayah yang mungkin ada dan menunjukkan kepada rakyat bahawa mereka adalah pelindung kepada rakyat dan bukannya ancaman kepada masyarakat.

Sebagaimana Laporan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia, persepsi masyarakat terhadap polis adalah rendah.

Sehubungan itu, jawatankuasa itu melahirkan kebimbangan sekiranya perkara itu tidak ditangani sebaik-baiknya, persepsi masyarakat terhadap polis akan terus menjunam dan tidak boleh ditingkat balik.
– KAM/ayu


To help you stay safe and secure online, we've developed the all new Yahoo! Security Centre.


--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise.

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest".




YAHOO! GROUPS LINKS




Kirim email ke