|
Kenyataan Akhbar Solidariti Mahasiswa Malaysia Sempena Hari Al-Quds
Sedunia 21 Ogos 2005 Hari ini genaplah 39 tahun peristiwa pembakaran sebahagian besar Masjid
Al-Aqsa, Palestin, yang didalangi pihak Zionis yang tidak bertanggungjawab
sehingga mengundang kemarahan dan kecaman kalangan masyarakat dunia. Tarikh ini
kemudiannya dijadikan simbolik perjuangan menegakkan keadilan dan keamanan di
bumi Palestin serta dijadikan Hari Al-Quds sedunia. Isu Palestin merupakan salah satu isu kronik yang pernah disaksikan oleh
manusia di dalam sejarah semenjak kurun ke-19 lagi dan berpanjangan sehingga ke
hari ini. Persepsi silap bahawa isu Palestin hanyalah isu melibatkan kelompok
bangsa Yahudi dan Arab yang bertelingkah dalam menentukan siapakah yang lebih
berhak terhadap bumi Palestin sering membawa kepada pemahaman dan penilaian yang
salah oleh masyarakat antarabangsa, dek kerana disibukkan dengan simptom kepada
pergolakan yang berlaku dan tidak langsung memahami punca permasalahan
tersebut. Semenjak beribu-ribu tahun yang lalu Palestin merupakan bumi bagi kaum
Kanan yang kemudiannya menjadi bangsa Arab setelah zaman Islam. Mereka
merupakan penduduk asal bumi ini tanpa sebarang keraguan mengenai hak mereka
sehinggalah tahun 1948, apabila sebuah entiti haram yang diberikan nama sebagai
negara Israel (Bumi Israel - Erezt Yizrael) ditubuhkan. Sentimen
anti-Yahudi di Eropah, peristiwa Holocaust yang dicetuskan oleh gerakan Nazisme
dan dasar kolonialisasi British pasca Perang Dunia Pertama telah dimanfaatkan
sebaiknya oleh gerakan Zionisme untuk mencerobohi dan menduduki Palestin secara
haram.
Negara yang tertegak atas dasar perkauman dan juga kezaliman ini telah menyebabkan lebih enam juta rakyat Palestin terpaksa hidup di dalam kem-kem pelarian dan di luar negara mereka sehingga hari ini. Sehingga saat ini, lebih kurang satu pertiga (1/3) daripada jumlah keseluruhan Yahudi dari serata dunia telah mendiami bumi Palestin. Pelbagai inisiatif dan juga resolusi yang telah diusahakan oleh
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyelesaikan isu ini telah menemui
kegagalan dan langsung tidak menyelesaikan perkara ini disebabkan pemain utama
politik dunia tidak menyebelahi pihak yang tertindas, sebaliknya menyebelahi
pihak Zionis yang berlaku zalim dan menindas. Akibatnya rakyat Palestin bukan
sahaja terus menderita, malah diberikan penilaian berat sebelah oleh media
antarabangsa dan ditonjol sebagai penghalang kepada siri usaha damai yang
dijalankan. Solidariti Mahasiswa Malaysia berpandangan bahawa penjajahan regim Zionis ke atas negara Palestin mesti diakhiri, tidak kira berapa lama ia berlaku. Hak lebih enam juta rakyat Palestin yang kini ditindas dan hidup sebagai pelarian di luar negara mereka harus ditunaikan segera sebagai penduduk asal Palestin. Solidariti Mahasiswa Malaysia juga menolak keras cadangan Two States Solution kerana ia berbaur unsur paksaan ke atas rakyat Palestin untuk melepaskan 77% daripada tanahair mereka untuk dijadikan sebuah negara Israel yang berdaulat dan merdeka. Di atas kesedaran ini, Solidariti Mahasiswa Malaysia dengan rasa prihatin
menyeru semua rakyat Malaysia agar: 1.
Usaha meningkatkan kesedaran dan sensitiviti masyarakat terhadap isu
Palestin terus digiatkan samping menyebarluaskan maklumat yang benar dari sumber
yang diyakini. 2. Sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin diteruskan dengan memberikan
sebarang bantuan kewangan & kemanusiaan kepada institusi bantuan yang
wujud. 3.
Sentiasa
mendoakan kesejahteraan dan kejayaan rakyat Palestin.
Solidariti Mahasiswa Malaysia yakin usaha bersepadu juga perlu dimainkan
oleh masyarakat antarabangsa untuk membantu rakyat Palestin mengakhiri derita
mereka sepertimana isu Apartheid di Afrika Selatan. Jika rejim Apartheid boleh
dihapuskan dan juga diakhirkan hayatnya, begitu juga dengan projek Zionis ini.
Hanya dengan berakhirnya rejim Zionis sahajalah keamanan yang sebenar di bumi
Palestin dan di rantau Timur Tengah akan menjadi kenyataan.
Sekian -------------------------------------------------------------------------- All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise. If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest". YAHOO! GROUPS LINKS
|
