|
From: Q1 + Q2 + A = C
TREND MENGURANGKAN RASA BERDOSA
Saya benar-benar
kebingungan. Bagi seorang yang hidup 11 tahun di perantauan, kembali ke Malaysia
di era seperti hari ini, memang membingungkan. Semasa di Ireland, saya sudah
mendengar tempias American Idol yang sesekali menghiasi dada akhbar Irish Independent dan lain-lain. Talk of the town kadangkala diisi dengan
isu siapakah yang sepatutnya mewakili Ireland ke acara Eurovision Contest yang
sememangnya tempat pertama pertandingan itu sinonim dengan penyanyi dari Ireland
zaman berzaman khususnya penyanyi seperti Johnny Logan. Namun ia hanya acara
biasa. Kerja-kerja harian orang ramai berlangsung seperti biasa... tiada yang
luar biasa. Saya terkasima
semasa bersiap-siap untuk pulang ke tanah air for good, ketika membaca pengumuman nama
Rais Yatim diberikan peranan sebagai Menteri Kebudayaan kabinet Pak Lah yang
baru. Hairan bin Ajaib, apa yang saya kenal tentang Rais Yatim, menimbulkan
tanda tanya. Mengapakah seorang menteri yang begitu genius khususnya dalam hal
ehwal berkaitan undang-undang, tiba-tiba ditempatkan sebagai menteri di sebuah
kementerian yang menguruskan hal ehwal zapin dan joget, pesta budaya dan orang
filem Malaysia yang sering berbalah sesama sendiri. Namun, kehairanan saya
terjawab apabila saya membaca temuramah bersama Rais Yatim oleh sebuah akhbar
tempatan di bawah tajuk "Berhenti MengArabkan Orang Melayu". Tegasnya, temuramah
itu menggambarkan misi Rais Yatim yang mahu mengembalikan semula identiti Melayu
yang padanya telah terpadam oleh proses Islamisasi yang diterjemahkannya kepada
proses Arabisasi. Antara budaya Melayu yang mahu ditonjolkan kembali adalah
budaya tari menari. Orang Melayu tak mungkin dapat dipisahkan daripada tari
menari kerana ia telah mendarah daging di dalam tubuh kita, tegas
beliau. Nampaknya apa yang
dinyatakan oleh beliau benar-benar terealisasi di dalam masyarakat kita. Usahlah
pergi jauh, kampung saya sendiri telah terasa kesannya. Seingat saya, kali
terakhir kampung saya dihiruk-pikukkan oleh Joget Lambak ialah semasa saya masih
di bangku sekolah rendah. Itu bererti Joget Lambak telah pupus di kampung saya
semenjak 20 tahun yang lalu. Tetapi pupusnya Joget Lambak bukanlah kerana
kampung saya telah diArabkan seperti bangsa Sudan. Bangsa Sudan membuang bahasa
asli mereka dan mengambil sepenuhnya Bahasa Arab sebagai bahasa pertuturan
mereka. Kampung saya masih pekat 'kome', 'mike'
dan sambal belacannya. Namun yang pasti, apabila masjid makin ramai
yang datang, perempuan makin ramai yang tutup aurat, emak ayah makin gemar
menghantar anak ke kelas fardhu 'ain, maka dengan sendirinya Joget Lambak
terketepi dan terhakis dari keMelayuan orang kampung saya. Tetapi saya
kekal sebagai salah seorang daripada beberapa orang anak kampung yang reti
Bahasa Arab. Tetapi, selepas 11
tahun saya meninggalkan kampung, saya dikejutkan dengan suatu pengalaman pahit
di malam itu. Hanya beberapa ratus kaki dari rumah saya, kenduri kahwin jiran
yang siang tadi diTahlilkan dan di'doa selamat'kan oleh Imam kampung, malam ni
berjoget terlambak-lambak. Berdentam-dentum dram dan gitar, anak-anak muda
terloncat-loncat dan lebih mendukacitakan saya, ia berlaku bersebelahan masjid.
Aduh... gelisah saya sepanjang malam di samping anak-anak saya yang tidak boleh
tidur akibat kebisingan mereka yang berlanjutan hingga ke tengah malam. Walaupun
anak saya lahir di bandar yang penuh orang mabuk dan saling berbunuhan sesama
sendiri (di Belfast), namun fitrahnya masih merintih kedamaian yang dibunuh
'orang kahwin' malam itu. RAKYAT
KETAGIH HIBURAN Fenomena hiburan
melampau sememangnya menakutkan saya. Kalau di Ireland, rancangan realiti TV
mencari bakat baru berlangsung satu demi satu, tetapi di Malaysia, lima program
berjalan serentak. Ada untuk remaja, ada untuk kanak-kanak, ada untuk ibu bapa
dan ada juga untuk orang tua yang sudah senja. Lagu-lagu lama muncul kembali
supaya jiwa rakyat yang hari ini telah beruban, terusik kembali untuk mengenang
zaman remaja mereka di taman-taman bunga. Semua berhibur, semua berkhayal dan
semua terbang ke cloud nine
masing-masing. Iklan mesti
menghiburkan, pendidikan mesti menghiburkan, ring tone telefon bimbit juga mesti
berlagu hiburan, malah ceramah agama juga mesti ada unsur hiburan. Mana-mana
agenda yang tiada unsur hiburan dengan sendirinya terpinggir. Kehidupan
masyarakat kita sudah 'entertainment
centered'. Segala keperluan hidup diarahkan kepada hiburan malah wang
yang dicari dengan penat lelah, amat mudah ditaburkan kepada sms demi
memenangkan idola masing-masing. Akhirnya terhibur menjadi tujuan hidup!
Mana-mana yang tidak menghiburkan, tiada makna dan tiada
nilai. Namun, mungkin
akibat desakan kemahuan Islam yang masih ada nyawa, suara-suara menegur masih
kedengaran walaupun tidak begitu diendahkan. Mufti berfatwa, pendakwah menegur,
pemimpin mengeluh. Namun untuk berundur daripada dunia hiburan, jiwa sudah
ketagihan. Bagai penagih yang keluar masuk pusat serenti, begitulah rakyat yang
sudah ketagih hiburan. Sembahyang, sembahyang juga. Tapi kemudian kembali
berhibur. Tarian dan lagu-lagu pathetic terus didendangkan, namun
nama-nama Tuhan diselitkan jua. Akhirnya muncullah suatu trend baru dalam
masyarakat kita di mana Islam menjadi kosmetik paling murah tapi
laku. Persoalannya,
salahkah berhibur? Tentu tidak salah... namun hiburan yang bagaimana? Mentor
saya memberikan analogi yang menarik. Katanya, nasyid umpama iklan. Iklan yang
berkesan adalah iklan yang berjaya meningkatkan penjualan produk. Tetapi jika
yang dikenang hanyalah iklan dan kecantikan paras rupa modelnya, sedangkan
barangan tidak terjual malah tersisih dari pasaran, maka iklan itu sudah
tersasar. Produk yang diiklankan, pelakon iklan yang naik
saham! Nasyid menjadi wadah
'mempromosikan' Islam dengan citarasa yang kontemporari. Nasyid bertujuan
'memperkenalkan' Tuhan. Namun bagi yang mendengar nasyid cintan cintun dan rap sampah sarap hari
ini, berapa ramai yang 'membeli' Tuhan? Adakah cinta kepada Ilahi meningkat
selepas menghayati nasyid seperti itu? Walaupun ada penyanyi wanita tergamak
mengheret jubah dan tudung ke pentas tari menari, atau yang lelaki menyelitkan
kalimah-kalimah Arab di celah caca merba nyanyiannya itu, persoalannya yang
manakah yang laku? Adakah Islam semakin laku? Adakah Tuhan semakin dibesarkan?
Amat pelik, jika nasyid itu kononnya mempromosikan Islam tetapi Islam tetap
tidak laku di pasaran. Jika ia sebuah iklan, maka nasyid hari ini menjadi contoh
iklan yang tidak berkesan. Iklan laku, barang tak laku. Nasyid laku, Tuhan tetap
terpinggir dan dilupakan. APAKAH
SEMUA INI? Inilah soalan yang
membingungkan saya. Kita melihat bagaimana menyebut kalam-kalam iman seperti
Insya Allah, Alhamdulillah, Syukur, Ameen dan lain-lain sudah menjadi seperti
adat. "Semoga Tuhan memurahkan rezeki saya dalam bidang ini!", Tuhan mana yang
mengurniakan kemurahan rezeki dalam bentuk maksiat dan kebinasaan jati diri?
Kepada Tuhan manakah, si artis tadi berdoa? Habis, apa ertinya mereka yang
berpenat lelah melawan hawa nafsu dan syaitan dalam kehidupan sedangkan dalam
keadaan menaja maksiat, Tuhan masih mengurniakan kemurahan rezeki? Saya masih
ingat bagaimana salah sebuah kumpulan ditemuramah oleh televisyen tentang rahsia
kejayaan dan keyakinan diri mereka. Mereka menjelaskan bahawa mereka ada sejenis
meditation. Apabila diminta
membuat demonstrasi, mereka yang terdiri daripada beberapa lelaki dan seorang
perempuan berpegangan tangan membentuk bulatan dan... AL-FATIHAH! Selepas itu
ketua kumpulan membacakan doa sambil menadah tangan, memohon supaya Allah
melindungi band mereka dari kekalahan dan mala petaka bahaya. Terpegun
saya menontonnya. Wartawan tersebut pula mengucapkan syabas kerana walaupun
kumpulan tersebut menyanyikan lagu kontemporari dan moden, tetapi masih tidak
lupakan agama! Bingung saya
memikirkan hal ini. Apakah sebenarnya kefahaman mereka tentang Islam?
Adakah mereka benar-benar memaksudkan bahawa Allah, Tuhan Muhammad,
Tuhan Abu Bakr, Tuhan Imam Syafie, adalah Tuhan yang sama boleh mengurniakan
keredhaanNya kepada acara henjut-henjut mereka di dalam konsert tersebut?
Apakah pelajar-pelajar Akademi Fantasia benar-benar percaya bahawa di
alam bukan Fantasia, Allah SWT telah menghalalkan perlakuan mereka hanya
kerana sebelum jamming, mereka memberikan salam? Seperti orang yang makan daging
yang unknown, baca sahaja Bismillah dan baham! Lantaklah daging tu babi ke atau
lembu mati dilanggar kereta, yang penting tadi Bismillah telah dibaca. Err...
saya benar-benar kebingungan. Akhirnya, saya
sampai kepada suatu kesimpulan. Saya terkenangkan kepada hadith riwayat
Huzaifah, bahawa Nabi Muhammad SAW telah memperingatkan bahawa di akhir
zaman, kebenaran itu masih bertahan tetapi bezanya dengan Islam di zaman
silam ialah, Islam di akhir zaman ini berdebu, samar-samar dan berasap. Jika
realiti di akhir zaman ini begitu, ini bererti Islam tidak boleh
dinilai dengan pandangan mata biasa kerana di dalam suasana yang berdebu
lagi berasap, dua biji mata di kepala ini akan kemerah-merahan, kabur,
berair dan kelam penglihatannya. Sesungguhnya yang
perlu dicelikkan demi mencari kebenaran di akhir zaman, adalah mata hati!
Hati telah kenal
Tuhan kerana dia datang dari Tuhan. Dia tahu di mana nilai kebenaran. Sebab itu
Nabi Muhammad SAW menyuruh kita meminta pandangan hati dalam menilai kebenaran.
Dosa itu adalah apa yang mendatangkan keresahan di hati dan kebaikan pula
mententeramkan jiwa. Asalkan hati itu bersih, ia akan meilhat dengan pandangan
Allah. Pandangan Allah itu adalah world view yang
berasaskan tauhid. Tauhidic Mindset itu adalah suatu pandangan yang menilai
kehidupan ini berasaskan pandangan Tuhan. Apa yang baik di sisi Allah, baiklah
padanya, dan apa yang keji di sisi Allah, kejilah terhadap dirinya. Hakikat ini
tidak dapat dicapai oleh mata kasar, namun yang perlu disuburkan adalah pada
mata di hati yang kenal Tuhan dan tahu ke mana ia patut
pergi. Oleh yang demikian,
adanya rap dan pop yang dinasyidkan, adanya penari dan penyanyi yang
bertudung dan berjubah, adanya juara Akademi Fantasia yang berlatar
belakangkan agama, hanyalah kosmetik Islam. Kita masih mahu berhibur tetapi
kita sedar yang kita sudah terlalu terhibur. Kita sedar hiburan kita
sekarang adalah dosa. Maka dengan adanya kosmetik Islam tersebut ia dapat
mengurangkan rasa berdosa. Sama seperti seorang artis yang pergi umrah.
Menangis-nangis di depan Kaabah dan kemudian balik ke KL berdansa semula. Namun
diceritakan kepada wartawan perasaannya semasa berumrah itu. Sedangkan tidak
sedikit pun kemungkarannya yang ditinggalkan. Namun, dengan menggunakan hasil
nyanyian itu untuk mengerjakan umrah, ia dapat mengurangkan rasa berdosa
tersebut. Sama juga seperti orang yang menyamun harta orang lain, menipu dan
menindas, kemudian sedekah sedikit hasil kerjanya itu kepada rumah kebajikan.
Kurang sedikit rasa berdosa. Sedangkan apa yang
saya belajar, apa yang Imam al-Ghazali tegaskan di dalam pengajarannya ialah:
Membuat sesuatu yang tujuannya adalah untuk sekadar mengurangkan rasa berdosa
sedangkan diri masih dibiarkan bergelumang dengan dosa, adalah DOSA YANG PALING
BERDOSA! Allah.. selamatkan kami dari fitnah akhir
zaman. @ABU
SAIF Cheras,
Kuala Lumpur 17
Ogos 2005 -------------------------------------------------------------------------- All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise. If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest". YAHOO! GROUPS LINKS
|
