Minyak sekali lagi...
Sep 2, 05 1:17pm
"Bukan sahaja kerajaan Malaysia, malah tidak ada kerajaan di dunia yang boleh mengekalkan harga minyak untuk rakyat pada paras yang sedia ada sekiranya harga bahan itu di pasaran dunia terus melambung," katanya Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Isnin ketika membayangkan kerajaan terpaksa menaikkan harga minyak di negara ini sekiranya harga bahan api itu di pasaran dunia terus melambung.
HISHAMUDDIN RAIS adalah seorang manusia baru dengan roh yang bebas. Beliau merupakan pendukung dan pengembang asal mazhab NGI (non-governmental individual). Dipengaruhi oleh fahaman Marxis jenis Groucho, Isham adalah lulusan daripada sekolah pemulihan pemikiran politik seperti Melbourne Tellamarine Center, Bombay Arthur Road, Ayer Molek dan Dang Wangi.
Kolumnya di malaysiakini - DOTMAI - terberhenti sejak April 2001 selepas penahanannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Isham dibebaskan Jun lalu selepas dua tahun di Kem Tahanan Kemunting. Kini Isham muncul semula dengan kolum DOTMAI KEMBALI di mana beliau akan menulis mengenai isu-isu politik semasa, filem, seksualiti hingga kepada isu estetika kebosanan hidup.
Malaysiakini
Harga minyak mentah dunia kini melepasi paras AS$70 setong, paras tertinggi dalam sejarah dunia. Ekoran itu, Najib meminta rakyat memahami situasi yang dihadapi sekarang dan jangan menyalahkan kerajaan sekiranya harga petroleum di pasaran tempatan terpaksa dinaikkan. (Dipetik dari Utusan Malaysia 29 Ogos 2005)
President Bush answered growing antiwar protests yesterday with a fresh reason for US troops
to continue fighting in Iraq: protection of the country's vast oil fields, which he said would otherwise fall under the control of terrorist extremists. (Petikan dari tulisan Jennifer Loven, AP 31 Ogos 2005).
In the 1950s Shell Oil Company geologist M King Hubbert predicted that America's petroleum supply would soon peak and gradually decline. His concept was mathematically developed, based on empirical evidence, technical and rather narrow. Though other geologists were skeptical, Hubbert was proven correct when America's oil supply did peak in the early l970s. In typical scientific fashion, this phenomenon became known as Hubbert's Peak. His students and others - such as now retired Princeton University geologist Kenneth Deffeyes -continued his scientific work to establish his theory. Peak Oil is being increasingly accepted within the oil industry, by the media and the public, though the term itself is not always used. (Petikan dari tulisan Shepherd Bliss, Energy Bulletin 1 September 2005).
Akhirnya, Presiden Bush terpaksa berlaku jujur dan mengakui bahawa tujuan asal Amerika menakluk Iraq ialah untuk mengawal dan menimba telaga minyak di Iraq. Buat pertama kalinya presiden Amerika itu berkata demikian kerana dia ingin mengolah persetujuan rakyat Amerika agar mereka terus menyokong dasar perang yang sedang dilakukan oleh bala tentera Amerika di Timur Tengah.
Perang Iraq telah menewaskan hampir 1,900 nyawa tentera Amerika. Perang ini masih belum dilihat kunci tamatnya. Gerila pembebasan Iraq semakin tesusun dan semakin licik. Pertengahan tahun hadapan akan berlaku pemilihan dewan Senate dan dewan Kongres di Amerika Syarikat. Ini akan menguji kekuataan dasar parti presiden Bush Parti Republikan. Bush dipaksa menerima akibat dari dasar yang telah dijalankannya. Rakyat Amerika semakin gelisah dengan perang dalam masa yang sama harga minyak terus
melonjak.
Dasar perang Iraq George Bush ini juga telah mengkucar-kacirkan bukan sahaja ekonomi Amerika tetapi sedang mengharuk-pirukkan ekonomi dunia kapitalis. Tanda-tanda zaman meleset akan datang semakin jelas. Lidah pengarang akhbar Daily Astorian dari Oregon pada 31 Ogos 2005 lalu, telah menulis - Writing in The Wall Street Journal last week, Gerald F. Seib noted: In brief, while the 20th century was the century of oil, the 21st already is unfolding as the century of whatever follows oil, or the century of fighting over whats left of oil or both.
Dengan jelas, lidah pengarang akhbar ini telah menunjukkan bahawa penduduk dunia hari ini sedang memasuki era pertempuran untuk memiliki saki-baki minyak yang masih tersimpan di beberapa buah telaga. Juga, secara ilmiah, telah terbukti bahawa jumlah minyak dalam perut bumi semakin berkurangan. Konsep Hubberts (Puncak Minyak) ialah apabila minyak dalam perut bumi semakin susah untuk ditemui, maka
harganya akan meningkat. Kesurutan ini akan berakhir dengan kekeringan inilah teori Puncak Minyak. Sayangnya konsep dan teori ini masih belum dibincangkan secara terbuka diarus perdana Malaysia.
Minta simpati rakyat
Dalam suasana kekalutan perang di Iraq, kesedaran tentang Puncak Minyak dengan kenaikan harga pasaran minyak dunia, saya juga mendengar dan membaca kenyataan Najib tentang harga minyak yang akan dinaikkan lagi dan penarikan subsidi yang pasti akan dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN). Najib cuba mencari simpati dan meminta rakyat faham akan kedudukan kerajaan.
Saya telah mengambil keputusan untuk tidak akan bersimpati dengan dasar Najib atau kerajaan BN dalam hal kenaikan harga minyak. Ini bukan bermakna saya bebal dan mengambil sikap keras kepala, berdegil tidak ingin memahami pergerakan ekonomi dunia. Atau saya sengaja ingin membangkang kerana suka membangkang.
Saya cukup menyedari
dan meneliti pergerakan turun naik harga pasaran minyak dunia. Dalam komputer saya, terkumpul berbelas-belas laman yang memberi laporan setiap saat tentang turun-naik harga pasaran minyak. Saya lakukan ini bukan kerana saya memiliki saham minyak atau memiliki kereta. Saya lakukan ini kerana minyak adalah kunci untuk memahami ekonomi kapitalis.
Memahami pergerakan harga minyak adalah memahami arus dan arah politik dunia uni polar yang sedang diteraju oleh Amerika Syarikat. Jika gagal memahami gerak dan arus pengaliran minyak, maka kita akan gagal untuk menganalisa arah politik global yang mempengaruhi politik domestik kita.
Berlatarkan ini, saya tidak mahu melebarkan diri dan menafikan diri saya untuk bersimpati kepada kerajaan yang dipimpin oleh Najib. Saya memiliki sebab musabab untuk mengambil mengambil sikap ini. Saya memiliki asas-asas yang kukuh untuk tidak bersimpati dan menyanggah dasar minyak kerajaan BN.
Rakyat mengetahui bahawa Malaysia adalah
negara pengeluar minyak semenjak tahun 70-an lagi. Minyak telah ditemui di pesisiran Terangganu dan di Sabah. Rakyat juga diberitahu bahawa minyak yang dicarigali dan ditemui oleh syarikat negara Petronas memiliki kualiti yang tinggi. Justeru, minyak ini dieksport.
Untuk kegunaan rakyat Malaysia, kerajaan mengimport minyak yang lebih murah. Kita menjual minyak mahal dan kita membeli minyak dengan murah, ertinya kita (baca: rakyat Malaysia) mendapat keuntungan. Kita tidak perlu pergi belajar di Notinggham Universiti seperti Najib, untuk memahami ilmu hisab ini.
Setiapkali harga minyak naik rakyat Malaysia, parti-parti Barisan Alternatif dan badan bukan kerajaan (NGO), terus bersuara dan mempersoal kenapa subsidi minyak perlu dilupuskan walhal minyak yang kita miliki dijual dengan harga mahal. Keuntungan jualan minyak negara boleh digunakan untuk dijadikan dana subsidi. Hujah ini masuk akal. Justeru, orang ramai terus mempersoalkan kebijaksanaan tindakan kerajaan
BN.
Ada yang tidak telus
Di sini saya menyokong dan bersimpati dengan tuntutan orang ramai. Tetapi, dalam kes minyak Malaysia ini, ada sesuatu yang tidak telus dan tidak jelas. Ada banyak kesangsian yang terus timbul. Hasil pendapatan syarikat Petronas tidak diketahui umum secara terperinci. Buku duit masuk dan duit keluar syarikat kepunyaan rakyat Malaysia ini, tidak pernah dibentangkan kepada umum. Ahli-ahli parlimen Malaysia tidak pernah melihat butiran perniagaan syarikat ini.
Rakyat hanya mengetahui kadang-kadang bangga bodoh bahawa Malaysia sebuah negara pengeluar minyak yang berkualiti tinggi. Tetapi dalam kebanggan bodoh ini , ramai rakyat yang tidak tahu ke mana lesapnya duit hasil untung menjual minyak ini.
Mengenai syarikat Petronas pula, rakyat kurang yakin dengan peranan Mahathir Mohamad, penasihat syarikat ini. Setahun dahulu, rakyat Malaysia terperanjat apabila mengetahui Mahathir telah
melantik dirinya sendiri sebagai penasihat Petronas. Perlantikan ini melalui satu kenyataan akhbar yang dilaporkan oleh ajensi berita Reuters. Mahathir bukan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atau Parlimen. Sesudah laporan Reuters ini keluar, barulah Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi memperakui perlantikan ini.
Kita semua wajib menyedari bahawa rakyat Malaysia, terutama orang Melayu, tidak lagi percaya kepada orang yang bernama Mahathir ini. Ini telah dibuktikan dengan keputusan pilihanraya umum tahun 1999. Bagi orang Melayu, Mahathir ini seorang kaki kelentong. Bukan hanya dalam kes buku 50 Dalil di mana Mahathir telah terbukti membohong, ada banyak lagi kes-kes putar alam yang masih belum mendapat hukuman yang setimpal.
Sebagai contoh terbaru, minggu lalu Mahathir berkelentong lagi apabila dia memulangkan kereta-kereta buatan Proton. Akhbar melaporkan kereta ini hanya dipakai untuk diuji pandu. Kepala bana apa jika Mahathir Muhamad
melakukan uji pandu selama tujuh tahun. Jika ini benar, maka inilah uji pandu yang paling lama dalam 100 tahun sejarah automobil. Jika ada kebenaran dalam kenyataan Mahathir ini, maka rakyat telah disedarkan kenapa syarikat Proton akan jatuh muflis tidak lama lagi.
Ini kerana penasihat syarikat ini telah melakukan uji pandu dengan begitu lama sekali. Dalam kes minyak dan syarikat Petronas ini, masih ada tersimpan rahsia-rahsia yang wajib diketahui seluruh rakyat Malaysia. Semua ini bersangkutan dengan dasar kelentong Mahathir. Pada 30 Jun lalu, dalam satu ceramah Parti Keadilan Rakyat di Pantai Dalam, Kuala Lumpur, Anwar Ibrahim, bekas menteri kewangan sendiri membocorkan beberapa rahsia tentang pengendalian Petronas. Saya tidak akan ambil pusing jika maklumat tentang Petronas ini keluar dari Laman Mahazalim atau Laman Mahafiraun. Berita-berita salahguna duit Petronas ini telah banyak saya baca lima enam tahun dahulu dari dua lamanweb reformasi ini. Ketika itu mungkin
kita sama-sama menganggap laporan-laporan itu hanya fitnah dan tohmah terhadap perdana menteri Malaysia.
Rizab emas negara
Tetapi maklumat dalam ceramah di Pantai Dalam itu, bukan laporan Laman Mahazalim. Maklumat ini keluar dari mulut bekas menteri kewangan yang bekerja dalam kabinet Mahathir sendiri. Menurut bekas menteri kewangan ini, ketika ekonomi Malaysia menghadapi krisis pada tahun 1997-98 dahulu, Mahathir sangat-sangat memerlukan dana yang banyak untuk menyelamatkan-harta dan perniagaan-kroninya, termasuk syarikat Mirzan anak Mahathir sendiri.
Rizab emas negara Malaysia ketika itu telah mula susut. Mahathir, tanpa diketahui Parlimen dan orang ramai, telah meminjam duit dari Jepun dan Taiwan. Cagaran yang digunakan oleh Mahathir ialah minyak negara yang masih tersimpan dalam perut bumi Malaysia. Mahathir telah memajakkan minyak negara kita kepada syarikat asing. Inilah maklumat yang telah diberitahu kepada
rakyat oleh Anwar Ibrahim bekas menteri kewangan kabinet Mahathir sendiri.
Melalui maklumat ini, barulah saya menyedari, walau setinggi manapun harga minyak naik dalam pasaran dunia, harga minyak Malaysia mungkin masih dijual di tahap tahun 1997-98. Ini kerana minyak kita telah dipajakkan. Dalam masa yang sama, rakyat tidak pernah tahu atau melihat secara terperinci bentuk perjanjian pajak gadai minyak yang telah dilakukan oleh Mahathir ini. Melalui maklumat dari bekas menteri kewangan itu, saya memahami kenapa Mahathir secara tergesa-gesa telah melantik dirinya sendiri menjadi penasihat Petronas. Ini kerana ada kain cawat sedang tersidai di KLCC.
Jesteru, jika Najib ingin rakyat Malaysia bersimpati dan memahami tentang kenaikkan harga minyak dan menerima pelupusan subsidi, maka dia wajib berlaku jujur dan menerangkan kepada rakyat tentang kedudukan sebenarnya dalam hal pemajakan minyak negara ini. Siapa yang memiliki minyak kita hari ini Jepun, Taiwan atau
rakyat Malaysia. Berapa lama telaga minyak kita dipajakkan untuk dijadikan cagaran. Berapa juta tong yang akan diberikan kepada Taiwan dan Jepun. Berapa harga yang telah dipinjam. Bagaimana cara pembayaran yang telah dilakukan. Semua ini perlu dijelaskan sebelum mendapat simpati dari orang ramai.
Dalam masa yang sama Najib perlu menjawab apakah maklumat yang dibocorkan oleh Anwar ini hanyalah satu retorik politiknya untuk mengolah sokongan rakyat. Jika semua ini hanya retorik politik Anwar, maka ini bermakna negara kita sedang melimpah ruah dengan kepingan dollar. Bayangkan berapa bilion dollar yang akan masuk ke dalam dana negara kerana ketika saya menulis ini harga minyak telah melonjak ke tahap AS70 dollar satu tong. Dengan limpahan dollar ini, bererti kerajaan tidak perlu menaikkan harga minyak dan tidak perlu melupuskan subsidi. Malah adalah satu yang munusabah jika rakyat menuntut agar subsidi ini ditambah lagi agar kita semua boleh bermerhaban bersama-sama. Jika Anwar
berbohong, maka di mana dollar ini sekarang!
Tetapi seperti kata Reuters dalam laporan 1 September 2005 ini: "Do they live on another planet?" asked top-selling newspaper Bild. "While many motorists don't know how they are going to pay to fill their tanks, our political leaders are talking nonsense.
Najib-Mahathir sama saja
Saya bersetuju dengan apa yang ditulis oleh akhbar Bild dari Jerman ini. Perkara yang sama sedang berlaku kepada Najib politikus mondok negara kita ini. Saya berani berkata demikian kerana dari pengamatan saya, Najib ini juga tidak banyak bezanya dengan Mahathir. Malah, lantikan Najib untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri, bukan dilafazkan oleh Abdullah Badawi.
Sama seperti kes penasihat Petronas, Mahathir telah membuat kenyataan melalui akhbar yang memaksa Abdullah Badawi mengangguk. Perhatikan dengan rapi jika Mahathir sibuk dengan projek-projek mega,
Najib pula sibuk dengan projek senjata mega. Ini bukan tohmah atau fitnah. Ini saya petik dari laporan media kerajaan BN.
Agensi berita Bernama melaporkan pada 27 Ogos 2005: Lawatan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke China selama seminggu, mulai 1 September ini, akan mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara, kata Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar. Syed Hamid berkata, dalam lawatan itu, Najib yang merupakan Menteri Pertahanan, akan menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) kerjasama dalam bidang pertahanan dengan China.
Perjanjian apakah ini. Senjata apa yang masih ingin dibeli oleh Najib dari negeri China. Dari mana duit hendak diambil untuk membeli kapal selam dari Peranchis yang telah lama dipesan oleh Najib. Siapa yang akan membayar harga kereta perisai yang telah ditempah oleh Najib dari Poland. Najib membeli-belah senjata di luar negara ini, kelihatan sama seperti isterinya Rosmah Mansor pergi shopping
di Harrod London. Pungut sana pungut sini dan akhirnya, semua bil-bil ini akan dimasukkan ke dalam kantung rakyat.
Jika kerajaan dan negara kita tidak mempunyai dana untuk memberi subsidi minyak untuk rakyat, kenapa perlukan negara ini membeli senjata-senjata ini. Kita hendak berperang dengan siapa. Siapa musuh kita dalam Asean ini. Apakah kita hendak menyerang Brunai atau Pulau Maldives. Bibir atas Najib berkata negara tidak ada duit. Subsidi minyak akan ditarik. Rakyat jangan menyalahkan kerajaan. Tetapi di bibir bawahnya Najib berkata saya akan pergi beli senjata di luar negara. Ini betul-betul perangai Mahathir.
Jika kerajaan tidak mampu memberi subsidi minyak kepada orang ramai, kenapa Najib mampu membeli senjata. Apakah agenda pembelian senjata oleh Najib Razak bertujuan untuk mengeruk dana Petronas untuk memberikan komisen kepada orang-orang tengah yang mengurus hal jual-beli senjata. Perniagaan yang berlapikkan dengan agenda memperkayakan kroni-kroni ini
adalah cara perniagaan yang telah dilakukan oleh Mahathir.
Semua soalan ini adalah asas-asas yang memaksa saya menafikan diri saya untuk bersimpati dengan kenyataan Najib tentang harga minyak. Kita wajib mempersalahkan kerajaan kerana membeli senjata ketika negara tidak berduit. Kita juga wajib terus bertanya dan menghebohkan tentang penjualan minyak kita yang mahal kemana perginya duit itu. Soalan-soalan ini penting kerana harga minyak ketika ini adalah kunci untuk kita memahami arus politik Malaysia dan arus politik global.
Yahoo! Mail - now with Autocomplete that helps fill email addresses.
--------------------------------------------------------------------------
All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise.
If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest".
| Islam and the west | Islam koran | Different religions beliefs |
| Islam | Divine inspiration |
YAHOO! GROUPS LINKS
- Visit your group "hidayahnet" on the web.
- To unsubscribe from this group, send an email to:
[EMAIL PROTECTED]
- Your use of Yahoo! Groups is subject to the Yahoo! Terms of Service.
