Majlis Islam Pattani minta tubuh j/kuasa khas untuk selesai krisis


Pemimpin masyarakat Islam Pattani meminta sebuah jawatankuasa khas dibentuk bagi membincangkan perkara berbangkit dengan Perdana Menteri Thaksin Shinawatra bagi mengelak keganasan berterusan di tiga wilayah Selatan negara itu.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pattani Abdul Rahman Daud berkata, langkah itu dilihat sebagai satu-satunya jalan yang boleh menyelesaikan masalah yang sudah berlarutan sejak 20 bulan lalu.

"Kita harap masalah ini diserahkan kepada sebuah jawatankuasa untuk bertemu Thaksin dan membincang agar masalah yang berlarutan sekarang, dapat diselesaikan," katanya kepada pemberita selepas mengimamkan solat sunat hajat di Kampung Kenuak, Daerah Ragae di Narathiwat (selatan Thai), semalam.

Kira-kira 2,000 penduduk kampung dan pemimpin masyarakat, hadir di majlis itu yang diakhir dengan doa selamat, memohon kepada Allah SWT agar bencana yang menimpa rakyat yang beragama Islam di wilayah yang bergolak itu, akan berakhir.

Abdul Rahman berkata, banyak jalan penyelesaian boleh dilakukan sekiranya semua pihak turut memberi kerjasama, termasuk kerajaan tidak menakutkan rakyat melalui tindakan ketenteraan.

Beliau berkata, pencerobohan rumah-rumah tanpa melalui peraturan dan undang-undang seperti yang dilakukan pihak tentera, bukan sahaja menimbulkan kemarahan, tetapi juga membuat rakyat berdendam.

Mangsa tidak berdosa
Banyak laporan yang diterima mengatakan, kerajaan tidak bersikap adil dengan melakukan tindakan secara kekerasan terhadap orang yang tidak berdosa dengan menangkap dan menahan mereka yang tidak bersalah.

Menurut laporan Bernama, Abdul Rahman berkata, tindakan itu menjejaskan nama baik kerajaan di kalangan masyarakat dan juga dunia.

"Cubalah kerajaan cari jalan penyelesaian bagaimana untuk memulihkan keyakinan rakyat kepada kerajaan," katanya.

Abdul Rahman berkata, masalah yang berlaku sekarang tidak mempunyai punca sebagaimana yang berlaku sebelum ini, di mana ada kumpulan tertentu yang bertanggungjawab menimbulkan keadaan huru-hara di wilayah ini.

Bagaimanapun, dengan tindakan melampau kerajaan menembak mati orang yang tidak berdosa atas alasan memburu pengganas yang dianggap militan oleh kerajaan, katanya, "saya rasa kerajaan perlu adakan pertimbangan dalam menentukan tindakan agar rakyat tidak berterusan berada dalam ketakutan".

Sementara itu di Bangkok, pegawai-pegawai tinggi anggota tentera dari Malaysia dan Thailand mengadakan mesyuarat tertutup hari ini untuk membincangkan ketegangan di selatan negara itu dan nasib 131 penduduk Islam dari Narathiwat yang mencari perlindungan di Kelantan.

Mesyuarat di Narathiwat
Pihak Malaysia diketuai oleh Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor yang mengetuai delegasi bagi mesyuarat itu bersama rakannya Jen. Chaisit Shinawatra.

Mesyuarat itu diadakan di ibu pejabat Markas Tertinggi Thailand di Narathiwat tetapi kedua-dua pihak tidak mahu menemui media selepas pertemuan itu.

Bagaimanapun mengikut sumber-sumber perbincangan berkisar mengenai 131 pelarian dari Narathiwat itu.

Kedua-dua pihak juga dikatakan telah membincangkan rancangan memperkukuhkan keselamatan di sempadan dan langkah-langkah menghalang percubaan penduduk kampung dari selatan Thailand untuk memasuki Malaysia secara haram.

Sejak Januari lalu, lebih daripada 800 orang telah mati kerana keganasan di tiga wilayah selatan Thailand - Narathiwat, Yala dan Pattani – di mana lebih 80 peratus daripada penduduknya beragama Islam.

Juga terdapat laporan bahawa ramai penduduk Islam sedang menunggu di pekan-pekan di sempadan untuk memasuki Malaysia dan mendapatkan perlindungan ekoran keganasan yang berlaku hampir setiap hari di wilayah itu.

 

Thailand lantik pegawai Islam jadi panglima angkatan tentera


Kerajaan Thailand mengumumkan pelantikan penolong pemerintah tentera Jen Sonthi Boonyaratkalin sebagai Panglima Tentera Diraja Thai, rakyat Islam pertama negara ini yang memegang jawatan itu.

Dalam satu kenyataan semalam, kerajaan Thailand menyatakan, pelantikan Sonthi dan rombakan yang melibatkan beberapa pegawai tentera negara ini telah mendapat perkenan Raja Bhumibol Adulyadej.

Sonthi yang menggantikan Jen Pravit Wongsuwan, akan memulakan tugasnya pada 1 Oktober ini.

Pelantikan bekas ketua pemerintah peperangan khas itu dianggap oleh banyak pihak sebagai tepat pada masanya, berdasarkan pengalaman beliau di medan perang serta sifat yang ada pada dirinya yang dipercayai dapat membantu menyelesaikan kekacauan yang melanda tiga wilayah Islam di selatan Thailand.

Lebih 80 peratus penduduk wilayah berkenaan iaitu Yala, Pattani dan Narathiwat beragama Islam.

Sejak Januari tahun lalu, lebih 800 orang terbunuh dalam keganasan yang berlaku di wilayah itu apabila para pejuang Islam melancarkan tuntutan untuk menubuhkan sebuah negara Islam.

Pelantikan Sonthi diumumkan ketika tercetusnya perbalahan diplomatik antara Thailand dan Malaysia selepas 131 penduduk Narathiwat melarikan diri ke Kelantan minggu lalu.

Kuasa darurat
Tindakan kerajaan Thailand memberi kuasa darurat kepada agensi keselamatan untuk menangani masalah di wilayah selatan negara yang mempunyai 90 peratus penganut Buddha ini dikecam oleh pelbagai pihak.

Kerajaan Thailand juga mengumumkan pelantikan Pengerusi Majlis Penasihat Pemerintah Tertinggi Jen Ruengroj Mahasaranon sebagai Panglima Tertinggi Angkatan Tentera Thailand.

Jawatan Ketua Turus Bersama pula disandang oleh Jen Lertrat Ratanavanich manakala Lt Jen Sopon Silpipat dilantik Ketua Turus Angkatan Tentera Thailand.

Turut dinaikkan pangkat ialah Chalit Pukbhasuk yang kini menjadi Panglima Tentera Udara Diraja Thailand manakala Satirapun Keyanon dilantik Panglima Tentera Laut.

Menurut laporan Bernama, stesen radio tempatan melaporkan bahawa Thailand mungkin menutup sempadannya dengan Malaysia jika keadaan memerlukannya berbuat demikian.

Menteri Dalam Negeri Kongsak Wanthana memberitahu pemberita bahawa pihak berkuasa sedang meneliti keadaaan di sempadan kedua-dua negara selepas 131 penduduk negara ini melarikan diri ke Malaysia bagi mencari perlindungan.

Akhbar tempatan menyiarkan laporan Bernama bahawa ramai penduduk Islam kini berada di Betong dan menunggu masa untuk menyeberang ke Pengkalan Hulu di Perak untuk melarikan diri dari wilayah mereka yang dilanda keganasan

 

Tindakan K’jaan Thai menimbulkan kemarahan umat Islam: JIM
Muda Mohd Noor -

Kerajaan Thailand perlu mengambil langkah segera menamatkan pertelingkahan dengan penduduk Islam di wilayah selatan negara itu bagi mengelak hubungan dengan Malaysia terjejas.

Presiden Jemaah Islah Malaysia (JIM), Zaid Kamaruddin berkata, jika umat Islam terus ditindas dan dibunuh ia akan menimbulkan kemarahan umat Islam di Malaysia dan beberapa negara lain di Asia Tenggara.

Katanya, pembunuhan seumpama itu bukanlah kali pertama berlaku malah ia adalah lanjutan daripada peristiwa Tak Bai yang mengorbankan berpuluh nyawa umat Islam sebelum ini.

“Apa yang berlaku di Selatan Thailand itu turut menimbulkan kegelisahan di kalangan umat Islam di negara ini dan jika tidak dibendung ia membawa kesan buruk kepada hubungan kedua-dua negara,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di ibu negara hari ini.

Turut hadir ialah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Yusri Mohamad dan wakil dari beberapa pertubuhan Islam bukan kerajaan (NGO) yang lain.

Menurut Zaid, apa yang berlaku di Selatan Thailand itu agak memeranjatkan kerana penduduk Islam di wilayah tersebut hidup dalam suasana aman damai.

“Tuduhan bahawa mereka adalah militan yang memberi ancaman kepada keselamatan negara itu tidak tepat kerana mereka sudah tidak aktif dengan aktiviti menentang kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menyokong penuh tindakan Kerajaan Malaysia memberi perlindungan kepada umat Islam yang melarikan diri ke Malaysia dan hanya akan menghantar balik selepas pemeriksaan selesai dan dengan jaminan keselamatan dari Thailand.

Menjadikannya isu antarabangsa
Zaid berkata, jika masalah tersebut berterusan pihaknya akan menjadikan isu Selatan Thailand sebagai isu antarabangsa seperti apa yang berlaku terhadap isu rakyat Palestin.

Katanya, pihaknya juga sudah membuat satu perjanjian dengan Mercy Malaysia untuk bekerjasama memberi bantuan kesihatan , makanan, pendidikan dan saikologi kepada umat Islam Thailand tersebut.

Sementara itu, Yusri berkata, situasi di Selatan Thailand semakin tegang dan kerajaan negara itu perlu bertindak segera menghalang supaya ia tidak merebak.

Katanya, cara yang paling berkesan ialah dengan mengambil langkah memenangi hati dan pemikiran penduduk Islam termasuk kesejahteraan mereka dipertingkatkan.

“Kita juga meminta pihak berkuasa Thailand memelihara institusi keagamaan umat Islam supaya api kemarahan mereka tidak menjadi semakin meluap,” katanya.

Yusri berkata, Abim akan terus memantau perkembangan yang berlaku di Selatan Thailand itu dan sentiasa berhubung dengan pemimpin Islam di wilayah tersebut untuk mendapatkan maklumat terbaru.


New and Improved Yahoo! Mail - 1GB of free storage!


--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise.

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest".




SPONSORED LINKS
Islam and the west Islam koran Different religions beliefs
Islam Divine inspiration


YAHOO! GROUPS LINKS




Kirim email ke