Dengan kenaikkan harga petrol sebanyak 10 sen
seliter pada 29 Julai lalu rakyat sudah mula mengeluh dan gelisah. Ini
merupakan kenaikkan kedua bagi tahun ini setelah naik sebanyak 10 sen
juga pada 4 Mei lalu (kenaikkan ketiga bagi diesel iaitu Mac naik 5
sen, Mei 20 sen dan Julai 0 sen).
Rakyat mengeluh kerana kos belanja hidup mereka turut naik. Jika mereka
berkenderaan samada motosikal ataupun kereta bermakna mereka terpaksa
berbelanja lebih kerana kenaikkan ini.
Dan sudah pastilah perkara-perkara lain yang berkaitan akan turut
terkena kesan kenaikan ini, lalu akan naik juga. Kos pengangkutan akan
naik maka harga barangan, bahan makanan, bahan mentah, bahan masak akan
naik, tambang bas, bas sekolah semuanya akan terjejas. Dan ini akan
terus menjerut belanja hidup setiap warga Malaysia samada disedari
ataupun tidak. Ini belum lagi mengambil kira kos bekalan utiliti
terutama letrik yang juga dikhabarkan akan naik.
Beban ini kini dirasai, dan ianya bukan perkara kecil khasnya bagi
rakyat yang berpendatan sederhana dan rendah.
Tiba-tiba hari ini dalam akhbar
THE STAR Menteri di
JPM, Mustapha Mohamed mengatakan:
No need to press panic
button for time being
Tak perlu lagi menekan butang kecemasan
Katanya suasana kenaikan harga minyak mentah ini
masih berada dalam kawalan dan kerajaan tidak bimbang. Lainlah kalau
harga ini terus naik untuk satu jangkamasa panjang.
Saya pernah menulis dalam BLOG ini bahawa bekas Menteri Kewangan Tengku
Razaleigh Hamzah, menjangkakan harga minyak mentah boleh mencecah
USD100 se tong menjelang akhir tahun ini. Ini suatu lonjakkan yang
besar yang sudah pasti akan memberi implikasi terhadap keadaan ekonomi
dalam negara khususnya.
Baru naik USD67 se tong kita telah naikkan harga petrol tempatan
sebanyak dua kali dalam tempoh 3 bulan, bayangkan kalau ia mencecah
USD100 dan Menteri berkenaan dengan tenang boleh berkata tak perlu
bimbang!
Isunya apakah persediaan kita? Saya difahamkan kabinet yang bersidang
hari ini dijangka akan mengemukakan beberapa pelan bagi menghadapi
situasi ini. Kerajaan perlu bertindak serius dan jangan mengalihkan
beban semata-mata kepada rakyat yang sudah pun sarat menanggungnya.
Jangan lagi berbelanja mewah. Contohnya, hentikan sama-sekali
kerja-kerja lanskap dan pengindahan di mana-mana sahaja buat masa ini.
Bela dan jaga nasib dan kebajikan rakyat sendiri terlebih dahulu. Lihat
keadaan hidup mereka, salami kesusahan mereka. Dan yang paling penting,
kerajaan jangan berselindung hakikat ataupun kenyataan sebenar dari
pengetahuan rakyat.
Ini tidak, keadaan sedang mula runcing, tapi Pak Menteri boleh dengan
mudah mengatakan tak perlu panik, semuanya terkawal sedangkan keperitan
rakyat semakin menekan bisa dan menekan. Jangan mencabar kewarasan
kami.