Saya nak ucapkan setinggi2 TAHNIAH pada penulis artikel ni... Saudara Pahrol. 
Saya salute tulisan ini. Syabas!!

Fadzilah Hanim <[EMAIL PROTECTED]> wrote:st1\:*{behavior:url(#default#ieooui) }
FITRAH PERKASA SDN BHD: http://fitrahperkasa.net/phpBB2/viewtopic.php?p=38#38

 

PROGRAM REALITI: 

MENJANA  ILUSI ATAU VISI?  

Oleh: Pahrol Mohamad Juoi

 

Jika anak kita akan menghadapi peperiksaan penting, maka kita sebagai ibu-bapa 
akan selalu berpesan, mengawasi dan memantau aktivitinya. Kita akan memastikan 
dia belajar, mengulangkaji dan membuat latihan dengan serius dan 
bersungguh-sungguh. Kita tidak akan membiarkannya membuang masa untuk 
aktiviti-aktiviti yang tidak berkaitan. 

 

Tumpuan kita cuma satu, bersedia secara optimum untuk menghadapi dan berjaya 
dalam peperiksaan nanti. Dia boleh menonton TV tapi dalam jangkasama yang 
terhad. Dia boleh bermain tetapi  kita bataskan masanya. Begitulah sifat 
ibu-bapa yang baik. Dan jika anak kita seorang yang baik, dia juga akan faham 
dan mematuhi kehendak kita. 

 

Keadaan yang sama mesti dilakukan dalam negara (bukankah rumahtangga boleh 
diumpamakan sebuah negara?). Jika negara punya wawasan yang besar yakni menjadi 
negara maju pada tahun 2020, dan Perdana Menteri dalam ucapan sempena 
ulangtahun kemerdekaan baru-baru ini telah menegaskan tempoh 14 tahun bukanlah 
satu jangkamasa yang panjang, maka sudah sewajarnya fikiran, tenaga dan 
aktiviti rakyat difokuskan ke arah perkara-perkara yang benar-benar penting. 

 

Dari sekarang hingga ke tahun 2020, mestilah dianggap ‘tahun-tahun peperiksaan’ 
bagi seluruh rakyat. 2020 adalah tahun yang paling kritikal kerana pada tahun 
itulah seluruh rakyat Malaysia dan barisan kepimpinannya akan menerima 
‘keputusan peperiksaan’. Jika Malaysia berjaya menjadi sebuah negara maju 
dengan acuan sendiri, itu adalah kejayaan seluruh rakyat dan pemimpin. 
Sebaliknya, jika gagal, itu juga adalah kegagalan semua. 

 

Bagaimana, apakah anda fikir seorang anak akan berjaya sekiranya mereka leka 
bermain, berhibur dan membuang masa sepanjang musim peperiksaan? Tentu rasa 
hati anda mengatakan tidak. Maka begitulah akibatnya jika rakyat leka berhibur 
dalam tempoh ‘peperiksaannya’. Anda akan dapat meneka jika sesuatu tidak 
dilakukan, maka ada kemungkinan wawasan menjadi negara maju pada tahun 2020 
tidak akan kesampaian.

 

Apakah kita leka berhibur? Saya kira ini jawapan ini bergantung kepada siapa 
kita – ‘who you are determine how you see.’ Pada mereka yang sudah ’taksub’ 
dengan budaya berhibur, rancangan hiburan seperti Mentor, Akademi Fantasi, 
Malaysian Idol, Suara Jati, Bintang itu, Bintang ini masih belum memadai untuk 
menghiburkan rakyat. Mungkin perlu ditambah lagi. Walaupun apabila dikira 
jumlah masa yang ‘dilaburkan’ (dileburkan?) untuk berhibur sebenarnya sudah 
keterlaluan. 

 

Timbunan Program Realiti menerusi TV ditambah dengan filem-filemnya (belum 
termasuk menonton VCD, DVD, video game, sms, MP3, telenovela serta drama Latin, 
 dan sebagainya) akan memberi impak yang kuat kepada rakyat khususnya golongan 
remaja. Belas hati kita melihat golongan remaja yang belum matang membuat 
penilaian, pertimbangan dan keputusan ini… Masa, tumpuan dan fokus tenaga 
fikiran, jiwa dan perasaan diratah semaksimanya oleh program hiburan. 

 

Sistem nilai berantakan. Ibu-bapa dan guru suruh belajar ‘rajin-rajin’, pakar 
motivasi berpesan mesti ada ‘visi dan misi yang tepat dan jelas’, ustaz dan 
ustazah memperingatkan ‘tutup aurat, jaga akhlak’… malangnya isyarat yang 
berbeza diterima daripada media eletronik. Kita inginkan mereka menjadi 
terpelajar, berakhlak dan beradab tetapi pengaruh kita semakin tandus 
dikembirikan oleh realiti yang mereka lihat, dengar, khayal dan impikan 
menerusi program realiti!

 

Lebih malang lagi bila golongan dewasa dan ‘tua’ juga terjerat dalam perangkap 
hedonisme ini. Semasa di lapangan terbang untuk mengerjakan umrah, seorang ibu 
separuh umur telah berpesan kepada anak remajanya, “jangan lupa rakam ya, nanti 
mama nak tengok bila balik umrah.” Ini cerita benar. Ramai ibu-bapa yang tidak 
boleh ‘miss’ menonton Mawi, Pija, Jaclyn Victor, Dina, Zahid, Vince (sekadar 
menyebut beberapa nama). Surau lengang. Jalan sunyi. Tuan rumah akan takut 
mengadakan majlis kenduri bila bertembung dengan program relaiti. Tok imam pun 
tak berani baca doa panjang-panjang, takut muka makmum masam kerana hendak 
segera pulang menonton calon pujaan.

 

Begitu aura ‘celebriti’. Mengalahkan kredibiliti pemimpin politik, akemik, 
sastra dan agama. Kenapa? Remaja tergila-gilakan mereka. Remaja itu anak siapa? 
Anak kita. Mereka adalah bayangan didikan bahkan diri kita. Kita yang hilang 
pengaruh kerana kita hilang daya kepimpinan (kerana takrif mudah bagi 
kepimpinan itu ialah ‘pengaruh’). Jangan salahkan orang lain kalau anak yang 
kita lahirkan, kita besarkan, tinggal serumah dengan kita, tiba-tiba ‘orang’ 
atau ‘elemen’ lain yang lebih berpengaruh daripada kita, maka salah siapa? Ya, 
salah kita. 

 

Berhibur tidak salahnya, tetapi salah memilih hiburan dan keterlaluan pula 
buruk padahnya. Ia umpama gula atau garam dalam masakan. Sedikit garam atau 
gula sangat perlu. Tetapi apa akan jadi kalau terlalu banyak? Kelebihan gula 
menyebabkan diabetes. Kelebihan garam menyebabkan hipertensi. Begitulah dengan 
hiburan… ia sangat perlu untuk meredakan stress dan tekanan. Berhibur tidak ada 
salahnya. Tetapi yang salah, ialah salah memilih hiburan – hiburan yang akan 
menambahkan stress! 

 

Benarkah penghibur mampu menghiburkan kita? Persoalan ini perlu difikirkan 
kembali secara kritis. Ini kerana stress dikalangan penghibur sendiri terlalu 
tinggi. Mungkin terlalu sensitif untuk merujuk kepada statistik dikalangan 
penghibur di dalam negara, tetapi jika dirujuk kepada penghibur bertaraf ‘world 
class’ di Hollywood sana – kadar penceraian, dadah, arak, sakit jiwa bahkan 
bunuh diri terlalu ketara. Justeru, hiburan jenis apa yang diberikan oleh 
penghibur yang tidak terhibur ini?

 

Hiburan ‘pain killer’ (yang berbentuk sementara ini) tidak akan menyegarkan 
jiwa dan perasaan kita. Kita bukan disembuhkan tetapi sekadar ‘dilalaikan’ buat 
sementara. Bila stress melanda lagi, maka kita akan menagih hiburan yang lain 
pula. Silih ganti, lagu demi lagu, filem demi filem, tarian demi tarian, 
‘ketagihan’ kita semakin menjadi-jadi. Kreativiti dan inovasi atas jalan ilusi 
dan hipokrasi ini semakin meriah bila segalanya disinonimkan dengan industri. 
Industri itukan keuntungan. Apa salahnya, kita mendapat keuntungan? 

 

Tetapi keuntungan milik siapa? Siapa yang menjana, siapa yang mengguna. 
Anak-anak Melayu-Islam terkinjat-kinja, terjerit dan berpeluk, orang lain 
bertepuk untung, kita bertepuk kosong. Orang lain mengutip wang, kita tergadai 
masa dan tumpuan. Ya, beberapa nama muncul sebagai jutawan, biduan, seniman… 
jutaan lagi? Leka dengan angan-angan. Cuba kita sebagai ibu-bapa buat congakan 
sedikit, jika masa semua program realiti, drama Korea, Latin, sms, video games, 
dilakukan oleh anak kita, berapa jumlah masa yang mereka habiskan dalam 
seminggu, sebulan dan setahun?    

 

Kita mesti lebih bersikap selektif dan skeptik sedikit. Jangan semulanya 
diterima dan ditelan. Jika kita menyemai badai, kita akan menuai taufan. 
Hiburan umpama makanan. Ada yang menjadi makanan ruji dan utama, ada yang 
menjadi ‘junk food’. Dalam kategori makanan utama pun ada piramid makanan – 
semuanya mesti dimakan dengan kadar yang berpatutan. Buah dan sayur mesti 
dilebihkan, makanan berdaging (merah) mesti dikurangkan. Apalagi makanan ringan 
yang penuh dengan pengawet dan bahan kimia, jangan sekali-kali dibiasakan. 

 

Begitulah dengan hiburan, ada yang menjadi hiburan utama, ada hiburan sampingan 
dan ada yang menjadi seumpama ‘junk food’. Islam meletakkan solat, yang menjadi 
penyejuk mata Rasulullah sebagai hiburan utama. Zikrullah juga demikian. Ingat 
Allah, akan memberi ketenangan bagi hati. Hati yang sudah tenang  dengan 
hiburan utama ini bagai badan yang telah kenyang dengan makanan utama. Ia hanya 
memerlukan sedikit makanan sampingan. Dan boleh jadi tidak memerlukan langsung 
sebarang bentuk ‘junk food’.

 

Semak dan muhasabahlah generasi kita hari ini. Apakah hati dan perasaan kita 
sudah ‘tenang’ dengan hiburan utama (solat, zikirullah, tazkirah dan 
sebagainya) hingga dengan itu kita memerlukan hanya secara berpada-pada hiburan 
sampingan (nasyid, marhaban, puisi dan sebagainya) dan tidak memerlukan 
langsung hiburan ‘junk food’ yang dicemari oleh unsur pendedahan aurat, 
pergaulan bebas (yang  boleh diumpamakan ‘bahan kimia’ yang membawa kesan 
sampingan pada kesihatan badan)? Ini terbuka untuk dipolemikkan. Tapi jangan 
lupa ketika kita asyik berforum, golongan remaja kita sedang berdepan dengan 
realiti yang sangat menggetirkan.

 

Negara Barat telah maju tetapi mereka berhibur juga. Dan mereka tidak kira 
hiburan itu apakah hiburan utama, sampingan atau hiburan ‘junk food’. Mungkin 
itu satu hujah untuk menyanggah apa yang saya katakan tadi. Baiklah, kita mahu 
maju dengan acuan sendiri atau acuan mereka? Tahukah kita bagaimana mereka 
menguruskan masa dan meletakkan prioriti? Hingga ‘idola’ (maaf saya meminjam 
sahaja istilah ini) mereka tidak semata-mata penghibur tetapi ahli politik, 
agama, akademik, kewangan dan sebagainya. 

 

Dan sedarkah kita bahawa neo-klonialisma Barat menyerap dalam bentuk hiburan, 
ekonomi dan kebudayaan? Jangan lupa Soviet Union boleh berpecah hanya gara-gara 
iklan Coca-cola Barat, yang menyerap bersamanya indoktrinasi kebebasan, 
liberialisme-kapitalisme, hedonisme dan gaya hidup  individualistik? 

 

Islam tidak menjanjikan dunia kelam tanpa hiburan. Atau alam utopia bila media 
eletronik dan massa hanya dipenuhi qari, penasyid dan penceramah yang 
meliuk-lentuk dengan gaya yang terhad. Lalu, pencinta agama, gerakkanlah 
hiburan Islam yang dinamik dan magnetik. Dalam lingkungan syariat, insya-Allah 
dunia hiburan akan menjadi lebih luas dan ‘dalam’ (deep and broad). Dunia 
menantikan ‘program realiti’ yang lebih realiti. Ulama, dai’e, profesional 
mukmin… umat menanti anda!     






------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> 
Get fast access to your favorite Yahoo! Groups. Make Yahoo! your home page
http://us.click.yahoo.com/dpRU5A/wUILAA/yQLSAA/TXWolB/TM
--------------------------------------------------------------------~-> 


--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in 
any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved 
otherwise. 

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily 
digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your 
mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the 
title "change to daily digest".  
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/hidayahnet/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 


Kirim email ke