Saturday, September 24 @ 19:45:03 MYT
Memorandum aduan pencabulan demokrasi dan salah guna kuasa dalam pilihan raya Majlis Perwakilan Pelajar IPTA sesi 2005-2006
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) memandang serius terhadap situasi semasa di kampus-kampus universiti tempatan di mana semakin berleluasanya tekanan dan penindasan terhadap mahasiswa di dalam melaksanakan hak demokrasi mereka di kampus.
DPPP melihat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bukan sahaja gagal berfungsi sebagai sebuah kementerian yang bertanggungjawab untuk meninggikan prestij pendidikan tinggi negara, bahkan hanya mampu berperanan secara autokratik untuk menindas mahasiswa demi kepentingan politik sempit Umno/BN.
Pemuda PAS selamanya berpandangan bahawa soal menentukan kepimpinan mahasiswa mestilah dilaksanakan oleh mahasiswa sendiri tanpa paksaan dan ugutan dari mana-mana pihak.
Menjelang pilihan raya MPP Sesi 2005/2006 yang akan berlangsung pada 29 September 2005 ini, Pemuda PAS buat sekian kalinya ingin mengemukakan aduan rasmi kepada SUHAKAM berkenaan dengan pencabulan demokrasi dan salah guna kuasa yang dilakukan oleh KPT dan pentadbir-pentadbir universiti yang didalangi parti politik Umno/BN demi memastikan hanya kumpulan mahasiswa ASPIRASI yang pro kerajaan menang secara mutlak di dalam pilihan raya MPP.
Sebahagian dari salah laku-salah laku dan pencabulan undang-undang ini telah pun berkali-kali diadukan sebelum ini samada oleh persatuan mahasiswa, parti politik, mahupun NGO-NGO sivil, tetapi nampaknya ianya masih berulang, bahkan keadaannya menjadi semakin teruk dari tahun ke tahun.
Justeru, Pemuda PAS mendesak supaya SUHAKAM dapat menyiasat perkara-perkara berikut, iaitu:
1. KPT dan pentadbir-pentadbir universiti membenarkan Umno/BN campur tangan di dalam Pilihan raya MPP
Pegawai-pegawai di KPT dan juga pentadbir-pentadbir universiti yang merupakan pegawai kerajaan Kumpulan A telah berkomplot dengan Umno/BN bagi memastikan kemenangan kumpulan ASPIRASI di dalam pilihan raya MPP sesi ini.
Ini terbukti apabila siri-siri Mesyuarat Penyelarasan Aktiviti Pelajar IPTA yang sebenarnya menjadi mesyuarat untuk memikirkan strategi memenangkan ASPIRASI telah diadakan di ibu pejabat Umno di Tingkat 38, Menara Dato Onn, PWTC. Surat jemputan mesyuarat tersebut turut dilampirkan di sini.
Adalah menjadi suatu perkara yang sangat tidak bermoral bagi mana-mana penjawat awam apabila mengadakan mesyuarat mereka di pejabat parti politik.
Ia bukan sahaja bertentangan dengan undang-undang, bahkan menjatuhkan maruah perkhidmatan awam di mata rakyat.
Mesyuarat yang melibatkan semua TNC-TNC HEP, Timbalan Pendaftar HEP dan Presiden MPP setiap IPTA (kecuali UIA dan UPSI yang tidak dijemput) turut dihadiri oleh Exco Pemuda Umno dan Exco Puteri Umno. Ini diakui sendiri oleh wakil KPT, Dr Muhamad Hussin dan Exco Puteri Umno, Nolee Ashilin Mohd Razi sewaktu ditemubual oleh portal berita MALAYSIAKINI.
Tindakan ini jelas bertentangan dengan Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) dan juga Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.
Mesyuarat rasmi sebegini sudah tentulah perbelanjaannya ditanggung sepenuhnya dengan menggunakan peruntukan kerajaan yang merupakan dana awam, tetapi jelas sekali telah diselewengkan untuk kepentingan politik.
2. Pentadbir universiti dan Hal Ehwal Pelajar terbabit menaja dan menyokong kumpulan ASPIRASI di dalam kempen Pilihanraya MPP serta melakukan ugutan kepada pelajar supaya mengundi ASPIRASI
Di hampir semua kampus, Timbalan Naib Canselor HEP secara automatik dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pilihanraya MPP, yang berfungsi selaku Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagaimana di luar. Tetapi pada masa yang sama mereka ini juga adalah penasihat utama kepada Kelab ASPIRASI yang bertanding di dalam pilihan raya MPP.
Pemuda PAS mendapat laporan, di UKM sebagai contoh, TNC HEP telah mengadakan road show bagi berkempen untuk memenangkan ASPIRASI sedangkan selaku Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya, TNC HEP mestilah bersikap berkecuali.
Begitu juga dengan pegawai-pegawai HEP dan Pengetua Kolej Kediaman yang hampir semuanya turut terlibat sebagai AJK Pilihan Raya, tetapi pada masa yang sama turut berkempen dan menggugut pelajar supaya menyokong ASPIRASI.
Sejak 2-3 tahun kebelakangan ini, ugutan kepada mahasiswa yang disyaki tidak menyokong ASPIRASI juga semakin berleluasa. Pelajar bukan sahaja diugut untuk dibuang kolej dan dikenakan tindakan tatatertib, bahkan bilik pelajar juga digeledah pada waktu tengah malam dengan sewenang-wenangnya dengan tidak mengikut prosedur undang-undang, selain terdapat juga pelajar yang dikasari secara fizikal.
3. Penggunaan jentera universiti dan kerajaan di dalam kempen ASPIRASI
Kumpulan ASPIRASI telah diberikan pelbagai keistimewaan oleh pihak universiti, seperti mndapat kemudahan premis universiti untuk dijadikan bilik gerakan pilihanraya. Di samping itu juga, jentera dan kakitangan universiti turut diarahkan untuk memastikan kemenangan ASPIRASI.
Sebagai bukti, Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar, Jabatan Pengurusan IPT KPT telah menganjurkan Bengkel Pelan Strategik Pengurusan Aktiviti Kolej-Kolej Kediaman IPTA pada 13-14 Ogos 2005 lalu di Institut Latihan KWSP (ESSET), Bangi yang melibatkan felo-felo kolej kediaman IPTA seluruh Malaysia. Bengkel ini bertujuan untuk memberi penerangan tentang skop tugasan felo-felo.
Tetapi di dalam kertas bengkel tersebut sebagaimana yang dilampirkan, felo-felo telah diarahkan oleh KPT untuk membuat culaan terhadap ideologi politik pelajar di samping memastikan sokongan terhadap ASPIRASI meningkat.
Ini jelas membuktikan betapa jentera universiti yang sepatutnya berkhidmat demi kepentingan seluruh mahasiswa, telah digerakkan untuk untuk memerangi mahasiswa yang tidak sehaluan dengan mereka.
4. Perlaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang yang bias, pilih kasih dan selektif
Di dalam Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 mahasiswa dilarang sama sekali dari menganggotai mana-mana parti politik (termasuk Umno/BN), kesatuan sekerja dan seumpamanya. Mereka juga tidak boleh bersuara sama ada untuk menyatakan sokongan, bangkangan ataupun bersimpati kepada pihak-pihak terbabit.
Tetapi tegahan ini nampaknya hanya ditekankan kepada parti pembangkang sahaja. Ini dapat dilihat apabila pegawai KPT, pentadbir universiti dan pelajar ASPIRASI bermesyuarat saban minggu dengan wakil Pemuda dan Puteri Umno.
Kursus-kursus pilihanraya bagi kumpulan ASPIRASI dikendalikan oleh Puteri Umno. Contohnya, sebagaimana yang diadakan di Hotel De Palma pada 6-7 Ogos 2005. Dalam banyak program-program pelajar di universiti, pemimpin-pemimpin Umno yang tidak ada jawatan dalam kerajaan bebas keluar masuk merasmikan program pelajar. Contohnya, Noraini Ahmad, Ketua Puteri Umno datang merasmikan salah satu acara mini dalam Pesta Konvokesyen UKM.
Begitu juga dengan peraturan pilihan raya, dimana di dalam Peraturan Pilihan Raya di hampir kesemua universiti, para pelajar dilarang untuk bertanding secara berkumpulan dan juga berkempen mengunakan manifesto yang sama.
Sesiapa yang melanggar peraturan ini boleh dibatalkan pencalonannya. Tetapi larangan ini tidak dilaksanakan secara menyeluruh kerana di setiap universiti, Kelab ASPIRASI ditubuhkan oleh universiti sendiri untuk menjadi parti politik tunggal yang bertanding dalam pilihan raya.
Maka, hanya ASPIRASI sahaja yang dibenarkan bertanding secara berkumpulan. Begitu juga dengan larangan kepada calon untuk mengadakan kempen terbuka dan rapat umum, dimana ianya hanya dilarang kepada calon bukan ASPIRASI.
Sedangkan calon ASPIRASI bebas mengadakan road show kempen di dalam kampus yang diatur oleh HEP sendiri. Ini jelas suatu diskriminasi dan bertentangan dengan Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menajamin hak sama rata di sisi undang-undang (equality before the law).
5. Peraturan Pilihanraya yang menindas, tidak munasabah dan ultra vires
Peraturan Pilihan Raya di kampus-kampus bukan sahaja dikuatkuasakan secara selektif, tetapi isi kandungannya juga boleh dipertikaikan keesahannya (validity) dari segi undang-undang oleh kerana mengenakan peraturan dan syarat-syarat yang tidak munasabah dan ultra vires Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.
Di antara contoh peraturan tersebut ialah:
a) Mewajibkan bakal calon untuk menduduki beberapa peringkat temuduga.
b) Meletakkan had minimum CGPA kepada calon-calon yang bertanding.
c) Mewajibkan calon untuk mendapatkan tanda tangan pengesahan dari Pengetua Kolej dan Dekan-Dekan.
d) Membenarkan hanya mahasiswa yang berbaki sekurang-kurangnya dua semester pengajian sahaja untuk bertanding.
Syarat-syarat ini jelas menyusahkan dan bertentangan dengan Perlembagaan Universiti (Jadual Pertama AUKU 1971) yang telah pun meletakkan syarat-syarat tertentu bagi mahasiswa yang ingin bertanding di dalam Pilihan Raya MPP.
Tambahan syarat-syarat lain yang tidak munasabah adalah ultra vires kepada AUKU dan menjadikan validity dan legality peraturan pilihanraya tersebut boleh dipersoalkan.
6. Prinsip secrecy of voting (kerahsiaan undi) dicabuli
Terdapat beberapa universiti seperti UKM dan UiTM yang telah mencatitkan nombor siri kertas undi yang diberikan kepada pelajar semasa proses pengundian. Tindakan ini amat berbahaya dan menjadikan undi tidak lagi rahsia disebabkan dengan jumlah pengundi yang tidak seramai seperti mana di dalam pilihanraya di luar, membolehkan undi seseorang pelajar itu diketahui dengan mudah.
Semasa proses pengiraan undi juga, counting agent kepada calon juga tidak dibenarkan untuk mengawasi dari dekat proses pengiraaan undi dan ini menimbulkan keraguan samada undi dikira dengan betul ataupun tidak. Selain itu, beberapa buah IPTA seperti UPM dan UIA telah melaksanakan proses pengundiaan berkomputer yang dikenali sebagai E-Voting.
Perlaksanaan sistem ini juga wajar dihentikan kerana ianya terdedah kepada manipulasi dan penyelewengan di samping tidak ada jaminan terhadap kerahsian undi. Inilah di antara aduan-aduan yang ingin dikemukakan oleh DPPP kepada SUHAKAM untuk diambil tindakan segera. Sesungguhnya, berdasarkan kepada Seksyen 12 Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999, SUHAKAM mempunyai tanggungjawab di bawah undang-undang (statutory duty) untuk menyiasat setiap aduan perlanggaran hak asasi manusia yang dibuat oleh mana-mana orang atau kumpulan.
DPPP amat mengharapkan agar perkara ini mendapat perhatian sewajarnya dari pihak SUHAKAM.
Akhirnya, DPPP ingin mengemukakan tuntutan-tuntutan berikut untuk dilaksanakan oleh SUHAKAM:
1)Mengwujudkan Jawatankuasa Khas Pemantau bagi memantau dan mengawasi perjalanan Pilihan Raya MPP setiap sesi.
2)Mengeluarkan satu laporan khas yang komprehensif terhadap hasil siasatan bagi aduan-aduan berkaitan dengan pencabulan hak asasi manusia semasa Pilihan Raya MPP yang telah dibuat sejak tahun 2000 lagi.
3)Mengadakan road show di kampus IPTA seluruh negara dengan bertemu secara bersemuka kesemua Naib-Naib Canselor, Timbalan-Timbalan Naib Canselor HEP, pegawai-pegawai HEP dan pemimpin-pemimpin pelajar dari semua kelompok bagi berdialog dan memberikan taklimat tentang prinsip asas demokrasi yang mesti dipraktiskan semasa Pilihan Raya MPP.
4)Membuat satu kajian dan semakan terhadap semua Peraturan Pilihan Raya yang diamalkan di setiap IPTA agar ianya benar-benar mengikut prinsip undang-undang.
Amat besar harapan kami sekiranya SUHAKAM dapat melaksanakan perkara ini dengan sebaik dan seadilnya. Segala kerjasama dan perhatian diucapkan terima kasih.
--------
Memorandum ini telahpun diserahkan oleh Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat, Ahmad Sabki Yusuf kepada Dato N Sivasubramaniam, Pesuruhjaya SUHAKAM di ibu pejabat SUHAKAM pada jam 11.45 pagi, Jumaat 23 September 2005.
- um
To help you stay safe and secure online, we've developed the all new Yahoo! Security Centre.
--------------------------------------------------------------------------
All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise.
If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest".
YAHOO! GROUPS LINKS
- Visit your group "hidayahnet" on the web.
- To unsubscribe from this group, send an email to:
[EMAIL PROTECTED]
- Your use of Yahoo! Groups is subject to the Yahoo! Terms of Service.
