Dalang utama peralatkan TNC, Dekan HEP untuk menangkan Aspirasi
Date: Friday, September 23 @ 12:12:20 MYT
Topic: Main News


"Apa pun beliau lebih dikenali sebagai "tali barut" Umno di UKM, yang akan melaporkan sebarang aktiviti pelajar dan pensyarah, yang dilihatnya merugikan Umno, kepada pihak tertentu"

BANGI, 23 Sept (Hrkh) - Jawatannya tidak setinggi mana, namun beliau digeruni dan ditakuti oleh kakitangan akademik dan mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia, sehingga digelar "Raja UKM". Malah Naib Canselor UKM sendiri, Prof. Dato' Dr. Mohd. Salleh Mohd. Yasin tidak mampu mengawal tingkah lakunya.

Nama Prof Madya Dr Muhammad Hussin (gambar) sudah lama disebut-sebut, tapi dengan pelbagai gelaran buruk, oleh warga UKM, namun masyarakat umum baru menyedari peranan liciknya memporak-perandakan keharmonian hidup kampus selepas didedahkan oleh akhbar Siasah dan Harakah, khususnya apabila beliau mengatur mesyuarat mingguan melibatkan timbalan-timbalan naib canselor hal ehwal pelajar (TNC HEP) di tingkat 38, Menara Dato' Onn, PWTC, yang menempatkan ibu pejabat Umno Malaysia.

Menurut sumber UKM, kedudukannya sebagai profesor madya pun dibuat secara "lantikan politik" tanpa melalui saringan akademik yang ketat sebagaimana biasa. Apa pun beliau lebih dikenali sebagai "tali barut" Umno di UKM, yang akan melaporkan sebarang aktiviti pelajar dan pensyarah, yang dilihatnya merugikan Umno, kepada pihak tertentu. Ramai pensyarah yang diadunya akan dipanggil pihak atasan untuk memberi keterangan, dan ada pelajar yang dibuang asrama kerananya.

Beliau juga merupakan pengerusi Majlis Umno UKM. Harakahdaily 25 Februari lalu pernah mendedahkan hal itu. Difahamkan Majlis Umno UKM dianggotai 11 anggota, antaranya Prof. Dr Sukiman Sarmani, Prof. Dr Mohamad Deraman, Prof. Dr Mohd Nasir Omar, Prof. Dr Kamarudin Said, Prof Madya Dr Ramli Omar, Prof. Madya Dr Yahaya Ibrahim, Prof. Madya Dr Idris Zakaria, Prof. Madya Dr Tengku Ghani Tengku Jusoh, Dr Junaidi Abu Bakar, Anuar Ahmad dan Irmohiam Ibrahim.

"Taring" pensyarah fakulti pendidikan ini semakin menyerlah apabila beliau dipinjamkan ke Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), beberapa bulan lalu, yang bertanggungjawab sepenuhnya untuk menyelaras semua aktiviti dan strategi bagi memenangkan kumpulan Aspirasi pro-Umno di 17 institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Melalui mesyuarat mingguan malam Rabu, yang bermula di UKM - dimana Dr Muhammad masih kekal sebagai Pengetua Kolej Kediaman Rahim Kajai - dihadiri TNC dan Dekan HEP semua IPTA awam dari seluruh negara, beliau bersama Setiausaha Parlimen KPT, Dr Adham Baba, memperalatkan pegawai-pegawai kanan universiti itu bagi mencari pendekatan terbaik untuk menewaskan calon-calon bukan Aspirasi dalam pilihanraya kampus akan datang.

Bukan saja dana dan kemudahan awam disalahgunakan, Dr Muhammad, khususnya bersama Nazaru Ismail, Ketua Penolong Pendaftar (HEP), Universiti Sains Malaysia dan Jamal Ali, Ketua Penolong Pendaftar UKM, merancang meminda semua peraturan berkaitan pilihanraya kampus, atas satu tujuan, iaitu memberi kemudahan mudah kepada semua calon-calon Aspirasi tanpa perlu bertembung dengan calon-calon yang dilihat propembangkang.

Difahamkan mesyuarat yang sudah diadakan lebih sepuluh kali itu sebenarnya lebih berperanan sebagai majlis taklimat Dr Muhammad Hussin, Dr Adham Baba dan beberapa orang wakil Barisan Nasional, misalnya ketua-ketua biro pendidikan Pemuda Umno, MCA, MIC dan juga Puteri Umno, dan memaksa pentadbiran HEP menerima idea dan pandangan mereka.

Ditanya bukti Dr Muhammad dianggap lebih berkuasa daripada Naib Canselor UKM, seorang pelajar memberitahu, kes paling nyata ialah apabila beliau yang sudahpun terpaksa mengosongkan kedudukannya sebagai Pengetua Kolej Rahim Kajai pada 30 Ogos lalu, atas arahan Prof Dr Salleh, tiba-tiba dilantik semula ke jawatan itu seminggu kemudian.

Beliau yang tidak puas hati dengan arahan Naib Canselor itu mengadu kepada KPT dan pihak menteri mengarahkan beliau diberi semula jawatannya meskipun Dr Muhammad tidak lagi bertugas di UKM.

"Naib Canselor cukup marah apabila arahannya boleh dibatalkan oleh pihak kementerian, tapi apa boleh buat, Mat Hussin lebih berkuasa darinya," dakwa sumber.

Dalam mesyuarat terakhir di Kolej Keris Mas, UKM, 13 September lalu, Dr Muhammad mengagih-agihkan wang tunai RM10,000 kepada setiap wakil universiti untuk digunakan dalam kempen pelajar Aspirasi pro-Umno. Seorang demi seorang TNC dan Dekan HEP, atau wakil mereka, dipanggil ke bilik atas dewan persidangan untuk mengambil wang berkenaan, ketika mesyuarat dijalankan.

Apabila diajukan masalah Suhakam kerap menerima aduan daripada pelajar propembangkang, dan kenyataan badan hak asasi manusia itu bahawa mereka diterima sebagai pemantau pilihanraya kampus, Dr Muhammad menegaskan: "Suhakam jangan harap dapat masuk kampus. Saya pastikan mereka tidak dapat masuk."

"Jangan takut dengan Suhakam," katanya kepada seorang TNC HEP, "apa mereka boleh buat. Suhakam tidak ada kuasa."

Bagaimanapun dalam diam, ramai TNC dan Dekan HEP tidak senang dengan gelagat Dr Muhammad. Namun, ia tidak berani disuarakan secara terbuka memandangkan kedudukannya begitu berpengaruh, dan "menteri pasti mendengar cakap dan nasihatnya".
- UM


Yahoo! for Good
Click here to donate to the Hurricane Katrina relief effort.


--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise.

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest".




SPONSORED LINKS
Islam video Islam book Islam matrimonial
Islam and the west Islam koran Islam


YAHOO! GROUPS LINKS




Kirim email ke