Oleh Marhaini Kamaruddin (Utusan Malaysia, 15 Nov 05)


PUTRAJAYA 14 Nov. - Kerajaan tidak akan melayan sebarang permohonan individu yang menukar jantina untuk mengubah status pada MyKad kecuali atas perintah mahkamah, kata Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Azmi Khalid.

Beliau berkata, kerajaan juga belum bercadang meminda undang-undang untuk membenarkan individu yang menukar jantina diiktiraf status barunya pada MyKad.

Tambahnya, sehingga kini hanya golongan khunsa yang melakukan pembedahan dibenarkan membuat pindaan terhadap status jantina daripada `tidak jelas' kepada jantina tertentu atas pengesahan doktor.

``Kerajaan tidak bercadang meminda undang-undang membenarkan status baru individu bukan Islam yang menukar jantina dicetak pada MyKad.

``Setakat ini, belum ada keputusan kerajaan menukar undang-undang mengizinkan nama dan jantina baru diletakkan pada MyKad melainkan satu kes sebelum ini yang telah diberi arahan oleh mahkamah.

``Jadi arahan mahkamah membolehkan seseorang itu menukar jantina, itu pernah dibuat,'' katanya pada pemberita selepas majlis pelancaran jersi kebangsaan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.

Azmi berkata demikian ketika diminta mengulas perkahwinan seorang usahawan kecantikan yang melakukan pembedahan menukar jantina, Jessie Chung, 30, di Kuching, kelmarin.

Chung yang dilahirkan lelaki dan diberi nama Jeffry, dilaporkan melakukan pembedahan menukar jantina dua tahun lalu, melalui tiga pembedahan rumit.

Perkahwinan Chung dengan lelaki idamannya, Joshua Beh Soo Kiang dilaporkan diadakan di sebuah gereja di Kuching dan mendapat restu paderi.

Pada sidang akhbar selepas perkahwinannya semalam, Chung memberitahu beliau sedang memohon kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mengubah status jantinanya.

Menurut Azmi, terpulang kepada Ahli Parlimen untuk meminda undang-undang berhubung status jantina dan nama baru individu yang menukar jantina tetapi setakat ini belum ada usaha dibuat ke arah itu.

Beliau berkata, undang-undang membenarkan golongan khunsa beragama Islam diiktiraf jantina barunya selepas melalui pembedahan dengan pengesahan doktor.

``Apabila dikatakan khunsa dan kecenderungan kepada sesuatu jantina menjadi lebih ketara atau jelas. Maka dia boleh ditukar (jantina dan nama) pada MyKad dengan pengesahan doktor,'' katanya.

Mengenai perkahwinan Chung, Azmi menarik perhatian bahawa laporan akhbar sendiri merujuknya sebagai tidak sah dari segi undang-undang negara.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut status perkahwinan itu terutama dari sudut moral dan agama yang dianuti pasangan tersebut.

``Secara peribadinya, saya berpendapat jika perkahwinan Chung direstui pihak gereja atau pentadbir agama ia tidak mendatangkan masalah,'' katanya.

Ditanya apakah sebarang bentuk tindakan boleh diambil terhadap Chung dan pasangannya, beliau berkata, langkah itu hanya boleh diambil jika ada laporan atau aduan dikemukakan serta undang-undang jelas yang membolehkan tindakan diambil.






--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise.

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest".




SPONSORED LINKS
Divine inspiration Islam


YAHOO! GROUPS LINKS




Kirim email ke