KUALA LUMPUR: Walaupun beberapa pihak mempertahankan bahawa 
peraduan `menguji minda' yang disiarkan stesen televisyen tertentu 
pada awal pagi, tidak mempunyai unsur perjudian, Mufti Perak, Datuk 
Seri Harussani Zakaria,(gambar) tetap menegaskan ia adalah judi.
Harussani berkata, sebarang pertandingan membabitkan bayaran 
tertentu dan menyediakan wang ganjaran, adalah judi dan haram di 
sisi Islam.

"Kalau kena bayar, ia ditakrif sebagai judi. Caj RM2 untuk setiap 
panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) menjadi kos yang 
perlu dibayar dan itu adalah judi. Kalau tiada hadiah, tidak mungkin 
orang akan membayar untuk masuk peraduan itu.

"Mereka (pihak tertentu) faham atau tidak takrif judi? Kalau tidak 
tahu, tanya... jangan main-main. Lagipun perkara ini sudah 
difatwakan Majlis Fatwa Kebangsaan, pertengahan tahun lalu," katanya 
ketika dihubungi semalam.

Mufti Johor, Datuk Nooh Gadut pula enggan mengulas kerana menganggap 
penjelasannya mengenai isu itu baru-baru ini, sudah memadai.

Kelmarin, Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Zainudin Maidin 
mempertahankan program permainan interaktif `Hello Minda' di TV1 
sebagai program uji minda dan tidak mempunyai unsur perjudian.

Beliau berkata, rancangan yang disiarkan mulai 15 November itu 
menguji kecekapan penonton menjawab beberapa soalan meliputi bidang 
matematik, politik, kebudayaan dan ekonomi tempatan dan antarabangsa.

Katanya, rungutan hanya timbul daripada penonton yang tidak memahami 
peraturan dan mekanisma peraduan berkenaan.

"Ia bukanlah rancangan berbentuk perjudian tetapi menguji minda. 
Saya tak nampak dari segi mana yang ada perjudian. Rancangan itu 
ditayangkan lewat malam dan ada yang kata kita galakkan remaja tidur 
lewat dan berjudi, adalah tidak betul, ia lebih kepada rancangan 
menguji minda mengenai pengetahuan am," katanya. 

Sementara itu, Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Abdul Rahman 
Hamid, berkata `Helo Minda' diterbitkan syarikat swasta dan mengikut 
prosedur Radio Televisyen Malaysia (RTM), ia ditapis Jawatankuasa 
Penilaian dan Kawalan Kualiti (QC) sebelum disiarkan.

"Mengikut prosedur, program syarikat swasta dinilai oleh 
Jawatankuasa Penilaian dan kita terima dalam bentuk `proposal' 
(cadangan), bukannya rakaman siap. Kemudian, QC akan mengkaji dari 
aspek teknikal dan kesesuaian ia ditayangkan atau sebaliknya. Proses 
tapisan berjalan mengikut kaedah kerja kita.

"Setiap rancangan disiarkan RTM ada garis panduan tertentu, tidak 
kira `inhouse', swasta atau luar negara. Garis panduan ini fleksibel 
dan berubah mengikut keadaan kerana teknologi penyiaran berubah 
dengan cepat," katanya.

Beliau berkata, apabila peraduan dimulakan, ramai pemanggil akan 
membuat panggilan telefon dan perlu ada kaedah kawalan atau sistem 
tersendiri untuk memilih pemanggil bertuah yang dapat bercakap 
dengan hos, seterusnya cuba menjawab soalan berkenaan.

"Ini bukan panggilan telefon ke rumah, sebaliknya terbuka kepada 
umum dan ramai pasti mencuba. Tetapi untuk masuk siaran, hanya satu 
panggilan dalam satu masa dan sistem kita akan menentukan pemanggil 
bertuah itu.

"Jadi, saya tidak fikir program `Helo Minda' ini ada unsur judi 
kerana jika ada, sudah tentu ia tidak melepasi tapisan dan 
disiarkan. Lagipun, ada kos di pihak kita kerana kita perlu bayar 
kepada syarikat tertentu untuk guna kaedah dan syarikat perkhidmatan 
yang menyediakan program," katanya.

Beliau berkata, jika program yang diterima daripada syarikat swasta 
berkaitan dengan unsur agama, RTM akan menghantar kepada Jabatan 
Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mendapat nasihat dan kelulusan.

Abdul Rahman berkata, sebahagian besar program agama disiarkan RTM 
ketika ini dibekalkan Jakim sendiri dan program kuiz, termasuk `Helo 
Minda' tidak dirujuk kepada Jakim kerana tiada unsur agama. 

Menurutnya, dari segi `proposal' program, RTM mengutamakan syarikat 
swasta yang memiliki `jam siaran' dengan RTM dan sehingga kini, ada 
160 syarikat ada `jam siaran' dan 400 syarikat berdaftar.

Pertengahan tahun lalu, Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan peraduan 
berbayar menerusi SMS sebagai haram di sisi Islam kerana mempunyai 
unsur perjudian.

Bagaimanapun, peraduan seumpama itu masih terus disiarkan di 
beberapa stesen televisyen tempatan, kebelakangan ini.

Peraduan `menguji minda' yang disiarkan pada awal pagi itu 
memerlukan penonton melengkapkan perkataan atau meneka gambar rajah 
dengan menghantar SMS atau membuat panggilan telefon pada talian 
yang tertera di kaca televisyen.

Pemenang akan menerima hadiah wang tunai RM300 dan RM500 serta 
berpeluang mendapat wang tambahan sekiranya mampu menjawab soalan 
bonus, yang menawarkan hadiah RM10,000 bagi lima soalan.

Bantuan pembayang yang diberikan hos rancangan itu serta soalan yang 
agak senang mendorong ramai penonton terutama yang berjaga hingga 
awal pagi menyertai peraduan itu menerusi SMS dengan caj RM2 setiap 
SMS.

Bagi panggilan telefon pula, pemanggil disyaratkan berusia 18 tahun 
ke atas dan setiap panggilan dicaj RM2, tidak kira sama ada mereka 
berjaya bercakap dengan hos acara itu atau sebaliknya. Amat jelas, 
peluang bercakap dengan hos bergantung kepada nasib kerana penganjur 
memiliki sistem sendiri untuk membolehkan suara pemanggil ke udara.







------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> 
Join modern day disciples reach the disfigured and poor with hope and healing
http://us.click.yahoo.com/lMct6A/Vp3LAA/i1hLAA/TXWolB/TM
--------------------------------------------------------------------~-> 

--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in 
any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved 
otherwise. 

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily 
digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your 
mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the 
title "change to daily digest".  
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/hidayahnet/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 


Kirim email ke