( http://www.abim.org.my/web/modules/news/article.php?storyid=632)
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang serius gejala dan fahaman Black Metal yang semakin berleluasa ketika ini. Fahaman yang semakin menular di kalangan anak- anak muda Melayu di seluruh negara jelas memperlihatkan kebimbangan dan kerisauan terhadap punca-punca yang boleh menyebabkan pengikut fahaman ini bertambah dari semasa ke semasa. Memahami keperluan masyarakat untuk menyedari bahawa impak yang dibawa oleh fahaman ini boleh menimbulkan keraguan, ABIM telah mengadakan satu bengkel khas dan tertutup membincangkan isu tersebut dan impaknya terhadap masyarakat.
Bengkel Tertutup Black Metal dan Implikasinya Terhadap Masyarakat telah diadakan pada 14 Disember 2005. Bengkel ini telah dihadiri oleh seramai 30 orang dari pelbagai NGO dan orang perseorangan. Bengkel telah dimulakan dengan ucapan aluan Ustaz Rumaizuddin Ghazali, Timbalan Presiden ABIM yang menekankan peri pentingnya kesedaran dan keprihatinan masyarakat terhadap perubahan sosial yang berlaku dan pengaruhnya dalam masyarakat hari ini.
Sesi pertama pembentangan bengkel adalah daripada Ustaz Kamaruddin Kassim, Ketua Biro Dakwah ABIM Kuala Muda, Kedah yang telah melakukan penyelidikan terhadap isu tersebut. Melalui penyelidikan yang dilakukannya, beberapa faktor dan perkara penting berkaitan penglibatan golongan anak-anak muda Melayu ini dapat dikenalpasti. Identiti anak-anak muda kumpulan ini boleh dikenali melalui cara pemakaian dan aksesori yang digunakan, tempat pertemuan, perbualan dan muzik yang dipilih untuk didengari. Apa yang lebih penting, golongan yang terlibat bukan hanya golongan remaja belia dewasa, malah seawal usia remaja belasan tahun sudah ada yang mengikuti fahaman ini.
Ustaz Hanafi Malek, Pengarah Rumah Sahabat Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Selangor (PERKID) dalam pembentangan beliau sebagai panel kedua turut mengulas pengalaman beliau dalam mengendalikan remaja yang pernah terjebak atau pengikut fahaman ini. Dalam usia yang muda inilah remaja mengalami konflik diri dan memungkinkan mereka memberontak seterusnya mencari ruang-ruang yang boleh memberikan mereka kebebasan dan kepuasan.
Bengkel ini turut dihadiri dan pengakuan dibuat oleh remaja berusia 15 tahun yang merupakan bekas pengikut fahaman tersebut. Menurut beliau, antara sebab keterlibatan ahli kumpulan yang kebanyakannya bermula di usia remaja adalah kerana peluang menunjukkan kekuasaan dan kekuatan serta merupakan satu kepuasan apabila bersama rakan-rakan sealiran dan satu pemikiran. Mengakui terlibat melakukan beberapa aktiviti yang mencurigakan seperti minum darah manusia dan tidak percaya Al-Qur'an. Remaja tersebut juga mengakui bahawa pengalaman yang dialui cukup menakutkan. Menyesal dengan pengalaman lalu, beliau turut mengakui melakukan ibadat solat hanya selepas setahun meninggalkannya.
Selain beliau turut hadir adalah remaja berusia 16 tahun yang terlibat selama 3 tahun dalam gejala punk, antara gejala semasa yang tidak banyak bezanya dengan gejala Black Metal. Malah penglibatan ketara di antara remaja perempuan dan lelaki Melayu jelas menunjukkan kepincangan dalam proses sosialisasi dan institusi di negara ini.
Bengkel berakhir dengan perbincangan dan pembentukan resolusi yang akan dibawa dalam pertemuan bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Antara lain, penekanan seharusnya diberikan oleh pelbagai pihak dan institusi bagi menampung kelompong- kelompong dan ruang-ruang yang wujud yang membolehkan anasir- anasir negatif menular di kalangan remaja hari ini. Apa yang membimbangkan adalah penglibatan anak-anak muda yang nyata hampir kesemuanya Melayu dan beragama Islam, bukan dari kalangan bangsa dan agama yang lainnya. Dan apa yang lebih menakutkan, fahaman ini bukan sekadar fahaman biasa tetapi jelas menunjukkan keraguan dan menjejaskan akidah pengikutnya. Bengkel ini diakhiri dengan sidang media yang dipengerusikan oleh Sdra. Khairul Arifin Mohd Munir, Setiausaha Agung ABIM.
--------------------------------------------------------------------------
All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise.
If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest".
YAHOO! GROUPS LINKS
- Visit your group "hidayahnet" on the web.
- To unsubscribe from this group, send an email to:
[EMAIL PROTECTED]
- Your use of Yahoo! Groups is subject to the Yahoo! Terms of Service.
