Wa alaikumussalam warahmatullah,

Meneliti dan meneliti sekian banyak tulisan dan posting di berbagai eGroup
di internet, more often than not, pembaca sering dibayangi oleh isu lain
seperti siapakah disebalik penulis atau tukang posting itu? apakah gerakan
yang diikutinya dsb. Apabila pembaca tidak memahami/kurang/belum memahami
bahawa kekuatan dalil/nas yang dibentangkan itulah yang menentukan kuat atau
lemahnya hujah - maka, isu lain akan timbul seperti kes Imam Ghazali ini.
Saya memandang, jika dia silap - silaplah dia tapi bukan main borong bahawa
apa sahaja yang dikatakannya sebagai salah. Imam Syafie yang berstatus
mujtahid mutlak itu sendiri pernah meminta agar dibuang pendapatnya
jauh-jauh jika menemui pendapat yang lebih kuat.

Ada juga orang yang suka mengatakan - Oohh ini pendapat gerakan XXX - bukan
dalil yang dibahas tetapi gerakan/parti itu pula yang jadi isu hingga
berlaga-lagalah umat Islam dan syaitan meraikan tarian kemenangan untuk
kesekian kalinya. Ada juga yang beralih pada "character assassination"
apabila tidak mampu mematahkan hujah atau menggali hujah yang lebih rajih -
satu sikap yang sepatutnya dihindari oleh orang yang merasakan dirinya
da'ie.

Selagi kita dok mandang siapa yang berkata dan bukan apa yang dikata, selagi
itu masalah ini payah diselesaikan. To those who are aware of this, it means
that we, all of us have to work harder.

Maaf jika menyinggung perasaan sesiapa. Wassalam.


On 1/12/06, Abu Iqbal Mohd Yaakub Mohd Yunus <[EMAIL PROTECTED]> wrote:
>
> Assalaamu'alaikum
>
> Bila membicarakan tentang kitab Ihya' dan Hujjatul Islam Imam al-
> Ghazali rahimahullah maka kita akan bertemu dengan 3 kelompok:-
>
> 1) Kelompok yang pertama melihat kitab Ihya' ini sama taraf dengan
> al-Qur'an sehingga ianya tidak boleh dikritik. Sekiranya dikatakan
> di dalam Ihya ada hadis dha'if (lemah), mawdhu' (palsu) bahkan la
> ashlahu (tidak ada asal usulnya) maka mereka akan melenting. Mereka
> akan katakan Imam al-Ghazali ini ulamak agung lagi hebat. Siapa kamu
> nak kritik karya beliau. Imam al-Ghazali ada Ilmu kasyaf sehingga
> tidak memerlukan sistem pengkajian sanad dan matan utk menentukan
> status hadis tersebut. Melalui kasyafnya sudah memadai untuk
> menentukan kesahihan sesuatu hadis. Yg lebih ekstrem ada juga yang
> menyatakan Imam al-Ghazali menerima terus hadis-hadis tersebut dari
> Rasulullah SAW melalui mimpi. Imam al-Ghazali telah diletakkan
> seolah-olah Maksum. Ini kelompok yang bathil.
>
> 2) Kelompok kedua pula mereka ini alergik dgn nama Imam al-Ghazali
> dan kitab Ihya'. Mereka ini melihat Hujjatul Islam ini seolah-olah
> kafir, zindiq dan seolah-olah langsung tidak ada sumbangan terhadap
> agama Islam. Kitab Ihya' dan lain-lain kitab karangan beliau ditolak
> secara terus. Ini juga kelompak yang bathil.
>
> 3) Kelompok yang ketiga adalah kelompok yang adil. Kita menerima
> sumbangan serta ketokohan Hujjatul Islam Imam al-Ghazali
> rahimahullah. Namun beliau tidak maksum dan juga tidak pakar dalam
> bidang hadis. Kitab Ihya' terdapat banyak perkara yang baik untuk
> umat Islam tetapi di masa yg sama terdapat pandangan yang ganjil di
> akibatkan hadis-hadis yang dha'if, mawdhu' dan tiada asal usulnya.
> Jika hendak dibaca Ihya' cari versi yang telah ditahqig oleh al-
> Hafidz al-Iraqi rahimahullah. Inilah kelompok yang adil dan berada
> di atas jalan yang Haq. Saya sarankan baca artikel yang telah
> disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia di URL
>
> http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?
> y= 06&dt=03&pub==utusan_malaysia&sec==bicara%
> 5Fagama&pg=ยบ_03.htm&arc==hive
>
> Saya attachkan di bawah
>
> Sekian Wassalaam
>
> Hadis daif dan palsu dalam kitab Ihya `Ulumiddin
> Oleh: DR. MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN
>
> KITAB Ihya `Ulumiddin karangan al-Imam al-Ghazali adalah kitab yang
> sangat masyhur dalam masyarakat kita. Bahkan kitab ini juga memang
> masyhur di seluruh dunia Islam. Ramai yang gemar membaca dan
> mengambil manfaat daripada kitab ini. Namun ramai yang kurang
> memberi perhatian terhadap peringatan para ulama hadis sejak zaman
> dahulu bahawa dalam kitab ini terdapat banyak hadis lemah, tersangat
> lemah dan palsu. Di samping banyak juga terdapat di dalamnya hadis-
> hadis sahih yang diguna pakai oleh imam berkenaan ketika
> mengemukakan hujah-hujahnya.
>
> Al-Imam al-Ghazali adalah seorang tokoh umat Islam yang dihormati.
> Jasa dan sumbangannya dalam sebahagian bidang agama tidak dapat
> dilupakan. Beliau adalah ahli fikir yang besar. Namun bidang hadis
> bukanlah pengkhususan beliau. Ini diakui oleh mereka yang alim dalam
> bidang hadis.
>
> Mengkritik hadis-hadis lemah dan palsu dalam kitab Ihya `Ulumiddin
> tidaklah bermaksud menghina atau melupakan jasa dan sumbangan al-
> Ghazali. Namun, kita harus berkata benar dan jujur dalam segala
> perkara. Menghargai seseorang tidak boleh membawa kita mengatakan
> kesilapannya sebagai kebenaran. Jasanya dikenang. Namun kesilapan
> dinilai agar mereka yang membaca kitab tersebut tidak membuat
> kesalahan dengan menganggap riwayat yang tidak layak dinilai sebagai
> hadis dikatakan hadis.
>
> Firman Allah yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman!
> Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan
> keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana
> Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum
> kerabat kamu. (al-Nisa': 135)
>
> Al-Ghazali seperti yang dinyatakan oleh al-Hafizd al-Zahabi (wafat
> 748H) ketika mengulas kesilapan-kesilapan dalam kitab Ihya
> berkata: "Aku katakan: Al-Ghazali adalah imam yang besar, namun
> bukanlah menjadi syarat seorang alim itu untuk dia tidak melakukan
> kesilapan.'' (Rujukan: Al-Zahabi, Siyar Alam al-Nubala 19/339,
> Beirut: Muassasah al-Risalah.)
>
> Sesiapa sahaja yang mengkaji ilmu hadis tahu bahawa Al-Imam al-
> Ghazali bukan seorang pakar dalam bidang hadis, ini diakui oleh
> semua pihak, melainkan mereka yang jahil tentang ilmu hadis.
> Sehingga Taj al-Din al-Subki (meninggal 771H), seorang tokoh mazhab
> al-Syafie terkenal yang begitu mempertahankan al-Imam al-Ghazali,
> dalam Tabaqatnya turut mengakui hal ini dengan menyatakan: "Adapun
> apa yang dianggap cacat pada kitab al-Ihya disebabkan kelemahan
> sebahagian hadis-hadisnya, ini kerana al-Ghazali diketahui bukanlah
> seorang pakar dalam bidang hadis.'' (Rujukan: Taj al-Din al-Subki,
> Tabaqat al-Syafi'yyah al-Kubra, 3/449, Beirut: Dar al-Kutub al-
> `Ilmiyyah.)
>
> Kita lihat apa yang dikatakan oleh tokoh-tokoh hadis mengenai kitab
> Ihya` Ulumiddin, antaranya:
>
> 1. Kata al-Hafizd al-Imam Ibn Kathir (meninggal dunia 774H) dalam
> kitab Al-Bidayah wa Al-Nihayah: "Ketika berada di Damsyik dan
> Baitulmaqdis, al-Ghazali mengarang kitabnya Ihya `Ulumiddin. Ia
> sebuah kitab yang ganjil. Ia mengandungi ilmu yang banyak berkaitan
> syarak, bercampur dengan kehalusan tasawuf dan amalan hati. Namun
> dalamnya banyak hadis yang gharib, mungkar dan palsu.'' (Rujukan:
> Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, 12/186, Beirut: Dar al-Kutub
> al-`Ilmiyyah.)
>
> 2. Kata al-Hafizd al-Imam Ibn Jauzi (wafat 597H): "Kemudian datang
> Abu Hamid al-Ghazali menulis untuk golongan sufi kitab al-Ihya
> Ulumiddin berdasarkan pegangan mereka. Dia memenuhi bukunya dengan
> hadis-hadis batil yang dia tidak tahu kebatilannya.'' (Rujukan: Ibn
> Jauzi, Talbis Iblis, hlm 190, Beirut: Dar al-Kutub al-ilmiyyah).
>
> 3. Kata al-Hafizd al-Imam al-Zahabi (wafat 748H): "Adapun kitab al-
> Ihya padanya ada sejumlah hadis-hadis yang batil. Sekiranya tidak
> ada padanya adab, cara dan zuhud yang diambil daripada ahli falsafah
> dan golongan sufi yang menyeleweng, padanya ada kebaikan yang
> banyak. Kita memohon daripada Allah ilmu yang bermanfaat. Tahukah
> anda apa itu ilmu yang bermanfaat? Ia apa yang dinyatakan al-Quran
> dan ditafsirkannya oleh Rasulullah s.a.w. secara perkataan dan
> perbuatan." (Rujukan: Al-Zahabi, Siyar `Alam al-Nubala', 19/339,
> Beirut: Dar al-Risalah.)
>
> 4. Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (wafat 728H): "Abu Hamid (Al-
> Ghazali) tidak mempunyai kepakaran dalam hadis-hadis Nabi dan
> riwayat-riwayat salaf seperti mana yang dimiliki oleh ahli-ahli yang
> mengetahui perkara itu.
>
> "Mereka dapat membezakan antara yang sahih dan yang tidak sahih.
> Oleh itu, al-Ghazali menyebut dalam kitab-kitabnya hadis dan athar
> yang palsu dan dusta, yang mana kalau mengetahuinya tentu dia tidak
> menyebutnya." (Rujukan: Ibn Taimiyyah, Dar'u Ta'arud al-`Aql wa al-
> Naql, 7/149, Riyad: Dar al-Kunuz al-Adabiyyah.)
>
> Sebagai langkah penyelesaian bagi mengatasi masalah hadis-hadis
> palsu dan daif yang terlalu banyak dalam Ihya maka kitab tersebut
> hendaklah dibaca bersama dengan takhrij (penilaian dan semakan) yang
> dibuat oleh Al-Hafizd al-`Iraqi (wafat 806H). Al-Hafizd Abd. al-
> Rahim bin al-Husain al-`Iraqi telah menyemak hadis-hadis Ihya dengan
> menyebut sumber hadis-hadis yang disebut dalamnya serta kedudukan
> hadis-hadis tersebut. Banyak hadis Ihya telah dihukum tidak ada asal-
> usul dalam kitab-kitab hadis.
>
> Takhrij al-Hafizd al-`Iraqi telah dicetak bersama dengan kitab Ihya.
> Maka hendaklah kita berhati-hati ketika memetik hadis-hadis daripada
> kitab tersebut dengan cara merujuk kepada takhrij berkenaan. Kata
> seorang muhaqqiq yang terkenal di zaman ini, al-Syeikh Syu'ib al-
> Arnaud: Al-Hafizd Abu Fadl Abd al-Rahim al-`Iraqi (wafat 806H) telah
> menyemak hadis-hadis Ihya `Ulumiddin kesemuanya dalam semua kitab
> yang dinamakan Al-Mughni `an haml al-Asfar fi al-Asfar fi Takhrij ma
> fi al-Ihya min al-Akhbar. Ia dicetak bersama dengan Ihya. Beliau
> telah menunjukkan setiap hadis kepada sumbernya serta menyatakan
> kedudukannya.
>
> Kebanyakan hadis tersebut beliau menghukumnya sebagai daif (lemah)
> atau palsu, atau ia tidak ada asal daripada ucapan Rasulullah
> s.a.w.. Maka hendaklah para penulis, khatib, guru dan penceramah
> berhati-hati dalam memetik dan berhujah dengan hadis-hadis Ihya
> selama mereka tidak jelas tentang kesahihannya menerusi semakan al-
> Hafizd al-`Iraqi.
>
> Sesungguhnya seorang ulama hadis Syam, Badr al-Din al-Hasani telah
> berkata: "Tidak harus menyandarkan sesebuah hadis kepada Rasulullah
> kecuali apabila dinyatakan kesahihannya oleh salah seorang huffaz
> (yang amat pakar dalam hadis) yang dikenali. Sesiapa yang
> berkata: "Rasulullah telah bersabda" sedangkan dia tidak tahu
> kesahihan hadis tersebut menerusi salah seorang huffaz, dibimbangi
> dia termasuk dalam hadis "Sesiapa yang berdusta ke atasku apa yang
> aku tidak ucapkan, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka."
> (Rujukan: Syu'ib al-Arnaud, nota kaki tahqiq Siyar `Alam al-Nubala',
> 19/340.)
>
> Kata al-Syeikh Abu Syahbah pula: "Aku nasihatkan kepada sesiapa yang
> membaca Ihya agar tidak berpegang dengan hadis-hadis yang disebutkan
> kecuali setelah melihat takhrij al-`Iraqi. Jika tidak dia akan
> terjatuh dalam dosa berdusta sedangkan dia tidak sedar." (Rujukan:
> Muhammad Abu Syahbah, Al-Wasit fi `Ulum wa Mustalah al-Hadis, hlm.
> 254, Kaherah: Dar al-Fikr.)
>
> Antara hadis yang al-Ghazali dikritik hebat kerana menyebutnya dalam
> Ihya ialah hadis Solat Raghaib iaitu solat yang dilakukan pada malam
> Jumaat pertama bulan Rejab. Hadis cara dan fadilat solat ini disebut
> dan digalakkan dalam Ihya sedangkan ia dinilai sebagai palsu oleh
> para ulama hadis. Al-Hafiz al-`Iraqi yang menilai hadis ini adalah
> pakar besar dalam bidang hadis. Beliau menyatakan beliau mendapati
> tiada asal usul bagi hadis ini.
>
> Al-Imam al-Nawawi (meninggal dunia 676H) ketika mensyarah hadis
> Muslim daripada Abi Hurairah memetik Baginda bersabda: Jangan kamu
> mengkhususkan malam Jumaat dengan solat yang berbeza dengan malam-
> malam yang lain. Jangan kamu mengkhususkan hari Jumaat dengan puasa
> yang berbeza dengan hari-hari yang lain, kecuali ia dalam (bilangan
> hari) puasa yang seseorang kamu berpuasa).
>
> Al-Imam al-Nawawi berkata: "Pada hadis ini larangan yang nyata
> mengkhususkan malam Jumaat dengan sesuatu solat yang tiada pada
> malam-malam lain dan puasa pada siangnya seperti yang telah
> dinyatakan. Sepakat para ulama dalam kemakruhannya. Para ulama
> berhujah dengan hadis ini mengenai kesalahan solat bidaah yang
> dinamakan solat al-Raghaib.
>
> Semoga Allah memusnahkan pemalsu dan pereka solat ini. Ini kerana
> sesungguhnya ia adalah bidaah yang mungkar daripada jenis bidaah
> yang sesat dan jahil. Padanya kemungkaran yang nyata. Sesungguhnya
> sejumlah para ulama telah mengarang karangan yang berharga begitu
> banyak dalam memburukkan dan menghukum sesat orang menunaikan solat
> tersebut dan perekanya.
>
> Para ulama telah menyebut dalil-dalil keburukan dan kebatilannya dan
> kesesatan pembuatnya. (Rujukan: Al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim,
> 3/211, Beirut: Dar al-Khair.)
>
> Beliau pernah berkata: "Bidaah yang buruk lagi sangat mungkar,
> jangan terpengaruh dengan ramai yang melakukannya di banyak negeri.
> Juga jangan terpengaruh disebabkan ia disebut dalam Qut al-Qulub dan
> Ihya `Ulumiddin." (Rujukan: petikan daripada Ali Hasan Ali, Kitab al-
> Ihya fi Mizan al-`Ulama, hlm. 21.)
>
> Al-Imam al-Sayuti (meninggal dunia 911H) menyatakan: "Ketahuilah
> olehmu, semoga Allah merahmatimu, sesungguhnya membesarkan hari
> tersebut dan malamnya (hari dan malam Jumaat pertama Rejab) hanya
> perkara baru yang dibuat dalam Islam selepas 400 tahun. Diriwayatkan
> mengenainya hadis yang palsu dengan sepakat ulama yang mengandungi
> kelebihan berpuasa pada siangnya dan bersolat pada malamnya. Mereka
> menamakan solat Raghaib."
>
> Katanya juga, ketahuilah sesungguhnya solat yang bidaah ini
> menyanggahi kaedah-kaedah Islam dalam beberapa bentuk. (Rujukan: Al-
> Sayuti: Abd al-Rahman bin Abi Bakr, Al-Amr bi al-Ittiba' wa al-
> Nahy `an al-Ibtida' hlm. 52-54, Beirut: Dar al-Fikr al-Lubnan.)
>
> Demikian juga kitab-kitab kerohanian kesufian lain yang kebanyakan
> penulisnya tidak mengambil berat soal kesahihan hadis-hadis. Ini
> seperti kitab Tanbih al-Ghafilin yang banyak dibaca di masjid dan
> surau. Demikian juga Bustan al-`Arifin dan lain-lain.
>
> Kata al-Syeikh Abu Syahbah: "Kitab Tanbih al-Ghafilin karangan al-
> Samarqandi; wajib pembaca berhati-hati terhadap hadis-hadis palsu
> dan Israiliyyat di dalamnya. Juga kitab Bustan al-`Arifin yang juga
> karangannya patut pembaca berjaga-jaga." (Rujukan: Muhammad Muhammad
> Abu Syahbah, Al-Wasit fi `Ulum wa Mustalah al-Hadis, hlm. 354,
> Kaherah: Dar al-Fikr.)
>
> Justeru para pembaca kitab-kitab ini hendaklah berhati-hati ketika
> memetik hadis-hadis daripada kitab-kitab ini.
>
> * Penulis ialah Pensyarah Pengajian Islam, Universiti Sains Malaysia.
>
>
>
>
>




------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> 
Join modern day disciples reach the disfigured and poor with hope and healing
http://us.click.yahoo.com/lMct6A/Vp3LAA/i1hLAA/TXWolB/TM
--------------------------------------------------------------------~-> 

--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in 
any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved 
otherwise. 

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily 
digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your 
mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the 
title "change to daily digest".  
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/hidayahnet/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 


Kirim email ke