|
07/02/2006 Kenyataan Media Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) 6 Feb 2006 Wanita JIm Anugerah Juara Lagu ke-20 yang dilangsungkan pada 5 Feb yang lalu dipromosikan dengan begitu hebat sebagai apa yang dikatakan satu pengiktirafan berprestij kepada golongan karyawan seni yang menghasilkan satu evolusi muzik tanahair, sekaligus menyumbangkan satu penanda aras kepada industri muzik tempatan. Lagu-lagu yang dipertandingkan dikatakan melambangkan identiti dan budaya rakyat Malaysia yang unik dan sarat dengan makna kehalusan budi pekerti dan keprihatinan. Namun, apa yang dipaparkan secara langsung melalui ruangan `Red Carpet' pada jam 7.30 malam ( sejurus selepas makluman Azan Maghrib) tidak langsung menggambarkan sebarang identiti budaya Malaysia yang berlandaskan Rukun Perlembagaan yang lima, terutamanya rukun kelima `Kesopanan dan Kesusilaan'. Wanita JIM membantah penyiaran acara Red Carpet AJL ke 20 tersebut yang didapati diciplak dan ditiru secara borong dari budaya warisan golongan artis Hollywood yang mempamerkan gaya, pakaian dan aksesori pereka -pereka fesyen terkenal melalui tajaan ke atas para artis yang hadir ke majlis penganugerahan seperti Grammy Awards dan Golden Globe Awards. Semasa mereka berjalan di atas `permaidani merah ' ini, para artis tersebut bertindak sebagai `peragawan dan peragawati' yang akan memperagakan fesyen terkini yang dikatakan sensasi. Apa yang dipertontonkan kepada umum pada acara Red Carpet sebelum upacara AJL ke-20 berlangsung malam kelmarin ternyata amat bertentangan dengan nilai dan budaya rakyat Malaysia selama ini. Gaya pemakaian para artis dan pengacara yang kebanyakannya memakai gaun malam yang mendedahkan aurat didapati terlalu menjolok mata dan kelihatan amat kurang sopan terutamanya untuk tontonan masyarakat yang majoritinya beragama Islam. Para pereka fesyen seolah-olah tidak langsung mengindahkan dan menghormati hasrat kerajaan yang mahu membudayakan budi bahasa dalam kehidupan sebagaimana Kempen Budi Bahasa yang sedang berjalan. Budi bahasa termasuklah juga cara penampilan dan pemakaian seseorang itu. Maruah diri juga banyak dikaitkan dengan gaya ketrampilan seseorang. Malaysia sendiri sememangnya terkenal kaya dengan budaya tenunan songket, sutera dan batik yang sudahpun mendapat pengiktirafan dunia antarabangsa. Mengapakah para pereka fesyen tidak berbangga dengan apa yang sudah sememangnya menjadi budaya warisan rakyat Malaysia sendiri? Wanita JIM kesal di atas sikap para pereka fesyen yang ternyata tidak sensitif dan menghormati budaya dan nilai pegangan agama rakyat Malaysia. Wanita JIM juga mengingatkan para artis Malaysia agar teguh berpegang kepada prinsip dan asas didikan agama dan adat resam ketimuran yang sekian lama menjadi identiti. Mereka harus sedar betapa besarnya tanggungjawab mereka untuk menonjolkan imej yang positif dan terpuji sepanjang masa, lantaran mereka menjadi ikutan dan sanjungan ramai peminat. Sekalipun mereka boleh memberikan alasan mahu mengikuti perkembangan terkini dan mempunyai hak kebebasan menentukan cara berpakaian, para artis tidak boleh mengenepikan sensitiviti masyarakat umum yang rata-rata masih berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai ketimuran. Ramai para artis yang tidak menggadaikan prinsip mereka dan ternyata terus mendapat pujian ramai peminat kerana bakat dan keupayaan mereka. Para artis tentunya tidak mahu dipersalahkan sebagai salah satu punca utama penghakisan nilai murni dan budaya mulia di kalangan para peminat mereka, terutamanya golongan muda. Remaja menjadikan artis sebagai idola. Sudah sewajarnya mereka memainkan peranan masing dengan matang menggunakan acuan ketimuran. Mengaut keuntungan dan meraih kemasyhuran melalui cara meniru membabi buta daripada barat adalah satu tingkah laku tidak matang dan bertamaddun serta mengkhianati budaya bangsa, imej negara dan kemurnian agama. Rancangan yang disiarkan seharusnya bukan sekadar untuk berhibur tetapi mesti mengandungi manfaat. Dalam masa yang sama. Wanita JIM meminta pihak penganjur agar bertindak proaktif dalam memastikan batasan dan ciri-ciri identiti budaya masyarakat tidak dicemari dalam keghairahan mereka mendapatkan penajaan yang lumayan. Kegagalan pihak penganjur mempertahankan nilai moral yang tinggi dan budi pekerti terpuji dalam majlis-majlis yang dianjurkan akan dilihat sebagai satu kepincangan yang ketara oleh masyarakat. Pihak kerajaan, terutamanya Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia didesak untuk mengambil tindakan segera bagi merangka garispanduan yang jelas mengenai etika penampilan umum selebriti dalam media massa yang berada di bawah pengawasannya terutamanya stesyen penyiaran swasta. Tidak cukup dengan menyediakan garispanduan sahaja, pihak berwajib harus mempunyai kesungguhan dalam pelaksanaannya demi untuk memastikan kredibiliti kerajaan terus dipertahankan. Jika tidak, pengaruh negatif yang sudah ternyata mengundang terlalu banyak bencana sosial dalam masyarakaat yang mengamalkannya, akan pasti menular ke negara yang kita cintai ini. Wanita JIM menuntut semua rakyat Malaysia agar terus mempertahankan nilai agama dan budaya yang selama ini menjadi identiti dan lambang kesusilaan kita. Tidak keterlaluan sekiranya Wanita JIM melihat apa yang berlaku dalam acara `Red Carpet' baru-baru ini sebagai satu bentuk eksploitasi terang-terangan ke atas tubuh badan wanita . Walaupun akan ada pihak yang menyalahkan wanita sendiri kerana merelakan diri mereka di`eksploitasi' dan dipergunakan atas alasan populariti dan kemasyhuran, Wanita JIM mendesak agar setiap rancangan dan program TV yang mengandungi unsur-unsur eksploitasi ke atas siapa sahaja baik lelaki atau wanita, kanak-kanak atau dewasa agar tidak disiarkan. Tindakan tegas dan keprihatinan semua pihak amatlah diperlukan. Dr.Harlina Halizah Siraj Ketua Wanita JIM Pusat Oleh: Endok Sempo Tahir -------------------------------------------------------------------------- All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise. If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest".
SPONSORED LINKS
YAHOO! GROUPS LINKS
|
