Abdullah digesa jangan tunduk kepada Sisters in Islam
PDF Cetak
Fri | Feb 17, 06 | 10:38:51 AM
Oleh ABR
KUALA LUMPUR, 17 Feb (Hrkh) -  Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak patut tunduk dan memilih untuk mengaku kalah kepada tekanan mana-mana pihak seperti Sisters in Islam (SII) yang cuba memperlekehkan undang-undang Syariah malah mesti mengambil tindakan tegas dan keras terhadap mereka.
Serentak dengan itu, para ulama pula mestilah membuat perisytiharan mengenai status keIslaman golongan tersebut yang melakukan pelbagai tindakan yang "semakin melampau dan menjadi-jadi sejak Abdullah menjadi Perdana Menteri" .
Naib Presiden PAS Haji Mohamad Sabu menegaskan perkara itu ketika mengulas rencana bertajuk Letter from Malaysia: Malaysia's big sister shakes up Islam rule yang disiarkan oleh International Herald Tribune 16 Februari lalu.
Beliau menyeru Abdullah supaya segera menginsafi bahawa perkembangan buruk yang semakin mencabar kesabaran umat Islam itu telahpun "menimbulkan pelbagai kecurigaan terhadap pendirian dan kewibawaan Perdana Menteri dalam mempertahankan kesucian Islam".
"Perdana Menteri harus faham bahawa umat Islam merasa amat sakit hati dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang semakin lantang mempertikaikan Islam dan jika perkara itu dibiarkan, ia akan menghancurkan keselamatan negara dan ketenteraman awam di dalam negara ini," beliau mengingatkan.
"Api di dalam sekam", katanya kepada Harakahdaily, "semakin membara apabila mereka mendapati kebiadaban badan-badan bukan kerajaan itu, terutama SII, semakin bermaharajalela sejak Abdullah menjadi Perdana Menteri.
"Mereka bukan sahaja membahayakan keselamatan negara dengan mencabar kesabaran umat Islam malah lebih bahaya lagi mereka juga seperti mengajar orang-orang bukan Islam supaya menjadi lebih berani memperlekeh-lekehkan ajaran Islam".
Mohamad Sabu memberitahu, tokoh-tokoh agama dan cerdik pandai Islam yang ditemuinya untuk berbincang mengenai perkara itu hampir kesemuanya menyalahkan Abdullah atas apa yang terjadi.
Tekanan keluarga
"Semuanya mempertikaikan bagaimana Perdana Menteri bersikap kalah dan menangguhkan perlaksanaan Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 atas tekanan tokoh-tokoh SII yang mengambil kesempatan dari hubungan yang sangat rapat dengan keluarganya sedangkan ia dibincangkan di peringkat kabinet malah diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara untuk dilaksanakan," beliau memberitahu.
Lebih dari itu, katanya lagi, Setiausaha Politik Perdana Menteri sendiri yang juga Setiausaha Biro Agama UMNO, Datuk Othman Desa menyatakan semua pihak harus sedar bahawa usaha untuk memperkenalkan undang-undang berkaitan hukum Islam digubal oleh pakar yang mahir dan berpengalaman.
"Perlaksanaan undang-undang ini juga dilakukan secara sistematik dan berlandaskan hukum syarak yang sahih. Oleh itu tidak seharusnya ia dipertikaikan,'' kata Othman lagi.
Mohamad Sabu juga mempersoalkan di manakah maruah Abdullah yang menangguhkan perlaksanaan undang-undang tersebut apabila Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang pada awalnya bersikap menolak kini menyokongnya dan menyatakan peruntukan undang-undang tersebut menepati hukum syarak dan tidak menindas atau menzalimi golongan wanita.
Malah, Shahrizat mahu supaya kontroversi mengenai akta tersebut dihentikan kerana ia akan menjejaskan martabat dan maruah syariah serta agama Islam itu sendiri.
Shahrizat turut memberi amaran keras kepada kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tertentu supaya tidak memperlekehkan kesucian undang-undang syariah di negara ini dengan memberi gambaran kononnya akta itu zalim.
Mohamad Sabu menyeru Abdullah supaya tidak lupa bahawa seluruh negara memerhatikan gelagat kepimpinannya yang jelas begitu lemah dan tidak tentu arah apabila tiba masa untuk membuat keputusan lebih-lebih lagi keputusan yang bercanggah dengan kehendak SII.
Abdullah keliru
Sambil cuba memahami pendirian Abdullah yang mungkin cuba bersikap mengalah terhadap SII yang mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan keluarganya, terutama dalam memberi sokongan dan semangat kepada Allahyarham isterinya yang ketika itu menderita akibat barah, Mohamad Sabu menyeru Perdana Menteri supaya tidak keliru dalam membuat penilaian antara perbezaan pendapat dan penghinaan.
"Kita sebagai seorang Islam sentiasa berlapang dada dengan perbezaan pendapat kerana perbezaan memang sesuatu yang fitrah, tetapi kita tidak boleh bertolak ansur apabila semakin bersepah-sepah Ameena Wadud jadian yang cuba memporak-perandakan ketenteraman negara ini dengan pelbagai fitnah terhadap undang-undang Syariah dan agama Islam," katanya.
Beliau memberi amaran kepada "Ameena Wadud jadian yang bersepah-sepah itu supaya jangan terlalu naik tocang" kerana tidak ada siapa yang boleh menyekat umat Islam, "yang hari ini berdemonstrasi mengutuk konspirasi yang memulakan kejahatan mereka dengan kartun menghina Nabi Muhammad, akan berdemonstrasi dan menghamun mereka pula".
"Orang yang berdiam diri jangan disangka tidak menghimpun hujah dan kekuatan", tegas beliau.


Yahoo! Messenger NEW - crystal clear PC to PC calling worldwide with voicemail

--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise.

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest".




SPONSORED LINKS
Divine inspiration Islam


YAHOO! GROUPS LINKS




Kirim email ke