From: Safuan Ibrahim <[EMAIL PROTECTED]>
Subject:Orang Turki cukup memuliakan tetamu

MELAYAN TETAMU SAMPAI BEGITU?
catatan hairan di bumi Bani Osman -14 januari 2006


Ogos 1995, kembara saya ke Turki menyambung episod. Kali ini saya ditemani oleh lima sahabat. Perjalanan kami bermula dari Istanbul, kemudian ke Bursa, Ankara, Trabzon, Rize, Kayseri, Iskenderun, Antakya, Antalya, Denizli, Canakkale dan seterusnya pulang ke Istanbul. Kembaranya cukup jauh, menjangkau lebih 5000km, selama 28 hari. Namun, antara perjalanan paling menarik adalah episod perantauan kami dari Ankara ke Trabzon.

Di Ankara, saya dan rakan-rakan menginap di  asrama pelajar yang dimiliki oleh Milli Genclik Vakfi. Ia adalah sayap pemuda kepada Parti Refah. Di situ saya diuruskan oleh Hasan, sahabat saya yang bekerja sepenuh masa di asrama tersebut dan baru sahaja menghabiskan pengajiannya di Fakulti Bahasa Sejarah dan Geografi, iaitu fakulti khas yang mengajar tentang teknik membaca manuskrip. Selama di situ, banyak perkara yang saya pelajari dari Hasan, malah beliau bermurah hati memberikan saya beberapa salinan manuskrip peribadinya, dan mengajar saya membaca manuskrip tersebut. Insya Allah saya akan ceritakan tentang hal ini di kesempatan yang lain.

"Kamu nak ke mana selepas ini?" Hasan bertanya.

"Cadangnya, kami nak ke bandar-bandar di sekitar Laut Hitam. Cantik benar pemandangan di sana. Lagi pun kami nak tengok juga sejauh mana hitamnya air di situ!", jawabku berselang gurau.

"Aku cadangkan engkau dan kawan-kawan pergi ke Trabzon. Datuk Bandar di situ adalah dari Parti Refah dan kami juga ada cawangan asrama di sana", Hasan menyahut sambil menunjukkan kepadaku gambar Datuk Bandar Trabzon miliknya.

Wah, sememangnya pengalaman ini yang kutunggu-tunggu. Saya mahu tunjukkan kepada kawan-kawan apakah yang telah menyebabkan saya jatuh cinta dengan Turki. Bayangkan, kami sudah mengembara dari Istanbul ke Bursa, kemudian ke Ankara dan kini mahu ke Trabzon, kami masih belum mengeluarkan walau sesen wang penginapan kerana sentiasa dibantu oleh rakan-rakan dari satu bandar ke satu bandar. Ia telah dapat saya kesan semenjak lawatan pertama saya ke Turki setahun yang lalu. Kami disapa orang ramai semasa lalu di hadapan kedai, dan tidak semena-mena mereka mengajak kami makan lahmacun. Malah saya pernah diberikan penginapan percuma di hotel oleh seorang pakcik yang berbual dengan saya selepas solat Subuh di sebuah masjid di Canakkale. Rupa-rupanya dia tauke hotel!

Hasan menelefon rakannya di Trabzon dan membuat temu janji agar kami disambut dan diberikan penginapan di sana. Alamat rakan di sana juga dicatat di dalam buku A-Z Istanbul saya. Kemudian kami berangkat ke stesyen bas Ulusoy. Bas ekspress adalah pengangkutan awam utama di Turki. Perkhidmatannya cukup baik, malah setiap bas mempunyai pramugara dan sekurang-kurangnya penumpang akan dihidangkan dengan air mineral. Penumpang juga diwangikan dengan cologne lemon sebelum tiba ke stesyen destinasi agar harum semasa berpeluk-pelukan nanti! Akan tetapi bas Ulusoy agak istimewa kerana ia diberikan rate 5 bintang di Turki. Kami sengaja memilih bas 5 bintang memandangkan destinasi Trabzon di Laut Hitam adalah amat jauh.

Ketika kami hendak menaiki bas, pramugara bas Ulusoy itu menahan saya...

"Efendim, adakah benar kamu mahu ke Trabzon? Ia bandar yang amat jauh. 9 jam perjalanan. Pelancong pun jarang sekali pergi ke sana."

"Ya, kami memang mahu ke Trabzon dan terima kasih kerana bertanya. Jangan bimbang, saya ada kawan yang menunggu di sana", saya menjawab dengan penuh yakin. Lalu saya keluarkan buku A-Z tempat Hasan mencatat nama rakan yang menanti di sana dan saya tunjukkan kepada pramugara tersebut.

"Hah, engkau kawan Asim AYKAN? Kawan Datuk Bandar ke?", terkejut benar muka pramugara Ulusoy itu melihat nama rakan saya. Saya sendiri pun terlupa bahawa nama yang dicatat oleh Hasan itu adalah nama Datuk Bandar Trabzon, 'kawan yang tidak pernah saya kenali'.

Kelam kabut beliau mempersilakan kami naik ke bas. Sepanjang perjalanan, kami dilayan bagai VIP. Sekejap-sekejap, dia datang menjenguk kami bertanya apa-apa keperluan yang kami mahukan. Saya menahan lucu di dalam hati kerana, saya sendiri tidak pernah berjumpa dengan Asim AYKAN. Tak apalah, sampai di Trabzon ni, mungkin adalah peluang untuk kami berkenalan. Bagus juga, boleh saya jadikan tempat merujuk bagi kawasan Laut Hitam.

Bandar-bandar di Laut Hitam (Karadeniz) ini kebanyakannya didiami oleh kaum Laz yang berketurunan Rome. Mereka sering dijadikan bahan gurau orang-orang Turki di tempat lain kerana kelakuan mereka yang 'kalut' atau nerd. Pelbagai kisah rakyat yang lucu saya dengar tentang kaum Laz ini. Paling masyhur ialah tentang kisah cara orang Laz menukar mentol lampu. Seorang akan naik ke atas meja dan memegang mentol lampu, manakala rakan-rakannya pula akan memusingkan meja untuk memutar mentol agar tercabut dari tempatnya! Orang Laz juga akan duduk di atas kerusi, mengangkat kaki kanannya di atas kerusi untuk mengenakan tali kasut kaki kirinya! Hmm... macam-macam. Sama sahaja dengan pandangan orang Iran terhadap penduduk Isfahan, serta orang Jordan terhadap orang Qatranah.

Saya masih ingat orang Qatranah di Jordan pernah merusuh sehingga membakar bangunan kerajaan. Apabila ditanya mengapa mereka merusuh, mereka sendiri pun tidak tahu apa yang mereka rusuhkan, cuma sebab orang Karak merusuh, maka mereka turut merusuh sama. Lebih karut lagi, mereka mencelup seekor ayam ke dalam minyak tanah, lalu dinyalakan api pada bulu ayam itu lantas dicampakkan ke dalam bank! Ayam yang kepanasan terbakar, lari dan terbang merata lantas menyebarkan api sehingga rentung bank bersama ayam panggang yang malang tersebut.

Saya tersenyum mengenangkan semua itu. Sedar-sedar kami sudah tiba di Trabzon. Waktu menunjukkan jam 9 pagi dan kabus menyelubungi gunung-gunung Trabzon yang diseliputi permaidani daun teh. Trabzon memang kaya dengan hujan, sungai-sungainya cetek dan mudah sekali untuk kami melihat ikan salmon meloncat-loncat melawan arus sungai di sepanjang perjalanan menuju ke pusat bandar.

Setibanya kami di stesyen bas, pramugara Ulusoy itu meminta kami duduk di kerusi yang disediakan. "Tunggu sini, biar saya telefon Datuk Bandar untuk memberitahu ketibaan kamu. Ini tanggungjawab saya," katanya kepada kami.

Wah-wah, dia ni pun nak ambil kesempatan juga ya. Nak menumpang nama. Bersungguh-sungguh benar dia membantu kami. Katanya, Datuk Bandar meminta dia membawa kami ke Meydan di sebelah bangunan Majlis Perbandaran Trabzon (Trabzon Belediyesi) dan dia sendiri akan menyambut kami.

Setibanya kami di Meydan, Asim AYKAN menyambut kami seperti rakan lama bertemu kembali. "Hos Geldiniz!", Encik Asim memeluk saya dan rakan-rakan. Saya sedar yang semua mata memandang ke arah kami. Siapalah agaknya lima manusia pelik yang berpeluk-pelukan dengan Datuk Bandar ni.

Kami dibawa ke pejabatnya dan sementara itu, seorang penterjemah dipanggil untuk memudahkan komunikasi. Bahasa Turki saya pun masih bertatih-tatih. Pelbagai soalan yang ditanyanya. Apa khabar rakyat Malaysia, apa khabar orang Islam di sana, baguskah kualiti kereta Proton, dan macam-macam lagi. Selepas sejam kami beramah mesra, saya dan rakan-rakan dipersilakan ke rumah rehat.

Sekali lagi kami terkejut. Kami disediakan dengan sebuah kereta limosin dengan bendera Turki dan Trabzon di hadapannya. Kami diberikan seorang pemandu yang akan membawa kami ke destinasi-destinasi menarik sekitar Trabzon. Abang Sedat iaitu pemandu limosin itu memperkenalkan diri dan mengajak kami ke rumah rehat rasmi kerajaan atau lebih dikenali sebagai misafirhane. Sungguh mengharukan, di misafirhane itu kami dilayan bersungguh-sungguh bagai tetamu kehormat. Makan minum dijaga, pakaian didobikan, malah Abla (Kakak) yang bertugas di situ juga ramah bercerita tentang pelbagai tempat menarik di Trabzon. Tentunya keseronokan itu berselang seli dengan kuaci biji labu dan teh Rize.

Kami melawat Meryem Ana Kilisesi, iaitu tempat yang dikatakan lokasi Maryam bonda Isa Alayhi as-Salaam beruzlah. Aduh, tinggi sungguh tempatnya. Namun saya rasa tercabar melihat pasangan pelancong Eropah yang sudah mencecah usia 60an masih teguh memanjat gunung itu. Mereka datang ke Trabzon untuk 'buat haji' iaitu ke arah mendapatkan pengampunan dosa dengan melawat tempat-tempat suci mereka.  Ya, Trabzon sememangnya dianggap suci oleh penganut agama Kristian. Ia pernah dikuasai oleh Milletians, Parsi, Roman, Byzantine dan dinasti Comnenos. Akhirnya penguasaan kuasa bukan Islam berakhir apabila Sultan Muhammad al-Fatih menawan bandar ini pada 26 Oktober 1461.

Selepas dua hari kami di Trabzon, saya mencadangkan agar rombongan kami meneruskan perjalanan ke Rize, iaitu bandar paling utara di kawasan Laut Hitam. Ia berhampiran dengan sempadan Turki - Georgia. Kedudukannya juga tidaklah sejauh mana, dan yang lebih penting, Datuk Bandarnya juga dari parti Refah. Sebaik sahaja kami suarakan hasrat untuk ke Rize, saya sudah tahu apa yang akan berlaku.

Majlis Perbandaran Trabzon telah menyediakan sebuah bas 46 kerusi untuk menghantar kami berenam ke Rize dan sekali lagi, kami menjadi VIP. Cuma bezanya ialah, kali ini kami enam orang berkongsi 46 kerusi di dalam sebuah bas eksklusif... tanda memuliakan tetamu yang ditunjukkan oleh mereka. Sememangnya, hospitaliti masyarakat Turki, tiada tolok bandingnya.

IBRAH YANG KUPELAJARI

Kenanglah pada apa yang dipesan oleh Rasulullah s.a.w di dalam sabdanya: "barangsiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, berkatalah yang baik-baik. Kalau tidak, lebih baik berdiam diri. Seandainya seseorang itu beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, muliakanlah jirannya. Jikalau seseorang itu beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka muliakanlah tetamunya." (Dari Abu Hurairah r.a., riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sesungguhnya, bangsa Turki telah menjadikan hadith di atas, bukan sahaja kepada tetamu di rumahnya, malah mendarah daging kepada sistem masyarakatnya. Ingatkan anda kepada Caravansaray atau Kervansaray? Ia adalah rumah persinggahan percuma yang dibina di laluan-laluan perniagaan, bertujuan menyediakan kediaman dan makanan secara percuma kepada pedagang yang bermusafir itu. Ia popular dengan nama HAN dan banyak dibina semenjak di zaman Seljuk lagi.

Hari ini, Kervansaray sudah tiada, peniaga memilih untuk bermalam di hotel-hotel. Namun budaya memuliakan tetamu tetap utuh dan saya melihatnya pada setiap rumah sahabat Turki yang pernah saya singgah.

Bagaimana dengan kita? Bagaimanakah wajah kita ketika menyambut tetamu yang muncul di depan pintu? Salesman, kawan yang terdesak, kawan yang datang dengan katalog, sahabat Tabligh, dan sederetan mereka yang berkunjung sebagai tetamu ke rumah anda.

Sesungguhnya tidak mungkin kita boleh menyambut mereka dengan wajah manis, selepas penat bekerja di pejabat, melainkan dengan sistem nilai yang menghargai tetamu pada timbangan AKHIRAT. Ya Allah sebagaimana bangsa Turki pernah memuliakan aku di rumah mereka, sambutlah kami yang bertamu di pintu taubat-Mu dengan Redha dan Gembira. Ameen!

ABU SAIF www.saifulislam.com


Yahoo! Mail
Bring photos to life! New PhotoMail makes sharing a breeze.

--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise.

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest".




YAHOO! GROUPS LINKS




Kirim email ke