|
Pada amnya, industri pencetakan terbahagi kepada dua, iaitu pencetakan
bahan berasaskan kertas, plastik dan logam; dan percetakan bahan berasaskan kain
dan pakaian. Pencetakan pakaian biasanya dipanggil 'silk screen printing'
ataupun mencetak menggunakan skrin sutera. Pencetakan pakaian ialah proses
memindahkan suatu reka corak - sama ada daripada kertas
(hard copy) atau dalam komputer (soft copy) ke atas bahan yang berasaskan kain
dan pakaian, dengan menggunakan teknik-teknik tertentu.
Terdapat
beberapa objektif utama mengapa suatu reka corak itu dipindahkan kepada
produk-produk di atas, iaitu bagi melambangkan identiti organisasi, sebagai
bahan promosi, sebagai bahan cenderamata atau pemberian, dan untuk dijual
sebagai barangan pengguna. (a) Memperkenal dan
melambangkankan identiti sesuatu organisasi.
Contoh - Logo, tulisan, slogan dan simbol sesebuah organisasi (seperti
syarikat, badan berkanun, sekolah, persatuan, dsb) dipamerkan di atas
dokumen-dokumen rasmi, majalah, buku, papan tanda dan lain-lain lagi, sebagai
identiti rasmi organisasi tersebut. Terdapat juga logo, lencana, dan slogan yang
dipamerkan di atas kemeja, jeket, kemeja-T atau topi bertujuan untuk
melambangkan keseragaman dan kekuatan organisasi itu. (b) Untuk mempromosi
sesuatu produk, perkhidmatan atau gaya hidup. Contoh
- Slogan, tema, identiti pembekal, ciri-ciri serta identiti sesuatu produk
diiklankan di dalam televisyen, papan billboard, pamplet, majalah, surat
khabar dan lain-lain lagi untuk menarik pelanggan. Logo-logo dan slogan para
penganjur dan penaja juga dipamerkan pada pakaian tertentu untuk mempromosi
organisasi mereka, semasa sesuatu aktiviti berlangsung. (c) Sebagai cenderamata
atau pemberian kepada ahli-ahli.
Kebanyakan organisasi akan mengadakan beberapa majlis atau aktiviti
tahunan seperti Hari Terbuka, Sukan Tahunan, Ekspedisi, Lawatan, Majlis Makan
Malam, dan sebagainya. Pada waktu itu, organisasi tersebut biasanya akan memberi
sesuatu buah tangan kepada ahli dan peserta. Kemeja-T, topi, payung, tuala,
kalender dan diari yang lengkap dengan reka corak yang tersendiri, ialah
beberapa produk yang sering diberikan. (d) Untuk dijual sebagai
barangan pengguna. Sesuatu reka corak itu paling banyak digunakan sebagai penyeri dan penarik kepada sesuatu barangan pengguna. Produk-produk seperti pakaian, kain, majalah, buku, lencana, dan pelbagai cenderamata biasanya mempunyai reka corak yang tersendiri untuk menarik pembeli.
Untuk berjaya
dalam bidang pencetakan pakaian, beberapa ilmu asas diperlukan. Aspek-aspek yang
berkaitan secara langsung dengan pencetakan pakaian
ialah:- (a) Seni lukis, reka
corak dan grafik - menyediakan reka corak asal
daripada pelbagai sumber seperti yang telah disebut. (b) Penggunaan komputer
- dalam era teknologi maklumat ini, komputer amat
berguna serta memberi banyak kemudahan termasuk dalam bidang pencetakan pakaian.
Dengan adanya komputer, reka corak dan filem positif dapat disediakan dengan
mudah, cepat, tepat, kreatif, serta menjimatkan kos. (c) Kemahiran tangan dan
pengurusan masa - kecekapan pencetak juga
bergantung kepada kemahiran tangan dan kebolehannya menyusun kerja dan tugasan.
Aspek ini penting jika ingin menceburkan diri dalam perniagaan. Seseorang itu
mampu menjadi mahir dengan latihan yang konsisten. (d) Seni pertukangan dan
reka cipta - untuk menjadi pencetak yang
berkebolehan, matang dan cekap, pengetahuan mengenai pembuatan alat dan komponen
adalah sangat penting. Apabila seorang pencetak itu tahu mengenai pembuatan alat
dan komponen, beliau boleh membina komponen itu mengikut kesesuaiannya. Malahan,
beliau juga boleh mengubah suai dan membangunkan sesuatu komponen yang lebih
canggih mengikut suasana teknologi semasa. (e) Aspek yang paling utama ialah kreativiti, keberanian, kesanggupan dan ketekunan seseorang itu menempuh segala cabaran yang mendatang. Sifat-sifat ini sangat penting bukan sahaja dalam bidang pencetakan pakaian, tetapi juga dalam apa juga perkara yang dilakukan, seperti hal-hal berkaitan dengan pelajaran, perniagaan, mahupun pekerjaan.
Satu model perniagaan pencetakan pakaian turut dibentangkan sebagai hadiah untuk mereka yang bercita-cita untuk menceburi bidang perniagaan ini. Dalam buku ini, gambaran keseluruhan tentang aktiviti-aktiviti yang terlibat dalam pencetakan pakaian akan diterangkan. Beberapa maklumat berguna akan disertakan seperti memperkenalkan industri-industri yang berkaitan, mencari pasaran, potensi dan kadar keuntungan, mengenal pasti pembekal utama, dan sebagainya. Aspek teori yang dibentangkan dari
Bab 1 hingga 2 memperkenalkan industri pencetakan pakaian secara umum. Aspek ini
juga memperkenalkan bahan asas, alat-alat, dan komponen-komponen utama dalam
bidang pencetakan pakaian, berserta definisi dan kegunaannya secara
saintifik. Aspek teknikal dibentangkan dalam
Bab 3 hingga 6. Aspek ini meliputi cara-cara menyediakan komponen,
langkah-langkah menggunakan komponen yang telah dibuat untuk memproses
bahan-bahan, teknik-teknik mencetak pelbagai jenis corak pakaian, serta resipi
untuk pembancuhan bahan pencelup. Penerangan ini disusuli dengan gambar rajah
yang lengkap. Aspek pemikiran kreatif pula
dibentangkan dalam Bab 7 hingga 10. Bahagian ini mencabar pemikiran pembaca
supaya berfikiran luas, peka dan kreatif melalui latihan praktikal. Penulis juga
memberikan beberapa tips untuk menyelesaikan masalah berkaitan pencetakan
pakaian. Pendedahan mengenai transaksi asas dalam perniagaan pencetakan pakaian
turut dibentangkan. -------------------------------------------------------------------------- All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise. If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest".
SPONSORED LINKS
YAHOO! GROUPS LINKS
|
