|
Koleksi Hadith-hadith daripada Kitab Nikah Sahih Muslim (sila sebarkan) |
|
Bab Batal Menjual Barang Sebelum Diterima http://www.mymasjid.com.my/hadith/bab.asp?nBab=506&nKitab=5 Hadis Ibnu Abbas r.a: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Sesiapa yang mempunyai makanan maka janganlah menjualnya sehingga beliau menerimanya dengan sempurna. Bab Diharuskan Gadaian Samada Dalam Perjalanan (Musafir) Ataupun Menetap http://www.mymasjid.com.my/hadith/bab.asp?nBab=534&nKitab=5 Hadis Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah membeli makanan daripada seorang Yahudi dengan cara menangguhkan pembayarannya lalu Baginda menyerahkan baju besi sebagai gadaiannya. Bab Ditetapkan Khiar Majlis Iaitu Kesempatan Berfikir Kepada Pembeli Dan Penjual http://www.mymasjid.com.my/hadith/bab.asp?nBab=507&nKitab=5 Hadis Ibnu Umar r.a: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Penjual dan pembeli, masing-masing mempunyai hak khiar iaitu kesempatan berfikir selagi mereka belum berpisah melainkan jual beli khiar. Bab Galakan Memaafkan Hutang http://www.mymasjid.com.my/hadith/bab.asp?nBab=518&nKitab=5 Hadis Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah mendengar orang bertengkar di pintu dengan suara yang tinggi. Tiba-tiba salah seorang dari mereka meminta kepada yang seorang lagi agar memaafkan sebahagian dari hutangnya dan bersikap lemah lembut. Tetapi beliau menjawab: Demi Allah! Aku tidak akan memaafkan kamu. Lalu Rasulullah s.a.w keluar dan bersabda: Siapakah yang sungguh-sungguh bersumpah demi Allah tidak akan berbuat kebaikan? Orang itu berkata: Saya, wahai Rasulullah! Tetapi sekarang dia boleh memilih mana yang dia suka (antara melepaskan sebahagian dari hutang atau bersikap lemah lembut). Hadis Kaab bin Malik r.a: Bahawa pada masa Rasulullah s.a.w, ayahnya pernah menagih hutang kepada Ibnu Abi Hadrad di masjid dengan suara mereka yang tinggi sehingga Rasulullah s.a.w yang berada di rumah mendengarnya. Maka baginda keluar menuju ke arah mereka dan menyingkapkan tirai bilik lalu memanggil Kaab bin Malik: Wahai Kaab! Kaab menjawab: Saya, wahai Rasulullah! Kemudian baginda mengisyaratkan supaya Kaab memaafkan sebahagian dari hutangnya. Kaab berkata: Baiklah, wahai Rasulullah! Baginda bersabda kepada Ibnu Abu Hadrad: Bangunlah dan bayarlah. Bab Halal Hasil Daripada Berbekam http://www.mymasjid.com.my/hadith/bab.asp?nBab=525&nKitab=5 Hadis Anas bin Malik r.a: Anas bin Malik r.a pernah ditanya tentang hasil berbekam, maka beliau berkata: Rasulullah s.a.w pernah berbekam dan yang membekam baginda adalah Abu Taibah. Baginda memerintahkan agar Abu Taibah diberi dua gantang makanan dan memberitahu kepada keluarganya, bahawa mereka membebaskan pajaknya. Kemudian baginda bersabda: Sebaik-baik perubatan yang kamu guna untuk berubat adalah berbekam atau berbekam adalah ubat yang paling baik bagimu. Bab Haram Menahan Atau Membeli Barang Dagangan Sebelum Dibawa Ke Pasaran http://www.mymasjid.com.my/hadith/bab.asp?nBab=503&nKitab=5 Hadis Ibnu Umar r.a: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w melarang menahan barang dagangan sebelum tiba di pasaran. Ini adalah lafaz dari Ibnu Numair. Sedangkan menurut perawi yang lain, sesungguhnya Nabi s.a.w melarang pembelian barang dagangan sebelum dipasarkan. Hadis Abdullah bin Mas'ud r.a: Daripada Nabi s.a.w bahawa baginda melarang menahan pembelian barang-barang dagangan. Bab Haram Menjual Air Yang Ada Di Tanah Lapang, Diperlukan Untuk Ternakan Dan Haram Menahannya Serta Haram Menjual Mani Haiwan Jantan http://www.mymasjid.com.my/hadith/bab.asp?nBab=522&nKitab=5 Hadis Abu Hurairah r.a: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Lebihan air tidak boleh dihalang kerana ia akan mencegah tumbuhnya rumput ternakan. Bab Haram Menjual Buah Kurma Basah Dengan Buah Kurma Kering Kecuali Dalam Araaya Iaitu Buah Kurma Yang Hampir Masak http://www.mymasjid.com.my/hadith/bab.asp?nBab=511&nKitab=5 Hadis Zaid bin Thabit r.a: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w memberi keringanan kepada pemilik kurma basah untuk menjualnya dengan kiraan kurma kering. Hadis Sahl bin Abi Hathmah r.a: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah melarang penjualan kurma dibayar dengan kurma, baginda bersabda: Itu adalah riba, iaitu Muzabanah, jual beli yang tidak jelas. Baginda hanya memberi keringanan dalam penjualan secara Ariyyah iaitu satu atau dua pokok kurma diambil oleh satu keluarga dengan kiraan kurma kering dan mereka makan buah yang separuh masak. Hadis Abu Hurairah r.a: Rasulullah s.a.w memberi keringanan dalam jual beli Araaya dengan cara ditaksir jika kurang dari lima wasaq atau dalam lima wasaq. Iaitu lebih kurang 60 cupak. Hadis Ibnu Umar r.a: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w melarang muzabanah. Muzabanah ialah menjual kurma basah dibayar dengan kurma kering secara timbangan dan menjual anggur segar dibayar dengan anggur kering secara timbangan. Bab Haram Menjual Habalul habalah Iaitu Anak Janin Dalam Kandungan http://www.mymasjid.com.my/hadith/bab.asp?nBab=501&nKitab=5 Hadis Abdullah bin Umar r.a: Daripada Nabi s.a.w bahawa baginda telah melarang jual beli Habalul-habalah iaitu janin dalam kandungan. Bab Haram Menjual Kepada Orang Tengah Untuk Dijualkan Kepada Orang Kampung http://www.mymasjid.com.my/hadith/bab.asp?nBab=504&nKitab=5 Hadis Ibnu Abbas r.a katanya: Rasulullah s.a.w melarang orang tengah mengambil kesempatan dengan membeli barang dagangan untuk dijualkan kepada orang kampung. Hadis Anas bin Malik r.a katanya: Kami dilarang menjual barang dagangan kepada orang tengah untuk dijualkan kepada orang kampung, sekalipun orang itu saudara atau ayahnya. Bab Haram Menjual Kepada Seseorang Barang Yang Telah Dijual Kepada Orang Lain, Penawaran Terhadap Barang Yang Sedang Di Tawar Oleh Orang Lain, Jual Beli Najsyi Iaitu Pembeli Pura Pura Membayar Harga Barang Lebih Mahal Dari Harga Biasa Supaya Pembeli Lain Tertipu Dan Tasriah Iaitu Membiarkan Binatang Ternakan Beberapa Hari Tanpa Diperah Susunya Supaya Orang Menyangka Binatang Itu Mempunyai Susu Yang Banyak http://www.mymasjid.com.my/hadith/bab.asp?nBab=502&nKitab=5 Hadis Abu Hurairah r.a: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Janganlah seseorang muslim menawar barang yang sedang ditawarkan oleh orang lain. Hadis Ibnu Umar r.a: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah melarang dari jual beli secara najsyi iaitu berpura-pura membayar dengan harga yang lebih mahal supaya pembeli lain tertipu. Bab Hukum Menjual Binatang Ternakan Yang Dibiarkan Beberapa Hari Dengan Tidak Memerah Susunya Supaya Pembeli Menyangka Bahawa Ternakan Itu Mempunyai Susu Yang Banyak http://www.mymasjid.com.my/hadith/bab.asp?nBab=505&nKitab=5 Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Sesiapa membeli kambing yang dibiarkan dengan tidak diperah susunya hendaklah membawanya kembali dan memerah susunya. Sekiranya beliau redha dengan keadaan air susunya maka ambillah kambing itu, sekiranya dia tidak redha, dia boleh mengembalikannya dengan disertai segantang buah kurma. Bab Jual Beli Iaitu Tukar Makanan Adalah Harus Sekiranya Sama Banyak http://www.mymasjid.com.my/hadith/bab.asp?nBab=531&nKitab=5 Hadis Abu Hurairah r.a: Bahawa Rasulullah s.a.w pernah memberi pekerjaan kepada saudaranya Bani Adiy Al-Ansariy untuk memungut hasil Khaibar. Maka mereka datang dengan membawa kurma janib (kurma yang paling baik mutunya). Rasulullah s.a.w bertanya kepadanya: Adakah semua kurma Khaibar seperti ini? Orang itu menjawab: Tidak! Demi Allah, wahai Rasulullah! Aku membelinya satu gantang dengan dua gantang kurma campuran (sebagai bayarannya) Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah begitu, akan tetapi tukarlah dengan jumlah yang sama atau juallah yang ini (kurma yang kurang mutunya) dan belilah kurma yang baik dengan hasil penjualan kurma yang kurang mutunya tadi, kemudian timbangannya mestilah sama. Hadis Abu Said r.a katanya: Bilal pernah menghadap baginda dengan membawa kurma Barni. Rasulullah s.a.w bertanya: Dari manakah kurma ini? Bilal menjawab: Kurma milik aku yang kurang bermutu, maka aku menjualnya dua gantang dengan satu gantang (yang bermutu) untuk juadah Nabi s.a.w. Apabila mendengarnya, Rasulullah s.a.w bersabda: Ah, itu adalah riba. Jangan buat seperti itu. Jika kamu ingin membeli kurma yang baik, juallah kurmamu dan belilah kurma yang baik dengan hasil penjualanmu tadi. Hadis Abu Said Al-Khudriy r.a: Diriwayatkan daripada Abu Nadhrah r.a katanya: Aku pernah bertanya Ibnu Abbas tentang tukar menukar barang yang sejenis. Beliau bertanya semula: Adakah saling menerima? Aku menjawab: Ya! Maka beliau berkata: Itu tidak mengapa. Aku memberitahu Abu Said, kataku: Aku pernah bertanya kepada Ibnu Abbas tentang tukar menukar barang yang sejenis. Beliau bertanya semula: Apakah terus diserah terima? Aku menjawab: Ya! Beliau berkata: Kalau begitu, tidak mengapa. Abu Said berkata: Benarkah dia berkata begitu? Aku akan menulis surat kepadanya supaya dia tidak lagi memberi fatwa begitu kepada kamu. Demi Allah beberapa orang pemuda pernah menghadap Rasulullah s.a.w dengan membawa kurma tetapi baginda tidak mengenali kurma tersebut. Baginda bersabda: Kurma ini kelihatan bukan hasil dari tanah kita. Pemuda tadi berkata: Inilah yang berlaku pada kurma kita, hasilnya tidak begitu baik atau mungkin juga pemuda tersebut berkata: Pada tahun ini tamar kita tidak begitu baik. Oleh itu saya menukarnya dengan kurma ini secara melebihkannya sedikit. Baginda bersabda: Kamu telah melebihkannya, bererti kamu telah melakukan riba. Jangan sekali-kali kamu lakukan perkara sebegini. Apabila ada sesuatu yang meragukan tentang kurmamu maka juallah kurmamu itu kemudian belilah kurma yang kamu inginkan. Hadis Abu Said Al-Khudriy r.a katanya: Dinar ditukar dengan dinar, dirham ditukar dengan dirham secara jumlah yang sama. Sesiapa yang berlebihan, maka itu adalah riba. Dikata kepada Abu Said Al-Khudriy: Sesungguhnya Ibnu Abbas tidak berpendapat sedemikian. Katanya: lagi: Aku pernah bertemu dengan Ibnu Abbas, lalu aku berkata: Adakah apa yang kamu katakan itu, kamu mendengarnya daripada Rasulullah s.a.w atau kamu temuinya di dalam kitab Allah? Dia menjawab: Aku bukan mendengarnya dari Rasulullah s.a.w atau aku temui di dalam kitab Allah, tetapi Usamah bin Zaid yang menceritakan bahawa Nabi s.a.w pernah bersabda: Riba itu terdapat dalam penangguhan pembayarannya. Hadis Usamah bin Zaid r.a: Sesungguhnya Nabi s.a.w pernah bersabda: Sesungguhnya riba itu terdapat dalam penangguhan bayarannya. Bab Jujur Dan Jelas Dalam Jual Beli http://www.mymasjid.com.my/hadith/bab.asp?nBab=508&nKitab=5 Hadis Hakim bin Hizam r.a: Daripada Nabi s.a.w, baginda bersabda: Penjual dan pembeli diberi kesempatan berfikir selagi mereka belum berpisah. Sekiranya mereka jujur serta membuat penjelasan mengenai barang yang dijual belikan, mereka akan mendapat berkat dalam jual beli mereka. Sekiranya mereka menipu dan merahsiakan mengenai apa-apa yang harus diterangkan tentang barang yang dijual belikan akan terhapus keberkatannya. Bab Kelebihan Memberi Penangguhan (Tempoh) Kepada Orang Yang Dalam Kesukaran http://www.mymasjid.com.my/hadith/bab.asp?nBab=520&nKitab=5 Hadis Huzaifah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Para Malaikat akan bertemu dengan roh seorang lelaki dari umat sebelum kamu. Mereka bertanya: Adakah kamu pernah melakukan suatu kebaikan? Roh lelaki itu menjawab: Tidak! Mereka berkata lagi: Cuba fikir dahulu. Roh lelaki itu berkata: Dahulu, aku pernah memberi hutang kepada seseorang, lalu aku menyuruh pembantu aku supaya memberi penangguhan (tempoh) kepada orang yang dalam kesukaran dan memaafkan orang yang mendapatkan kelapangan (jika ada sedikit kekurangan dalam pembayaran hutangnya). Allah s.w.t berfirman (kepada para Malaikat): Maafkanlah beliau. Hadis Abi Mas'ud r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Ada seorang lelaki dari umat sebelum kamu, diperhitungkan amalannya, maka tidak ada satu pun kebaikan melainkan beliau banyak memberi hutang kepada orang ramai kerana beliau adalah seorang yang kaya. Beliau menyuruh para pembantunya agar memberi kemudahan terhadap orang yang dalam kesukaran. Maka Allah s.w.t berfirman: Kami lebih berhak berbuat begitu daripada beliau. Berilah kemudahan kepada beliau. Hadis Abu Hurairah r.a: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Suatu ketika dahulu ada seorang lelaki yang pernah memberi hutang kepada orang ramai. Beliau berkata kepada pembantunya: Apabila kamu menagih hutang daripada orang yang dalam kesulitan, berilah kelonggaran kepadanya, semoga Allah memberi kemudahan pula kepada kita. Kemudian beliau menemui Allah, maka Allah memberi kemudahan kepadanya. Bab Kelebihan Menanam Pokok Dan Tanaman http://www.mymasjid.com.my/hadith/bab.asp?nBab=516&nKitab=5 Hadis Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Seorang muslim yang menanam pokok atau tanaman lalu tanaman itu dimakan oleh burung, manusia atau binatang ternakan maka semuanya itu adalah dikira sebagai sedekah. Bab Larangan Bersumpah Dalam Melakukan Jual Beli http://www.mymasjid.com.my/hadith/bab.asp?nBab=536&nKitab=5 Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Sumpah itu penyebab larisnya barang dagangan, tetapi menghapuskan keberkatannya dalam keuntungan. |
|
|
--
~~ www.myjodoh.net ~~
Segalanya bermula di sini
--------------------------------------------------------------------------
All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise.
If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest".
| Divine inspiration | Islam |
YAHOO! GROUPS LINKS
- Visit your group "hidayahnet" on the web.
- To unsubscribe from this group, send an email to:
[EMAIL PROTECTED]
- Your use of Yahoo! Groups is subject to the Yahoo! Terms of Service.
