From: Adi putra

Role Model: Naelah Al Farafisyah

Naelah al Farafisyah seorang srikandi Islam yang terulung di zaman Khalifah 
Uthman al Affan. Beliau merupakan isteri dan penyejuk hati kepada Khalifah 
Uthman al Affan. Memiliki akhlak yang terpuji sebagai muslimah dan wajah yang 
menawan hati setiap insan yang melihatnya. Beliau merupakan sayap kiri kepada 
perjuangan Khalifah yang sukar untuk ditukar ganti dan juga seorang isteri yang 
ikhlas, setia dan taat kepada suami tersayang. 

Ayah beliau seorang penganut agama nasrani, bukan dari golongan Quraisy. Namun 
disebabkan kelebihan yang ada pada dirinya menjadikan Naelah tetap menonjol di 
kalangan para muslimah ketika itu. Kecantikan rupa paras, kebijaksanaan dalam 
apa jua bidang, kefasihan lidahnya berbicara serta kematangan fikirannya dalam 
membuat keputusan menjadikan beliau tokoh srikandi Islam yang disegani di mata 
dunia. 

Beliau juga banyak membantu khalifah dalam perjuangan menegakkan risalah suci 
di persada dunia. Peristiwa pengepungan yang berlaku selama 50 hari di rumah 
Khalifah benar-benar menguji tahap keimanan dan kesabaran hatinya. Beliau tidak 
pernah berjauhan dengan Khalifah, sentiasa memberikan semangat dan keyakinan 
kepada suaminya agar terus thabat dan sabar dalam meneruskan perjuangan suci 
ini. 

Pada ketika itu pemberontak tidak henti-henti menyerang rumah Khalifah dengan 
batu-batu dan panah-panah. Akibat dari peristiwa ini tiga orang telah terbunuh. 
Walaupun Abdullah telah membuat perjanjian bertulis dengan orang ramai agar 
tidak mencederakan Khalifah, namun ada juga yang mengingkarinya. Pembelotan 
tersebut diketuai oleh Muhammad bin Abu Bakar. 

Ketika Muhammad bin Abu Bakar bersama seorang sahabat memanjat rumah Khalifah, 
Naelah menjengukkan kepalanya di tingkap tanpa menutupi rambutnya. Lalu ditegur 
Khalifah. 

“Naelah, tutupilah rambutmu kerana ia lebih besar nilai dari nyawaku ini.” 

Namun Nelah tidak mengendahkan teguran tersebut kerana yang lebih penting 
baginya adalah menyelamatkan nyawa suami tercinta. 

Tatkala kedua-dua pembelot itu berada di hadapannya, Naelah sudah bersedia 
untuk melindungi suami yang dikasihi. Lelaki pertama cuba menyerang Khalifah 
dengan pedangnya, namun dihalang oleh Naelah dengan tangan beliau hingga putus 
jejarinya. Kemudian Muhammad bin Abu Bakar menghayunkan pedangnya pula, tetapi 
ditahan oleh Naelah dengan tangan yang lain dan putus jejarinya. Kemudian 
dengan kejam Muhammad bin Abu Bakar mencabut janggut Khalifah, memukul kepala 
dan menikam beliau. Tanpa ada sedikit pun rasa belas kasihan di hati, Muhammad 
bin Abu Bakar telah menyelar tubuh Khalifah hidup-hidup. Namun apabila Muhammad 
bin Abu Bakar hendak memenggal kepala Khalifah, Naelah menahan tubuhnya bersama 
Syibah. Malangnya mereka berdua ditolak dan dipijak-pijak. 

Selepas peristiwa pembunuhan Khalifah, tidak seorang pun yang berani untuk 
menguruskan dan memandikan jenazah beliau. Sehinggalah Naelah menghantar utusan 
kepada Jubair bin Hizam dan Hawatib bin Abdullah al Uzza. Mereka juga tidak 
berani untuk mengebumikan jenazah beliau pada siang hari, akhirnya terpaksa 
dikebumikan antara waktu maghrib dan isyak, Naelah mendahului mereka dengan 
membawa lampu kecil untuk menerangi kegelapan malam. 

Peristiwa pembunuhan Khalifah inilah yang membawa kepada pertelingkahan dan 
perselisihan dua puak di antara Muawiyah dan Saidina Ali. Justeru, ratusan 
ribuan nyawa umat Islam terkorban akibat dari peristiwa ini. Bagi mendamaikan 
antara puak ini, Naelah telah menghantar surat kepada Muawiyah yang berbunyi, 
“Jika dua golongan dari kaum itu berperang hendaklah kamu damaikan antara 
keduanya. Sekiranya salah satu keduanya melanggar perjanjian kepada yang lain, 
maka perangilah mereka itu sehingga mereka kembali kepada Allah.” 

Surat tersebut dihantar bersama pakaian Khalifah yang telah koyak dan dipenuhi 
darah. Pada butang bajunya diikat janggut khalifah yang dicabut oleh Muhammad 
bin Abu Bakar. Beliau juga turut mengirimkan lima jarinya yang terpotong 
sebagai tanda telah berlaku pembelotan dan pembunuhan ke atas khalifah. 

Selepas kewafatan suaminya, Naelah terus diselubungi kesedihan yang teramat 
sangat sehingga datang Muawiyah meminang beliau. Tetapi pinangan tersebut 
ditolak mentah-mentah, untuk mengelakkan dirinya terus dipinang,beliau telah 
mencabut dan mematahkan gigi sehingga orang ramai kehairanan. Ada yang bertanya 
kepada beliau, “Mengapa kamu mematahkan gigi-gigimu yang cantik itu?” 

Jawapan yang beliau berikan, “saya tidak mahu kesedihan saya terhadap Uthman 
menjadi pudar sebagaimana pudarnya kain-kain buruk dan saya juga tidak mahu 
lelaki mengetahui apa yang ada pada diriku sebagaimana yang telah diketahui 
oleh Uthman.” 

Kata-kata tersebut adalah lambang kecintaan dan kesetiaan beliau kepada suami 
tercinta yang telah dibunuh di hadapan mata kepalanya sendiri. 

Beliau juga banyak menggubah syair dan sajak yang diabadikan untuk suaminya. 
Juga tidak ada perkahwinan kedua dalam hidupnya selepas Khalifah Uthman. 

Naelah al Farafisyah lambang peribadi mulia seorang srikandi Islam yang sanggup 
menggadaikan jiwa raganya demi mempertahankan suami tersayang dan Islam 
tercinta di zaman beliau.



"Kanvas cinta ini terlukis wajah muslimah, yang kiasan rindunya takkan lemah 
walau dihunus 1000 mehnah.
 Pada hijab rindu, terserlah pada Qalam, dialah Muslimah Acuan Quran"




------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> 
Join modern day disciples reach the disfigured and poor with hope and healing
http://us.click.yahoo.com/lMct6A/Vp3LAA/i1hLAA/TXWolB/TM
--------------------------------------------------------------------~-> 

--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in 
any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved 
otherwise. 

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily 
digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your 
mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the 
title "change to daily digest".  
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/hidayahnet/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 



Kirim email ke