http://alkhatab2.tripod.com/
 
Sahih Bukhari
Jilid 2
 
Al-imam al-Bukhari rahimallahu ta`ala apabila meriwayatkan hadith-hadith dalam sahihnya, kadang-kala hadith-hadith berkenaan diulang lebih dari sekali seperti hadith “innamal `amalu bin niat” (sesungguhnya setiap amalan itu dengan niat) telah diriwayatkan berulang-ulang kali dalam sahih Bukhari. Disebabkan hadith-hadith yang berulang-ulang seperti inilah menyebabkan di dalam Sahih Bukhari mempunyai 7000++ hadith.
 
Al-imam al-Bukhari meletakkan banyak bab dalam sahihnya. Jadi, berlakunya hadith-hadith berulang kerana ia berada di dalam bab-bab tersebut. Seperti hadith “innamal `amalu bin niat” itu ada dalam bab niat dan ia ada dalam bab solat.   
 
Kadang-kala beliau masukkan hadith yang sama dari jalan sanad yang berbeza, dalam ertikata lainnya ialah dari rawi yang berbeza. Hadith-hadith seperti ini mempunyai kekuatannya yang tersendiri.
 
Dari rujukan kitab Sahih Bukhari, sebenarnya bukan banyak itu sahaja hadith yang ada pada al-imam al-Bukhari. Dalam pengembaraan beliau, banyak hadith-hadith yang dikutipnya, tetapi setelah disaring dan diputuskan di sisinya adalah sahih, maka barulah beliau memasukkannya ke dalam kitab Sahih Bukhari. Dan para ulama yang datang menganalisa hadith-hadith Bukhari mendapati bahwa keputusan Bukhari memutuskan hadith-hadith di dalam sahihnya itu sebagai sahih adalah benar-benar sahih. Kenapa kita bangkitkan persoalan ini?...Sebabnya ialah ada juga kitab-kitab sahih yang lain, walaupun penulisnya mengatakan sahih, namun setelah dianalisa dan disemak oleh para ulama hadith, maka didapati kesimpulannya bahwa adanya hadith-hadith di dalam kitab-kitab tersebut tidaklah sahih. Sebagai contohnya di dalam Sahih Ibnu Hibban, dimana Ibnu Hibban agak memudahkan dalam meletakkan keputusan sahih. Begitu juga dalam kitab al-Mustadrak `ala-Sahihain tulisan al-Hakim an-Naisaburi, dimasukkan hadith-hadith yang dikatakan sahih walaupun tidak diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim. Namun setelah dikaji oleh para ulama hadith (antaranya ialah al-Imam Dzahaby rahimahullah yang meninggal dunia pada tahun 748 Hijrah), didapati bahwa sebahagian yang disebut sebagai sahih oleh al-Hakim di dalam al-Mustadrak, sebenarnya tidaklah sahih. Kenapa berlaku sedemikian di dalam kitab al-Hakim dan Ibnu Hibban?...Ini bergantung kepada spesifikasi sukatannya tuan-tuan. Kalaulah “penapis” yang digunakan besar, kemungkinan banyak benda akan terlepas. Tapi kalau “penapis” yang digunakan itu kecil, maka sudah pasti yang disaring itu benar-benar tulin. Demikianlah yang dilakukan oleh al-Imam Bukhari di dalam kitabnya “Sahih Bukhari”.
 
Bab berdiri di kanan imam sebaris betul-betul sama dengan imam (bihiza ihi sawa an), jika imam dan makmum dua orang sahaja.
 
Mula-mula sekali apa yang perlu kita faham apabila al-Imam Bukhari meletakkan bab di dalam Sahih Bukhari, ialah kerana ia terbit dari kefahaman imam Bukhari sendiri terhadap sesuatu hadith. Jadi di dalam hadith ini, apa yang difaham oleh imam Bukhari ialah sekiranya solat dilakukan oleh hanya dua orang, maka makmum kena duduk dikanan imam dan betul-betul sama sebaris dengan imam (bihiza ihi sawa an). Maknanya bukan makmum belakang sedikit seperti yang dipraktikkan oleh kebanyakan kita hari ini. Inilah mazhab imam al-Bukhari dan inilah mazhab kebanyakan ulama-ulama hadith.
 
Bukannya apa tuan-tuan, kalau kita lihat dari bahasa Arab, sebutan “bihiza`” yang datang dari perkataan “haza`” bermaksud “sama”. Cuba tuan-tuan lihat hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar radiyallahuanhu ketika melihat cara Nabi saw angkat tangan ketika takbir, dia kata, “Nabi apabila takbir, baginda mengangkat kedua tangannya sama selaras dengan bahunya (...bihiza i aw hazwa man kibaih).”...Jadi, kita bila angkat takbir, angkat betul-betul selaras dengan bahu. Jangan macam orang malas yang angkat lebih kurang saja. Ataupun dalam riwayat Malik ibnu Huwairis (sahabat Nabi saw yang datang bersama kawan-kawannya, duduk dengan Nabi sekitar 20 hari) yang melihat solat Nabi saw, katanya, “Ka na yar faq `u ya dai hi yu hazi uzunain (Baginda angkat tangannya selaras dengan telinga).”...Jadi, angkat takbir ikut sunnah Nabi saw ialah dalam dua keadaan ini sahaja.
 
Tuan-tuan bila sebut solat ikut sunnah Nabi saw; apa yang ana perati hari ini, ramai dikalangan kita kurang mengambil perhatian perihal pentingnya solat yang dilakukan oleh mereka adakah sama seperti yang dilakukan oleh Nabi saw?...Kereta yang kita naik tiap-tiap hari tu, selalu kita pi check adakah dalam keadaan selamat digunakan ataupun tidak. Barang yang kita beli kat kedai, selalu kita tanya kat tokey kedai, ini ori atau tidak?...Tapi dalam bab solat, kita tak pernah tanya, adakah solat kita tu betul-betul macam solat Nabi yang pastinya original daripada Allah swt?...Seperti yang kita sebut Malik ibnu Huwairis tadi, apabila Nabi saw tengok Malik dan kawan-kawannya agak rindu dengan kaum keluarga mereka setelah lama mengaji dengan Nabi, maka Nabi suruh mereka pulang. Dan antara perkara penting yang Nabi pesan sebelum mereka pulang ialah Nabi kata, “Sollu kama ro ai tumuni usalli (Kamu sembahyanglah sepertimana kamu lihat aku sembahyang).”
 
Dulu ketika kita belajar sembahyang di sekolah, kita ikut sebijik seperti yang diajar oleh ustaz sekolah tanpa seorang pun bangkit bertanya, adakah demikian seperti solat Nabi saw?...Ana pernah sembang dengan sorang ustaz lulusan Madinah yang kemudiannya balik berkhidmat di salah sebuah pondok di Kedah. Ana kata, “Ketika ini banyak kita lihat kursus-kursus solat cara Nabi dikendalikan. Walaupun kita lihat sambutannya baik tapi kalau nak dibandingkan peratusan seluruh orang Islam di negara kita, kehadiran masih lagi amat rendah. Jadi ramai yang tak ambil pusing tentang kursus tu. Ambil contoh di surau tempat ana kerja, bila ana tanya kat beberapa orang kawan, “Agak-agak, betoi ka cara hangpa solat tu? Agak-agak macam solat Nabi ka tu?”...Semua depa kata, itulah yang depa belajar kat sekolah dulu, sedangkan ramai ana lihat menghadapi masalah seawal angkat takbiratul ihram lagi. Maknanya, sampai ke tua depa masih berpandukan solat seperti yang diajar kepada mereka waktu di sekolah dulu. Jadi di sini, daripada kita habiskan masa kendalikan kursus-kursus solat cara Nabi yang belum tentu semua orang hadir, kenapa tidak kita start ajar solat cara Nabi di sekolah-sekolah yang pasti kehadirannya compulsory?”...Ustaz sahabat ana tu kata, “Kalau maksud enta masalah lafaz usolli tu, kita ajar kat sekolah begitu sebab nak bagi budak–budak tu faham sebab kita bukannya Arab.”...Ana tanya balik satu benda saja, “So, macamana pula anak-anak umat Islam yang bukan Arab macam di Eropah, Amerika, Afrika, China dan sebagainya; adakah mereka diajar dengan kaedah yang sama seperti yang diajar di sekolah-sekolah kita di Malaysia?”...Ini persoalannya tuan-tuan.
 
Namun yang lebih teruk, hat jenih tak mengaji, solat ikut orang ramai buat. Contohnya selepas bagi salam belah kanan, dia angguk macam Jepun tunduk hormat, kemudian baru dia bagi salam belah kiri. Perbuatan seperti itu, tidak ada kitab yang bagitau dan tidak ada ustaz yang suruh, namun inilah yang dikatakan terikut-ikut dengan rentak orangramai. Dan contoh satu lagi, iaitu selepas bagi salam belah kanan, depa baca doa minta keredaan Allah dengan syurga, kemudian bagi salam belah kiri, baca doa dijauhkan dari api neraka. Ana pernah tanya kat sorang yang lakukan amalan tu, “Enta ambil kat mana cara macam tu?”...Sheikh tu kata, “Ini adalah petua daripada tok guru saya.”...Sedangkan kita tahu amalan solat sekali-kali tidak boleh petua dari sesiapa pun dan sekali-kali tidak ada rujukan melainkan dari al-Quran dan sunnah Nabi saw. Maknanya, segala cara dan kaifiat solat hanya ada dalam hadith-hadith Nabi saw.
 
Tuan-tuan, yang kata manusia ni, sifat ingin mengabdikan diri kepada Tuhan memang menjadi fitrah semulajadi manusia. Cuba lihat hindu dan budha. Ajaran-ajaran mereka juga sedang mencadangkan cara untuk mendekatkan diri dengan tuhan. Ada yang wel-wel, ada yang angguk-angguk, ada yang bakar gaharu sampai alam sekitar jadi jerebu; namun kesemua jalan itu tidak diikhtiraf kerana sama sekali tidak serupa seperti jalan yang dikehendaki oleh Zat empunya yang diabdikan diri, iaitulah Allah `azzawajal. Katalah kita dijemput ke istana raja, boleh ka kita angkat tangan bagi salam kat agong, “Assalamu`alaikum tuanku!”?...Kat kawan kita boleh la buat macam tu. Tapi kat agong, boleh ka macam tu?...Tak boleh, agong marah sebab bagi raja, dia ada caranya tersendiri, walaupun bagi kita itu satu penghormatan, tapi bagi dia tidak. Ini makhluk tuan-tuan, apatah lagi Allah jalla wa`ala, walaupun tidak boleh dibuat perbandingan dan permisalan, tapi inilah sebagai contoh untuk difahamkan kepada tuan-tuan tentang permasalahan apa yang dikatakan sebagai cara mendekatkan diri kepada Tuhan.
 
Maka para ulama menyebut bahwa untuk mendekatkan diri kepada Allah `azzawajal sebagai tanda tunduk dan patuh kepadaNya merangkumi dua makna. Yang pertama ialah patuh hanya kepada Allah, dan yang kedua ialah tidak patuh melainkan dengan cara yang Allah kehendaki.             
 
Telah menceritakan kepada kami (imam al-Bukhari) dari Sulaiman ibnu Harr (guru imam Bukhari yang thiqah) disampaikan oleh Syu`bah ibnu Hajjaj daripada al-Hakam berkatanya: “Aku mendengar dari Sa`id ibnu Jubair (menantu Abu Hurairah radiyallahuanhu) yang mengambil dari Ibnu Abbas radiyallahuanhuma, katanya: “Aku bermalam di rumah saudara perempuan dari ibuku bernama Maimunah (isteri Rasullallah saw). Selepas sembahyang Isyak di masjid, kemudian baginda saw datang di rumah terus bersembahyang empat rakaat. Sesudah itu baginda tidur. Kemudian selepas itu baginda saw bangun berdiri untuk  bersembahyang. Aku lalu berdiri pula di sebelah kirinya. Tiba-tiba baginda saw menjadikan aku berada disebelah kanannya (tarik aku ke sebelah kanan). Seterusnya baginda saw bersembahyang lima rakaat, kemudian sembahyang lagi dua rakaat dan sehabis itu lalu tidur, sehingga aku dapat mendengar dengkur atau suara di waktu tidurnya. Sesudah itu baginda saw keluar untuk mengerjakan solat Subuh.”
 
…to be continue…


Yahoo! Messenger with Voice. PC-to-Phone calls for ridiculously low rates.

--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise.

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest".

--------------------------------------------------------------------------

Recommended sites:
Angkatan Belia Islam Malaysia  : http://www.abim.org.my
Jamaah Islah Malaysia          : http://www.jim.org.my
Radio Islam Kuliyyah           : http://www.kuliyyah.com
Palestinkini Info              : http://www.palestinkini.info
Partai Keadilan Sejahtera      : http://pk-sejahtera.org
Fiqh Siber                     : http://al-ahkam.net/
The Muslim Brotherhood         : http://ikhwanweb.com




SPONSORED LINKS
Divine inspiration Islam


YAHOO! GROUPS LINKS




Kirim email ke