Bulan Mei
amat signifikan bagi ramai orang. Bagi para sosialis dan pejuang hak pekerja, 1
Mei adalah hari keramat bagi mereka. Bagi rakyat Malaysia, 13 Mei pula merupakan
hari yang ramai tidak ingin kenangi dan sering dijadikan alasan untuk sesetengah
pihak menggunakan kuasanya secara berlebihan. Bagi para ibu pula, 8 Mei (bagi
AS) dan 6 Mei (bagi di UK) merupakan hari yang paling indah bagi mereka, kerana
ianya merupakan hari ibu. Para guru pula tidak mungkin akan melupakan 16 Mei
yang sentiasa diraikan sebagai "Hari Guru".
Bagi rakyat Palestin pula,
14 Mei pula merupakan hari yang hitam yang tidak ingin mereka kenangkan. Ianya
merupakan tarikh yang amat penting dalam sejarah manusia moden yang telah
merubah peta dan juga lanskap politik dunia. Ia juga merupakan tarikh yang
menandakan dunia tidak lagi akan menjadi tempat yang aman untuk dihuni oleh
spesis manusia. Itulah tarikh tertubuhnya sebuah negara haram bernama Israel di
atas sebuah tanah yang dahulunya dikenali sebagai Palestin dan sebuah wilayah di
bawah naungan Empayar Uthmaniyyah Turki.
Palestin dulu dan kini
Sebelum 14 Mei 1948, sebuah negara yang bernama Israel tidak pernah
wujud. Malah sebuah entiti yang tertegak di atas dasar perkauman juga tidak
pernah dikenali di kawasan Timur Tengah tersebut. Ia hanya muncul selepas tarikh
itu, semuanya bermula selepas tarikh itu. Adakah ia bermula dengan tiba-tiba?,
tidak, ia mempunyai latar belakangnya yang tersendiri. Ianya bermula semenjak
tahun 1897 lagi, atau mungkin 1896 lagi apabila seorang nasionalis ekstrimis
Yahudi yang bernama Theodore Herzl dari Austria telah muncul dengan bukunya "Der
Junderstaadt" (The Jewish State). Beliau yang juga merupakan seorang atheis,
telah melihat bahawa penyelesaian terhadap masalah Diaspora bangsa Yahudi dan
juga sentimen anti-Yahudi yang semakin rancak di Eropah adalah hanya dengan
tertubuhnya sebuah negara "Nation State" bagi bangsa Yahudi.
Tanpa
dinafikan gelombang kemunculan negara bangsa (Nation State) yang melanda Eropah
memberikan kesan yang mendalam pada pemikiran Herzl dalam merangkakan sebuah
kawasan yang selamat dan ekslusif bagi bangsa Yahudi. Untuk menjayakan idenya
itu, dia memerlukan kepada tiga elemen utama: kuasa, rakyat dan tanah. Tanpa
tiga elemen ini adalah mustahil bagi beliau untuk menjayakan mimpinya
itu.
Pemain Utama Deklarasi Balfour, Chaim Weizmann -
Demi mendapatkan rakyat dan kekuasaan, beliau telah berjaya mengumpulkan
lebih daripada 30 pertubuhan Yahudi sekular dari seluruh Eropah untuk bersama
dengannya menubuhkan sebuah gerakan yang akan menjayakan cita-citanya itu. Maka
pada 29-30 Ogos 1897, di Basel, Switzerland, kongres pertama gabungan lebih 30
buah pertubuhan-pertubuhan Yahudi sekular di Eropah telah berhasil membentuk
"World Zionis Organization" (Pertubuhan Zionis Sedunia).
Objektif utama
gerakan ini ialah untuk menubuhkan sebuah negara yang selamat dan ekslusif bagi
bangsa Yahudi yang mereka namakan sebagai "Erez Yizrael" (bumi Israel). Di sana
juga pelan tindakan bersepadu dilakarkan untuk mencapai cita-cita mereka dalam
tempoh 50 tahun. Pelbagai strategi dan pendekatan telah digunakan oleh Herzl
untuk menjayakan rencananya ini. Maka hanya tinggal unsur ketiga, iaitu tanah
untuk impiannya itu dijelmakan di alam fizikal. Maka tiada bumi lain yang lebih
bermakna bagi kaum Yahudi kecuali bumi Palestin yang mana ianya menurut dakwaan
mereka mempunyai nilai sejarah turun temurun bagi kaum Yahudi. Masalah utamanya,
bumi Palestin pada waktu itu berada di bawah kekuasaan kaum Muslimin yang
dinaungi oleh kekuasaan Empayar Uthmaniyyah yang berada dalam keadaan yang lemah
pada waktu itu.
Walaupun tidak didorong dengan motivasi "aqidah" mahupun
apa-apa elemen "kudus", namun sebagai pencetus ideologi Zionisme, Herzl begitu
komited dengan usaha-usaha menjadikan Erez Yizrael di bumi Palestin sebagai
realiti dan bukan hanya impian yang terkubur di dalam karyanya. Setelah gagal
memujuk Sultan Abdul Hamid ii untuk menjualkan bumi Palestin kepada gerakan
Zionisme sebagai langkah pertama, Herzl dan rakan-rakan Zionisnya mengorak
langkah ke pelan kedua mereka. Melalui segala jentera Zionis di peringkat
antarabangsa, gerakan tersebut telah berjaya memberikan segala bentuk bantuan
kepada kuasa nombor wahid dunia pada waktu itu, iaitu Great Britain untuk
membantu mereka. Kematian Herzl dan juga kekecewaannya untuk mendapatkan bumi
Palestin serta ideanya untuk mengubah kedudukan Erez Yizrael ke bumi Uganda
hampir-hampir menjejaskan perjuangan gerakan Zionisme.
Jika tidak kerana
usaha-usaha Prof. Chaim Weizmann, nescaya gerakan tersebut telah menjadi sejarah
yang berakhir dengan anti klimaks. Dialah yang merupakan bapa gerakan Zionisme
yang kedua, beliau jugalah yang telah berjuang sehingga tertegaknya sebuah Erez
Yizrael di bumi yang sentiasa menjadi sebutan bagi setiap orang Yahudi di dalam
doa-doa harian mereka setiap hari. Selain menjadi pencipta letupan TNT bagi
tentera British, Profesor di dalam bidang Kimia ini juga mempunyai hubungan yang
amat intim dengan kerajaan British sebagai kuasa dunia pada waktu itu. Ini telah
memberikannya peluang untuk survival gerakan ini di fasa selanjutnya.
Dengan membekalkan Great Britain serta sekutu-sekutunya di dalam
Peperangan Dunia yang pertama dengan bantuan kewangan, ketenteraan dan juga
perisikan (seperti yang telah dicatatkan oleh Dr. A. Wahab el-Masiri di dalam
artikelnya mengenai Yahudi dan industri perisikan), mereka mendapatkan hasil
yang amat lumayan. Bumi Palestin yang merupakan sebahagian daripada tanah besar
Arab di wilayah Syam yang telah dirobek-robekkan oleh Great Britain, Rusia dan
Peranchis telah diletakkan di bawah Mandat British melalui perjanjian
Sykes-Picott 1916. Seterusnya, pada tahun 1917, Queen Victoria (yang merupakan
salah seorang daripada penganut fahaman Zionisme Kristian) melalui Menteri
Luarnya, Sir Arthur Belfour (juga seorang Kristian Zionis) telah memberikan hak
kepada orang-orang Yahudi pro-Zionis dari Eropah untuk berhijrah ke bumi
Palestin. Walaupun penghijrahan pertama yang diangotai oleh 50,000 orang Yahudi
Zionis gagal untuk menjejakkan kaki langsung ke bumi Palestin, namun hasil dari
keizinan yang kemudiannya dikenali sebagai "Deklarasi Belfour" itu akhirnya
telah menyaksikan siri-siri penghijrahan yang lain.
Bapa zionis - Theodor Herzl
Pendudukan orang-orang Yahudi Zionis itu ke atas bumi Palestin berlaku
dengan tiga cara. Pertamanya, mereka menduduki tanah-tanah yang terbiar
kosong ataupun kawasan-kawasan yang tidak didiami oleh penduduk asal bumi
Palestin, iaitu orang Arab Palestin, samada Muslim mahupun Kristian. Cara yang
kedua ialah dengan membeli tanah-tanah di bumi Palestin dari penduduk
asalnya. Walaupun segelintir mereka menawarkan jumlah wang yang lumayan untuk
tanah-tanah yang ingin dibeli, hanya segelintir sahaja rakyat Palestin yang
menjualkannya. Malah tindakan menjualkan tanah di bumi Palestin kepada
pendatang-pendatang Yahudi Zionis telah difatwakan haram oleh mufti Palestin
pada waktu itu, Haji Amin al-Huseini. Cara yang ketiga pula merupakan
cara yang telah digunakan secara meluas, iaitu dengan metod keganasan.
Pengganas-pengganas Yahudi dari kumpulan pengganas Irgun, Styer dan lain-lain
lagi telah membunuh, membakar rumah-rumah dan mengusir penduduk Arab keluar dari
kampung halaman mereka untuk dijadikan penempatan baru bagi para pendatang
Yahudi. Hasilnya, pertambahan demografi penduduk Yahudi di bumi Palestin
meningkat secara drastik sehingga ke tahun 1947.
Mereka yang pada
asalnya hanya merupakan kaum minoriti di bumi Palestin pada tahun 1917, telah
hampir-hampir menyamai bilangan penduduk Arab pada tahun 29 November 1947 yang
telah memaksa kuasa-kuasa besar melalui League of Nations menghadiahkan hadiah
kedua tersbesar selepas "Deklarasi Belfour", iaitu Partition Plan (Pelan
pembahagian bumi Palestin) melalui resolusi PBB 181 yang telah menyaksikan
bagaimana negara-negara Arab yang membantah resolusi tersebut menjadi golongan
yang lemah dan tidak berupaya mempertahankan tanah suci milik mereka. Para
penganalisis sejarah dan politik mengatakan bahawa sokongan terhadap pembahagian
bumi Palestin kepada tanah Arab dan tanah bagi warga Yahudi oleh masyarakat
dunia dan juga kuasa-kuasa besar amat berkait rapat dengan simpati dunia
terhadap nasib kaum Yahudi Eropah lewat peristiwa Holocaust.
Selepas
mendapat habuan yang teramat istimewa itu, pihak rejim Zionis semakin
memperkemaskan kedudukan mereka. Penghijrahan Yahudi Eropah yang semakin
mengiktiraf keunggulan usaha perjuangan gerakan Zionisme bertambah dari hari ke
hari. Walaupun 1001 tentangan yang mereka terima hasil perjuangan rakyat
Palestin dan juga warga Arab muslim dari negara-negara yang berjiran
(terutamanya dari tentangan daripada ketumbukan tentera Ikhwanul Muslimin dari
Mesir), mereka tetap komited dengan matlamat mereka untuk merealisasikan
penubuhan sebuah Erez Yizrael yang berdaulat. Hasilnya, pada petang 14 Mei 1948,
proklamasi penubuhan negara Israel telah diumumkan oleh Perdana Menteri rejim
Zionis yang pertama, David Ben Gurion di dewan muzium Tel Aviv. Beliau telah
mengumumkan bahawa tarikh 14 Mei 1948 bersamaan dengan 5 Ayyar 5708 (tahun
Yahudi) merupakan perisytiharan penubuhan "Negara Israel" (Medinet Yizrael) yang
merangkumi 78% daripada bumi Palestin yang asal.
PM Israel pertama , David Ben-Gurion
Oleh kerana hari tersebut hari Sabtu yang merupakan hari bercuti bagi
agama Yahudi, maka keesokan harinya, 15 Mei 1948 telah dipilih untuk diadakan
hari sambutan penubuhan negara Israel secara rasmi. Ben Gurion telah dipilih
untuk menjadi Perdana Menteri pertama negara tersebut dan Prof. Chaim Weizmann
telah dipilih menjadi presiden pertama negara yang ditegakkan secara haram dan
bertentangan dengan segala deklarasi kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa.
Atas dasar inilah kebanyakan pihak yang tidak mengiktiraf negara Israel sehingga
kini menyebutnya sebagai "Rejim Zionis", kerana kewujudan mereka di bumi
Palestin adalah tidak sah, malah merupakan satu jenayah yang paling besar pernah
dilakukan oleh manusia di abad ke-20 selepas jenayah yang dilakukan oleh Hitler
di Eropah. "
Kiriman: Ustaz Maszlee Malik