Kalau disebut `amal soleh' apakah agaknya yang terbayang oleh kebanyakan kita umat Islam? Selalu juga kita sentiasa dinasihati agar memperbanyakkan beramal soleh sebagai bekalan di hari akhirat. Bagi orang tua-tua pula, usia mereka ialah ialah usia untuk memperbanyakkan melakukan amal-amal soleh.
Ayat-ayat yang berkaitan dengan amal soleh ini banyak disebut
di dalam al-Quran antaranya seperti dalam surah al-Asr. Surah ini mengingatkan kita tentang masa dan mengenai kebanyakkan manusia yang akan mengalami kerugian dalam memanfaatkan masa yang dikurniakan Allah melainkan jika mereka memiliki 4 syarat iaitu, beriman, beramal soleh, berpesan sesama mereka dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran. Dalam sural al-Zalzalah Allah mengingatkan bahawa semua amalan manusia sama ada baik atau jahat walau sebesar zarrah sekalipun akan dilihat dan dihisab oleh Allah (maksud ayat 7 dan 8). Dalam surah at-Tin, Allah menegaskan bahawa Dia mencipta manusia sebagai semulia-mulia kejadian, tetapi mereka akhirnya menjadi sehina-hina makhluk melainkan orang yang beriman dan melakukan amalan soleh, (ayat 5 dan 6)
Secara sepintas lalu kebanyakan kita akan memahami bahwa amal soleh tercakup dalam pengertian amal ibadat khusus seperti, solat, zakat, puasa, menunaikan haji, umrah, bersedekah, berzikir,
bertaubat, membaca al-Quran, tolong-menolong sesama manusia, mengajar ilmu, berceramah, berkhutbah dan sebagainya.
Sebaliknya apabila disebut beramal sebenarnya jika diterjemahkan ke bahasa Melayu adalah berkerja dengan pekerjaan yang boleh membawa kebaikan. Maka ianya lebih umum daripada ibadah khusus yang bermatlamatkan mempertingkatkan kekuatan rohani. Walaubagaimanapun apakah amal soleh yang telah dilakukan oleh nabi Muhammad s.a.w.? Apakah yang dilakukan oleh baginda sejak menerima wahyu yang pertama sehingga wahyu yang terakhir? Selama 13 tahun di Mekah sebelum baginda berhijrah ke Madinah apakah amal soleh yang dilakukannya? Apakah tujuan amal-amal yang dilakukannya? Bukankah ketika itu Solat lima waktu belum difardukan lagi kecuali diakhir zaman Makkiah? Begitu juga puasa, zakat dan haji? Malah hampir keseluruhan rukun Islam difardukan pada 10 tahun berbaki dalam hayat baginda.
Apakah sunnah nabi selama 13 tahun di Mekah bukan sunnah yang
patut diikuti?
Amal Soleh yang sebenarnya ialah kerja-kerja untuk merealisasikan matlamat manusia diciptakan, matlamat manusia diturunkan kedunia, matlamat pengutusan sekelian rasul, matlamat diutuskan nabi Muhammad s.a.w. dan matlamat diturunkan al-Quran secara beransur-ansur.
Kerja-kerja itu ialah bermatlamat jauh untuk memastikan dunia dan segala isinya tunduk kepada Hakimiah Allah yang menjadi pra syarat terlaksannya objektif pengutusan nabi akhir zaman untuk membawa Rahmat Allah keseluruh Alam.
Matlamat dekat perjuangan nabi di Mekah ialah, merubah identiti Arab daripada Jahiliah kepada Islam. Merubah minda, aqidah, neraca fikir dan ideologi, mengubah sikap, akhlak, adab dan budaya, merubah sistem perhubungan dalam keluarga, dalam masyarakat dan dalam negara. Perubahan ini bermula dengan perubahan insan. Insan yang menjadi penggerak kepada agenda perubahan, insan yang mewakafkan nyawa dan harta untuk merealisasikan wawasan Islam
yang jauh ini.
Amal soleh ini mempunyai agenda dan aktiviti hariannya yang bermatlamatkan merubah minda, akhlak dan budaya daripada Jahiliah kepada Islam.
Amal-amal soleh ini bukanlah zikir-zikir rutin, doa-doa yang diaminkan, solat yang telah menjadi adat tanpa ruh yang terpisah daripada objektif sebenarnya yang telah ditentukan syarak kepada manusia.
Amal soleh ini merangkumi kerja-kerja dakwah dan penerangan agar manusia mengimani Allah sebagai al-Rab, al-Ilah dan al-Malik. Agar manusia mengimani wujudnya hari pembalasan. Mengimani objektif pengutusan rasul-rasul. Mengimani objektif penciptaan manusia dan peranan mereka di dunia fana ini.Mengimani terhadap hakikat hidup didunia dan hakikat kehidupan selepas mati.Mengimani tentang tanggungjawab, hisab hukuman syurga atau neraka.
Amal soleh juga merupakan aktiviti merawat dan merubah identiti. Merawat kesan-kesan dosa dan kejahilan yang telah mengeraskan hati.
Aktiviti mempertingkatkan ketinggian rohani agar cintakan Allah, rasul dan amal-amal Islam yang hanya di janjikan Syurga.
Aktiviti yang membentuk identiti manusia hari ini agar lahir semula rijal-rijal umpama Abu Bakar al-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman al-Affan, Ali Karramallahu wajhah, Talhah, al-Zubair, Abdul Rahman Auf, Zaid al-Harithah, Khalid al-Walid, Abu Dzar, Abu Hurairah, Qa'qa'dan semua barisan al-awwalin yang Allah lebih mengenali mereka.
Identiti seumpama ini bukanlah lahir secara kebetulan tanpa usaha pentarbiahan.tetapi mereka lahir daripada Universiti al-rasul , melalui manhaj al-Quran.
Rujukan itu masih ada bersama kita al-Quran dan al-Sunnah.Matlamat akhir Islam belum lagi tercapai. Maka diatas bahu umat akhir zaman ini untuk merealisasikan cita-cita unggul Islam ini agar menjadi kuasa Globalisasi Islam yang mendamaikan, kasih sayang dan adil.
Tetapi kejayaan hanyalah akan dicapai jika kita
melakukannya mengikut cara yang pernah membawa kepada kejayaan." Tidak akan mampu diperbaiki umat ini melainkan dengan cara yang telah memperbaiki generasi terdahulu".
Dakwah, Tajmik dan Takwin
Percayalah dengan fikrah ini, binalah generasi pelaksana dan berkerjalah tanpa jemu pasti akan berjaya.