A'kum....
bercinta selepas kawin lg afdal.
jgn mengharap seseorang yg terbaik jika kita bukan yg terbaik...
-------------------
From: [EMAIL PROTECTED]
Date: Fri, 30 Jun 2006 17:00:55 +0800
Subject: JANGANLAH MENANGIS SAYANG
p/s orang rumah kasi.. baca bersama...
Kesatlah Airmatamu Wahai Wanita
arien menulis ""Apabila hati terikat dengan Allah, kembalilah wanita dengan
asal fitrah kejadiannya, menyejukkan hati dan menjadi perhiasan kepada dunia -
si gadis dengan sifat sopan dan malu, anak yang taat kepada ibu bapa, isteri
yang menyerahkan kasih sayang, kesetiaan dan ketaatan hanya pada suami."
Bait-bait kata itu aku tatapi dalam-dalam. Penuh penghayatan. Kata-kata yang
dinukilkan dalam sebuah majalah yang ku baca. Alangkah indahnya jika aku bisa
menjadi perhiasan dunia seperti yang dikatakan itu. Ku bulatkan tekad di
hatiku. Aku ingin menjadi seorang gadis yang sopan, anak yang taat kepada ibu
bapaku dan aku jua ingin menjadi seorang isteri yang menyerahkan kasih sayang,
kesetiaan dan ketaatan hanya untuk suami, kerana Allah.
Menjadi seorang isteri....kepada insan yang disayangi.....idaman setiap wanita.
Alhamdulillah, kesyukuran aku panjatkan ke hadrat Ilahi atas nikmat yang
dikurniakan kepadaku.
Baru petang tadi, aku sah menjadi seorang isteri setelah mengikat tali
pertunangan 6 bulan yang lalu. Suamiku, Muhammad Harris, alhamdulillah menepati
ciri-ciri seorang muslim yang baik. Aku berazam untuk menjadi isteri yang
sebaik mungkin kepadanya.
"Assalamualaikum," satu suara menyapa pendengaranku membuatkan aku gugup
seketika.
"Waalaikumusalam," jawabku sepatah. Serentak dengan itu, ku lontarkan satu
senyuman paling ikhlas dan paling manis untuk suamiku. Dengan perlahan dia
melangkah menghampiriku.
"Ain buat apa dalam bilik ni ? Puas abang cari Ain dekat luar tadi. Rupanya kat
sini buah hati abang ni bersembunyi. `'
Aku tersenyum mendengar bicaranya. Terasa panas pipiku ini. Inilah kali pertama
aku mendengar ucapan `abang' dari bibirnya.
Dan itulah juga pertama kali dia membahasakan diriku ini sebagai `buah hati'
nya. Aku sungguh senang mendengar ucapan itu. Perlahan-lahan ku dongakkan
wajahku dan aku memberanikan diri menatap pandangan matanya.
Betapa murninya sinaran cinta yang terpancar dari matanya, betapa indahnya
senyumannya, dan betapa bermaknanya renungannya itu. Aku tenggelam dalam
renungannya, seolah-olah hanya kami berdua di dunia ini.
Seketika aku tersedar kembali ke alam nyata. "Ain baru je masuk. Nak mandi.
Lagipun dah masuk Maghrib kan ? `' ujarku.
`' Ha'ah dah maghrib. Ain mandi dulu. Nanti abang mandi dan kita solat Maghrib
sama-sama ye ? `'Dia tersenyum lagi. Senyum yang menggugah hati kewanitaanku.
Alangkah beruntungnya aku memilikimu, suamiku.
Selesai solat Maghrib dan berdoa, dia berpusing mengadapku. Dengan penuh kasih,
ku salami dan ku cium tangannya, lama.
Aku ingin dia tahu betapa dalam kasih ini hanya untuknya. Dan aku dapat merasai
tangannya yang gagah itu mengusap kepalaku dengan lembut. Dengan perlahan aku
menatap wajahnya.
"Abang....." aku terdiam seketika. Terasa segan menyebut kalimah itu di
hadapannya. Tangan kami masih lagi saling berpautan. Seakan tidak mahu
dilepaskan. Erat terasa genggamannya.
"Ya sayang..." Ahhh....bicaranya biarpun satu kalimah, amat menyentuh
perasaanku.
"Abang... terima kasih atas kesudian abang memilih Ain sebagai isteri biarpun
banyak kelemahan Ain. Ain insan yang lemah, masih perlu banyak tunjuk ajar dari
abang. Ain harap abang sudi pandu Ain. Sama-sama kita melangkah hidup baru,
menuju keredhaan Allah." Tutur bicaraku ku susun satu persatu.
"Ain, sepatutnya abang yang harus berterima kasih kerana Ain sudi terima abang
dalam hidup Ain. Abang sayangkan Ain. Abang juga makhluk yang lemah, banyak
kekurangan. Abang harap Ain boleh terima abang seadanya. Kita sama-sama lalui
hidup baru demi redhaNya."
`'Insya Allah abang....Ain sayangkan abang. `'
`'Abang juga sayangkan Ain. Sayang sepenuh hati abang.''
Dengan telekung yang masih tersarung, aku tenggelam dalam pelukan suamiku.
Hari-hari yang mendatang aku lalui dengan penuh kesyukuran. Suamiku, ternyata
seorang yang cukup penyayang dan penyabar. Sebagai wanita aku tidak dapat lari
daripada rajuk dan tangis.
Setiap kali aku merajuk apabila dia pulang lewat, dia dengan penuh mesra
memujukku, membelaiku. Membuatku rasa bersalah. Tak wajar ku sambut
kepulangannya dengan wajah yang mencuka dan dengan tangisan.
Bukankah aku ingin menjadi perhiasan yang menyejukkan hati suami? Sedangkan
Khadijah dulu juga selalu ditinggalkan Rasulullah untuk berkhalwat di Gua
Hira'.
Lalu, ku cium tangannya, ku pohon ampun dan maaf. Ku hadiahkan senyuman
untuknya. Katanya senyumku bila aku lepas menangis, cantik!
Ahhh....dia pandai mengambil hatiku. Aku semakin sayang padanya. Nampaknya
hatiku masih belum sepenuhnya terikat dengan Allah. Lantaran itulah aku masih
belum mampu menyerahkan seluruh kasih sayang, kesetiaan dan ketaatan hanya
untuk suami.
`' Isteri yang paling baik ialah apabila kamu memandangnya, kamu merasa senang,
apabila kamu menyuruh, dia taat dan apabila kamu berpergian, dia menjaga
maruahnya dan hartamu .`'
Aku teringat akan potongan hadis itu. Aku ingin merebut gelaran isteri solehah.
Aku ingin segala yang menyenangkan buat suamiku. Tuturku ku lapis dengan sebaik
mungkin agar tidak tercalar hatinya dengan perkataanku. Ku hiaskan wajahku
hanya untuk tatapannya semata-mata.
Makan minumnya ku jaga dengan sempurna. Biarpun aku jua sibuk lantaran aku juga
berkerjaya. Pernah sekali, aku mengalirkan air mata lantaran aku terlalu penat
menguruskan rumah tangga apabila kembali dari kerja. Segalanya perlu aku
uruskan. Aku terasa seperti dia tidak memahami kepenatanku sedangkan kami
sama-sama memerah keringat mencari rezeki.
Namun, aku teringat akan kisah Siti Fatimah, puteri Rasulullah yang menangis
kerana terlalu penat menguruskan rumah tangga.
Aku teringat akan besarnya pahala seorang isteri yang menyiapkan segala
keperluan suaminya. Hatiku menjadi sejuk sendiri.
Ya Allah, aku lakukan segala ini ikhlas keranaMu. Aku ingin mengejar redha
suamiku demi untuk mengejar redhaMu. Berilah aku kekuatan, Ya Allah.
" Ain baik, cantik. Abang sayang Ain.`' Ungkapan itu tidak lekang dari
bibirnya. Membuatkan aku terasa benar-benar dihargai. Tidak sia-sia
pengorbananku selama ini. Betapa bahagianya menjadi isteri yang solehah.
Kehidupan yang ku lalui benar-benar bermakna, apatah lagi dengan kehadiran 2
orang putera dan seorang puteri. Kehadiran mereka melengkapkan kebahagiaanku.
Kami gembira dan bersyukur kepada Allah atas nikmat yang dikurniakan kepada
kami.
Namun, pada suatu hari, aku telah dikejutkan dengan permintaannya yang tidak
terduga.
"Ain.....abang ada sesuatu nak cakap dengan Ain."
"Apa dia abang?" tanyaku kembali. Aku menatap wajahnya dengan penuh kasih. `'
Ain isteri yang baik. Abang cukup bahagia dengan Ain. Abang bertuah punya Ain
sebagai isteri," bicaranya terhenti setakat itu. Aku tersenyum. Namun benakku
dihinggap persoalan. Takkan hanya itu?
"Abang ada masalah ke?" Aku cuba meneka.
"Tidak Ain. Sebenarnya......," bicaranya terhenti lagi. Menambah kehairanan dan
mencambahkan kerisauan di hatiku. Entah apa yang ingin diucapkannya.
"Ain......abang.....abang nak minta izin Ain......untuk berkahwin lagi,"
ujarnya perlahan namun sudah cukup untuk membuat aku tersentak. Seketika aku
kehilangan kata.
"A.....Abang.....nak kahwin lagi?" aku seakan tidak percaya mendengar
permintaannya itu. Ku sangka dia telah cukup bahagia dengannku. Aku sangka aku
telah memberikan seluruh kegembiraan padanya. Aku sangka hatinya telah dipenuhi
dengan limpahan kasih sayangku seorang.
Rupanya aku silap. Kasihku masih kurang. Hatinya masih punya ruang untuk insan
selain aku.
Tanpa bicara, dia mengangguk. `' Dengan siapa abang ? `' Aku bertanya. Aku
tidak tahu dari mana datang kekuatan untuk tidak mengalirkan air mata.
Tapi....hatiku... hanya Allah yang tahu betapa azab dan pedih hati ini.
`' Faizah. Ain kenal dia, kan ? `'
Ya, aku kenal dengan insan yang bernama Faizah itu. Juniorku di universiti.
Rakan satu jemaah. Suamiku aktif dalam jemaah dan aku tahu Faizah juga aktif
berjemaah.
Orangnya aku kenali baik budi pekerti, sopan tingkah laku, indah tutur kata dan
ayu paras rupa. Tidakku sangka, dalam diam suamiku menaruh hati pada Faizah.
" A....Abang......Apa salah Ain abang?" nada suaraku mula bergetar. Aku cuba
menahan air mataku daripada gugur. Aku menatap wajah Abang Harris
sedalam-dalamnya. Aku cuba mencari masih adakah cintanya untukku.
"Ain tak salah apa-apa sayang. Ain baik. Cukup baik. Abang sayang pada Ain."
"Tapi....Faizah. Abang juga sayang pada Faizah....bermakna.....sayang abang
tidak sepenuh hati untuk Ain lagi."
"Ain.....sayang abang pada Ain tidak berubah. Ain cinta pertama abang. Abang
rasa ini jalan terbaik. Tugasan dalam jemaah memerlukan abang banyak berurusan
dengan Faizah....Abang tak mahu wujud fitnah antara kami.
Lagipun....abang lelaki Ain. Abang berhak untuk berkahwin lebih dari satu. `'
Bicara itu kurasakan amat tajam, mencalar hatiku. Merobek jiwa ragaku. Aku
mengasihinya sepenuh hatiku. Ketaatanku padanya tidak pernah luntur. Kasih
sayangku padanya tidak pernah pudar. Aku telah cuba memberikan layanan yang
terbaik untuknya. Tapi inikah hadiahnya untukku?
Sesungguhnya aku tidak menolak hukum Tuhan. Aku tahu dia berhak. Namun,
alangkah pedihnya hatiku ini mendengar ucapan itu terbit dari bibirnya. Bibir
insan yang amat ku kasihi.
Malam itu, tidurku berendam air mata. Dalam kesayuan, aku memandang wajah Abang
Harris penuh kasih. Nyenyak sekali tidurnya.
Sesekali terdetik dalam hatiku, bagaimana dia mampu melelapkan mata semudah itu
setelah hatiku ini digurisnya dengan sembilu.
Tidak fahamkah dia derita hati ini? Tak cukupkah selama ini pengorbananku
untuknya? Alangkah peritnya menahan kepedihan ini. Alangkah pedihnya!
Selama seminggu, aku menjadi pendiam apabila bersama dengannya. Bukan aku
sengaja tetapi aku tidak mampu membohongi hatiku sendiri. Tugasku sebagai
seorang isteri aku laksanakan sebaik mungkin, tapi aku merasakan segalanya
tawar. Aku melaksanakannya tidak sepenuh hati.
Oh Tuhan.....ampuni daku. Aku sayang suamiku, tapi aku terluka dengan
permintaannya itu.
Apabila bertembung dua kehendak, kehendak mana yang harus /> dituruti. Kehendak
diri sendiri atau kehendak Dia ?
Pastinya kehendak Dia. Apa lagi yang aku ragukan? Pasti ada hikmah Allah yang
tersembunyi di sebalik ujian yang Dia turunkan buatku ini. Aku berasa amat
serba-salah berada dalam keadaan demikian.
Aku rindukan suasana yang dulu. Riang bergurau senda dengan suamiku. Kini, aku
hanya terhibur dengan keletah anak-anak.
Senyumku untuk Abang Harris telah tawar, tidak berperisa. Yang nyata, aku tidak
mampu bertentang mata dengannya lagi. Aku benar-benar terluka.
Namun, Abang Harris masih seperti dulu. Tidak jemu dia memelukku setelah pulang
dari kerja walau sambutan hambar. Tidak jemu dia mencuri pandang merenung
wajahku walau aku selalu melarikan pandangan dari anak matanya.
Tidak jemu ucapan kasihnya untukku. Aku keliru. Benar-benar keliru. Adakah
Abang Harris benar-benar tidak berubah sayangnya padaku atau dia hanya sekadar
ingin mengambil hatiku untuk membolehkan dia berkahwin lagi?
`Oh Tuhan...berilah aku petunjukMu.' Dalam kegelapan malam, aku bangkit sujud
menyembahNya, mohon petunjuk dariNya. Aku mengkoreksi kembali matlamat hidupku.
Untuk apa segala pengorbananku selama ini untuk suamiku ? Untuk mengejar
cintanya atau untuk mengejar redha Allah ?
Ya Allah, seandainya ujian ini Engkau timpakan ke atas ku untuk menguji
keimananku, aku rela Ya Allah. Aku rela.
Biarlah... Bukan cinta manusia yang ku kejar. Aku hanya mengejar cinta Allah.
Cinta manusia hanya pemangkin. Bukankah aku telah berazam, aku inginkan segala
yang menyenangkan buat suamiku?
Dengan hati yang tercalar seguris luka, aku mengizinkan Abang Harris berkahwin
lagi. Dan, demi untuk mendidik hati ini, aku sendiri yang menyampaikan hasrat
Abang Harris itu kepada Faizah.
Suamiku pada mulanya agak terkejut apabila aku menawarkan diri untuk merisik
Faizah.
"Ain?......Ain serius?"
"Ya abang. Ain sendiri akan cakap pada Faizah. Ain lakukan ini semua atas
kerelaan hati Ain sendiri. Abang jangan risau...Ain jujur terhadap abang. Ain
tak akan khianati abang. Ain hanya mahu lihat abang bahagia," ujarku dengan
senyuman tawar. Aku masih perlu masa untuk mengubat luka ini. Dan inilah satu
caranya. Ibarat menyapu ubat luka. Pedih, tetapi cepat sembuhnya.
Aku mengumpul kekuatan untuk menjemput Faizah datang ke rumahku. Waktu itu,
suamiku tiada di rumah dan dia telah memberi keizinan untuk menerima kedatangan
Faizah. Faizah dengan segala senang hati menerima undanganku.
Sememangnya aku bukanlah asing baginya. Malah dia juga mesra dengan
anak-anakku.
`' Izah......akak jemput Izah ke mari sebab ada hal yang akak nak
cakapkan, `' setelah aku merasakan cukup kuat, aku memulakan bicara.
`' Apa dia, Kak Ain. Cakaplah, `' lembut nada suaranya.
"Abang Harris ada pernah cakap apa-apa pada Faizah?"
"Maksud Kak Ain, Ustaz Harris?" Ada nada kehairanan pada suaranya. Sememangnya
kami memanggil rakan satu jemaah dengan panggilan Ustaz dan Uztazah. Aku hanya
mengangguk.
" Pernah dia cakap dia sukakan Izah?"
"Sukakan Izah? Isyyy....tak mungkinlah Kak Ain. Izah kenal Ustaz Harris. Dia
kan amat sayangkan akak. Takkanlah dia nak sukakan saya pula. Kenapa Kak Ain
tanya macam tu? Kak Ain ada dengar cerita dari orang ke ni? `'
`' Tidak Izah. Tiada siapa yang membawa cerita......." Aku terdiam seketika.
"Izah, kalau Kak Ain cakap dia sukakan Izah dan nak ambil Izah jadi isterinya,
Izah suka?" Dengan amat berat hati, aku tuturkan
kalimah itu.
" Kak Ain!" jelas riak kejutan terpapar di wajahnya. `' Apa yang Kak Ain cakap
ni ? Jangan bergurau hal sebegini Kak Ain, `' kata Faizah seakan tidak percaya.
Mungkin kerana aku sendiri yang menutur ayat itu. Isteri kepada Muhammad Harris
sendiri merisik calon isteri kedua suaminya.
"Tidak Izah. Akak tak bergurau......Izah sudi jadi saudara Kak Ain?" ujarku
lagi. Air mataku seolah ingin mengalir tapi tetap aku tahan. Faizah memandang
tepat ke wajahku.
"Kak Ain. Soal ini bukan kecil Kak Ain. Kak Ain pastikah yang......Ustaz
Harris.....mahu... melamar saya?"
Dari nada suaranya, aku tahu Faizah jelas tidak tahu apa-apa. Faizah gadis yang
baik. Aku yakin dia tidak pernah menduga suamiku akan membuat permintaan
seperti ini. Lantas, aku menceritakan kepada Faizah akan hasrat suamiku.
Demi untuk memudahkan urusan jemaah, untuk mengelakkan fitnah. Faizah termenung
mendengar penjelasanku.
"Kak Ain.....saya tidak tahu bagaimana Kak Ain boleh hadapi semuanya ini dengan
tabah. Saya kagum dengan semangat Kak Ain. Saya minta maaf kak. Saya tak tahu
ini akan berlaku. Saya tak pernah menyangka saya menjadi punca hati Kak Ain
terluka," ujarnya sebak. Matanya ku lihat berkaca-kaca.
"Izah...Kak Ain tahu kamu tak salah. Kak Ain juga tak salahkan Abang
Harris. Mungkin dia fikir ini jalan terbaik. Dan akak tahu, dia berhak dan
mampu untuk melaksanakannya. Mungkin ini ujian untuk menguji keimanan Kak Ain."
"Kak...maafkan Izah." Dengan deraian air mata, Faizah meraihku ke dalam
elukannya. Aku juga tidak mampu menahan sebak lagi. Air mataku terhambur jua.
Hati wanita. Biarpun bukan dia yang menerima kepedihan ini, tetapi tersentuh
jua hatinya dengan kelukaan yang ku alami. Memang hanya wanita yang memahami
hati wanita yang lain.
"Jadi...Izah setuju?" Soalku apabila tangisan kami telah reda.
`' Kak Ain....ini semua kejutan buat Izah. Izah tak tahu nak cakap. Izah tak
mahu lukakan hati Kak Ain."
"Soal Kak Ain....Izah jangan risau, hati Kak Ain...Insya Allah tahulah akak
mendidiknya. Yang penting akak mahu Abang Harris bahagia. Dan akak sebenarnya
gembira kerana Faizah pilihannya. Bukannya gadis lain yang akak tak tahu hati
budinya. Insya Allah Izah. Sepanjang Kak Ain mengenali Abang Harris dan
sepanjang akak hidup sebumbung dengannya, dia seorang yang baik, seorang suami
yang soleh, penyayang dan penyabar. Selama ini akak gembira dengan dia. Dia
seorang calon yang baik buat Izah. `'
"Akak.....Izah terharu dengan kebaikan hati akak. Tapi bagi Izah masa dan Izah
perlu tanya ibu bapa Izah dulu."
"Seeloknya begitulah. Kalau Izah setuju, Kak Ain akan cuba cakap pada ibu bapa
Izah."
Pertemuan kami petang itu berakhir. Aku berasa puas kerana telah menyampaikan
hasrat suamiku. `Ya Allah.....inilah pengorbananku untuk membahagiakan suamiku.
Aku lakukan ini hanya semata-mata demi redhaMu.'
Pada mulanya, keluarga Faizah agak keberatan untuk membenarkan Faizah menjadi
isteri kedua Abang Harris. Mereka khuatir Faizah akan terabai dan bimbang jika
dikata anak gadis mereka merampas suami orang.
Namun, aku yakinkan mereka akan kemampuan suamiku. Alhamdulillah, keluarga
Faizah juga adalah keluarga yang menitikberatkan ajaran agama. Akhirnya, majlis
pertunangan antara suamiku dan Faizah diadakan jua.
"Ain.....abang minta maaf sayang," ujar suamiku pada suatu hari,
beberapa minggu sebelum tarikh pernikahannya dengan Faizah.
"Kenapa?"
"Abang rasa serba salah. Abang tahu abang telah lukakan hati Ain. Tapi....Ain
sedikit pun tidak marahkan abang. Ain terima segalanya demi untuk abang. Abang
terharu. Abang....malu dengan Ain."
"Abang....syurga seorang isteri itu terletak di bawah tapak kaki suaminya.
Redha abang pada Ain Insya Allah, menjanjikan redha Allah pada Ain. Itu yang
Ain cari abang. Ain sayangkan abang. Ain mahu abang gembira. Ain anggap ini
semua ujian Allah abang. `'
`' Ain....Insya Allah abang tak akan sia-siakan pengorbanan Ain ini.
Abang bangga sayang. Abang bangga punya isteri seperti Ain. Ain adalah cinta
abang selamanya. Abang cintakan Ain."
"Tapi...abang harus ingat. Tanggungjawab abang akan jadi semakin berat. Abang
ada dua amanah yang perlu dijaga. Ain harap abang dapat laksanakan
tanggungjawab abang sebaik mungkin."
"Insya Allah abang akan cuba berlaku seadilnya." Dengan lembut dia mengucup
dahiku. Masih hangat seperti dulu. Aku tahu kasihnya padaku tidak pernah
luntur. Aku terasa air jernih yang hangat mula membasahi pipiku. Cukuplah aku
tahu, dia masih sayangkan aku seperti dulu walaupun masanya bersamaku nanti
akan terbatas.
Pada hari pertama pernikahan mereka, aku menjadi lemah. Tidak bermaya. Aku
tiada daya untuk bergembira. Hari itu sememangnya amat perit bagiku walau aku
telah bersedia untuk menghadapinya.
Malam pertama mereka disahkan sebagai suami isteri adalah malam pertama aku
ditinggalkan sendirian menganyam sepi. Aku sungguh sedih. Maha hebat gelora
perasaan yang ku alami. Aku tidak mampu lena walau sepicing pun. Hatiku
melayang terkenangkan Abang Harris dan Faizah. Pasti mereka berdua bahagia
menjadi pengantin baru.
Bahagia melayari kehidupan bersama, sedangkan aku ? Berendam air mata mengubat
rasa kesepian ini. Alhamdulillah. Aku punya anak-anak. Merekalah teman
bermainku.
Seminggu selepas itu, barulah Abang Harris pulang ke rumah. Aku memelukknya
seakan tidak mahu ku lepaskan. Seminggu berjauhan, terasa seperti setahun.
Alangkah rindunya hati ini. Sekali lagi air mata ku rembeskan tanpa dapat
ditahan.
`' Kenapa sayang abang menangis ni? Tak suka abang balik ke?" ujarnya lembut.
"Ain rindu abang. Rindu sangat. `' Tangisku makin menjadi-jadi. Aku mengeratkan
pelukanku. Dan dia juga membalas dengan penuh kehangatan.
`' Abang pun rindu Ain. Abang rindu senyuman Ain. Boleh Ain senyum pada abang ?
`' Lembut tangannya memegang daguku dan mengangkat wajahku.
`'Abang ada teman baru. Mungkinkah abang masih rindu pada Ain ? `'Aku menduga
keikhlasan bicaranya.
`' Teman baru tidak mungkin sama dengan yang lama. Kan abang dah kata, sayang
abang pada Ain masih seperti dulu. Tidak pernah berubah, malah semakin sayang.
Seminggu abang berjauhan dari Ain, tentulah abang rindu. Rindu pada senyuman
Ain, suara Ain, masakan Ain, sentuhan Ain. Semuanya itu tiada di tempat lain,
hanya pada Ain saja. Senyumlah sayang, untuk abang. `'
Aku mengukir senyum penuh ikhlas. Aku yakin dengan kata-katanya. Aku tahu
sayangnya masih utuh buatku.
Kini, genap sebulan Faizah menjadi maduku. Aku melayannya seperti adik sendiri.
Hubungan kami yang dulunya baik bertambah mesra. Apa tidaknya, kami berkongsi
sesuatu yang amat dekat di hati.
Dan, Faizah, menyedari dirinya adalah orang baru dalam keluarga, sentiasa
berlapang dada menerima teguranku. Katanya, aku lebih mengenali Abang Harris
dan dia tidak perlu bersusah payah untuk cuba mengorek sendiri apa yang disukai
dan apa yang tidak disukai oleh Abang Harris. Aku, sebagai kakak, juga sentiasa
berpesan kepada Faizah supaya sentiasa menghormati dan menjaga hati Abang
Harris. Aku bersyukur, Faizah tidak pernah mengongkong suamiku. Giliran kami
dihormatinya.
Walaupun kini masa untuk aku bersama dengan suamiku terbatas, tetapi aku dapat
merasakan kebahagiaan yang semakin bertambah apabila kami bersama. Benarlah,
perpisahan sementara menjadikan kami semakin rindu. Waktu bersama, kami
manfaatkan sebaiknya. Alhamdulillah, suamiku tidak pernah mengabaikan aku dan
Faizah. Aku tidak merasa kurang daripada kasih sayangnya malah aku merasakan
sayangnya padaku bertambah. Kepulangannya kini sentiasa bersama
sekurang-kurangnya sekuntum mawar merah. Dia menjadi semakin penyayang, semakin
romantik. Aku rasa aku harus berterima kasih pada Faizah kerana kata suamiku,
Faizahlah yang selalu mengingatkannya supaya jangan mensia-akan kasih sayangku
padanya.
Memang aku tidak dapat menafikan, adakalanya aku digigit rindu apabila dia
pulang untuk bersama-sama dengan Faizah. Rindu itu, aku ubati dengan zikrullah.
Aku gunakan kesempatan ketiadaannya di rumah dengan menghabiskan masa bersama
Kekasih Yang Agung. Aku habiskan masaku dengan mengalunkan ayat-ayatNya
sebanyak mungkin. Sedikit demi sedikit kesedihan yang ku alami mula pudar. Ia
diganti dengan rasa ketenangan. Aku tenang beribadat kepadaNya. Terasa diriku
ini lebih hampir dengan Maha Pencipta.
Soal anak-anak, aku tidak mempunyai masalah kerana sememangnya aku mempunyai
pembantu rumah setelah aku melahirkan anak kedua. Cuma, sewaktu mula-mula dulu,
mereka kerap juga bertanya kemana abah mereka pergi, tak pulang ke rumah. Aku
terangkan secara baik dengan mereka. Mereka punyai ibu baru. Makcik Faizah.
Abah perlu temankan Makcik Faizah seperti abah temankan mama. Anak-anakku suka
bila mengetahui Faizah juga menjadi `ibu' mereka. Kata mereka, Makcik Izah
baik. Mereka suka ada dua ibu. Lebih dari orang lain. Ahhh...anak-anak kecil.
Apa yang kita terapkan itulah yang mereka terima. Aku tidak pernah menunjukkan
riak kesedihan bila mereka bertanya tentang Faizah. Bagiku Faizah seperti
adikku sendiri.
Kadang-kadang, bila memikirkan suamiku menyayangi seorang perempuan lain selain
aku, memang aku rasa cemburu, rasa terluka. Aku cemburu mengingatkan belaian
kasihnya itu dilimpahkan kepada orang lain. Aku terluka kerana di hatinya ada
orang lain yang menjadi penghuni. Aisyah, isteri Rasulullah jua cemburukan
Khadijah, insan yang telah tiada. Inikan pula aku, manusia biasa. Tapi..... ku
kikis segala perasaan itu. Cemburu itukan fitrah wanita, tanda sayangkan suami.
Tetapi cemburu itu tidak harus dilayan. Kelak hati sendiri yang merana. Bagiku,
kasih dan redha suami padaku itu yang penting, bukan kasihnya pada orang lain.
Selagi aku tahu, kasihnya masih utuh buatku, aku sudah cukup bahagia. Dan aku
yakin, ketaatan, kesetiaan dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi
kepadanya itulah kunci kasihnya kepadaku. Aku ingin nafasku terhenti dalam
keadaan redhanya padaku, supaya nanti Allah jua meredhai aku. Kerana sabda
Rasulullah s.a.w
"Mana-mana wanita (isteri) yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya
meredhainya, maka ia akan masuk ke dalam syurga." (Riwayat-Tirmizi, al-Hakim
dan Ibnu Majah).
Sungguh bukan mudah aku melalui semuanya itu. Saban hari aku berperang dengan
perasaan. Perasaan sayang, luka, marah, geram, cemburu semuanya bercampur aduk.
Jiwaku sentiasa berperang antara kewarasan akal dan emosi. Pedih hatiku hanya
Tuhan yang tahu. KepadaNyalah aku pohon kekuatan untuk menempuhi segala
kepedihan itu. KepadaNyalah aku pinta kerahmatan dan kasih sayang, semoga
keresahan hati ini kan berkurangan.
Namun, jika aku punya pilihan, pastinya aku tidak mahu bermadu. Kerana ia
sesungguhnya memeritkan. Perlukan ketabahan dan kesabaran. Walau bagaimanapun,
aku amat bersyukur kerana suamiku tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya.
Dan aku juga bersyukur kerana menjadi intan terpilih untuk menerima ujian ini.
"
------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~-->
Something is new at Yahoo! Groups. Check out the enhanced email design.
http://us.click.yahoo.com/SISQkA/gOaOAA/yQLSAA/TXWolB/TM
--------------------------------------------------------------------~->
--------------------------------------------------------------------------
All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in
any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved
otherwise.
If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily
digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your
mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the
title "change to daily digest".
--------------------------------------------------------------------------
Recommended sites:
Angkatan Belia Islam Malaysia : http://www.abim.org.my
Jamaah Islah Malaysia : http://www.jim.org.my
Radio Islam Kuliyyah : http://www.kuliyyah.com
Palestinkini Info : http://www.palestinkini.info
Partai Keadilan Sejahtera : http://pk-sejahtera.org
Fiqh Siber : http://al-ahkam.net/
The Muslim Brotherhood : http://ikhwanweb.com
Yahoo! Groups Links
<*> To visit your group on the web, go to:
http://groups.yahoo.com/group/hidayahnet/
<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
[EMAIL PROTECTED]
<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
http://docs.yahoo.com/info/terms/